Tidak, ini bukan mengenai makanan yang lambat
sampai apabila anda memesan makanan melalui FoodPanda, GrabFood mahupun ketika
anda berada di restoran. Slow Food bukanlah ditafsirkan secara literal
iaitu makanan yang lambat. Artikel akan menerangkan kepada anda serba sedikit
mengenai Slow Food, mengenali apa itu
Slow Food, dan organisasi yang
bertanggungjawab di sebalik pergerakan Slow
Food serta impak yang dibawa melalui Slow
Food ini.
Apa Itu Slow Food?
Slow Food sebenarnya merupakan sebuah organisasi yang
bertunjangkan kepada objektif yang komited dalam melindungi dan memelihara makanan
tradisi, menggalakkan penanaman tumbuh-tumbuhan bagi menjamin kestabilan
ekosistem, mempromosikan makanan berkualiti,
bahan-bahan yang segar serta melindungi kaedah pemprosesan asli. Idea penubuhan
organisasi Slow Food ini telah
dicetuskan oleh seorang aktivis makanan, Carlo Petrini, pada tahun 1986, di
sebuah bandar kecil di bahagian utara Itali, iaitu bandar Bra.
Asal penubuhannya adalah bermula dengan
reaksi terhadap kemunculan pertama makanan segera (fast food), iaitu restoran McDonald di Rome, Itali, namun, ia
bukanlah sekadar penentangan terhadap makanan segera tersebut, tetapi, ia
adalah reaksi terhadap keseluruhan budaya pengambilan makanan segera itu.
Manifesto bagi Slow Food ini adalah
untuk menghalang ‘virus segera’ dan mengurangkan populariti makanan yang hanya
bersandarkan kepada keuntungan semata-mata tanpa memikirkan kualiti serta nilai
tradisi.
Pada asalnya, penubuhan Slow Food ini adalah sebagai sebuah organisasi yang memfokuskan
kepada ‘eno-gastronomic’ iaitu wain dan makanan, sebelum ia beransur-ansur
berubah menjadi sebuah organisasi yang mempertahankan makanan yang bagus dan
mempunyai nilai tradisi, menghargai keseronokan dalam gastronomi serta gaya
hidup yang lebih perlahan (eco-gastronomy
dan neo-gastronomy). Kini objektif
bagi penubuhan organisasi Slow Food
ini lebih bertumpu kepada menggunakan gastronomi sebagai suatu kaedah
pendidikan melalui kepelbagaian pendekatan terhadap bidang makanan.
Slow Food ini juga bertanggungjawab dalam melindungi nilai-nilai
sejarah, artistik serta sosial daripada sesuatu jenis makanan warisan, dan
mengakui nilai sejarah dan kebudayaan tersebut sebagai salah satu cara dalam
interaksi antara kumpulan atau negara yang berbeza. Ia juga merupakan sebuah
organisasi yang ditubuhkan sebagai suatu alternatif untuk menandingi kebejatan fast food yang terkenal dalam kalangan
golongan muda.
Secara rasminya, Slow Food ini telah menjadi sebuah organisasi antarabangsa pada tahun
1989. Pada hari ini, jumlah ahlinya telah mencecah lebih 85,000 orang dalam
1,000 convivia di dalam 132 buah negara. Convivia (yang disebut sebagai
condotte di Itali) merupakan unit-unit asas dalam organisasi atau kumpulan
tempatan (diuruskan oleh ketua convivium) yang menganjurkan kursus, majlis
makan malam, promosi, sesi food tasting
dan sebagainya. Secara mudahnya, para ahlinya ini boleh dianggap sebagai
fasilitator dalam rangkaian dunia bagi menyampaikan maklumat dan berkongsi pendapat
mengenai makanan di dunia.
