560 km dari kota Kaherah, terdapat satu oasis terpencil iaitu Siwa pernah menjadi tumpuan para pemerintah sekitar Mediterranean. Ia menjadi tumpuan kerana di sinilah terletaknya seorang peramal yang didakwa mampu meramal nasib cita-cita politik dan ketenteraan mereka. Salah seorang yang percaya ialah penakluk terkenal Alexander the Great.

Bagi para pemerintah ini, sekiranya mereka mahu mendapatkan nasihat si peramal, maka mereka perlu bertandang ke sebuah kuil yang didedikasikan kepada Amun-Ra. Kuil era Mesir Purba ini didirikan sekitar abad kelapan dan ketujuh SM.

Kuil Amun-Ra di Siwa.

Si peramal walaupun tidak semasyhur peramal seperti Delphi di Athens, punya pengetahuan yang menjadi buruan para pemerintah dalam merencana gerakan mereka yang seterusnya. Satu lagi hakikat ialah peramal di Siwa tidak mudah diberi makan suap. Bila diberitahu apa hajat, mereka akan menyatakan kesudahannya walaupun sesetengah jawapan tidak disukai oleh si pendengar.

Antara individu yang beraspirasi sedemikian selain Alexander ialah putera Cyrus the Great, Cambyses. Cambyses yang pada ketika itu mengetuai kempen penaklukan Mesir pada 535 SM melawat Siwa dengan harapan si peramal dapat memberi restu kepada cita-citanya itu. Bagaimanapun, hasrat baginda ditolak oleh si peramal.

Murka dengan penolakan tersebut, Cambyses menggerakkan 50,000 orang tenteranya dari Luxor ke Siwa dengan tujuan memusnahkan oasis tersebut. Mengikut catatan Herodotus, hampir semua askar baginda hilang atau mati semasa dalam perjalanan ke Siwa. Tidak mustahil faktor haba dan ribut pasir boleh menjadi penyumbang kepada kemusnahan angkatan Cambyses.

Jangan lupa dapatkan buku terbaru terbitan The Patriots, GENESIS II di webstore kami: bit.ly/GenesisIIZamir

Cambyses bukan satu-satunya pemerintah yang cuba merasuah atau mengugut peramal Siwa. Jeneral berdarah Sparta, Lysander juga berusaha melakukan perkara sama tetapi gagal. Bahkan, perilakunya dilaporkan kepada Sparta sekaligus mengakibatkan beliau kemudiannya dihukum mati.

Jadi, mengapa Firaun Mesir Purba tidak mengunjungi Siwa? Satu faktor yang mempengaruhi keputusan mereka ialah jarak. Jika dibandingkan dengan pusat-pusat keagamaan Mesir Purba seperti Memphis dan Luxor, kebanyakannya terletak di kawasan tebing Sungai Nil. Dengan oasis ini terletak dalam kawasan Gurun Sahara, perjalanan ke situ dianggap tidak berbaloi.

Melihat musibah yang menimpa Cambyses dan Lysander, maka Alexander tahu satu-satunya cara meraih penghormatan si peramal di Siwa ialah bertandang sendiri ke sana tanpa pasukan tentera pengiring. Dan itu yang dilakukannya pada 331 SM. Di Memphis, Alexander diiktiraf sebagai Firaun oleh para pendeta Mesir Purba. Tetapi di Siwa, baginda diangkat sebagai dewa – satu pengiktirafan yang amat penting bagi masyarakat Mesir Purba.

Alexander the Great diangkat sebagai dewa oleh peramal Siwa – pengiktirafan yang mengukuhkan kekuasaannya di Mesir.

Bagi menawan hati orang Mesir Purba termasuk di Siwa, persembahan korban dan dedikasi dipersembahkan khas untuk Amun di Acropolis pada abad keempat SM. Malah, usah terkejut jika melihat kuil-kuil yang didedikasikan kepada Amun wujud di Greece.

Semua ini dibuat Alexander selepas mengingati pesanan gurunya dan polimath terkenal, Aristotle. Aristotle mengingatkan bahawa budaya orang Mesir Purba lebih sofistikated berbanding orang Yunani dan agama termasuk ritual didahulu oleh mereka. Disebabkan kepentingan Siwa, ada ahli arkeologi berpandangan tempat persemadian sebenar Alexander bukan di Memphis tetapi di Siwa.

Penduduk Siwa, kebanyakannya berdarah Barbar terus mengamalkan cara hidup dan agama mereka. Pengislaman mereka hanya berlaku pada abad ke-12 semasa era Fatimiyah. Disebabkan serangan oleh puak-puak Badwi, bahagian lama Siwa iaitu Aghurmi ditinggalkan. Penduduk yang memilih untuk berhijrah membuka satu petempatan baru yang dipanggil Shali.

