Salah satu ‘taboo’ yang jarang dibincangkan berkenaan Melayu, ialah sistem perhambaan di Alam Melayu. Benarkah ia wujud? Apa beza sistem perhambaan Melayu dengan hamba di Barat dan zaman kolonial?

Dua rujukan utama artikel ini ialah (rujuk gambar); 1. Ditulis oleh Sherard Osborn, seorang Kapten Tentara Laut DiRaja British yang pernah bertugas di Tanah Melayu. 2. Anthony Reid pula adalah pakar yang terkenal dalam kajian sejarah dan pergelutan kuasa di Asia Tenggara.

Osborn sahkan perhambaan memang telah lama wujud di kalangan Melayu, tapi sangat berbeza dengan perhambaan dua empayar lain iaitu Portugis dan Belanda. Naratif hamba sebagai dagangan komersial hanya bila Portugis tiba, manakala Belanda pula memasyhurkannya sebagai satu industri.

Reid kata sistem perhambaan Belanda dan Portugis amat berbeza dari perhambaan Melayu. Penjajah melihat hamba sebagai komoditi, dikerjakan sampai mati dengan kerja berat manakala hamba di mata seorang tuan Melayu adalah merupakan jalan keluar dari kesusahan dan kesempitan hidup.

Ringkasnya, sistem perhambaan penjajah ialah hubungan ‘master-slave’, manakala sistem perhambaan Alam Melayu ialah ‘patron-client’. Namun, artikel ini tidak pula akan cuba menafikan wujudnya kegiatan perhambaan di Alam Melayu.

Seorang hamba kepada Melayu takkan diperhambakan tanpa sebab. Mereka menjadi hamba untuk membalas budi; kerana diberikan tanggungan lengkap harfiah dan lahiriah; atas makanan, tanah, tempat tinggal, jaminan keselamatan, dikekalkan di dalam lingkup sosial oleh tuan mereka.

Mereka menjadi hamba untuk bayar hutang dan sebagai tebusan diri bila jadi tawanan perang. Hamba ini dibenarkan hidup tanpa belenggu dan tidak pula dikurung apabila mahu. Mereka boleh dibebaskan bila sampai masanya, dan hamba itu pula boleh membeli kebebasan jika mahu.

Bila Portugis dan Belanda datang, diorang ambil kesempatan atas sistem perhambaan Melayu ini, dijadikan alat kolonial mereka. Hamba-hamba yang asal bekerja dengan Melayu dirampas dari tuan mereka dan dikerjakan sehingga mati di ladang lada hitam di tanah jajahan mereka.

Lepas Portugis jajah Melaka, hamba-hamba milik pembesar Melaka dikerah untuk bangunkan A Famosa dan struktur lain di Melaka ketika itu. Mereka bekerja untuk tuan-tuan mereka, macam ‘subkontraktor’ yang bangunkan semula kota Melaka selepas Portugis berjaya menduduki Melaka.

Reid dalam bukunya ni tulis tentang beza hamba dilayan dan digajikan antara zaman Kesultanan Melayu Melaka dan pasca Portugis 1511. Perhatikan bagaimana siap ada istilah hamba awam (milikan istana dan Raja) dan hamba swasta (milikan pedagang dan peniaga) kat Melaka.

Menjadi hamba adalah pilihan yang ada pasca kejatuhan Melaka ke tangan Portugis kerana keperluan kritikal membina semula infrasruktur sementara tunggu pedagang kembali untuk memakmurkan pelabuhan Melaka dengan pelbagai perniagaan dan peluang pekerjaan.

Reid juga merujuk kepada sumber “Del Bocchier” (mungkin Albuquerque) yang cerita pasal gaji hamba yang dikerah membangunkan A Farmosa bekerja untuk membayar hutang masing-masing, serta manfaat sistem ini untuk hamba dan tuan mereka.

Belanda datang dan berikan erti baru kepada ‘industri’ perhambaan ini. Kononnya Belanda merampas Melaka dari Portugis dan mendatangi Nusantara konon untuk bebaskan penduduk asal dan pemilik tanah sebenar dari diperhambakan, padahal ia sekadar propaganda semata-mata.

