Sejarah membuktikan bahawa wakaf memainkan peranan yang amat penting dalam pembangunan ekonomi sesebuah negara. Wakaf telah menjadi alat agihan semula kekayaan bagi mencapai pembangunan ekonomi dalam konteks menyeluruh sehingga memberi impak besar kepada masyarakat dan negara. Ini kerana wakaf telah memainkan peranan untuk menyediakan pendidikan, pusat kesihatan, tempat ibadat serta menyediakan kemudahan jalan raya, jambatan dan sebagainya. Dan ini secara tidak langsung membantu menambahbaik taraf kehidupan rakyat sesebuah negara.
Kita tak perlu lihat jauh, mari kita renungi pembabitan Uthman bin Affan r.a dalam soal pewakafan telaga Rummah. Sebelum pembelian telaga tersebut, warga Madinah ketika itu terpaksa membayar harga mahal dengan seorang Yahudi semata-mata untuk mendapatkan satu-satunya sumber air bersih pada ketika itu berikutan musim kemarau. Tindakan sahabat Nabi yang berketurunan Bani Umayyah itu bukan saja menyebabkan beliau mendapat ganjaran syurga seperti dijanjikan Rasulullah s.a.w. Malah, ia sebenarnya membantu meringankan beban masyarakat yang dibelenggu masalah air ketika itu.
Semasa pemerintahan Bani Abbasiyah atau lebih tepat era Khalifah Harun Ar-Rashid, permaisuri baginda Zubaidah binti Jaafar membelanjakan wang yang bukan sedikit untuk tujuan wakaf terutama membabitkan urusan jemaah haji. Antara projek yang dijalankan baginda bagi kemudahan jemaah haji ialah sebuah terusan dari Iraq ke Makkah untuk membekalkan air kepada jemaah, sebuah lebuh raya yang menghubungkan Makkah dengan Baghdad dan sebuah mata air yang digelar Perigi Zubaidah. Menurut Ibnu Battuta, semua tadahan, kolam atau perigi pada laluan Makkah-Baghdad direalisasikan menerusi projek yang dijalankan baginda.
Menurut Murat Cizakca, wakaf wang yang dilaksanakan semasa zaman Kerajaan Uthmaniyyah pula banyak membantu dalam menyediakan pelbagai aktiviti pembangunan ekonomi dan bermanfaat kepada masyarakat seperti kemudahan pendidikan, kesihatan dan kebajikan. Wakaf wang dilaksanakan dengan cara wang yang diwakafkan tersebut dilaburkan dan hasil keuntungan dibelanjakan untuk benefisiari wakaf. Ini bermakna modal asal wang wakaf kekal dan tidak berkurangan. Ini dibuktikan pada tahun 1513 apabila El-Hac Sulayman El-Hac mewakafkan wang sebanyak 70,000 dirham. 30,000 dirham perak diwakafkan bagi pembinaan sekolah sementara bakinya dijadikan modal pelaburan berbentuk pinjaman. Mana-mana pihak yang meminjam dengannya memeterai kontrak murabahah dengan pulangan keuntungan sebanyak 10% setahun. Hasil keuntungan akan dibelanjakan mengikut beberapa kelas:
- a) tiga dirham diperuntukkan untuk gaji guru sekolah.
- b) satu dirham kepada para pembantu.
- c) satu dirham kepada para hafiz Al-Quran.
- d) dua dirham untuk nazir wakaf.
Kebanyakan hasil laba wakaf wang semasa era Turki Uthmaniyah digunakan untuk perbelanjaan pentadbiran wakaf, pendidikan, makanan, keluarga pewakaf, institusi keadilan, perbelanjaan dan penyeleggaraan harta wakaf, masjid, sewa, keagamaan, sosial, cukai dan nazir wakaf.
Wakaf terus memainkan peranan dalam pembangunan ekonomi di seluruh dunia. Di Singapura misalnya, seramai 170,000 pekerja beragama Islam membuat caruman antara $2 hingga $11.50 sebulan dengan menggunakan mekanisme Tabung Simpanan Pekerja (CPF). Hasil caruman menyaksikan pengumpulan dana sebanyak $6 juta setiap tahun. Selain wakaf wang, terdapat 100 wakaf berdaftar di Singapura. Hasil dari perolehan harta wakaf diagihkan untuk masjid, madrasah, kebajikan, pengebumian, orang miskin dan lain-lain.
Sementara di United Kingdom pula, pertubuhan Islamic Relief telah memperkenalkan beberapa bentuk wakaf untuk membantu umat Islam di seluruh dunia iaitu wakaf air dan sanitasi, wakaf korban, wakaf kesihatan, wakaf pendidikan, wakaf anak yatim, wakaf bantuan kecemasan, wakaf pendapatan bergenerasi dan wakaf dana masa hadapan. Antara pihak yang mendapat manfaat dari pelbagai projek wakaf ini ialah kanak-kanak Palestin, mangsa perang di Bosnia, rakyat miskin di Bangladesh, Mali, Sudan dan seumpamanya.
Sementara di Kuwait pula, telah ditubuhkan Yayasan Wakaf Am Kuwait atau Kuwait Awqaf Public Foundation (KAPF) pada tahun 1993 yang mempunyai tujuan khusus untuk wakaf dan pembangunan projek-projek wakaf untuk masyarakat. Projek-projek yang dijalankan oleh KAPF telah memberi faedah yang berkesan kepada masyarakat. Antara projek yang dijalankan ialah memberi bantuan kewangan kepada pelajar miskin dan memberi bantuan kepada Pusat Autistik Kuwait. Aktiviti-aktiviti amal lain yang dilakukan oleh KAPF yang mematuhi syarat-syarat waqif ialah penyediaan minuman percuma di tempat awam, memberi bantuan makanan kepada orang susah, memberi bantuan pakaian kepada keluarga yang susah, menyediakan makanan di bulan Ramadan untuk keluarga yang susah dan memerlukan dan lain-lain lagi.
Di Malaysia, usahlah memandang enteng sumbangan wakaf terutama dalam bidang pendidikan. Ini kerana sumbangan institusi ini kepada bidang pendidikan terutama pendidikan agama amat penting. Institusi wakaf pendidikan di Malaysia bermula dengan institusi pengajian pondok, diikuti sistem pengajian madrasah atau sekolah aliran Arab dan seterusnya setelah merdeka kerajaan mengambil alih institusi pendidikan wakaf ini untuk diurus mengikut persekolahan aliran perdana. Kajian oleh Ahmad Zaki Hj Abd Latiff mendapati bahawa pada masa kini institusi pendidikan wakaf di Malaysia adalah terdiri daripada Sekolah Agama Rakyat (SAR), Sekolah Agama Negeri (SAN), madrasah dan pondok. Sehingga tahun 2005 dianggarkan terdapat sebanyak 174 buah institusi wakaf pendidikan di Malaysia. Di Selangor saja, pembangunan Sekolah Rendah Agama di Pulau Indah dengan menggunakan sebahagian daripada dana saham wakaf sebanyak RM2 juta. Begitu juga dengan Pusat Maklumat Komuniti Siber, MAIS, di Wisma MAIS Seksyen 3, berjumlah RM 350 ribu, serta cadangan projek pembinaan perpustakaan Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor berjumlah RM13.3 juta.
Selain isu pendidikan, wakaf sebenarnya dianggap solusi terbaik berkenaan isu perumahan terutama perumahan kos rendah dan sederhana. Ini memberi peluang kepada kelompok yang tak berkemampuan terutama golongan miskin memiliki rumah. Di Melaka misalnya, Projek Rumah Pangsa Al-Ehsan bernilai RM2.27 juta telah dibangunkan atas Lot. 82 Tengkera, kawasan bandar daerah Melaka Tengah. Projek tersebut dibiayai oleh Tabung Amanah Saham Wakaf dan lebihan wang zakat. Bangunan yang dibina terdiri dari 40 unit kediaman dan 14 unit kedai. Tujuan pembinaannya adalah untuk disewakan kepada golongan miskin dan ibu tunggal. Pelaksanaan projek ini dapat membantu meningkatkan kehidupan keluarga miskin menduduki rumah yang lebih selesa dengan bayaran sewa yang rendah.
