Nama merupakan identiti utama seseorang individu. Nama seseorang boleh menunjukkan etnik, bangsa dan keturunannya. Dalam ketiga-tiga kitab suci agama samawi iaitu Yahudi, Kristian dan Islam, pasangan manusia pertama yang diciptakan Tuhan diberikan nama oleh Tuhan sebagai Adam dan Hawa (Eve). Kemudian anak-anak generasi pertama mereka diberi nama seperti Qabil (Cain), Habil (Abel) dan Syith (Seth) sebagaimana nama dan kisah mereka tercatat dalam Torah, Bible dan Hadith. Dalam kitab suci al-Qur’an, Surah al-Baqarah, ayat 32-33, diceritakan bagaimana Nabi Adam AS diajar oleh Allah SWT setiap nama-nama (al-Asma’) sesuatu benda yang tidak diketahui oleh para malaikat. “Nama-nama” tersebut boleh ditafsirkan sebagai panggilan terhadap sesuatu benda seperti pokok, langit, sungai, haiwan, tumbuhan atau boleh juga ditafsirkan sebagai sifat dan hakikat sesuatu benda (rujuk kitab-kitab tafsir muktabar untuk penjelasan yang lebih sesuai). Oleh itu, jelaslah bahawa nama merupakan perkara utama bagi mengenali identiti seseorang.

Dari segi pengalaman penulis sendiri, sebelum memasuki institusi pengajian tinggi, penulis tidak mengetahui bahawa nama seseorang terutamanya bangsa Eropah dan bangsa Cina mempunyai sistem nama mereka sendiri. Apabila penulis memasuki institusi pengajian tinggi, terutamanya ketika hendak menulis berkenaan senarai sumber rujukan sekunder dan tertier sesebuah tugasan atau tesis, baharulah penulis mengetahui dan belajar berkenaan perkara tersebut.

Secara asasnya, masyarakat Eropah dan Cina khususnya dan kebanyakan nama individu secara global terdiri daripada tiga patah perkataan iaitu nama pertama (first name / given name / forename / Christian name), nama tengah / nama kedua (middle name) dan nama keluarga (last name / surname / family name). Nama pertama ialah nama untuk diri sendiri yang diberikan oleh ibu bapa atau penjaga sejak lahir. Kebiasaannya, nama pertama adalah nama panggilan oleh ibu bapa, saudara mara dan rakan-rakan. Dinamakan nama pertama kerana bagi bangsa Eropah, nama pertama kedudukan nama tersebut di awal nama.

Berbeza dengan bangsa Eropah, bangsa Asia Timur seperti bangsa Cina dan Korea, nama pertama mereka bukan terletak pada awal nama tetapi nama kedua. Sebagai contoh Lee Kuan Yew (Perdana Menteri Singapura yang pertama), nama pertamanya ialah Kuan Yew, Lee adalah nama keluarga. Panggilan formalnya ialah Mr. Lee. Nama pertama bangsa Cina kebiasaanya dua patah perkataan. Menurut kajian, terdapat hampir 8,000 nama keluarga di Republik China. Antara nama keluarga paling ramai diwarisi ialah seperti Li, Wang, Zhang, Liu, Chen, Yang dan Huang. Setiap nama keluarga mempunyai kisah sejarah yang panjang mereka sendiri.

Nama tengah (middle name) adalah nama tambahan bagi nama pertama. Nama tersebut adalah pilihan ibu bapa sama ada hendak meletakkan nama tambahan tersebut pada bayi mereka atau tidak. Kebiasaannya, bangsa Cina tidak memiliki nama kedua. Terdapat juga nama tengah merupakan nama pertama bapa. Sebagai contoh, Shaykh Ahmed Hussien Deedat (Tokoh Sarjana Islam dalam bidang Perbandingan Agama). Ayahnya, bernama Hussien Kazim Deedat, datuknya pula bernama Kazim Deedat dan begitulah seterusnya.