Menjelang abad ke-19, Mesir yang ditadbir Turki Uthmaniyyah dan Dinasti Muhammad Ali memasukkan Siwa sebagai sebahagian daripada wilayah yang ditadbir mereka. Bagaimanapun, ini juga membawa ketidakstabilan berikutan tindakan penduduk yang enggan membayar cukai dan pertelagahan sesama mereka.

Raja Abbas II merupakan Raja Mesir pertama yang melawat Siwa pada 1904. Keberangkatan baginda disambut baik oleh penduduk tempatan lebih-lebih lagi atas jasanya menambahbaik sistem pengurusan air dan pengairan kawasan berkenaan. Abbas II berharap ia dapat dikembangkan lagi tetapi ia terbantut akibat Perang Dunia Pertama (WWI).

Jangan lupa dapatkan buku terbaru terbitan The Patriots, KITAB TAMADUN CINA di webstore kami: https://bit.ly/KTCAyman

Semasa WWI, Siwa menjadi medan pertembungan dua pihak iaitu Turki Uthmaniyah dan Britain. Pihak Uthmaniyah melindungi pemimpin kumpulan Sanusi yang terlibat dalam kempen mereka menentang Itali di Libya. Kumpulan Sanusi berlindung di Siwa dengan sebahagian penduduk memilih menyokong mereka. Menjelang 1917, Siwa kembali dalam kawalan pihak Mesir yang dilindungi Britain.

Selepas Mesir mendapat sebahagian kemerdekaannya pada 1922, penguasaan Siwa ditingkatkan menerusi lawatan simbolik Raja Fuad pada 1928. Tinggal di sana selama sehari, baginda berusaha mempromosikan pemodenan kepada penduduk tempatan. Ini termasuk membina sebuah masjid baru, sebuah sekolah dan menambahbaik teknik pertanian bagi meningkatkan hasil tanaman penduduk.

Bagi meningkatkan kefahaman Islam dalam kalangan penduduk, Fuad turut melantik seorang cendekiawan agama sebagai tenaga pengajar dan imam selepas masjid di Siwa siap. Langkah ini dibuat selepas baginda mendapat tahu wujud aktiviti tidak bermoral sesama jantina wujud di kawasan berkenaan.

Semasa Perang Dunia Kedua (WWII), Siwa pernah disinggahi oleh seorang jeneral terkenal bernama Erwin Rommel pada September 1942. Beberapa bulan sebelumnya, ia dikuasai oleh Britain sebelum diusir oleh Itali dengan sokongan Afrika Korp – unit tentera Jerman yang diketuai Rommel.

Erwin Rommel pernah berada seketika di Siwa pada September 1942.

Di sinilah, beliau memberitahu seorang pegawainya bernama Hans von Luck bahawa kempen Axis di Afrika Utara sudah berakhir. Telahan Rommel menjadi kenyataan sebulan kemudian menerusi kekalahan mereka di El Alamein. Pihak Itali yang berkubu di Siwa terpaksa berundur tiga bulan selepas itu.

Lebih 40 tahun kemudian, jalan tar akhirnya menghubungkan Siwa dengan bandar terdekatnya Marsa Matruh. Ini membawa kepada kehadiran pelancong yang teruja melihat oasis ini. Mengikut statistik pada 2011, Siwa menerima kira-kira 20,000 pelancong setiap tahun.

Hari ini, cabaran terbesar Mesir dan Siwa ialah bagaimana memelihara warisan budaya tempatan sambil menjana pendapatan untuk penduduk setempat. Ia merupakan satu cabaran terutama pada era pasca-pandemik Covid-19 dan inflasi yang dicetuskan akibat konflik Ukraine-Rusia.

Nota kaki

Axis – pakatan ketenteraan yang dibentuk membabitkan Jerman, Itali dan Jepun semasa WWII.

makan suap – simpulan bahasa yang bermaksud menerima rasuah

RUJUKAN

Abdessamad, F. (2022, 25 Mac). The Oracle of Siwa: How a remote oasis in Egypt drew history’s most powerful men. Middle East Eye.


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Graduan Bachelor of Business Admin (Human Resource) dari UNITAR yang meminati sejarah sejak 11 tahun. Ketika ini merupakan saudagar simkad Tone Excel. Harapan terbesar ialah melihat saudara seagama dan sebangsa kembali bersatu di bawah satu panji dan terus maju bersama. Tanpa perpaduan, manusia tidak akan ke mana-mana, malah tidak akan dapat membina sebuah tamadun yang gemilang seperti mana yang dilakukan oleh nenek moyang kita yang lepas. Dan sejarah adalah saksi bahawasanya perpaduan kunci penting dalam membina sebuah tamadun yang gemilang.

Leave A Reply