1. Perasan dalam seminggu ini, ada dua artikel lama tentang perhambaan yang menjadi amalan di Alam Melayu tersebar semula.
2. Di dalam artikel tersebut ditulis tentang bagaimana Melayu memperhambakan orang Asli hingga menyebabkan konflik antara keduanya dalam satu peperangan yang dinamakan Perang Sangkil.
3. Ia juga menyebut bahawa JWW Birch dibunuh kerana cuba menghapuskan perhambaan di Perak, terutamanya di Pasir Salak.
4. Ada artikel lain pula memetik tulisan Abdullah Munshi, seorang perawi Melayu tentang hamba Melayu yang dijual di pasar di Singapura.
5. Sebelum artikel ini diteruskan, perlu dijelaskan terlebih dahulu ini bukanlah satu bentuk penafian tentang kewujudan sistem perhambaan di dalam Alam Melayu.
6. Tulisan ini juga tidaklah cuba memaksa pembaca menerima sistem perhambaan sebagai sesuatu yang perlu wujud, sekalipun ia adalah amalan yang normal ketika itu, bukan sahaja di Alam Melayu, malah di seluruh dunia, lebih-lebih oleh empayar-empayar besar dunia ketika itu. Perhambaan adalah perhambaan, tidak kira bagaimana ia dilaksanakan, tetapi di antara banyak amalan perhambaan, wujud perbezaan yang perlu diperjelaskan antaranya bagi membuang aspek ‘taboo’ apabila membicarakan tentang perkara ini.
7. Artikel ini merujuk kepada dua sumber dan sumber sampingan yang didatangkan bersamanya iaitu himpunan jurnal oleh Sherard Osborn, seorang Laksamana Tentara Laut DiRaja British, juga seorang penjelajah yang bertajuk “My Jounal in Malayan Waters, or The Blockade of Quedah” dan “Quedah or Stray Leaves, from a Journal In Malayan Waters”.
8. Di dalam jurnal ini ada memuatkan dapatannya aktiviti perhambaan memang telah lama wujud di kalangan Melayu, dan bagaimana ia berbeza dengan sistem perhambaan dua empayar lain iaitu Portugis dan Belanda.
9. Osborn menyatakan secara jelas bagaimana naratif hamba adalah satu bentuk dagangan komoditi dan komersial sejak Portugis tiba, manakala perhambaan telah dimasyhurkan sebagai satu industri apabila Belanda mendatangi Nusantara.
10. Secara amnya, Osborn cuha menjelaskan bagaimana sistem perhambaan penjajah; Belanda dan Portugis amat berbeza dari sistem perhambaan Melayu di Alam Melayu.
11. Seperti yang telah dijelaskan, sistem perhambaan penjajah melihat hamba sebagai aset dan komoditi semata-mata. Hamba mereka dikerjakan sehingga mati akibat bebanan kerja berat yang dikerah ke atas mereka, manakala hamba di mata seorang tuan Melayu mereka merupakan jalan keluar dari kesusahan dan kesempitan hidup.
12. Manakala seorang hamba kepada Melayu bukanlah dijadikan hamba tanpa sebab. Mereka diperhambakan kerana membalas budi; kerana diberikan tanggungan lengkap harfiah dan lahiriah; atas makanan, tanah, tempat tinggal, jaminan keselamatan, dikekalkan di dalam lingkup sosial oleh tuan mereka.
13. Hamba kepada Melayu juga kerana membayar hutang dan sebagai tebusan dijadikan tawanan perang. Mereka dibenarkan hidup tanpa belenggu dan tidak pula dikurung apabila mahu. Hamba ini boleh dibebaskan bila sampai masanya, dan hamba itu pula boleh membeli kebebasan yang mereka mahu.
14. Portugis dan Belanda kemudian tiba dan mengambil kesempatan di atas wujudnya sistem perhambaan Melayu ini untuk dijadikan alat kolonial mereka. Hamba-hamba yang asalnya bekerja dengan Melayu dirampas dari tuan masing-masing untuk kemudian dikerjakan sehingga mati di ladang lada hitam di tanah jajahan mereka.
15. Usai penjajahan Melaka oleh Portugis, hamba-hamba milik tuan-tuan Melayu dikerah untuk bekerja menegakkan tembok A Farmosa selain membangunkan infrastruktur lain di Melaka ketika itu. Mereka ini bekerja untuk tuan-tuan mereka selaku subkontraktor yang membangunkan semula kota Melaka selepas Portugis berjaya menduduki Melaka.
16. Perkara ini turut diperjelaskan oleh Anthony Reid di dalam bukunya; Southeast Asia in The Early Modern Era: Trade, Power, and Belief yang memetik sumber travelog Francesco Del Bocchier yang mencatatkan kadar bayaran terhadap hamba yang dikerah bekerja membangunkan A Farmosa, serta bagaimana para hamba ini membayar hutang dengan cara bekerja sebagai hamba di Melaka.
17. Sememangnya sekalipun hamba-hamba ini dibayar oleh Portugis ebagaimana mereka dibayar oleh tuan Melayu mereka, bekerja sebagai hamba adalah antara pilihan yang tinggal pasca kejatuhan Melaka ke tangan Portugis kerana keperluan membina semula infrasruktur, juga sementara menunggu pedagang kembali ke Melaka untuk menyuburkan kembali pelabuhan dengan pelbagai perniagaan dan peluang pekerjaan.
18. Belanda pula memberikan erti baru kepada sistem perhambaan ini. Secara rasmi, luarannya Belanda menyatakan bahawa mereka hadir ke Tanah Melayu dan Nusantara kononnya untuk membebaskan kebanyakkannya penduduk asal dan pemilik tanah sebenar di kepulauan jajahan mereka, namun ia lebih kepada propaganda semata-mata.
19. Kerajaan Belanda menyatakan bahawa mereka tidak mengiktiraf perhambaan, tetapi cara mereka melakukannya sangat licik. Hamba-hamba dirampas dari tuan Melayu, kemudian diserahkan pula kepada tuan-tuan kolonial mereka sendiri untuk dikerah secara paksa di ladang-ladang sehingga mati.
20. Dengan cara ini, kerajaan Belanda selamat dari dipersalahkan, namun keuntungan maksima dapat mereka perolehi kerana ladang-ladang mereka dioperasikan secara optimum tanpa kos buruh. Mereka juga tidak perlu bergantung harap kepada pemilik hamba atau tuan-tuan hamba ini lagi kerana mereka sendiri memperdagangkan hamba ini terus untuk para kolonial mereka.
21. Komoditi hamba ini juga dijual beli secara komersial di segenap jajahan koloni mereka dan lain-lain tempat, amalan sama yang dipraktikkan ke atas hamba dari Afrika yang dikerah bekerja di ladang tebu milik kolonial Portugis di Rio De Jeneiro, Brazil, dan kolonial Sepanyol di Havana, Cuba.
22. Di Kedah misalnya, dengan kehadiran koloni penjajah, hamba-hamba Melayu ini sendiri melihat menjadi hamba adalah jalan keluar untuk kekal hidup, kerana mereka sendiri tidak ada banyak pilihan. Sama ada terus diburu dan dimangsakan oleh Siam yang memandang Melayu sebagai pemberontak, digantung dan dibunuh pula oleh penjajah Eropah kerana dianggap sebagai lanun ataupun melarikan diri dengan mana-mana ‘nicodar prahu’ atau ‘nakhoda perahu’ dan merelakan diri sendiri dijual beli untuk selamat dari semua ini. Industri perhambaan di Tanah Melayu berkembang pesat kerana isu sebegini.
23. Apabila dipaksa dan disuburkan oleh penjajah atas nama perniagaan dan industri, hamba-hamba Melayu ini tadi ada juga yang diambil kesempatan oleh penjual hamba dari kalangan Melayu juga untuk diletakkan nilai secara lahiriah, didagangkan serta ditebus atas nilai wang, pastinya matawang penjajah.
24. Ini menjelaskan pula apa yang diceritakan oleh Abdullah Munshi tentang apa yang dilihatnya sendiri bagaimana hamba dan keluarga hamba ini didagangkan di pasar terbuka di Singapura di dalam magnum opus beliau, ‘Hikayat Abdullah’.
25. Imej dan gambaran perspektif tentang dosa kekejaman aktiviti perhambaan Melayu dimomokkan semata-mata bagi melindungi hakikat perhambaan yang penjajah ini sendiri pernah kerahkan ke atas Tanah Melayu dan segenap Nusantara sendiri.
26. Perang Sangkil yang dipetik di dalam sebuah artikel tentang perhambaan di Alam Melayu bukanlah satu bentuk ‘full fledge war’. Ia lebih kepada konflik berterusan antara ‘slave riders’ dari etnik Rawa Sumatera yang hadir mendiami Selatan Perak, di mana mereka cuba mengambil kesempatan ke atas Orang Asli dari suku Semai dan Jahut.
27. Berlaku semasa keberadaan Belanda sebelum ketibaan Inggeris, ia adalah salah satu contoh bagaimana hamba ketika itu dilihat sebagai komoditi yang diburu dan diperdagangkan. Keadaan ekonomi semasa penjajahan Belanda di Nusantara mencambahkan ‘slave riders’ yang lebih tamak dan mengambil kesempatan ke atas Orang Asli yang mendiami hutan-hutan di sekitar Perak.
28. Orang Asli ini melancarkan siri serangan gerilla bagi menangani ancaman ‘slave riders’ ini, namun terpaksa berundur ke hutan Pahang bagi menyelamatkan diri.
29. Kisah-kisah sebeginilah yang dijadikan modal oleh Inggeris pula yang tiba ke Tanah Melayu, kononnya atas dasar melunaskan ‘white man’s burden’ mereka hadir juga kononnya demi membangunkan masyarakat asal Tanah Melayu yang lebih moden dan bertamadun.
30. Benar, salah satu sebab JWW Birch dibunuh adalah kerana salah satunya kerana mahu menghapuskan perhambaan. Namun sebab utama Birch dibunuh adalah kerana kebiadapannya kepada janji asal kepada Sultan, tidak mahu akur kepada adat tradisi Melayu, kuat minum dan keras melayan orang Melayu.
31. Malah hasrat menghapuskan perhambaan di kalangan orang Melayu bukanlah bermakna Inggeris tidak pula mengeksploitasi sistem hamba sedia ada demi kepentingan mereka.
32. Kerana tahu akan kedegilan dan keras kepala Melayu tidak mahu diperhambakan mereka, Inggeris membawa hamba dari segenap pelusuk jajahan empayar mereka; dari India untuk dikerah serta menggaji pula Cina dari Tanah Besar untuk mengerjakan lombong-lombong yang memberi nyawa bijih timah kepada usaha perluasan kuasa empayar British ke seluruh dunia.
33. Atas sebab itu dan demi mengaburi objektif sebenar mereka, timbul naratif Melayu malas dan tidak suka bekerja. Naratif negatif sebegini sama nadanya apabila raksasa putih dari Eropah ini menggunakan istilah lanun bagi memberikan gambaran negatif kepada pelaut-pelaut dengan jong-jong Melayu yang menguasai Selat Melaka dan perairan sekitar Nusantara.
34. Berkenaan istilah lanun, Osborn menyentuh sedikit bagaimana pelayar Melayu dengan kapal mereka ini telah lama ada sebelum kehadiran penjajah. Bagi beliau adalah menghairankan bagaimana begitu banyak sekali kapal-kapal yang keluar masuk membawa hasil dagangan bebas keluar masuk pelabuhan di Melaka dan Singapura hingga memakmurkan Tanah Melayu dan segenap Nusantara sebelum ketibaan Portugis dan Belanda yang cuba menjadi tuan di Tanah Melayu.
35. Pada Osborn, jika aktiviti pelanunan oleh Melayu dan pelaut-pelaut Nusantara menjadikan perairan Nusantara begitu merbahaya, mengapa kapal-kapal dagangan ini tidak pula diganggu, disamun dan dimusnahkam oleh lanun-lanun ini tadi?
36. Jika perairan Nusantara terutamanya laluan Selat Melaka dihurungi lanun, mengapa Melaka, Singapura, Acheh boleh berkembang pesat, hingga Melaka sendiri terkenal sebagai entreport terkemuka tempat singgah dan berkelana pedagang-pedagang seluruh dunia, dengan kapal laut masing-masing, berjual beli dan kembali dengan kaya-raya ke negara asal dengan selamat, hingga mereka kembali semula berdagang di Nusantara?
37. Ia seterusnya membawa kepada pengaruh agama Islam di Nusantara. Osborn menyatakan di dalam jurnalnya bahawa kedatangan Islam ke Nusantara turut memainkan peranan dalam memberi definasi berbeza hamba di dalam Islam.
38. Beliau turut menggambarkan bagaimana sistem hamba di kalangan penduduk Nusantara berada dalam bentuk yang jauh berbeza dari sistem perhambaan bawaan Portugis dan Belanda. Tidak keterlaluan untuk diringkaskan bahawa hubungan tuan Melayu dengan hambanya adalah satu bentuk simbiosis majikan-pekerja, manakala tuan kolonial Eropah ke atas hamba mereka pula adalah satu bentuk paksaan yang keras, satu hubungan penjajah-dijajah yang memeritkan.
39. Malah, Islam menurutnya berkembang lebih pesat dan meluas disegenap Nusantara sejak Portugis menjajah Melaka. Ini kerana ramai yang meyedari perbezaan layanan Portugis menjolok agama Kristian di dalam diri mereka berbanding cara agama Muhamad (Islam) mendekati diri mereka.
40. Perkembangan pesat pengaruh Islam ini turut dipengaruhi dengan sifat dan sikap penjajah yang menganggap bukan penganut Kristian sebagai pendosa yang sesat yang perlu dihapuskan.
41. Osborn turut memetik sumber Craufurd yang telah menulis lebih awal tentang sistem perhambaan di Alam Melayu. Beliau dipetik dengan mengatakan bahawa; “Walaupun wujud perbezaan di antara hamba dan orang bebas di kalangan orang Melayu, garis antaranya tidaklah begitu ketara. Hamba kepada orang Melayu tidaklah dimiliki secara mutlak; hamba mereka boleh memiliki dan mewarisi harta, membeli semula kebebasannya dan diiktiraf berdasarkan hak-hak tertentu;”
42. By now, we should not make the colonials sounds like the good guys. Their practice of slavery was one of the worst practices in all of history. But with this being said, we should admit and recognized that we Malay do practice slavery, even before colonials came. By now we should know that there are vast differences between traditional Malay slavery and industrialized European slavery.
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih