Cuaca yang kering lagi gersang di lembah yang menempatkan Petra, kota ulung tempat kediaman kaum Nabatea sememangnya menyukarkan dan bahkan memustahilkan sebarang aktiviti bercucuk tanam. Namun, kaum Nabatea bangun menghadapi cabaran tersebut dan menemukan jalan untuk mengumpulkan bekalan air daripada pelbagai sumber dan menyimpannya untuk kelangsungan sepanjang tahun.

Satu kaedah asas yang digunapakai oleh mereka adalah dengan menanam sebatang pokok di tengah-tengah kawasan yang terlebih dahulu telah dibentukkonturkan dan dilengkapkan dengan tarahan-tarahan berbentuk corong atau saliran. Apabila hujan turun, air yang mencurahi pokok berkenaan akan jatuh pada tarahan-saliran itu. Kemudian, ia akan dialirkan ke pusat simpanan dan ditutup dengan sejenis mendapan yang dipanggil sebagai loess.

Tambahan lagi, sistem penyimpanan air ini turut melibatkan beberapa proses yang lain seperti pembinaan akueduk, teres, empangan air, tangki dan takungan. Kaum Nabatea turut tidak tinggal dari menyediakan beberapa metod khusus untuk mengumpulkan air hujan, air banjir, air bawah tanah dan mata air semula jadi.

Baca juga: Kerajaan Nabatea – Tamadun Arab Yang Hilang

Kaum Nabatea mempunyai kefahaman yang sangat mendalam tentang setiap sumber air yang boleh mereka manfaatkan di samping cara terbaik untuk memantau, mengumpul, mengekalkan dan memanfaatkan bekalan air tersebut.

Untuk memastikan keseimbangan kapasiti simpanan air dalam takungan-takungan mereka, kaum Nabatea membina sistem perpaipan untuk mengalirkan air tersebut secara terus-menerus ke kawasan lain. Kefahaman mereka terhadap hidraulik turut membenarkan mereka untuk mencipta sebuah sistem yang mampu memaksimakan kadar pengaliran air dan pada masa yang sama meminimakan kebocoran.

Terdapat juga suatu sistem yang agak rumit dilakukan oleh kaum Nabatea bagi mengumpulkan sumber air dari gunung. Mereka membentuk batu-batuan di gunung berkenaan menjadi belebas supaya dapat dijadikan sebagai takungan awal. Kemudian, mereka memahat batu-batuan di lereng gunung menjadi saliran sekaligus melorongkan air dari takungan tadi supaya masuk ke dalam tangki dan empangan bawah tanah yang telah pun disiapkan lebih awal.

Tidak cukup dengan sistem pengumpulan dan pengaliran air yang begitu canggih, kaum Nabatea turut memiliki sistem penyimpanan air yang amat mengagumkan. Dinding-dinding dan tiang-tiang batu sengaja dibina oleh mereka untuk tujuan meneduhi air yang disimpan di dalam tangki. Hal ini bagi mengekalkan kesejukan air tersebut di samping mengelakkannya daripada tersejat akibat cuaca yang terik.

Tangki-tangki bawah tanah itu turut dilengkapi dengan simen kalis air bagi menghindarkan air yang disimpan itu dari meresap ke dalam tanah. Struktur binaan tangki tersebut sangat hebat sampaikan terdapat beberapa buah tangki yang masih boleh digunakan sehingga ke hari ini.

Kesemua teknologi dan sistem yang begitu canggih ini dirahsiakan daripada pengetahuan pihak luar. Malahan, segala perigi, takungan dan tangki yang mereka bina ini ditutup dan hanya dapat diketahui oleh kelompok mereka sahaja. Dengan demikian, mereka dapat melindungi bekalan air daripada dicuri atau bahkan, kerajaan mereka daripada diserang oleh pihak-pihak yang ingin mendominasi bekalan air tersebut.

Pada zaman dahulu, lebih-lebih lagi di kawasan gersang seperti lembah yang dihuni oleh kaum Nabatea, bekalan air merupakan faktor yang sangat penting – baik untuk kelangsungan sesebuah tamadun ataupun untuk tujuan bercucuk tanam.

Mempunyai bekalan air yang ampuh bermaksud memiliki keupayaan untuk mendominasi sektor agrikultur dan hal ini dimanfaatkan dengan sebaiknya oleh kaum Nabatea. Dengan segala pengetahuan, teknologi dan sistem yang dimiliki oleh kaum Nabatea ini, tidak hairan jika mereka boleh menjadi sebuah empayar perdagangan yang maju di zamannya.

*Untuk melihat lebih banyak gambar boleh akses pautan-pautan sumber yang disertakan

RUJUKAN:

Charles R. Ortloff. (2005). The Water Supply and Distribution System of the Nabatean City of Petra. Cambridge Archaeological Journal.
http://www.bible.ca/archeology/bible-archeology-exodus-kadesh-barnea-petra-water-supply-of-petra-charles-r-ortloff-2005.htm

M R Reese. (10 Oktober 2014). The sophisticated water technologies of the ancient Nabaeans. Ancient Origins.
https://www.ancient-origins.net/ancient-technology/sophisticated-water-technologies-ancient-nabataeans-002193?fbclid=IwAR23r6TVt0qyDc7GyhQFW3n7t_xRFT_HP9ZA0QC5MPcbsJcK7wdB_btFi2k

Nabatea.net. (n.d.). Who were the Nabateans?
http://nabataea.net/who.html Nabatea.net. (n.d.). Water Collection.


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Pencinta bahasa ibunda dan sejarah dunia. Amir Zayyanid merupakan seorang penulis dan penterjemah bebas yang menyimpan impian mahu menabur bakti kepada anak pertiwi menerusi pendokumentasian sebanyak mungkin bahan bacaan, sama ada fiksi mahupun bukan-fiksi.

Comments are closed.