Bagi sesetengah masyarakat Jerman, terdapat juga keluarga yang memberi nama pertama (first name) yang sama kepada semua anak lelaki atau anak perempuan mereka. Misalnya, semua nama pertama anak lelaki mereka ialah Johann atau semua anak perempuan mereka dinamakan Anna. Apa yang membezakan antara mereka ialah nama kedua mereka. Mungkin anak lelaki pertama dinamakan Johann Georg, anak lelaki kedua Johann Jacob dan anak lelaki ketiga dinamakan Johann Michael. Oleh itu, mereka akan dipanggil dengan nama kedua mereka.

Nama keluarga (surname) adalah nama yang diwarisi daripada ibu bapa atau suami isteri. Pemilihan tersebut adalah hak individu. Kebiasaannya, seseorang itu mewarisi nama keluarga bapanya. Walau bagaimanapun, terdapat ramai juga tokoh yang mengambil nama keluarga ibu mereka seperti Putera Phillip (suami kepada Ratu Elizabeth II), Marilyn Monroe (penyanyi Amerika Syarikat) dan Pablo Picasso (pelukis Itali). Kebiasaannya, bagi wanita bangsa Eropah yang baharu berkahwin, nama keluarga wanita (Maiden name) tersebut yang diwarisi daripada bapanya sejak lahir akan bertukar kepada nama keluarga suaminya, tetapi mereka juga boleh mengekalkan nama keluarga mereka. Nama keluarga digunakan dalam situasi formal dan kehormat.

Oleh itu, sekiranya nama penuh seseorang itu ialah John Fitzgerald Kennedy (Presiden Amerika Syarikat ke-35), John adalah nama pertamanya (first name), Fitzgerald adalah nama tengahnya (middle name) dan Kennedy adalah nama keluarganya (surname, last name). Namanya boleh ditulis sebagai John F. Kennedy atau Kennedy, J. F atau gelaran popularnya iaitu JFK. Panggilan formalnya ialah Mr. Kennedy. Isteri dan anak-anaknya juga akan dipanggil dengan gelaran formal iaitu Mrs. Kennedy atau Mr. Kennedy.

Walau bagaimanapun, bagi masyarakat Sepanyol, mereka mempunyai dua nama keluarga yang diwarisi daripada kedua-dua ayah dan ibu mereka. Sebagai contoh, Rafael Nadal Parera (pemain tenis professional Sepanyol). Rafael adalah nama pertamanya (first name), Nadal adalah nama keluarga ayahnya (patronymic surname), manakala Parera adalah nama keluarga ibunya (matronymic surname). Panggilan formalnya ialah Mr. Nadal iaitu nama keluarga ayahnya.

Jika nama keluarga yang paling ramai dikongsi di Republik China ialah Li dan Wang, nama keluarga yang paling ramai di Amerika Syarikat ialah Smith, Khan pula ialah antara nama keluarga yang paling popular di Asia Tengah. Pada asalnya, Khan ialah gelaran bagi para pemerintah bangsa Mongol seperti Genghis Khan, Hulagu Khan dan Kublai Khan. Dalam versi China, nama keluarga Khan disebut Kan, malah terdapat juga versi nama keluarga tersebut dalam rekod Perancis yang disebut Caen atau Caan.

Masyarakat rumpun bangsa Melayu juga mempunyai nama keluarga atau pangkal nama yang diwarisi tetapi cuma keturunan kerabat diraja atau keturunan bangsawan tertentu sahaja seperti Tengku, Teuku, Raja, Ungku, Engku, Ku, Daeng, Raden, Dang, Andi, Megat, Mior, Dayang, Awang, Abang, Wan, Nik, Che, Tuan, Long, Datu dan banyak lagi. Bagi mereka yang berketurunan Ahlul Bayt pula, nama seperti Syed, Sayyid, Syarifah, Habib, al-Jufri, al-Sagof, al-Attas, Jamalullail adalah pangkal nama dan gelaran yang diwarisi. Perkara ini ada dibincangkan dalam artikel penulis yang bertajuk “Ketahuilah Perihal Nenek Moyangmu!” siaran pada 25 Julai 2017. Seperti nama keluarga (surname), pangkal nama keluarga Melayu juga diwarisi daripada keturunan lelaki (bapa).

Bagi masyarakat Melayu, panggilan formal mereka adalah nama pertama mereka sekiranya nama mereka hanya terdiri daripada satu perkataan. Sebagai contoh Mahathir bin Mohamed (Perdana Menteri Malaysia yang keempat). Panggilan formalnya ialah Dr. Mahathir atau Tun Mahathir (didahului dengan pangkat atau gelaran kebesaran atau gelaran akademik jika ada). Sekiranya seorang Melayu memiliki dua atau lebih perkataan pada namanya, maka kebiasaanya akan dipanggil nama keduanya jika namanya diawali dengan Muhammad. Ini kerana Muhammad adalah nama yang paling banyak digunakan oleh umat Islam seluruh dunia. Oleh itu, untuk membezakannya, maka nama kedua akan dipanggil. Sebagai contoh, Mohammad Najib bin Abdul Razak (Perdana Menteri Malaysia keenam), panggilan formalnya ialah Datuk Seri Najib.

Bagi bangsa Arab, mereka mempunyai empat jenis nama gelaran iaitu Kun’yah, Laqob, Nasab dan Nisbah. Kun’yah adalah nama gelaran yang disandarkan kepada nama anak sulung mereka atau sifat mereka atau hobi mereka seperti pangkal nama yang dimulakan dengan “Abu / Abi” (bapa kepada…) atau “Ummu” (ibu kepada….). Semua sahabat Rasulullah SAW mempunyai gelaran kun’yah mereka sendiri berdasarkan nama anak sulung mereka seperti Abu Hafs (‘Umar bin al-Khattab RA, anaknya Ummul Mukminin Hafsah RA), Abu ‘Amru atau Abu ‘Abdullah (‘Uthman bin ‘Affan RA, anaknya ‘Amru dan ‘Abdullah), Abu al-Hassan (‘Ali bin Abi Talib RA, anaknya Hassan RA), Ummul Mukminin Ummu Salamah (Hind binti Abi Umayyah RA, anaknya Salamah RA) dan Ummu Aiman (Barakah binti Tsa’labah RA, anaknya Aiman RA). Rasulullah SAW sendiri mempunyai nama kun’yah yang disandarkan kepada nama anak lelaki sulung baginda yang meninggal dunia ketika kecil iaitu Abu al-Qasim. Abu Talib, bapa saudara baginda digelar sedemikian kerana anak sulungnya bernama Talib, nama sebenar Abu Talib ialah ‘Abdul Manaf. Kun’yah jenis ini adalah gelaran dan panggilan kehormat bagi masyarakat Arab. Oleh sebab itu, ketika zaman pengutusan Rasulullah SAW, tiada seorangpun para sahabat yang akan menamakan anak sulung mereka Qasim kerana secara automatiknya mereka akan digelar Abu al-Qasim, sedangkan gelaran tersebut hanya khusus dimuliakan untuk Rasulullah SAW sepanjang hayat baginda.

Kadang-kala, gelaran kun’yah seseorang boleh disandarkan kepada sesuatu yang diminati. Sebagai contoh, kita tidak akan mengenali sahabat yang bernama ‘Abdullah bin ‘Uthman, kita lebih mengenalinya dengan nama kun’yahnya, Abu Bakar as-Siddiq RA. Kita tidak akan kenal dengan sahabat yang bernama ‘Abdul Rahman bin Sakhar, kita lebih mengenalinya dengan nama kun’yahnya, Abu Hurairah RA. Nama kun’yah kedua-dua orang sahabat tersebut disandarkan kepada nama haiwan (Abu Bakar – Bapa Unta, Abu Hurairah – Bapa Kucing) kerana hobi mereka berdua memelihara haiwan tersebut.

Kun’yah juga boleh disandarkan kepada sifat. Sebagai contoh, Abu Lahab, bapa saudara Rasulullah SAW yang kuat menentang baginda dan para sahabat, nama sebenarnya ialah ‘Abdul ‘Uzza. Beliau digelar “Abu Lahab” (Bapa Percikan Api) disebabkan sifat fizikal kulitnya yang kemerah-merahan. Abu Jahal, sekutu Abu Lahab, digelar “Bapa Kejahilan” (Jahl) disebabkan kejahilan dan keangkuhannya menerima dakwah Islam. Beliau yang nama sebenarnya ‘Amr bin Hisyam pada asalnya digelar Abu Hakam (Bapa Bijaksana) oleh musyrikin Makkah, tetapi disebabkan kejahilannya dan penentangannya yang kuat terhadap pejuangan Rasulullah SAW dan para sahabat, maka beliau lebih dikenali dengan gelaran Abu Jahal.

Jenis nama gelaran yang kedua bagi masyarakat Arab digelar Laqob. Laqob boleh disama maksudkan dengan nama gelaran (nickname). Antara para sahabat Rasulullah SAW yang mempunyai nama laqob seperti Abu Bakar as-Siddiq RA, Umar al-Faruq RA, ‘Uthman Zunnurayn RA dan ‘Ali Karramallahu wajhahu RA. Rasulullah SAW ada memberi gelaran laqob kepada kaum keluarganya yang berbentuk pujian seperti isterinya, Ummul Mukminin ‘Aisyah RA dengan gelarannya “al-Humaira’” (pipi kemerah-merahan), dan puteri baginda, Fatimah RA dengan gelaran “az-Zahrah” (bunga yang mekar).

Semua khalifah kerajaan Bani ‘Abbasiyyah menggunakan nama gelaran laqob seperti as-Saffah, al-Mansur, al-Mahdi, ar-Rasyid, al-Mutawakkil, al-Mu’tasim dan seterusnya. Gelaran ini sama ada dipakai untuk diri sendiri ataupun orang lain yang menggelarkan mereka. Sebagai perbandingan, antara tokoh pemimpin silam lain yang dipakaikan gelaran seperti Alexander The Great (Iskandar Yang Agung), Cyrus The Great (Kurusy Yang Agung), Pepin The Short (Pepin Si Pendek), Richard The Lion Heart (Richard Berhati Singa), Suleiman The Magnificent atau Sulaiman al-Qanuni, (Sulaiman Yang Hebat atau Penggubal Undang-Undang) dan Mehmet atau Muhammad The Conquerer atau al-Fatih (Muhammad Sang Penakluk atau Sang Pembuka).

Laqob juga datang dalam bentuk gelaran kehormat yang diakhiri oleh perkataan “ad-Din” seperti Ghiyathuddin Omar Khayyam (penyair Parsi), Ruknuddin Baybars (Sultan Mamluk), atau perkataan “ad-Daulah” seperti gelaran para pemerintah dinasti Buwayh; Imadu-daulah, ‘Adudu-daulah, atau perkataan “al-Mulk” seperti Nizam al-Mulk (Menteri Saljuk).

Laqob gelaran kehormat ini adalah biasa digunakan oleh para pemerintah Islam termasuklah Raja-Raja Melayu dalam Kesultanan Melayu setelah pertabalan mereka seperti Almarhum al-Mu’tasimu billah Muhibuddin Tuanku Abdul Halim Muadzam Shah (Sultan Kedah ke-28), Sultan Yusuf ‘Izzuddin Shah Ghafarullahulah (Sultan Perak ke-32) dan Sultan Omar Ali Saifuddin Sa’adul Khayri wa ad-Din (Sultan Brunei ke-28).

Nasab pula adalah rangkaian nama salasilah bapa yang dihubungkan dengan perkataan “bin” atau “ibn” (anak lelaki kepada…) dan “binti” (anak perempuan kepada…). Kadang-kala, gelaran seseorang itu boleh disandarkan kepada nama bapanya atau datuknya atau moyangnya tanpa menyebut nama mereka sendiri. Sebagai contoh, nama tokoh-tokoh sarjana Islam seperti Ibnu Sina, Ibnu Rusyd, Ibnu Fadhlan, Ibnu Batutah dan Ibnu Khaldun. Nama sebenar Ibnu Sina ialah al-Hussien bin ‘Abdullah, Sina ialah buyutnya. Nama sebenar Ibnu Rusyd pula ialah Muhammad bin Ahmad, Rusyd adalah datuknya. Mereka mengambil nama gelaran yang disandarkan kepada nenek moyang mereka.

Kadang-kala, gelaran nasab juga boleh digantikan dengan perkataan “Aali – آل” yang bermaksud keluarga. Sebagai contoh Aali Yasir RA (keluarga Yasir bin ‘Ammar RA yang syahid dibunuh) dan Aali Sa’ud (kerabat diraja Kerajaan Arab Saudi). Dalam al-Qur’an sendiri terdapat sebuah surah bernama Aali ‘Imran (keluarga ‘Imran, datuk kepada Nabi Isa AS sebelah ibunya). Keturunan Rasulullah SAW digelar Aalul Bayt atau Ahlul Bayt.

Sistem nama yang menasabkan salasilah lelaki sebelah bapa adalah sistem nama yang digunakan oleh kebanyakan umat Islam di seluruh dunia termasuklah bangsa Melayu di Kepulauan Asia Tenggara. Bagi masyarakat orang asli dan bukan Islam, mereka memakai istilah “anak lelaki (a/l) atau son of (s/o)” atau “anak perempuan atau daughter of (d/o). Kadang-kala, penggunaan perkataan “bin” atau “binti” dihilangkan ketika dalam ucapan dan rekod tidak rasmi seperti Anwar Ibrahim yang pada asalnya Anwar bin Ibrahim (Mantan Timbalan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri). Masyarakat Melayu tidak memiliki nama keluarga yang diwarisi kecuali pangkal nama yang diwarisi oleh keturunan tertentu seperti yang dinyatakan di atas.

Rumpun bangsa Scandinavia seperti Norway, Sweden dan Finland juga mengamalkan sistem nama patronymic iaitu menasabkan salasilah bapa dengan menambah perkataan “-son,” atau “-sen.” Sebagai contoh, jika seorang Scandinavia bernama Eric Larson mempunyai seorang anak lelaki yang dinamakan John, maka nama penuhnya ialah John Ericson. Jika John pula mempunyai anak lelaki yang mahu dinamakan Sven, maka nama penuh anaknya itu ialah Sven Johnson.

Selain diakhiri perkataan tersebut, terdapat juga perkataan lain yang digunakan oleh bangsa lain seperti Russia, Armenia dan Sepanyol yang bermaksud “anak kepada…” seperti “-yan,” “-ov,” “-ev,” “-ovich,” “-evich,” “-ovna,” “-evna” dan “-ez.” Sebagai contoh, nama penuh seorang pemain tenis professional Russia yang bernama Maria Yuryevna Sharapova atau lebih kita kenali sebagai Maria Sharapova. Maria adalah nama pertamanya, Yuri adalah nama bapanya (patronymic), sementara Sharapov adalah nama keluarganya. Apabila nama bapanya digabungkan dengan namanya, maka Yuri akan menjadi Yuryevna yang bermaksud “anak perempuan kepada Yuri.” Contoh lain pula ialah seperti nama Presiden Russia iaitu Vladimir Putin atau nama penuhnya Vladimir Vladimirovich Putin. Disebabkan nama ayahnya juga Vladimir, maka nama tersebut hanya perlu ditambah “-ovich” apabila digabungkan dengan namanya. Panggilan formal mereka berdua ialah nama keluarga mereka iaitu Miss Sharapova dan Mr. Putin. Perhatikan juga nama keluarga mereka, sekiranya jantinanya perempuan, maka penambahan partikel “-a” diakhir perkataan. Oleh itu, sekiranya isteri atau anak perempuan Mr. Putin mengambil nama keluarganya sebagai nama keluarga mereka, maka mereka akan digelar Mrs. atau Miss Putina, sepertimana Mrs. dan Miss Sharapova.

Berbalik kepada jenis nama gelaran bagi bangsa Arab, masyarakat Arab juga mempunyai nama gelaran nisbah yang disandarkan kepada nama moyang, kabilah, tempat lahir, fahaman bahkan pekerjaan keluarga. Gelaran ini dimulakan dengan partikel “al-“. Ramai tokoh Islam lebih dikenali dengan nama nisbahnya berbanding nama sebenarnya. Sebagai contoh, Imam asy-Syafi’e, nama asalnya ialah Muhammad bin Idris bin al-‘Abbas bin ‘Uthman bin Syafi’. Syafi’ adalah buyutnya dan beliau menggunakan nama gelaran yang disandarkan kepada buyutnya itu. Contoh lain, Halimah as-Sa’adiyyah (ibu susuan Rasulullah SAW), gelaran nisbah Sa’adiyyah pada akhir namanya menunjukkan bahawa beliau berketurunan kabilah Bani Sa’ad. Rasulullah SAW sendiri mempunyai gelaran nisbah berdasarkan keturunannya seperti al-‘Adnani, al-Quraisyi dan al-Hashimi. Al-Hashimi adalah gelaran nisbah baginda yang amat dikenali.

Gelaran nisbah juga boleh disandarkan kepada nama tempat seperti al-Majriti (Madrid, Sepanyol), Imam al-Bukhari (Bukhara, Uzbekistan), Imam at-Tirmizi (Tirmiz, Uzbekistan), Shaykh Badi’uzzaman Sa’id Nursi (Nurs, Turki) dan Shaykh Nasiruddin al-Albani (Albania). Ulama’ Melayu silam ramai yang menggunakan gelaran nisbah ini dengan disandarkan kepada tempat kelahiran mereka seperti Shaykh Daud al-Fatani (Pattani, Thailand), Shaykh Abdul Samad al-Falimbani (Palembang, Sumatera), Shaykh Idris al-Marbawi (Lubuk Merbau, Perak), Shaykh Arsyad al-Banjari (Banjarmasin, Kalimantan) dan Shaykh Abdul Rauf al-Bantani (Banten, Jawa).

Gelaran nisbah juga boleh disandarkan kepada kepakaran seseorang seperti Shaykh Tahir Jalaluddin al-Falaki. Beliau digelar al-Falaki kerana kepakarannya dalam bidang falak atau astronomi. Fahaman atau mazhab seseorang juga boleh menjadi gelaran nisbah seperti al-Asya’irah (pengamal akidah Ahlus Sunnah wal Jama’ah), al-Maliki, asy-Syafi’ie (pengikut mazhab feqah ajaran Imam Malik dan Imam asy-Syafi’ie). Pekerjaan keluarga juga boleh dijadikan gelaran nisbah seperti nama Imam al-Ghazali. Nama sebenarnya ialah Muhammad bin Muhammad. Al-Ghazali adalah gelarannya yang kemungkinan disandarkan kepada pekerjaan bapa beliau yang memintal bulu tenunan biri-biri (al-Ghazzal).

Gelaran nisbah juga boleh disandarkan untuk memuliakan mereka kerana kecemerlangan mereka dalam sesuatu perkara seperti gelaran al-Hafiz (Hafiz al-Qur’an), al-Hakim atau al-Muhaddith (menguasai ratusan ribu hadith), Hujjatul Islam (Pendebat Islam) dan Badi’uzzaman (keajaiban zaman).

Kadang-kala, seseorang itu boleh menggabungkan keempat-empat gelaran tersebut seperti Shaykhul Islam al-Hafiz Syihabuddin Abu al-Fadl Ahmad ibni Hajar al-‘Asqalani asy-Syafi’e al-Misri (Imam Ibnu Hajar al-‘Asqalani) atau Muhyiddin Abu Zakaria Yahya ibn Syaraf al-Hizami an-Nawawi asy-Syafi’ie (Imam Nawawi).

Dalam tradisi sesetengah bangsa seperti British, Amerika dan Arab, adalah menjadi satu kebiasaan mereka akan memberi nama anak mereka sama seperti nama mereka atau nama datuk dan nenek moyang mereka sebagai tanda penghormatan. Perulangan nama tersebut boleh berlaku sehingga beberapa generasi. Sebagai contoh, nama sebenar Imam al-Ghazali ialah Muhammad bin Muhammad bin Muhammad bin Ahmad. Kita dapat lihat di sini, sebanyak tiga generasi berturut-turut mempunyai nama yang sama. Contoh yang lain ialah seperti Barrack Obama (Presiden Amerika Syarikat yang ke-44). Ayah beliau juga namanya sama. Untuk membezakannya, maka ayah kepada Presiden Obama digelar Obama Sr. (Senior).

Perulangan nama juga adalah perkara biasa dalam kalangan raja-raja yang memerintah dan kerabat diraja. Untuk membezakan antara mereka, nama rasmi mereka akan diakhiri dengan nombor roman seperti I, II, III, IV, V dan seterusnya. Antara nama rasmi pertabalan Raja British yang sering digunakan sepanjang sejarah pemerintahan beraja British seperti Edward (sehingga Raja Edward VIII “ke-8”) dan George (sehingga Raja George VI “ke-6”).

Dalam sejarah Raja-Raja Melayu juga terdapat beberapa nama rasmi pertabalan sultan yang diulang-ulang seperti dalam Kesultanan Kelantan, nama Muhammad telah digunakan sebanyak lima kali, pada masa kini negeri Kelantan diperintah oleh DYMM Sultan Muhammad ke-5, yang juga sedang menduduki takhta sebagai Yang Dipertuan Agong Persekutuan Malaysia. Dalam sejarah Kesultanan Brunei pula, nama rasmi pertabalan Sultan Omar Ali Saifuddin telah digunakan sebanyak tiga kali.

Nama yang sama mungkin mempunyai pelbagai versi sebutan dan ejaan dalam bahasa lain. Sebagai contoh, nama para nabi dan rasul yang terkandung dalam kitab suci ketiga-tiga agama samawi iaitu Yahudi, Kristian dan Islam. Nama-nama 25 orang para nabi dan rasul yang wajib diketahui di dalam al-Qur’an adalah nama mereka yang telah diarabkan. Sebagaimana dalam artikel penulis yang lalu yang bertajuk “Nabi-Nabi Berbangsa Arab Sahajakah?” siaran 2 Ogos 2017, penulis telah membincangkan bahawa bahawa dalam kalangan 25 orang para nabi dan rasul yang wajib diketahui oleh umat Islam, hanya empat orang sahaja berbangsa Arab dan berbahasa Arab iaitu Nabi Hud AS, Nabi Soleh AS, Nabi Syu’aib AS dan Nabi Muhammad SAW. Selain mereka, adalah daripada kalangan bangsa Bani Israel iaitu daripada Nabi Ya’akub AS dan keturunannya sehingga Nabi ‘Isa AS. Mereka bertutur dalam bahasa ‘Ibrani (Hebrew) atau Siryani. Jadi kemungkinan nama-nama mereka yang asal adalah dalam bahasa tersebut.

Jika kita perhatikan nama-nama para nabi dan rasul di dalam Bible dan al-Qur’an, sebutannya berbeza tetapi merujuk pada individu yang sama seperti Nuh (Noah), Ibrahim (Abraham), Isma’il (Ishmael), Ishak (Isaac), Ya’akub (Jacob), Musa (Moses), Daud (David), Ilyas (Elijah), Yunus (Jonah) dan ‘Isa (Jesus) ‘alaihim solawatu wassalam. Terdapat juga nama latin yang diarabkan seperti Alexander menjadi Iskandar, Aristotle menjadi Aristu, Vandals menjadi Andalus, Heraclius menjadi Harqal dan lain-lain lagi. Ada juga nama Arab yang dilatinkan seperti Ibnu Sina (Avicenna), Ibnu Rusyd (Averroes), al-Ghazali (Algazel), al-Farabi (Alpharabius) dan ramai lagi. Dalam bahasa Turki, Muhammad disebut dan dieja sebagai “Mehmet” seperti nama asal Sultan Mehmet al-Fatih. Di negara-negara Afrika Barat pula, versi nama Muhammad mereka ialah Mamadou.  Sebutan nama berbeza mengikut bahasa dan lidah masyarakat, tetapi merujuk pada individu dan nama yang sama.