Sementara di Pulau Pinang pula, beberapa projek pembangunan tanah wakaf untuk mendirikan kawasan perumahan telah dilaksanakan dan ada juga masih dalam perancangan seperti memanfaatkan tanah wakaf Khan Mohamad, dengan cadangan pembangunan 32 unit rumah pangsa kos sederhana (700 k.p) di atas tanah wakaf Khan Mohamed Lot 303 dan 304, Jalan Perak. Begitu juga projek penyediaan perumahan akan dibangunkan di atas tanah wakaf Masjid Sungai Nibong yang akan didirikan dengan satu blok pangsapuri kos sederhana rendah setinggi 24 tingkat yang mengandungi 152 unit di atas tanah Lot 1093 dan 1094, Mukim 12, daerah barat daya Pulau Pinang. Keluasan unit pangsapuri dianggarkan 700 kaki persegi hingga 740 kaki persegi. Manakala tanah wakaf Majis Alimsah Waley, Lebuh Chulia pula dibangunkan dengan 56 unit premis kediaman.
Siapa sangka, institusi wakaf sebenarnya membuka jalan kepada penawaran kos rawatan kesihatan yang berpatutan dan tidak membebankan para pengguna yang menggunakan khidmat klinik atau hospital wakaf. Buktinya, kerjasama membabitkan syarikat Johor Corporation (JCorp) dengan kerjasama Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAIJ) yang membawa kepada penubuhan Klinik Waqaf An-Nur, sebuah klinik kesihatan berasaskan konsep wakaf. JCorp mewakafkan Lot 85, 86 dan 87, Tingkat 3 Plaza Kotaraya bersebelahan Masjid An-Nur Johor Bahru sebagai tapak klinik dengan kos pembangunan keseluruhan RM500 ribu. Sehingga 2017, terdapat 19 buah rangkaian Klinik Waqaf An-Nur termasuk sebuah Hospital Waqaf An-Nur di Pasir Gudang ditubuhkan. 7 daripadanya di Johor, 2 di Negeri Sembilan, 5 di Selangor, 2 di Sarawak, 1 di Manjoi Perak,1 di Kelantan dan 1 di Seberang Jaya, Pulau Pinang. Selain rangkaian Klinik Waqaf An-Nur, Waqaf An-Nur turut mempunyai lima unit klinik bergerak sumbangan dari Lembaga Zakat Selangor, Wakaf Selangor Muamalat, Yayasan Semesta Berdaftar yang diuruskan oleh KPJ Healthcare Berhad. Penubuhan Klinik Waqaf ini berjaya dilaksanakan dengan adanya kerjasama erat dengan Majlis Agama Islam Negeri-Negeri berkenaan.
Dari segi ekonomi pula, wakaf menggerakkan kegiatan ekonomi setempat dengan menyediakan pusat dan premis perniagaan. Dengan adanya pusat atau premis sebegini, ia sebenarnya menambah potensi ekonomi dalam kalangan masyarakat. Di Selangor, lima unit premis wakaf telah dibeli di Bandar Bukit Puchong menggunakan sumber dari Dana Saham Wakaf Selangor berjumlah RM1.05 juta. Premis perniagaan ini disewakan dan ianya memberi pulangan pendapatan kepada Majlis Agama Islam Selangor untuk dimasukkan ke dalam pendapatan hasil wakaf. Manakala di Johor, hasil dari kutipan saham wakaf digunakan untuk membina sebuah bangunan setinggi enam tingkat di Batu 6½ Tampoi dengan kos RM 4.99 juta yang dimanfaatkan sebagai Pusat Latihan dan Dakwah Saudara Baru dan ruang niaga yang disewakan kepada mereka yang berminat. Malah hasil dari perolehan sewaan bangunan ini digunakan pula untuk penyelenggaraan bangunan yang berkaitan serta untuk kebajikan am seperti pembelian sebuah van. Selain itu ia juga dimanfaatkan untuk pembinaan empat masjid dan madrasah di Kemboja serta pembelian pakaian sembahyang orang miskin di Kemboja.
Tetapi kisah kejayaan utama wakaf korporat tidak sah jika tidak menyebut nama JCorp dan Waqaf An-Nur Corporation Berhad (WANCorp). WANCorp bertindak menguruskan aset dan saham-saham syarikat dalam JCorp yang diwakafkan kepada WANCorp. WANCorp turut menubuhkan sebuah dana skim bernama Waqaf Dana Niaga (WDN) bagi membantu para peniaga kecil yang berhadapan dengan masalah mendapatkan pembiayaan bagi memulakan perniagaan atau mengembangkan perniagaan sedia ada. Waqaf Dana Niaga ini berfungsi memberikan bantuan kewangan tanpa faedah secara mikro kredit kepada para peniaga. WANCorp telah memperuntukkan dana berjumlah RM500,000 untuk program ini dan seramai 400 orang peniaga telah mendapat manfaat daripada Dana Waqaf Niaga.
Selain menyediakan sumber bagi tempat ibadat seperti surau dan masjid, institusi wakaf turut bertanggungjawab menyediakan fasiliti bagi memudahkan sebarang urusan membabitkan agama Islam. Di Selangor, Masjid Tengku Kelana Jaya Petra, Taman Bandaran Kelana Jaya telah dibina melalui Dana Saham Wakaf Selangor sepenuhnya berjumlah RM8 juta. Masjid An-Nur, Kampung Kunci Air Buang, Tanjung Karang telah dibina semula menggunakan sebahagian daripada Saham Wakaf Selangor berjumlah RM 350,000. Di Melaka pula, Projek Balai Cerapan Al-Hilal Tanjung Bidara dengan keluasan satu ekar dibina di atas tanah wakaf di Tanjung Bidara, Melaka. Pengurusan dan pembinaan Projek Balai Cerapan telah dilaksanakan oleh Pejabat Mufti Negeri Melaka. Kerajaan negeri membiayai projek berkenaan dengan kos berjumlah RM2.35 juta. Projek tersebut siap dibina pada akhir tahun 2002 dan mula beroperasi pada tahun 2003. Matlamat pembinaannya ialah untuk memudahkan melihat anak bulan dengan menggunakan teknologi terkini. Selain itu, balai tersebut juga digunakan sebagai tempat perbincangan kakitangan Pejabat Mufti Negeri Melaka.
Institusi wakaf turut memberi sumbangan berguna dalam bidang pertanian. Pada tahun 1994, Kerajaan Johor menerusi kelulusan Majlis Mesyuarat Kerajaan bil. 1342 / 94 bertarikh 28 September 1994 (wakaf irshod) telah mewakafkan tanah seluas 3900 ekar di Mersing. Ladang Wakaf Johor ini dibangunkan menggunakan dana dari saham wakaf dan merupakan projek usaha sama antara Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAIJ) dan Pertubuhan Peladang Negeri Johor (PPNJ) bagi mengusahakan ladang tersebut dengan tanaman sawit dan dijangkakan akan memperoleh hasil pada tahun 2010.
Selain Johor, Terengganu turut menggerakkan usaha saham wakaf dalam bentuk pewakafan pokok dan ladang kelapa sawit. Pewakaf membeli tanah dan pokok kelapa sawit dan kemudiannya mewakafkan pokok dan tanah tersebut untuk digunakan hasilnya kepada anak-anak yatim yang diuruskan di bawah Pertubuhan Kebajikan Anak Yatim (PERKAYA) Terengganu. Hasil dana dari pembelian pokok dan tanah tersebut akan digunakan untuk membayar pinjaman kepada Agro Bank kerana PERKAYA telah meminjam dari institusi perbankan tersebut untuk dijadikan modal penanaman kelapa sawit pada peringkat awalnya. Lebihan dana tersebut akan digunakan untuk perbelanjaan anak-anak yatim, pengurusan PERKAYA dan pengurusan ladang kelapa sawit tersebut. Hasil dari Skim Wakaf Ladang Perkaya ini memberi pulangan sebanyak RM1.3 juta setahun. Malah dengan adanya projek wakaf ladang Perkaya ini menjadikan PERKAYA berdikari dalam menguruskan rumahrumah anak yatimnya di samping sumber yang lain iaitu dari Ladang Sawit Perkaya Sdn. Bhd. (RM1.2 juta setahun), Perkaya Bina Sdn. Bhd., Perkaya Urusniaga Sdn. Bhd., penyewaan Wisma Perkaya serta sumbangan orang ramai (hampir RM30,000 setahun).
Siapa kata institusi wakaf langsung tidak menyumbang kepada pembangunan ekonomi sesebuah negara. Sejarah menyaksikan institusi ini amat berjasa kepada negara-negara Islam sehingga ia ditiru dan dilaksanakan di negara bukan Islam. Nyatalah, institusi ini bukan saja bertindak sebagai ladang pahala berterusan tetapi juga sebagai ejen perubahan masyarakat dalam setiap aspek kehidupan.
SUMBER
Ab Rahman, Asmak. (2009). Universiti Malaya. PERANAN WAKAF DALAM PEMBANGUNAN EKONOMI UMAT ISLAM DAN APLIKASINYA DI MALAYSIA. http://ejum.fsktm.um.edu.my/article/902.pdf
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih