Alam Nusantara, satu alam yang mempunyai pelbagai kisah sejarah, kehidupan dan melahirkan ramai tokoh dalam masyarakat yang sememangnya boleh dijadikan rujukan dan kebanggaan untuk masyarakat akan datang. Salah seorang tokoh yang tidak patut dilupakan adalah tokoh Melayu Nusantara, iaitu Hamka.
Haji Abdul Malek Karim Amrullah, atau nama pendeknya HAMKA merupakan salah seorang ulama, tokoh pemikir, ilmuwan, sejarawan, ahli politik dan pejuang Islam terkenal Nusantara. Dilahirkan di Maninjau, Sumatera Barat, Hamka telah mengarang berpuluh, bahkan ada mendakwa sehingga seratus lebih karya yang menjadi rujukan pelbagai lapisan masyarakat sejak dahulu hingga sekarang.
Sebut sahaja berkenaan Hamka, maka pasti ramai mengenali sosok tubuh penulis tafsir al-Azhar yang ditulis beliau sewaktu dipenjarakan oleh pemerintah Indonesia ketika itu, Sukarno. Namun itu tidak mematahkan semangat beliau untuk terus berjuang dan berdakwah walau ditimpa pelbagai ujian dalam hidupnya. Paling menarik adalah kisah Hamka sendiri yang menjadi imam sewaktu solat jenazah Sukarno atas tanggungjawab sebagai saudara sesama Muslim tanpa mengambil kira prejudis dan dendam terhadap insan yang pernah memenjarakannya.
Namun bukan itu yang ingin diceritakan pada penulisan kali ini. Apa yang ingin dikupas adalah tingginya tahap pemikiran Hamka yang melangkaui batas masa dan keadaan semasa. Hamka pernah menulis berkenaan hak asasi manusia, hubungannya dengan Islam serta kaitannya dengan PBB. Lihat bagaimana seorang manusia yang berfikiran luas dan matang boleh berbincang dan menulis sesuatu isu yang menjadi perbualan hangat manusia beberapa dekad selepas kematiannya.
Penulisan Hamka berkenaan hak asasi manusia berkisar tentang sejarah hak asasi manusia di dunia, bermula dengan Magna Carta, Dasar-dasar Kemerdekaan Manusia Perancis, Deklarasi Amerika Syarikat, dan penceritaan praktikal hak asasi manusia melalui pemerintahan Islam bermula dari Rasulullah SAW dan diikuti oleh para sahabat selaku Khulafa’ al-Rasyidin. Memetik kata-kata daripada Saidina Umar R.A dalam kisah beliau bersama Amru bin al-Asr Gabenor Mesir:
“Mengapa engkau memperhambakan manusia sedangkan mereka telah dilahirkan dalam keadaan merdeka oleh ibu-ibu mereka.”
Hamka menegaskan bahawa beberapa abad sebelum Barat mencanang kepada dunia retorik pembelaan hak asasi yang mereka perjuangkan, agama Islam telah tiba lebih awal (menurut tempoh penulisan Hamka ketika itu, 14 abad) mengangkat darjat manusia kepada satu tahap yang lebih mulia, bertepatan dengan perjuangan hak asasi manusia. Adalah tidak tepat untuk seorang Muslim mengatakan bahawa Islam adalah agama ibadat semata-mata sebagaimana yang pernah dinukilkan oleh beberapa tokoh hermeneutik Muslim seperti Ali Abdurraziq, Thaha Husain, Mansur Fahmi, Nasr Hamid Abu Zaid dan ramai lagi. Pemahaman yang menjadi asas kepada pemikiran liberalism dan sekularisme moden ini adalah tidak benar dan merendahkan agama Islam yang sememangnya merangkumi seluruh cara hidup manusia (way of life).
Diterangkan lagi di dalam penulisan Hamka bahawa bagaimana sejarah dunia menunjukkan praktik perhambaan antara dunia Barat (Rom, Greek dan Inggeris) ke atas jajahan mereka seperti di semenanjung Arab, Syam, Afrika dan Asia memang melanggar hak asasi manusia secara terang-terangan. Namun, kedatangan Islam membuka minda dan pemikiran masyarakat dunia kepada kebebasan daripada perhambaan, kebebasan memiliki akidah dan pegangan hidup yang betul dalam kehidupan. Tokoh-tokoh seperti Arnold Toynbee, Oswald Spengler, Thomas Cerlyle Gustave Le Bon dan ramai lagi mengiktiraf ketokohan dan peranan Nabi Muhammad SAW dalam membuka dimensi baru kepada peradaban dunia selepas ditutupi kegelapan adab dan ilmu sebelum kedatangan Islam, membentuk tamadun dunia dan legasi yang ditinggalkan Baginda SAW melalui kisah sahabat dan pejuang Islam dalam menegakkan agama dan membela hak asasi manusia.
Hamka juga dalam penulisan beliau mengulas bahawa beliau tidak menolak sepenuhnya Deklarasi Hak Asasi Manusia seperti yang diguna pakai oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), akan tetapi beliau merasakan bahawa ada beberapa artikel di dalam deklarasi ini yang terlalu terbuka dan bersifat sekularisme dan liberalism, membuka peluang kepada kerosakan syariat dan akidah jika tidak ditangani dan difahami dengan mendalam melalui tapisan syariat Islam. Hamka membawakan kata-kata daripada H.A. R Gibb, seorang orientalis yang menulis berkenaan Islam yang menyatakan bahawa Islam bukan semata-mata ibadat, bahkan Islam meliputi segala perkara dari politik, pemerintahan, kenegaraan, sosial, ekonomu, kekuasaan, perang dan perdamaian. Dapat dilihat luas dan tinggi tahap liputan agama wahyu Islam ini dalam kehidupan manusia mengatasi minda dan akal manusia yang terbatas.
Hamka mengajak kita supaya bersyukur diberi peluang hidup dengan Islam yang memberi hak asasi manusia sejak berabad-abad yang lalu, dan menuntut pengamalan Islam dijadikan wadah mencapai keredhaan Allah SWT dalam pelbagai perkara seperti pengamalan hak asasi manusia, ibadat dan syariat selari dengan tuntutan Islam. Sememangnya ketokohan Hamka dalam lapangan ilmiah adalah sangat terhebat, dan alam Melayu serta Nusantara sepatutnya lebih mengambil iktibar, contoh dan rujukan daripada tokoh yang pernah dipinjamkan kepada kita ini.
RUJUKAN
a) Haji Abdul Malik Karim Amrullah. 1968. Hak Asasi Manusia dipandang dari segi Islam
b) Haji Abdul Malik Karim Amrullah. 2005. Hak Asasi Manusia dalam Islam & Deklarasi PBB
c) Haji Abdul Malik Karim Amrullah. 2007. Falsafah Hidup.
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih