Mesti masyarakat menjadi keliru dalam bab boleh atau tidak untuk menziarahi Masjidil Aqsa buat masa sekarang kan? Ada golongan yang merujuk fatwa ulama tertentu bagi menghalang umat Islam menziarahi Masjidil Aqsa. Ada pula golongan yang merujuk fatwa ulama lain dimana mereka membenarkan penziarahan itu dilakukan. Sebenarnya, inilah yang dinamakan sebagai ‘Ijtihad Politik’.

Politik tidak boleh dipisahkan dari agama Islam. Namun, politik tidaklah diletakkan dalam bab Usul Akidah menurut para ulama Ahlus Sunnah Wal Jamaah (ASWJ). Hanya kelompok ekstrim seperti Syiah dan Khawarij sahaja yang menjadikan politik sebagai Usul Akidah mereka. Sebaliknya, ulama ASWJ membahaskan politik dalam bab Fiqh yang dikenali sebagai Siyasah atau Ilmu Tadbir.

Oleh itu, jika ada orang yang memiliki perbezaan pandangan dalam ijtihad politik atau tidak separti dengan kita, tidak boleh menghukum mereka sebagai Kafir selagimana mereka tidak menolak Usul Akidah. Politik Islam itu bukan terletak pada nama, sebaliknya pada isi. Jika ada mana-mana parti/gerakan yang mengaitkan namanya dengan Islam, tetapi isinya tidak mengikut lunas Islam, maka tetaplah ia bukan politik Islam. Contoh mudah, ISIS yang menamakan diri mereka sebagai ‘Islamic’ State, tetapi mereka bertindak mengkafirkan umat Islam dan membunuh umat Islam dengan kejam tetaplah tidak dipanggil sebagai politik Islam yang sebenar.

Situasi politik dunia Islam berubah secara drastik selepas runtuhnya Daulah Uthmaniyyah. Umat Islam perlu mendepani waqi’ (realiti semasa) yang berbeza apabila sistem monarki era Uthmaniyyah digantikan dengan Demokrasi di kebanyakkan negara Islam. Pelbagai reaksi umat Islam terhadap perubahan ini. Banyak gerakan bersifat politik wujud dengan begitu pesat selepas kejatuhan Uthmaniyyah.

Di Turki, muncul Mustafa Kamal AtaTurk yang memilih sistem sekular demi ‘memajukan’ rakyat Turki manakala agama hanyalah bersifat hal peribadi. Gerakan ini cuba dilawan oleh ulama ASWJ seperti Syeikh Badiuzzaman Said an-Nursi yang tegas mempertahankan tradisi-tradisi Uthmaniyyah.

Di Hijaz, muncul Syeikh Muhammad bin Abdul Wahhab dan Muhammad bin Saud yang mengasaskan gerakan Wahhabi-Saudi dan akhirnya berjaya menubuhkan kerajaan monarki Arab Saudi oleh keturunan mereka. Gerakan ini juga cuba dilawan oleh para ulama yang tegas mempertahankan tradisi-tradisi para ulama silam.

Di Mesir, muncul Syeikh Jamaluddin al-Afghani, Syeikh Muhammad Abduh serta Syeikh Rasyid Redha yang melopori gerakan Pan-Islam di Mesir. Gerakan ini juga cuba dineutralkan kembali oleh sebahagian para ulama al-Azhar lain yang lebih mengutamakan tradisi-tradisi para ulama silam.

Semangat gerakan Pan-Islam ini dibawa masuk ke Nusantara oleh golongan Kaum Muda yang mencetuskan Gerakan Islah. Golongan Kaum Muda ini ditentang oleh para ulama tempatan yang dikenali sebagai Kaum Tua iaitu kelompok alim ulama yang mengekalkan tradisi pengajian kitab turath atau kitab kuning pondok.

Semangat gerakan Pan Islam di Mesir ini dimanfaatkan oleh Hassan al-Banna bagi mengasaskan jemaah Ikhwanul Muslimin. Jemaah beliau ini berkembang pesat ke serata dunia Islam, antaranya di benua Asia Selatan (India-Pakistan-Bangladesh-Afghanistan). Syeikh Abul Ala al-Maududi mengasaskan gerakan Jemaah Islami di Pakistan yang bersifat ‘far-right’. Gerakan Jemaah Islami ini mendapat tentangan juga dari golongan ulama yang bersifat lebih bersederhana terutama dalam kalangan sebahagian ulama Deobandi.

Begitulah antara respon masyarakat Islam pasca kejatuhan Khilafah Turki Uthmaniyyah. Ada yang ekstrim sampai mengangkat Sekular-Plural-Liberal melampau, ada yang ekstrim sampai bertindak mengkufurkan Demokrasi. Pendek cerita, kita tidak boleh memahami dunia politik dengan kaca mata binari sahaja. Spektrum politik amatlah pelbagai. Ada pro, ada kontra.

Begitu juga dalam menilai gerakan politik Islamisma seperti Ikhwanul Muslimin. Tidak boleh kita memandang mereka dengan penuh romantisma sebagai sentiasa putih dan lawan mereka semuanya sentiasa hitam. Kita perlu sedar, dalam setiap gerakan, boleh ada sisi baik dan sisi kurang baiknya.

Oleh itu, sikap taksub politik terutamanya yang mengatas namakan agama ini dapat dihindari. Penulis merasakan generasi muda kini telah berfikiran terbuka dan matang dalam membuat penilaian yang adil. Belia kini sudah tidak tertutup lagi mindanya dengan naratif politik jumud kafir-mengkafir. Atas sebab inilah artikel yang telah lama disimpan kini sudah boleh ditulis bagi bacaan umum.

Sebenarnya, ketika Hassan al-Banna hendak mendirikan jemaah Ikhwanul Muslimin, tindakan beliau ini tidak direstui oleh guru mursyid sufinya sendiri. Ini kerana usia beliau ketika itu masih muda sekitar 20-an dan berdarah panas. Guru mursyidnya menyarankan agar beliau fokuskan terlebih dahulu mendalami pengajian ilmu agama sepertimana tradisi para ulama agar ilmu menjadi lebih tajam.

Walaubagaimanapun, Hassan al-Banna tetap juga berjaya mendirikan jemaah Ikhwanul Muslimin. Ini kerana semangat Pan Islam yang tinggi di Mesir, lalu jemaah ini dapat berkembang dengan pantas. Walaupun Hassan al-Banna seorang yang berakidah ASWJ (Asyairah) bahkan bertarekat Sufi sehingga amalan membaca al-Ma’thurat itu sebenarnya merupakan sebahagian dari wirid tarekat Syadzili, namun jemaah Ikhwanul Muslimin lebih mementingkan Haraki (Harakah = Gerakan Politik Islam) berbanding tradisi para gurunya yang mementingkan disiplin pengajian bersifat Turath (Tradisi Ulama Silam) terlebih dahulu.

Namun, ini bukanlah bermakna Ikhwanul Muslimin tidak mementingkan ilmu langsung. Cuma ada pentaksub-pentaksub Haraki di kemudian hari mendakwa, “Antara ulama yang tidak berharaki dengan profesional yang berharaki, lebih baik menjadi profesional yang berharaki”. Pegangan konsep begini sehingga mengakibatkan sebahagian kelompok Haraki yang taksub bertindak mentohmah Jemaah Tabligh yang neutral sebagai tidak mementingkan nasib Umat Islam dari segi politik. Namun, bukanlah semua orang Haraki bersikap begini. Tetap juga ada yang mengaji secara Turath, namun berharaki malah berkhuruj dengan Jemaah Tabligh.

Sikap Ikhwanul Muslimin yang mengutamakan Haraki juga membuatkan mereka perlu menerima kelompok Salafi. Bagi mereka, menerima Salafi ini bukanlah bererti mahu mencampur adukkan fahaman mazhab, tetapi untuk mewujudkan saf dalam perjuangan era demokrasi yang mementingkan kuantiti sokongan. Risiko yang mereka hadapi adalah terpaksa menutup sebelah mata terhadap perselisihan antara ahli mereka yang berfahaman ASWJ Asyairah dan Salafi. Kalau di Malaysia, kadangkala tok guru pondok yang berfahaman ASWJ Asyairah juga terpaksa menutup mulut apabila pimpinan Haraki yang condong kepada Salafi menyebut tentang sesuatu isu yang melanggar disiplin akidah mereka.

Namun, ada juga aliran keras Salafi yang tidak mahu bersekongkol dengan Ikhwanul Muslimin langsung. Oleh itu, sebahagian kelompok Salafi ini menubuhkan parti politik tersendiri bagi melawan Ikhwanul Muslimin. Bahkan ada aliran Salafi yang lebih ekstrim lagi mengatakan bahawa Ikhwanul Muslimin ini adalah jemaah yang sesat.

Gerakan Ikhwanul Muslimin yang besar ini menjadi tidak terkawal dengan kemasukan fahaman keras pada era Sayyid Qutb. Sayyid Qutb ini merupakan seorang sasterawan tetapi terkenal kerana menulis buku Fi Zilalil Quran. Sayyid Qutb memperkenalkan konsep Hakimiyyah yang menjadi kontroversi dalam kalangan para ulama al-Azhar.

Kesan dari konsep sebegitu rupa, melahirkan masyarakat yang taksub dan keras hingga wujudnya amanat-amanat yang mudah mengkafirkan umat Islam yang tidak bersama dengan perjuangan parti mereka. Masyarakat menjadi pecah belah seperti solat jemaah dengan dua imam atas alasan jemaah lain adalah kafir. Bagi mereka, siapa yang tidak menyertai parti mereka dikira menolak perjuangan Islam. Menolak perjuangan Islam bererti Kufur. Perlembagaan negara dilabel sebagai Taghut. Polis dan tentera adalah anjing kerajaan serta ulama yang neutral atau tidak separti dipanggil ulama su’.

Dalam era moden ini, kita dapat lihat para ulama seperti Syeikh Said Ramadhan al-Bouti yang mementingkan Turath dan tidak menyertai politik kepartian ini turut dilabel sedemikian. Beliau mementingkan keamanan di Syria agar masyarakat dapat terus mendalami ilmu agama. Jika melawan pemerintah secara tidak berhikmah, kelak akan menimbulkan huru-hara. Beliau lebih cenderung ke arah sikap memimpin tangan pemerintah dan menasihatinya secara tertutup. Namun tindakan beliau ini disalah anggap sebagai menyokong rejim Bashar al-Asad.

Ulama yang pro kepada Ikhwanul Muslimin seperti Syeikh Yusuf al-Qaradhawi bertindak mengkritik beliau. Para ulama yang pro kepada Ikhwanul Muslimin selalunya lebih popular dalam kalangan masyarakat sepertimana juga kita di Malaysia. Oleh kerana Syeikh al-Qaradhawi ini merupakan seorang yang terkenal, maka ramailah anak muda yang bangkit menghina Syeikh al-Bouti. Kitab karya al-Bouti berjudul Fiqhus Sirah dibakar oleh mereka sebagai tanda protes. Tatkala inilah terkenal kata-kata hikmah, “Para Ulama telah melihat kemusnahan tatkala ianya belum tiba, sedangkan kamu hanya sedar tatkala semuanya telah binasa”.

Syeikh al-Qaradhawi merupakan seorang yang sangat alim bahkan sangat terkenal di Malaysia sehingga fatwa-fatwa beliau turut dijadikan rujukan. Namun dalam dunia akademik, semua ilmuan tidak terlepas dari kritikan. Begitu juga Syeikh al-Qaradhawi menerima kritikan ulama dunia apabila beliau ada berijtihad bahawa halal darah untuk membunuh pemimpin zalim dan ulama yang dianggap menyokong pemimpin itu tatkala revolusi Arab Spring sedang memuncak.

Dari Arab Spring ini, kita dapat lihat antaranya kebangkitan rakyat Libya membunuh Muammar Ghadafi. Selepas Syeikh al-Bouti dibunuh dengan bom ketika mengajar tafsir al-Quran, barulah rakyat Syria sedar bahawa negara mereka semakin huru-hara dengan kemasukan kuasa asing ke negara mereka.

Kuasa Barat mengambil kesempatan untuk memporak perandakan negara Islam. Syeikh al-Qaradhawi diburu Interpol. Bahkan beliau kini bersuaka di Qatar setelah kerajaan Mesir menghalau beliau. Pertelingkahan antara kerajaan Mesir dengan kelompok Ikhwanul Muslimin berkemuncak di era kebangkitan Dr Morsi suatu ketika dahulu.

Golongan pengganas seperti ISIS terutama di Sinai turut mengambil kesempatan dalam huru hara politik Mesir ini. Begitu juga dengan parti-parti Liberal, parti Salafi dan sebagainya mengambil kesempatan dalam kehangatan politik di Mesir. Oleh kerana risaukan keadaan semakin buruk, maka para ulama al-Azhar bertindak meredakan keadaan dengan cuba mengusahakan perdamaian antara Ikhwanul Muslimin dan kerajaan.

Ulama al-Azhar juga bertindak mengkritik pengganas ISIS. Namun, masyarakat terpedaya dengan mainan media kononnya ulama al-Azhar mendokong kerajaan zalim Mesir dan menghalang kebangkitan rakyat. Maka ramailah yang mengutuk para ulama al-Azhar sepertimana rakyat Syria menghina Syeikh al-Bouti.

Syeikh al-Qaradhawi ada mendirikan Kesatuan Ulama Sedunia (KUS) dan bertindak sebagai Ketua manakala Syeikh Abdullah bin Bayyah menjadi salah satu Timbalan Ketua KUS serta Syeikh Ali al-Qaradaghi menjadi setiausaha agungnya. Menjadi Ketua Kesatuan Ulama Sedunia bukanlah bermakna beliau merupakan ketua rasmi bagi seluruh ulama dalam dunia ini sebagainana yang sering masyarakat salah fahami. Dalam Islam, tiada hierarki rasmi ulama seperti institusi Pope Vatikan dalam dunia Kristian. Kesatuan itu hanyalah ibarat ‘NGO’ peringkat antarabangsa sepertimana banyak lagi persatuan-persatuan Ulama yang wujud dalam dunia ini. KUS bukanlah satu-satunya persatuan ulama peringkat antarabangsa.

Kesatuan Ulama Sedunia ini turut dijuluki sebagai Kesatuan Ulama Ikhwanul Muslimin kerana dibarisi oleh para ulama yang pro kepada parti-parti politik yang bermanhaj ala Ikhwanul Muslimin. Namun, setelah tidak bersetuju dengan beberapa ijtihad politik Syeikh al-Qaradhawi, Syeikh Abdullah bin Bayyah yang sangat mengutamakan keamanan ini bertindak meninggalkan KUS dan bersama dengan para ulama al-Azhar lain menubuhkan Majlis Hukama Muslimin (MHM). Tempat yang ditinggalkan oleh Syeikh Abdullah Bin Bayyah sebagai Timbalan Ketua KUS itu diganti oleh seorang tokoh parti politik dari Malaysia.

Antara ulama yang menganggotai atau merestui manhaj MHM ialah Syeikh Dr Ahmad Tayyeb (Syeikhul Azhar), Syeikh Dr Ali Jumaah (Mantan Mufti Mesir), Syeikh Usamah al-Azhari, Syeikh Abdullah bin Bayyah dan lain-lain. Antara muktamar terkenal yang dipengerusikan oleh Syeikh Dr Tayyeb adalah Muktamar Chechen. Muktamar ini dihadiri oleh mufti-mufti serta alim ulama ASWJ dari serata pelosok negara Islam dari Timur dan Barat seperti Habib Umar, Habib Ali al-Jufri, Syeikh Said Fudah, Syeikh Abu Bakar (Mufti India), Syeikh Badruddin Hasoun (Mufti Syria), Syeikh Tawfiq bin Syeikh Said Ramadhan al-Bouti dan ramai lagi.

MHM ini mengutamakan akidah ASWJ dalam kesatuannya tanpa menolak hubungan baik dengan mazhab akidah lain di luar kesatuan mereka. MHM adalah neutral dalam politik dan lebih cenderung untuk mengusahakan keamanan berbanding berijtihad untuk menyokong sebarang revolusi bagi membersihkan fenomena Islamofobia dan Terorisma. Mereka lebih suka menunjukkan sisi Islam yang harmonis. Mereka memilih untuk menghadiri diskusi pemimpin antara pelbagai agama, berucap di seminar keamanan antarabangsa dan sebagainya. Bahkan, tatkala Syeikh Abdullah bin Bayyah bertindak menyertai MHM dan berucap di PBB, muncul suara sumbang yang mentohmah beliau sebagai ulama sekular.

Menurut pengamatan penulis, MHM lebih condong kepada manhaj ‘Turath’ manakala KUS lebih condong kepada manhaj ‘Haraki’. Sebenarnya banyak lagi kesatuan-kesatuan ulama yang wujud, namun dua kesatuan inilah yang besar dan masyhur. Cumanya, kita di Malaysia lebih dekat dan kenal dengan KUS kerana tokoh-tokoh politik dan gerakan NGO di Malaysia lebih bernuansakan Haraki ala Ikhwanul Muslimin melalui aktiviti-aktiviti usrah.

Buku-buku karya pendokong pro Ikhwanul Muslimin seperti Fathi Yakan dan sebagainya dijadikan silibus atau rujukan dalam buku panduan Usrah. Para ulama di al-Azhar juga ada yang pro kepada Ikhwanul Muslimin, dan ada juga yang pro kepada MHM. Mereka semua alim cuma berbeza dalam ijtihad politik.

Begitu jugalah ijtihad politik para ulama dalam isu menziarah Masjidil Aqsa. Ulama yang condong kepada KUS seperti al-Qaradhawi dan al-Qaradaghi berijtihad bahawa haram untuk menziarahinya buat masa ini manakala ulama yang condong kepada MHM seperti Syeikh Dr Ali Jumaah dan Ketua Imam Masjidil Aqsa, Syeikh Omar Fahmi Awadallah Al-Kiswani berijtihad Masjidil Aqsa perlu diziarahi sepertimana hukum asalnya melalui hadis nabi iaitu sunat menziarahi 3 masjid utama.

Ini adalah ijtihad politik yang tidak bersangkut paut dengan akidah. Jadi perlu berlapang dada dan meraikan pandangan para ulama yang berbeza ini. Kepada mereka yang cenderung kepada Ikhwanul Muslimin, usahlah menuduh para ulama yang berijtihad perlu menziarahi Masjidil Aqsa sebagai agen Yahudi Zionis, ulama Sekular, anjing kerajaan dan sebagainya.

Bukankah kalian juga akan marah apabila ada pihak yang mengkritik ulama politik anda yang cenderung kepada Ikhwanul Muslimin kononnya sebagai “Menolak Ulama, Menolak Islam” dan sebagainya? Maka sikap taksub politik seperti ini perlu dihindarkan. Mereka semua ulama yang alim dan berijtihad menurut ilmu mereka. Jika anda nak orang hormati ijtihad politik ulama anda, anda juga perlu hormati ijtihad politik ulama lain. Janganlah kita taksub dengan mendakwa hanya ulama parti kita sahaja yang benar, ulama lain yang tidak bersetuju dengan parti kita tidak benar. Apa yang parti kita buat semuanya betul, tidak boleh dikritik melainkan setelah dia meninggalkan parti kita.

Ketahuilah, suatu ketika dahulu, atas semangat Islamisma yang membuta tuli, ada parti politik yang bertindak memuji-muji gerakan Revolusi Islam Iran pimpinan Ayatollah Khomeini. Walaupun itu adalah gerakan Syiah yang berbeza dalam bab Akidah, namun mereka sedaya upaya mencari alasan falasi semata-mata nak membolehkan kehendak politik ketika itu. Kini, apabila fenomena penolakan Syiah menjadi kuat dalam trend masyarakat, barulah nak u-turn dengan dalil-dalil baru. Mempergunakan dalil agama hanya untuk kepentingan parti politik amatlah perlu dijauhi.

Moga kita menjadi para pencinta yang beradab dengan ulama. Moga Allah juga memelihara dan merahmati kesemua para ulama ini. Jika ijtihad mereka benar, dikurniakan dua pahala. Jika ijtihad mereka salah, dikurniakan dengan satu pahala. Moga diampunkan salah silap mereka kerana ulama tidak maksum, namun kedudukan mereka tetaplah mulia dihati umat.

RUJUKAN

– Islam Radikal : Telaah Kritis Radikalisme Dari Ikhwanul Muslimin Hingga ISIS, Syeikh Dr Usamah Sayyid al-Azhari
– Inside The Muslim Brotherhood, Khalil al-Anani
– Kertas pembentangan Anti-Terrorism, Dr Amran Muhamad (Islamic and Strategic Studies Institute – ISSI)


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

IBN JAWI merupakan penuntut bidang Engineering di sebuah universiti. Beliau juga giat dalam pengajian Turath Islami secara Talaqqi Sanad bagi mengimbangi aspek duniawi dan ukhrawi. Beliau yang meminati topik Falsafah, Sejarah dan Politik merangka usaha kebangkitan ummah melalui Kalam & Qalam. Walaupun memiliki aliran pemikiran tersendiri, namun beliau terbuka untuk bertukar pandangan dengan mana-mana aliran pemikiran agar dapat memahami cara berfikir kelompok berlainan.

Comments are closed.