Dalam dunia ketenteraan, pertempuran di udara amat penting bagi menentukan pihak mana yang akan mencapai kemenangan. Terdapat banyak rekod sejarah pertempuran moden yang menyaksikan kemenangan di udara menjadi signal kejayaan di darat. Lihat apa yang berlaku sewaktu serangan Tentera Jepun ke atas Pearl Habour. Habis musnah dan porak-peranda pangkalan Tentera Amerika dibuatnya.

Untuk memastikan pertahanan sesebuah negara itu selamat dan digeruni musuh, penambahbaikan seharusnya tidak berfokus pada aspek serangan sahaja. Malah aspek pertahanan juga harus diberi perhatian yang signifikan. Macam main bola sepak, kalau penyerangnya sehebat Ronaldo dan Messi sekalipun, tapi pertahanan ibarat Smalling dan Jones, maka pasukan itu akan ‘barai’ juga akhirnya. Maka sebab itulah kuasa-kuasa dunia seperti Amerika syarikat, Russia, China dan Perancis berlumba-lumba bagi penghasilan sistem pertahanan udara terbaik di dunia.

Pada 12 Julai 2019, Turki telah mengumumkan bahawa mereka telah membawa masuk sistem pertahanan udara S400 buatan Russia. Turki menjadi negara kedua selepas China, pertama dalam kalangan negara NATO yang mengimport teknologi tersebut. Sistem S400 dianggarkan bernilai USD2.5 Bilion, kira-kira RM10.15 Bilion!

Ramai penganalisis yang terdiri daripada blog ketenteraan mengakui bahawa S400 merupakan sistem pertahanan udara yang terbaik di dunia mengalahkan saingannya iaitu PATRIOT buatan Amerika Syarikat. S400 merupakan sistem yang ditambah baik daripada ‘keluarga’ S300 sebelum ini. Semestinya penambahbaikan yang dilakukan mempunyai ciri-ciri yang tersendiri sehinggakan China yang mempunyai sistem pertahanan mereka sendiri pun menjadi pelanggan pertama terhadap senjata buatan Russia ini.

Oleh itu, mari kita lakukan sedikit perbandingan asas antara S400 (Russia) dengan pesaingnya yang terdekat setakat ini, iaitu PATRIOT (Amerika Syarikat):

  • Radar

S400 dilengkapi dengan pelbagai jenis radar bergantung kepada tahap ancaman yang diterima. Salah satunya 91NGE Big Bird Acquisition & Battle Management Radar. Radar ini mampu mengesan objek sejauh 600km. Russia juga dalam kenyataannya mengatakan radar ini mampu mengesan pesawat siluman (stealth aircraft).

Patriot memiliki radar AN/MPQ-65 dan turut dilengkapi Identification Friend Or Foe (IFF) dan electronic counter-countermeasure. Radar ini mempunyai jarak jauh sepanjang 160km sahaja.

  • Misil

S400 mempunyai 4 jenis misil –

1) Very Long Range 40N6 (400km).
2) Long Range 48N6 (250km).
3) Medium Range 9M96E2 (120km).
4) Short Range 9M96 (40km)

S400 beroperasi secara multiple missile deployment-bermakna kesemua misil akan dilancarkan sekaligus untuk memusnahkan sasaran dengan lebih efektif. Bagi sasaran udara seperti pesawat dan dron, misil mampu menjangkau jarak 400km. Bagi peluru berpandu balistik, ia mampu menjangkau jarak 60km.

PATRIOT pula hanya mempunyai satu sistem misil dikenali sebagai M1M-104F atau panggilan popularnya Pac3 Missile. Bagi sasaran udara, misil mampu menjangkau 160km dan peluru berpandu balistik hanya 30km sahaja.

  • Kelajuan maksimum target

S400 – 4800 meter/saat

PATRIOT – 2200 meter/saat

  • Masa penyediaan

S400 – 5 minit

PATRIOTS – 30 minit

Melalui perbandingan asas ini, kita dapat lihat bahawa S400 adalah lebih baik dengan PATRIOT dengan margin yang cukup besar. Hal ini kerana S400 dapat mengendalikan sasaran yang bergerak pada kelajuan supersonik dan mempunyai jarak jangkauan yang lebih besar- yang tidak mampu dilakukan oleh PATRIOT.  

Kerana itu bagi sesebuah negara yang mahu menaiktaraf sistem pertahanan mereka, S400 merupakan pilihan terbaik berbanding PATRIOT. Sebelum ini kebanyakan negara-negara yang membeli PATRIOT harus juga membawa masuk sistem Terminal High Altitude Area Defense (THAAD). THAAD hanya berfungsi sebagai anti-misil pada altitud tinggi sahaja tetapi tidak berguna untuk memintas sasaran lain seperti jet tempur atau dron. S400 mampu menggabungkan kedua-dua fungsi PATRIOT dan THAAD malah mampu beroperasi dengan lebih hebat lagi.

Turki menerima padah akibat kedegilannya mahu membeli S400 Russia walaupun cuba dihalang beberapa kali oleh Washington. Akibatnya, Turki telah disingkirkan dalam senarai negara yang menyertai program jet tempur F-35 (stealth aircraft). Washington bimbang sekiranya Turki tidak disingkirkan, Ankara akan memberi data dan maklumat program kepada Russia. Namun, Turki sebenarnya tidak rugi dalam hal ini kerana walaupun mereka kehilangan jet F-35, sekurang-kurangnya mereka memiliki sistem pertahanan udara yang mampu memusnahkannya.

Pihak Kremlin mendakwa S400 mampu mengesan pergerakan jet F-35. Namun dakwaaan kemampuan sistem tersebut belum lagi dibuktikan hingga setakat ini. India menjadi pelanggan seterusnya bagi sistem S400 dan keadaan ini pastinya bertitik-tolak daripada ketegangan hubungannya dengan Pakistan.

Russia tidak berhenti daripada menambahbaik sistem pertahanannya dan khabar sedang bertiup kencang bahawa mereka sekarang ini sedang membangunkan S500. Kalau S400 pun sudah sedemikian rupa, entah-entah S500 itu sudah mampu mengesan sebatang pen di udara!

RUJUKAN:

Battle Of The Air Defense Systems: S-400 Vs Patriot And THAAD (2018,August 16). Defenseworld.net. https://www.defenseworld.net/feature/20/Battle_of_the_Air_Defense_Systems__S_400_Vs_Patriot_and_THAAD

5 Most Powerful U.S Jet Fighter on the Planet (2018, July 5). U.S. Military Technology. https://www.youtube.com/watch?v=ixy39S34JOk

10 Best Air Defence Systems In The World (2019, February 27). Incredible Facts. https://www.youtube.com/watch?v=qUFfqAtDb5U

Washington singkir Turki daripada program jet pejuang F-35 (2019, Julai 18). Berita Harian

Arttikel kiriman Haikal Hazwan untuk The Patriots.


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Kemunduran Akibat Pemikiran Terjajah, Yang Mengukuhnya Sombong, Yang Meruntuhnya Ilmu Haikal Hazwan, pemuda yang mempunyai minat mendalam terhadap pengetahuan sejarah dan politik tanah air mahupun antarabangsa. Cita-citanya mahu melihat generasi sezaman dengannya bangga akan kejayaan leluhur. Percaya bahawa ilmu serta niat yang ikhlas sahaja dapat memajukan bangsa dan membina sebuah tamadun yang berdaulat.

Comments are closed.