Negara-Negara Dalam Slow Food
Ahli-ahli bagi organisasi Slow Food ini terdapat dalam lebih
kurang 132 buah negara di dunia. Antara negara yang mempunyai convivia
tersendiri melalui Slow Food ini
ialah Itali yang memiliki jumlah convivia paling banyak iaitu 360 convivia,
Jerman yang mempunyai 70 convivia, Perancis dengan 38 convivia, Jepun dengan 45
convivia, Switzerland dengan 16 convivia, United Kingdom memiliki 50 convivia
dan Amerika Syarikat dengan 150 convivia.
Malah, di Malaysia sendiri, organisasi ini turut mempunyai convivianya
yang tersendiri, iaitu di Penang dan Kedah.
Setiap negara ini mempunyai cawangan bagi
organisasi ini di peringkat negara masing-masing. Dan setiap cawangan kebangsaan
di negara-negara ini melalui convivia masing-masing akan mengadakan pelbagai
aktiviti yang selaras dengan misi dan objektif Slow Food. Antara aktiviti tersebut ialah projek agrobiodiversiti,
bengkel food tasting, projek taman
sekolah dan banyak lagi.
Siri Aktiviti dan Pergerakan Slow Food
Pada dasarnya, pergerakan Slow Food ini ditubuhkan adalah untuk meningkatkan
reputasi makanan tradisi dan makanan sihat dalam kalangan individu dan
sekaligus mengurangkan populariti makanan segera dalam pasaran. Salah satu
projek utama yang dijalankan oleh Slow Food ini adalah Terra Madre atau Mother
Earth yang bertujuan untuk membina rangkaian bagi pengeluar makanan,
wakil-wakil dalam komuniti tempatan, ahli akademik serta para belia dalam
menghasilkan suatu sistem pengeluaran makanan yang bersih, sihat serta adil di
samping mengambil berat nilai-nilai persekitaran di atas muka bumi. Terra Madre
ini lebih aktif dalam menyokong pengeluaran kecil dan tempatan.
Apa aktiviti yang telah dijalankan melalui Terra Madre ini? Persidangan pertama bagi Terra Madre telah diadakan pada tahun 2004, bertempat di Turin, Itali. Persidangan ini telah disertai oleh 5,000 orang delegasi dari lebih 130 buah negara.
Acara ini kemudiannya telah diadakan setiap dua tahun sekali, pada musim luruh. Empat rangkaian utama yang bertanggungjawab menjalankan aktiviti melalui Terra Madre ini adalah komuniti makanan (food communities), tukang masak (cooks), universiti serta rangkaian belia (youth network). Peranan bagi empat rangkaian utama ini ialah:
- Komuniti makanan (food communities)
Komuniti makanan ini terdiri daripada pelbagai individu dalam pelbagai
cabang dan profesion yang berkaitan dengan pengeluaran makanan, yang mana ia
boleh terdiri daripada tukang masak, petani, peladang dan nelayan. Peranannya
adalah untuk mengumpulkan pengetahuan serta pengalaman daripada pelbagai cabang
profesion ini bagi mempromosikan pendekatan baru dalam bidang gastronomi dan
pengeluaran makanan.
- Tukang masak (cooks)
Para tukang masak dari seluruh dunia dikumpulkan melalui rangkaian ini bagi
mempersembahkan hasil masakan mereka dan setelah melalui perbincangan bersama
rangkaian komuniti makanan. Para tukang masak dan chef memperkasakan komuniti
makanan melalui sesi dialog dan kerjasama, dan menentang sebarang pengabaian
dalam nilai tradisi dan standard bagi sesuatu makanan.
- Universiti
Rangkaian universiti merupakan rangkaian yang memberi peluang buat ahli
akademik dari seluruh universiti di dunia untuk menjalankan kajianserta memberi
kesedaran untuk masyarakat tempatan mengenai penghasilan dan pengeluaran
makanan, serta aspek-aspek gastronomi.
- Rangkaian belia (youth network)
Rangkaian ini telah dilancarkan pada tahun 2007, dan ia berperanan penting
dalam mempertahankan kebudayaan makanan. Inisiatif bagi rangkaian ini telah
dicetuskan oleh para pelajar di sebuah universiti di Amerika Syarikat, dan ia
kini disertai oleh para pelajar universiti, aktivis, tukang masak serta
pengeluar makanan muda.
Acara-acara Slow Food di seluruh dunia
Pergerakan Slow Food ini dengan sokongan daripada masyarakat tempatan dalam
sesebuah negara telah berjaya menganjurkan pelbagai acara dan program di
seluruh dunia. Antaranya ialah:
- A Taste of Slow di Melbourne, Australia – iaitu acara Slow Food yang terbesar di Australia. Merupakan suatu program dua minggu yang terdri daripada kelas, majlis makan malam, perbincangan, filem, forum komuniti serta sesi food tasting bagi hasil pengeluaran makanan terbaik di Australia. Demonstrasi dan forum dikendalikan oleh pakar makanan tempatan dan antarabangsa, chef serta para pengeluar makanan.
- Taste of the Nation di Latvia – festival satu hari yang diadakan pada penghujung musim panas, dan dianjurkan oleh Convivia Riga. Ia diadakan pada lokasi berbeza pada setiap tahun. Pada hari festival ini, chef dari seluruh negara akan menyediakan masakan tradisional Latvia dan hasil pengeluaran bahan makanan organik akan dipasarkan kepada umum.
- Slow Food Fair di Stuttgart, Jerman – para pengunjung berpeluang untuk merasa sampel makanan serta membeli produk makanan unik dalam pelbagai jenis. Mereka juga berpeluang untuk bertemu dengan para pengeluar makanan dari Jerman, Austria dan Itali. Ruang pendidikan pula memberi peluang kepada sekolah, dan organisasi untuk memberi cadangan mengenai pembentukan katering organik di sekolah, penerbitan serta aktiviti-aktiviti eco-gastronomic yang lain.
Impak Slow Food
Impak yang dibawa melalui pergerakan Slow Food ini sebenarnya boleh dilihat
dari banyak aspek. Pertamanya ialah melalui penghasilan dan pengeluaran bahan
makanan, yang mana Slow Food memotivasikan
para pengeluar makanan melalui moto baik (good),
bersih (clean) dan adil (fair). Berdasarkan aspek ini, ia mampu
merangsang para pengeluar makanan, termasuklah para petani untuk mengubah cara
penghasilan bahan makanan bagi pasaran.
Dari aspek perniagaan restoran pula, melalui
pergerakan Slow Food ini, ia memberi
lebih banyak peluang kepada pengusaha untuk memberi perhatian terhadap
penghasilan makanan tradisi berbanding makanan segera. Malah, ia juga memberi
kelebihan buat para chef dan tukang masak untuk menonjolkan kreativiti mereka
melalui proses penyediaan makanan.
Kesimpulan
Pergerakan Slow Food ini boleh dilihat sebagai suatu usaha dalam meningkatkan
kefahaman, mengangkat kembali nilai tradisi makanan tempatan serta memelihara seni
dalam gastronomi. Ia merupakan suatu rangkaian dan platform bagi semua penggiat
dalam bidang makanan, dan gastronomi untuk sama-sama berkumpul dan bekerjasama
demi penghasilan serta pengeluaran makanan yang lebih baik untuk generasi akan
datang.
RUJUKAN:
Hsu, Eric L. 2015.
“The Slow Food Movement and Time Shortage: Beyond the Dichotomy of Fast or
Slow.” Journal of Sociology 51 (3): 628–42.
Irving, John. 2016.
“Slow Food Pamphlet: Welcome to Our World.” Slow Food. Torino, Itali.
http://www.slowfood.com/about_us/img_sito/pdf/Companion08_ENG.pdf.
Simonetti, Luca. 2012.
“The Ideology of Slow Food.” Journal of European Studies 42 (2): 168–89.
Tencati, Antonio, and
Laszlo, Zsolnai. 2012. “Collaborative Enterprise and Sustainability: The Case
of Slow Food.” Journal of Business Ethics 110 (3): 345–54.




No comments yet