Makan makanan yang enak, membaca buku kegemaran, menonton drama yang disukai dan mendengar muzik pilihan. Mungkin ini adalah antara perkara-perkara biasa yang sering kita lakukan pada setiap hari. Namun, di sebalik perkara-perkara biasa ini, ia sebenarnya mampu memberikan kegembiraan serta kebahagiaan yang tersendiri.

Kegembiraan kecil yang pasti. Inilah yang dipanggil sohwakhaeng, iaitu satu frasa Korea yang boleh diterjemahkan sebagai kebahagiaan dan kegembiraan kecil yang pasti (small but certain happiness) yang menjadi popular dalam kalangan masyarakat Korea sejak tahun 2018.

Kenapa sohwakhaeng?

Istilah sohwakhaeng (소확행 ) ini pertama kali diperkenalkan oleh penulis Jepun, iaitu Haruki Murakami dalam esei beliau pada tahun 1986 yang bertajuk Afternoon in the Islets of Langerhans. Istilah asal dalam bahasa Jepun adalah shougakkaou, yang juga membawa maksud kegembiraan kecil yang pasti.

Dalam esei ini, beliau telah menyatakan falsafah di sebalik sohwakhaeng adalah berdasarkan kegembiraaan dan kepuasan kecil yang dialami oleh setiap individu pada setiap hari, yang boleh dilihat daripada aktiviti seperti jogging pada setiap pagi, panggilan daripada orang tersayang, makanan enak yang disediakan ibu atau menonton drama serta filem kegemaran. Dalam hal ini, apa yang ingin disampaikan di sebalik sohwakhaeng ini adalah kita tidak memerlukan sejumlah duit untuk mengecapi kegembiraan dan kebahagiaan dalam kehidupan harian.

Perkataan sohwakhaeng ini sebenarnya adalah singkatan daripada frasa소하지만 실한 복 (sosohajiman hwaksilhan haengbok). Ketika ia mula-mula muncul dalam penulisan Murakami, ia hanyalah sekadar istilah biasa. Setelah berpuluh-puluh tahun, frasa ini akhirnya kembali popular di Korea, sebagai satu sumber bagi masyarakat Korea mencari makna kebahagiaan sebenar dalam kehidupan mereka. Ini juga adalah cara bagi masyarakat Korea memelihara kesejahteraan dalam kehidupan mereka.

Likes page baru kami: The Patriots 2.0 (https://www.facebook.com/thepatriots2.0asia/)

Istilah lain seperti sohwakhaeng

Selain daripada istilah sohwakhaeng yang dipopularkan dalam kalangan masyarakat Korea, terdapat juga istilah yang hampir serupa  yang digunakan di negara-negara lain. Ia boleh dianggap sebagai trend sama seperti di Korea yang mana ia menggambarkan kehidupan tenang dalam mencari kebahagiaan yang kecil.

  • Aucalme

Istilah ini berasal dari perkataan Perancis yang bermaksud senyap atau diam, yang mana ia menunjukkan gaya hidup masyarakatnya dengan fikiran yang tenang. Kebiasaannya, golongan muda menggunakan istilah ini bagi menunjukkan aktiviti mereka yang dianggap sebagai menyegarkan dan menenangkan fikiran seperti berehat di kafe, berjalan di taman dan menyaksikan teater.

  • Lagom

Istilah dari Sweden ini secara asasnya membawa maksud keseimbangan, dan lebih kepada mencari kehidupan yang sesuai. Istilah ini juga memberi penekanan untuk meraikan pencapaian kecil yang dicapai dalam hidup, dengan perasaan yang sebenarnya.

Lagom juga mempunyai tujuan untuk mewujudkan kehidupan dan perasaan yang seimbang serta puas dengan apa yang kita ada dan bergaul dengan masyarakat dan persekitaran. Contoh paling mudah adalah seseorang yang memilih untuk menghiasi rumahnya dengan menanam pokok berbanding hiasan yang lain.

  • Hygge

Hygge adalah perkataan Norway yang bermaksud keselesaan, kehangatan dan ketenangan yang memfokuskan kepada kestabilan hidup. Ia lebih kepada satu gaya hidup untuk menikmati dan menghargai masa yang anda habiskan bersama orang tersayang. Ini adalah salah satu rahsia kebahagiaan kelas dunia Denmark.

Ketiga-tiga istilah sohwakhaeng, lagom dan hygge mempunyai makna yang berbeza, namun falsafah di sebaliknya adalah sama, iaitu untuk setiap individu berpuas hati dengan apa yang mereka miliki serta mencari kebahagiaan dalam kehidupan.

Makna kesejahteraan dalam masyarakat Korea

Korea Selatan adalah sebuah negara yang mana kebanyakan rakyatnya bekerja selama berjam-jam pada setiap hari, sebagai satu tanda kehormatan diri dan agar tidak dipandang rendah oleh orang lain. Dalam keghairahan mengejar kehendak secara material, rakyatnya mula mencari cara baru dalam menikmati kebahagiaan tersendiri di sebalik kesibukan bekerja pada setiap hari. Cara baru yang lebih ‘kecil’ tetapi dengan kepuasan dan makna yang besar.

Sekitar tahun 2018, seorang pengguna media sosial Twitter telah menggunakan istilah sohwakhaeng sebagai survival guide, yang mana dia telah menggunakan wang simpanannya bagi membeli rumah untuk melancong.

Hal ini menunjukkan bahawa semakin ramai rakyatnya yang ingin keluar daripada persaingan untuk membeli rumah, mendapatkan jawatan tertinggi di pejabat serta perkahwinan dan hanya ingin mencari jalan untuk bahagia dengan perkara-perkara kecil dalam kehidupan. Kemunculan frasa sohwakhaeng sebagai suatu istilah trendy menunjukkan bahawa orang berusaha mencari kebahagiaan dalam hal-hal kecil kerana mereka melihat masa depan yang tidak menentu.

Sebelum kemunculan istilah sohwakhaeng, masyarakat Korea juga telah banyak menggunakan istilah-istilah lain untuk menunjukkan kesejahteraan yang ingin dicapai dalam kehidupan seperti YOLO (You Only Live Once) dan Wolabal (work and life balance). Kesemuanya mempunyai matlamat yang sama, iaitu untuk mencapai kesejahteraan dalam kehidupan melalui perkara-perkara kecil.

Media massa di Korea, khususnya yang melibatkan rancangan-rancangan televisyen dan hiburan turut membantu mempromosikan frasa sohwakhaeng ini melalui paparan imej kehidupan yang lebih ringkas dan lari daripada kesibukan. Rancangan popular terbitan saluran JTBC iaitu Hyori’s Bed & Breakfast contohnya memaparkan kehidupan selebriti Hyori bersama suaminya di Pulau Jeju, dengan rumah yang serba ringkas dan kehidupan yang menenangkan.

Ia mendapat respon yang cukup baik dalam kalangan penonton, dan menjadi inspirasi bagi mereka yang ingin mencapai sohwakhaeng dengan kehidupan ringkas sebegitu. Selain itu, rancangan Three Meals a Day terbitan TVN juga adalah sebuah siri yang memaparkan format ringkas dengan memasak, bekerja dan bermain bersama dalam kehidupan harian. Ia adalah gambaran rutin harian bagi individu dan mampu membuatkan mereka gembira walau perkara itu mungkin hanyalah rutin biasa dalam kehidupan mereka.

Likes page baru kami: The Patriots 2.0 (https://www.facebook.com/thepatriots2.0asia/)

Kesimpulan

Sohwakhaeng menunjukkan bahawa kita semua mampu untuk mencari kebahagiaan sendiri, tanpa mengira pencapaian atau melihat kepada penilaian orang lain. Piawaian bahagia itu ada pada diri kita sendiri, bukan pada masyarakat atau orang lain. Jadi, tiada sebab untuk tidak merasa gembira pada setiap hari, jika kita masih mampu menikmati makanan yang enak dan menonton rancangan yang kita gemari.

RUJUKAN:

Chyung, E. J. (2018). ‘Sohwakhaeng’ taps into Koreans’ desire to find happiness in little things. Retrieved January 19, 2021, from http://www.koreaherald.com/view.php?ud=20180729000195

Yoo, J. (2020). Gratitude and subjective well-being among koreans. International Journal of Environmental Research and Public Health, 17(22), 2–10.

Yoon, J. I. (2019). Having Peace Will Bring You Happiness. Retrieved January 19, 2021, from https://www.jbpresscenter.com/news/articleView.html?idxno=201309


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Anak Terengganu yang bercita-cita untuk menjadi food historian, dan memasang impian untuk mengeluarkan buku mengenai kesemua makanan warisan di Malaysia. Telah selesai viva untuk Ijazah Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang Pemakanan dan bakal bergraduat pada akhir tahun nanti. Sukakan muzik, drama dan filem, tetapi nyata rasanya lebih kepada penulisan. Seorang ghostwriter, penyunting dan penterjemah sambilan. Bidang penulisan yang diminati; pemakanan, sains makanan, gastronomi, sejarah dan eksplorasi karya (drama dan filem).

Comments are closed.