Ranah Minang menyaksikan pelbagai kisah penentangan terhadap penjajah kolonial Belanda. Daripada Tuanku Imam Bonjol dan Tuanku Rao hinggalah kepada nama-nama pejuang besar zaman moden lainnya seperti Rasuna Said dan Buya Hamka, penentangan ini tidak pernah berhenti walaupun sedetik.

Di Kabupaten Agam, lahir seorang tokoh pejuang yang jarang didendang; beliau ialah Siti Manggopoh yang mendapat jolokan “singa batina dari Minangkabau” atau “singa betina Manggopoh”. Lahir di Manggopoh, Lubuk Basung pada bulan Mei 1880, beliau berkahwin dengan Rasyid Bagindo Magek dan dikurniakan dua orang cahaya mata.

Sebagai satu-satunya anak perempuan dalam keluarga, Siti Manggopoh sering terikut-ikut akan jejak abang-abangnya seperti bersilat dan ke surau. Mungkin pergaulan kasar seperti lelaki telah membentuk peribadi beliau yang tidak berasa rendah diri jika berada dalam kalangan lelaki.

Seperti kebanyakan kisah pejuang kemerdekaan lainnya, Siti Manggopoh bukanlah lahir atau digilap bakatnya untuk menjadi seorang pemimpin gerakan menentang penjajah Belanda. Segalanya bermula kerana keterpaksaan; keterpaksaan yang hadir daripada dasar penjajah yang menekan kehidupan warga pribumi Minang.

Sistem pajak yang dikenali sebagai “belasting” menjadi punca utama penentangan Siti Manggopoh. Pajak belasting memaksa warga Minang membayar cukai pendapatan setahun yang dikumpul oleh mereka. Pajak ini adalah cukai tambahan kepada beberapa cukai yang sudah sedia ada seperti “pajak uang rodi”, “pajak jaga” dan beberapa cukai lainnya.

Perasaan tidak puas hati terhadap penjajah Belanda semakin hari semakin menebal. Siti Manggopoh dan suaminya mula mengumpul pelbagai jenis senjata seperti keris dan golok yang dipanggil ladiang dan rudus buat pemberontakan berdarah yang pasti akan terjadi tidak lama lagi.

Pada waktu yang sama, Siti Manggopoh menjadi mata-mata gerakan pemberontakan ini dengan menyamar sebagai gadis kampung dan keluar masuk pos Belanda sesuka hatinya sembari mengumpul segala maklumat penting seperti jumlah soldadu Belanda dan kedudukan aset-aset penting penjajah di dalam kubu tersebut.

Sebelum serangan dilakukan, Siti Manggopoh dan suami mengadakan pertemuan dengan orang-orang besar Minang untuk mendapat restu dan buah fikiran mereka. Setelah itu, Siti, suami dan 15 orang lainnya bergerak menuju ke kubu pertahanan Belanda yang hingga kini tidak sedar malapetaka yang bakal menimpa mereka.

Pada malam yang hening itu, Siti Manggopoh, dengan kelewang tajam di tangannya, berserta dengan suami dan 15 orang pengikut lainnya telah mengepung kubu Belanda tersebut dan menyerang hendap kubu itu. Seramai 55 orang tentera Belanda yang berkubu di situ telah menemui ajal mereka.

Namun, nasib tidak menyebelahi Siti Manggopoh apabila gerombolan penentang beliau telah ditangkap tidak berapa lama selepas serangan beliau ke atas kubu Belanda. Pihak Belanda agak terkejut kerana mendapati gerombolan penentang ini punya seorang wirawati. Siti Manggopoh dipenjara selama 14 bulan di Lubuk Basung sebelum dipindahkan ke sebuah penjara di Pariaman dan ditahan pula di sana selama 16 bulan.

Akhirnya, beliau dipindahkan buat kali terakhir ke penjara utama di kota Padang. Di sini beliau ditahan selama 12 bulan sebelum dibicarakan dan didapati bersalah oleh mahkamah yang diurus sepenuhnya oleh kolonialis Belanda. 4 tahun penjara adalah hukuman yang dijatuhkan dan di Padang beliau menghabiskan sisa penahanan tersebut.

Sebelum terbitnya kisah Siti Manggopoh, hampir tiada ceritera wirawati Minang yang mengepalai sebarang penentangan terhadap Belanda. Siti Manggopoh bukan sekadar kisah seorang ibu yang amat menyayangi anaknya, bukan sekadar kisah seorang isteri yang patuh kepada suaminya,

Siti Manggopoh adalah simbol perjuangan marhaen menentang ketidakadilan, menentang opresi yang menekan keras dan simbol kebangkitan rakyat yang sudah jemu dipijak, diludah dan ditores eksistensinya.

RUJUKAN:

1.    Perempuan Memberontak: Perlawanan Perempuan Minangkabau Terhadap Kolonialisme Belanda Di Sumatera Barat 1908 – 1942, Dedi Arsa, 2017, STKIP Abdi Pendidikan Payakumbuh, Indonesia

2. Perempuan Dan Politik Dalam Islam, Z. Subhan, 2004, PT LKiS Pelangi Aksara


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Seorang pengembara warisan yang fokus kepada tinggalan sejarah dan budaya setempat. Gemar membaca dan menulis itu cara beliau mengekspresi diri dan dunia marcapada

Comments are closed.