Tidak, ini bukan mengenai makanan yang lambat sampai apabila anda memesan makanan melalui FoodPanda, GrabFood mahupun ketika anda berada di restoran. Slow Food bukanlah ditafsirkan secara literal iaitu makanan yang lambat. Artikel akan menerangkan kepada anda serba sedikit mengenai Slow Food, mengenali apa itu Slow Food, dan organisasi yang bertanggungjawab di sebalik pergerakan Slow Food serta impak yang dibawa melalui Slow Food ini.

Apa Itu Slow Food?

Slow Food sebenarnya merupakan sebuah organisasi yang bertunjangkan kepada objektif yang komited dalam melindungi dan memelihara makanan tradisi, menggalakkan penanaman tumbuh-tumbuhan bagi menjamin kestabilan ekosistem,  mempromosikan makanan berkualiti, bahan-bahan yang segar serta melindungi kaedah pemprosesan asli. Idea penubuhan organisasi Slow Food ini telah dicetuskan oleh seorang aktivis makanan, Carlo Petrini, pada tahun 1986, di sebuah bandar kecil di bahagian utara Itali, iaitu bandar Bra.

Asal penubuhannya adalah bermula dengan reaksi terhadap kemunculan pertama makanan segera (fast food), iaitu restoran McDonald di Rome, Itali, namun, ia bukanlah sekadar penentangan terhadap makanan segera tersebut, tetapi, ia adalah reaksi terhadap keseluruhan budaya pengambilan makanan segera itu. Manifesto bagi Slow Food ini adalah untuk menghalang ‘virus segera’ dan mengurangkan populariti makanan yang hanya bersandarkan kepada keuntungan semata-mata tanpa memikirkan kualiti serta nilai tradisi.

Pada asalnya, penubuhan Slow Food ini adalah sebagai sebuah organisasi yang memfokuskan kepada ‘eno-gastronomic’ iaitu  wain dan makanan, sebelum ia beransur-ansur berubah menjadi sebuah organisasi yang mempertahankan makanan yang bagus dan mempunyai nilai tradisi, menghargai keseronokan dalam gastronomi serta gaya hidup yang lebih perlahan (eco-gastronomy dan neo-gastronomy). Kini objektif bagi penubuhan organisasi Slow Food ini lebih bertumpu kepada menggunakan gastronomi sebagai suatu kaedah pendidikan melalui kepelbagaian pendekatan terhadap bidang makanan.

Slow Food ini juga bertanggungjawab dalam melindungi nilai-nilai sejarah, artistik serta sosial daripada sesuatu jenis makanan warisan, dan mengakui nilai sejarah dan kebudayaan tersebut sebagai salah satu cara dalam interaksi antara kumpulan atau negara yang berbeza. Ia juga merupakan sebuah organisasi yang ditubuhkan sebagai suatu alternatif untuk menandingi kebejatan fast food yang terkenal dalam kalangan golongan muda.

Secara rasminya, Slow Food ini telah menjadi sebuah organisasi antarabangsa pada tahun 1989. Pada hari ini, jumlah ahlinya telah mencecah lebih 85,000 orang dalam 1,000 convivia di dalam 132 buah negara. Convivia (yang disebut sebagai condotte di Itali) merupakan unit-unit asas dalam organisasi atau kumpulan tempatan (diuruskan oleh ketua convivium) yang menganjurkan kursus, majlis makan malam, promosi, sesi food tasting dan sebagainya. Secara mudahnya, para ahlinya ini boleh dianggap sebagai fasilitator dalam rangkaian dunia bagi menyampaikan maklumat dan berkongsi pendapat mengenai makanan di dunia.

Negara-Negara Dalam Slow Food

Ahli-ahli bagi organisasi Slow Food ini terdapat dalam lebih kurang 132 buah negara di dunia. Antara negara yang mempunyai convivia tersendiri melalui Slow Food ini ialah Itali yang memiliki jumlah convivia paling banyak iaitu 360 convivia, Jerman yang mempunyai 70 convivia, Perancis dengan 38 convivia, Jepun dengan 45 convivia, Switzerland dengan 16 convivia, United Kingdom memiliki 50 convivia dan Amerika Syarikat dengan 150 convivia.  Malah, di Malaysia sendiri, organisasi ini turut mempunyai convivianya yang tersendiri, iaitu di Penang dan Kedah.

Setiap negara ini mempunyai cawangan bagi organisasi ini di peringkat negara masing-masing. Dan setiap cawangan kebangsaan di negara-negara ini melalui convivia masing-masing akan mengadakan pelbagai aktiviti yang selaras dengan misi dan objektif Slow Food. Antara aktiviti tersebut ialah projek agrobiodiversiti, bengkel food tasting, projek taman sekolah dan banyak lagi.

Siri Aktiviti dan Pergerakan Slow Food

Pada dasarnya, pergerakan Slow Food ini ditubuhkan adalah untuk meningkatkan reputasi makanan tradisi dan makanan sihat dalam kalangan individu dan sekaligus mengurangkan populariti makanan segera dalam pasaran. Salah satu projek utama yang dijalankan oleh Slow Food ini adalah Terra Madre atau Mother Earth yang bertujuan untuk membina rangkaian bagi pengeluar makanan, wakil-wakil dalam komuniti tempatan, ahli akademik serta para belia dalam menghasilkan suatu sistem pengeluaran makanan yang bersih, sihat serta adil di samping mengambil berat nilai-nilai persekitaran di atas muka bumi. Terra Madre ini lebih aktif dalam menyokong pengeluaran kecil dan tempatan.

Apa aktiviti yang telah dijalankan melalui Terra Madre ini? Persidangan pertama bagi Terra Madre telah diadakan pada tahun 2004, bertempat di Turin, Itali. Persidangan ini telah disertai oleh 5,000 orang delegasi dari lebih 130 buah negara.

Acara ini kemudiannya telah diadakan setiap dua tahun sekali, pada musim luruh. Empat rangkaian utama yang bertanggungjawab menjalankan aktiviti melalui Terra Madre ini adalah komuniti makanan (food communities), tukang masak (cooks), universiti serta rangkaian belia (youth network). Peranan bagi empat rangkaian utama ini ialah:

  • Komuniti makanan (food communities)

Komuniti makanan ini terdiri daripada pelbagai individu dalam pelbagai cabang dan profesion yang berkaitan dengan pengeluaran makanan, yang mana ia boleh terdiri daripada tukang masak, petani, peladang dan nelayan. Peranannya adalah untuk mengumpulkan pengetahuan serta pengalaman daripada pelbagai cabang profesion ini bagi mempromosikan pendekatan baru dalam bidang gastronomi dan pengeluaran makanan.

  • Tukang masak (cooks)

Para tukang masak dari seluruh dunia dikumpulkan melalui rangkaian ini bagi mempersembahkan hasil masakan mereka dan setelah melalui perbincangan bersama rangkaian komuniti makanan. Para tukang masak dan chef memperkasakan komuniti makanan melalui sesi dialog dan kerjasama, dan menentang sebarang pengabaian dalam nilai tradisi dan standard bagi sesuatu makanan.

  • Universiti

Rangkaian universiti merupakan rangkaian yang memberi peluang buat ahli akademik dari seluruh universiti di dunia untuk menjalankan kajianserta memberi kesedaran untuk masyarakat tempatan mengenai penghasilan dan pengeluaran makanan, serta aspek-aspek gastronomi.

  • Rangkaian belia (youth network)

Rangkaian ini telah dilancarkan pada tahun 2007, dan ia berperanan penting dalam mempertahankan kebudayaan makanan. Inisiatif bagi rangkaian ini telah dicetuskan oleh para pelajar di sebuah universiti di Amerika Syarikat, dan ia kini disertai oleh para pelajar universiti, aktivis, tukang masak serta pengeluar makanan muda.