Contoh lain ialah seperti nama John yang mempunyai pelbagai versi bahasa, antaranya: Jan (bahasa Belgium, Czech, Denmark, Poland), atau Yahya (bahasa Arab), atau Ivan (bahasa Bulgaria, Russia), atau Yohannan (bahasa Hebrew), atau Juan (bahasa Sepanyol), atau Joao (bahasa Portugis). Versi nama Frank pula ialah seperti Franz (bahasa Jerman) dan Francesco (bahasa Itali). Bagi nama perempuan pula seperti Mary, antara versinya ialah seperti Maryam (bahasa Arab), Maria (bahasa Latin), Miriam (bahasa Hebrew), Marie (bahasa Perancis) dan Marianne (bahasa Jerman).

Kadang-kala, seseorang tokoh itu lebih dikenali dengan nama gelaran kebesaran atau nama pena atau nama pentas atau nama komersialnya seperti Pope Benedict XVI, Parameswara, Mother Teressa, Mahatma Gandhi, Malcolm X, P.Ramlee, Saloma, A.R Badul, Muhammad ‘Ali, The Rock, Dato’ Maharajalela, Tok Janggut, Dato’ Lat dan ramai lagi. Mereka terdiri daripada tokoh agamawan, aktivis sosial, seniman, seniwati, tokoh politik, jaguh sukan dan ramai lagi. Penulis pasti bahawa para pembaca lebih mengenali nama gelaran tersebut berbanding nama sebenar mereka sendiri. Apa yang menariknya, terdapat juga gelaran yang berdasarkan susunan setiap huruf pertama nama mereka seperti Hamka – Haji Abdul Malik bin Haji Abdul Karim Amrullah (Tokoh Ulama’ Melayu Indonesia), begitu juga Za’ba – Zainal Abidin bin Ahmad (Pendeta Bahasa Melayu).

Sebenarnya banyak lagi sistem nama yang berbeza dan rumit mengikut bahasa, masyarakat, tempat dan zaman. Apa yang dibincangkan di atas cuma perkara yang paling asas perlu kita ketahui berkenaan sistem nama yang digunapakai pada zaman moden kini.

Apapun, nama adalah identiti bagi setiap individu. Ketiadaan nama umpama tiada kewujudan. Memilih dan meletakkan nama yang memberi maksud yang baik kepada anak adalah antara tanggungjawab utama ibu bapa dalam langkah pertama mendidik anak-anak. Diharap maksud nama yang baik tersebut mempengaruhi sifat dan keperibadian individu tersebut kerana panggilan nama juga boleh menjadi satu doa.

Para pembaca boleh merujuk sumber rujukan di bawah untuk mendapatkan pemahaman yang lebih mendalam berkenaan sistem nama individu.

Rujukan:

– Smith, E. C., American Surnames, Genealogical Publishing Co. Ltd., 2003.

– Lim, S. K, Origins of Chinese Names, Asiapac Books Pte. Ltd.

– Notzon, B., & Nesom, G., “The Arabic Naming System,” dalam Science Editor, Vol. 28, No. 1, Januari-Februari 2005, hlm. 20-21.

GXEX 1401 Kursus Kemahiran Maklumat, Buku Panduan, Kuala Lumpur: Perpustakaan Universiti Malaya.

– Zayed, A. A. (ed.), L31F04 Library and Information Services, Referencing Manual for IAIS Students, 4 Oktober 2005.

– Przecha, D., “The Importance of Names and Naming Patterns, Why Are Names Important and What Can You Learn From A First Name?” dalam laman web Geneology.com, pautan: http://www.geneology.com/articles/research/35_donna.html., dirujuk pada bulan November 2017.

– Laman web SurnameDB (The Internet Surname Database), pautan: http://www.surnamedb.com, diakses pada bulan November 2017.


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

MA. (Malaya), BUs. (IsHis&Civ)(Malaya)

Leave A Reply