Belanda melalui VOC kononnya tak iktiraf perhambaan, tetapi mereka melakukannya dengan cara yang sangat licik. Hamba-hamba dirampas dari tuan Melayu, kemudian diserahkan pula kepada tuan-tuan kolonial Belanda untuk dikerah secara paksa di ladang-ladang sehingga mati.

Dengan VOC, Belanda selamat dari dipersalahkan, tapi keuntungan maksima diperolehi kerana ladang-ladang mereka dioperasikan secara tanpa kos buruh. Tak payah bergantung harap kat pemilik hamba lagi pasal VOC sendiri memperdagangkan hamba ini terus untuk kolonial Belanda.

Komoditi hamba juga diperdagangkan secara komersial oleh Portugis, Belanda, British, Perancis, Belgium guna Atlantic Slave Trade. Hamba Afrika dihantar ke ladang kapas Amerika, yang dikerah bekerja di ladang tebu milik Rio, Brazil, dan Havana, Cuba.

Masa koloni penjajah hadir di Kedah, ramai orang Melayu memlih untuk selamat, menjadi hamba untuk kekal hidup. Sama ada terus diburu oleh Siam yang memandang Melayu sebagai pemberontak atau digantung dan dibunuh pula oleh penjajah Eropah kerana dianggap sebagai lanun ataupun melarikan diri dengan mana-mana ‘nicodar prahu’ atau ‘nakhoda perahu’, merelakan diri sendiri dijadikan dagangan dan dijual beli untuk selamat dari semua ini. Industri perhambaan di Tanah Melayu berkembang pesat kerana isu sebegini.

Malangnya, bila perhambaan dipaksa dan disuburkan konglomerat penjajah atas nama perniagaan dan industri, ada yang ambil ke atas hamba-hamba Melayu ini. Mereka diletakkan harga, diperdagangkan serta ditebus atas nilai matawang penjajah. Bila susah, asal boleh jadi duit.

Osborn sendiri melawan naratif Melayu sebagai lanun dan pedagang hamba ni. Dia kata lama sebelum pedagang Eropah tiba, elok je kapal China, India datang berdagang di Kepulauan Melayu dengan aman tanpa gangguan. Bahkan sebelum tu, istilah lanun tak wujud dalam rekod di Jawa.

Ini menjelaskan apa yang diceritakan oleh Abdullah Munshi tentang apa yang dilihatnya sendiri bagaimana hamba dan keluarga hamba ini didagangkan di pasar terbuka di Singapura di dalam magnum opus beliau, ‘Hikayat Abdullah’ (terjemahannya di bawah).

Perang Sangkil 1870 yang kononnya tercetus dek kekejaman perhambaan di Perak sebenarnya bukanlah ‘full fledge war’. Ia kebangkitan suku Semai dan Jahut melawan ‘slave raiders’ dari etnik Rawa Sumatera yang ambil kesempatan menipu dan culik orang asli untuk dijadikan hamba.

British ketika itu melalui EIC menekan sosiobudaya dan ekonomi tempatan. Penjajahan mencambahkan ‘slave raiders’ yang rakus dan tamak dan mengambil kesempatan ke atas Orang Asli yang mendiami hutan-hutan di sekitar Perak. Hamba diculik, diburi dan diperdagangkan.

Dek tidak tahan dipergunakan, orang Asli ini melancarkan siri serangan gerilla ke atas ‘slave raiders’ ini, namun terpaksa berundur ke hutan Pahang diakhirnya bagi menyelamatkan diri pasal lepas terima tentangan, ‘slave raiders’ ini tadi memperhebatkan lagi operasi mereka.

Kisah-kisah inilah pulak yang jadi modal Inggeris bila tiba di Tanah Melayu, kononnya atas dasar melunaskan ‘white man’s burden’, kononnya nak membangunkan masyarakat asal Tanah Melayu yang lebih moden dan bertamadun.

 


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Pensyarah yang minatnya pada sejarah dan warisan Melayu. Membaca kerana hobi dan menulis kembali untuk terus berkongsi.

Comments are closed.