Acara-acara Slow Food di seluruh dunia

Pergerakan Slow Food ini dengan sokongan daripada masyarakat tempatan dalam sesebuah negara telah berjaya menganjurkan pelbagai acara dan program di seluruh dunia. Antaranya ialah:

  • A Taste of Slow di Melbourne, Australia – iaitu acara Slow Food yang terbesar di Australia. Merupakan suatu program dua minggu yang terdri daripada kelas, majlis makan malam, perbincangan, filem, forum komuniti serta sesi food tasting bagi hasil pengeluaran makanan terbaik di Australia. Demonstrasi dan forum dikendalikan oleh pakar makanan tempatan dan antarabangsa, chef serta para pengeluar makanan.

  • Taste of the Nation di Latvia – festival satu hari yang diadakan pada penghujung musim panas, dan dianjurkan oleh Convivia Riga. Ia diadakan pada lokasi berbeza pada setiap tahun. Pada hari festival ini, chef dari seluruh negara akan menyediakan masakan tradisional Latvia dan hasil pengeluaran bahan makanan organik akan dipasarkan kepada umum.

  • Slow Food Fair di Stuttgart, Jerman – para pengunjung berpeluang untuk merasa sampel makanan serta membeli produk makanan unik dalam pelbagai jenis. Mereka juga berpeluang untuk bertemu dengan para pengeluar makanan dari Jerman, Austria dan Itali. Ruang pendidikan pula memberi peluang kepada sekolah, dan organisasi untuk memberi cadangan mengenai pembentukan katering organik di sekolah, penerbitan serta aktiviti-aktiviti eco-gastronomic yang lain.

Impak Slow Food

Impak yang dibawa melalui pergerakan Slow Food ini sebenarnya boleh dilihat dari banyak aspek. Pertamanya ialah melalui penghasilan dan pengeluaran bahan makanan, yang mana Slow Food memotivasikan para pengeluar makanan melalui moto baik (good), bersih (clean) dan adil (fair). Berdasarkan aspek ini, ia mampu merangsang para pengeluar makanan, termasuklah para petani untuk mengubah cara penghasilan bahan makanan bagi pasaran.

Dari aspek perniagaan restoran pula, melalui pergerakan Slow Food ini, ia memberi lebih banyak peluang kepada pengusaha untuk memberi perhatian terhadap penghasilan makanan tradisi berbanding makanan segera. Malah, ia juga memberi kelebihan buat para chef dan tukang masak untuk menonjolkan kreativiti mereka melalui proses penyediaan makanan.

Kesimpulan

Pergerakan Slow Food ini boleh dilihat sebagai suatu usaha dalam meningkatkan kefahaman, mengangkat kembali nilai tradisi makanan tempatan serta memelihara seni dalam gastronomi. Ia merupakan suatu rangkaian dan platform bagi semua penggiat dalam bidang makanan, dan gastronomi untuk sama-sama berkumpul dan bekerjasama demi penghasilan serta pengeluaran makanan yang lebih baik untuk generasi akan datang.

RUJUKAN:

Hsu, Eric L. 2015. “The Slow Food Movement and Time Shortage: Beyond the Dichotomy of Fast or Slow.” Journal of Sociology 51 (3): 628–42.

Irving, John. 2016. “Slow Food Pamphlet: Welcome to Our World.” Slow Food. Torino, Itali. http://www.slowfood.com/about_us/img_sito/pdf/Companion08_ENG.pdf.

Simonetti, Luca. 2012. “The Ideology of Slow Food.” Journal of European Studies 42 (2): 168–89.

Tencati, Antonio, and Laszlo, Zsolnai. 2012. “Collaborative Enterprise and Sustainability: The Case of Slow Food.” Journal of Business Ethics 110 (3): 345–54.


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Anak Terengganu yang bercita-cita untuk menjadi food historian, dan memasang impian untuk mengeluarkan buku mengenai kesemua makanan warisan di Malaysia. Telah selesai viva untuk Ijazah Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang Pemakanan dan bakal bergraduat pada akhir tahun nanti. Sukakan muzik, drama dan filem, tetapi nyata rasanya lebih kepada penulisan. Seorang ghostwriter, penyunting dan penterjemah sambilan. Bidang penulisan yang diminati; pemakanan, sains makanan, gastronomi, sejarah dan eksplorasi karya (drama dan filem).

Comments are closed.