Setiap kali mendengar nama Iron Man, perkara pertama yang kita bayangkan sut perisai besi berwarna merah dan kuning yang melawan Iron Monger, Ivan Vanko, Chitauri, Aldrich Killian dan Ultron. Tidak dilupakan, imej alter egonya, Anthony ‘Tony’ Stark lakonan mantap Robert Downey Jr. (Kiss Kiss, Bang Bang, Gothika) merupakan seorang hartawan, saintis, pencipta berbakat dan dermawan terkemuka. Tetapi di sebalik imej ini, siapa sebenarnya Tony Stark dan apa perkara yang kita boleh belajar dari individu paling pintar dalam Marvel Universe selepas Reed Richards (Fantastic Four) dan Beast (X-Men)?

Tony Stark yang kita kenali sekarang ini sememangnya hebat. Tetapi apa yang beliau lakukan semasa dalam tahanan yang membawa beliau ke tahap ini. Babak di mana beliau ditahan dalam Iron Man (2008) dan kisah ‘Extremis’ dalam komik memperlihatkan kesungguhan Stark membina sut perisai beliau yang pertama untuk melepaskan diri daripada tahanan tentera Vietcong dan kumpulan The Ten Rings. Apa yang kita boleh belajar di sini ialah tanpa usaha dan kesungguhan, sebarang matlamat yang kita tetapkan takkan dapat dicapai. Selagi mana kita tidak bertindak, selagi itulah apa sahaja hajat yang kita mahu takkan dapat direalisasikan. Stark boleh saja tunggu sehingga pasukan penyelamat membawanya keluar tetapi beliau tidak berserah kepada takdir begitu sahaja. Beliau membina sut perisai besi Mark I dalam gua dengan tujuan bukan sahaja menyelamatkan diri tetapi juga memastikan mereka (Vietcong/Ten Rings) tidak dapat mengejar dan menangkap beliau semula.

Selain kesungguhan beliau semasa dalam gua, Stark turut memperlihatkan sisi kemanusiaan semasa dalam tahanan. Sebelum ditahan oleh Vietcong/Ten Rings, media mengenali beliau sebagai kaki perempuan, tidak serius dan antara pengedar senjata terbesar di dunia. Tetapi selepas berada dalam tahanan dan berjaya menyelamatkan diri, Stark merasa bersalah mengenangkan sikap beliau selama ini dan berusaha memperbaiki kesilapannya dengan menjadi Iron Man. Di sini, kita dapat melihat dengan jelas kepentingan peluang kedua dalam kehidupan. Manusia sentiasa melakukan kesilapan dalam hidup kerana itulah lumrah sebagai makhluk-Nya yang tidak sempurna. Namun, selagi mana manusia itu masih bernafas di atas dunia ini, sedar akan kesilapannya dan berusaha memperbaiki dirinya, maka peluang kedua sentiasa ada untuk mereka ambil dengan sepenuh hati. Memang pada awalnya, manusia akan tetap skeptik dan meneka perubahan kita bersifat sementara atau kekal seperti mana ketidakpercayaan wartawan Christine Everheart pada Stark berkenaan pendirian beliau untuk tidak lagi mengedar senjata. Tetapi sekiranya kita ikhlas dalam memanfaatkan peluang kedua tersebut, isu ini akan hilang dan kita akan dipandang mulia bukan saja pada pandangan manusia tetapi juga pada pandangan-Nya.

Tidak lama selepas beliau dapat lari daripada tahanan pengganas, Stark tidak berdiam diri, sebaliknya beliau berusaha membina sut perisai lebih baik daripada sut Mark 1. Pada beliau, Mark 1 hanyalah cara untuk melepaskan diri. Stark memerlukan satu sut perisai yang membolehkan beliau mempertahankan orang tidak bersalah dan menegakkan pendirian moral baru beliau. Ini yang membawa kepada kata hikmah seorang penulis Scotland bernama Richard Franck, keperluan ialah ibu kepada penciptaan. Bila mana kita berhadapan dengan situasi yang memerlukan solusi yang tuntas, maka kita perlu berfikir di luar kebiasaan kita. Ini kerana idea-idea yang bersifat biasa dilihat hanya memberi solusi bersifat jangka pendek atau hanya menambah lagi kerumitan situasi yang kita alami. Sebaliknya idea yang hebat, walaupun ada yang mengganggap ianya gila atau mengarut, jika ia boleh dilaksanakan dengan betul, pulangan yang diraih amat berbaloi untuk jangka masa panjang. Dan itu yang dilakukan Stark bukan saja pada masalah isu ais yang membelenggu sut perisai beliau tetapi juga isu kebergantungan kepada teras paladium untuk reaktor beliau. Hasilnya, beliau bukan saja berjaya mengatasi Iron Monger/Obadiah Stane (Jeff Bridges) dalam Iron Man (2008) tetapi juga membawa kepada solusi membuang serpihan yang menjadi ancaman kepada jantung beliau pada babak-babak akhir Iron Man 3 (2013).

Seterusnya, Stark juga membuktikan beliau boleh mengadaptasi diri beliau dalam apa jua situasi sama ada dengan lembaga pengarah syarikat, Dewan Senat Amerika Syarikat dan musuh-musuh beliau. Stark tidak berdiam diri apabila ditekan tetapi sebaliknya mengkaji kekuatan dan kelemahan siapa yang dihadapinya sebelum menewaskan mereka. Dan ini satu perkara yang kita perlu belajar, tetapkan sesuatu rancangan sebelum melaksanakan sesuatu idea. Tanpa rancangan yang baik dan tersusun, apa saja perkara yang kita usahakan akan gagal. Rancangan yang baik akan membuahkan sesuatu yang baik pada akhirnya walaupun ada sesetengah masa, ia tidak mengikut apa yang kita rancang. Tetapi jika kita tahu mengadaptasi dan memperbaikinya secepat mungkin, ia masih boleh dilaksanakan dan matlamat yang kita tetapkan akan tercapai juga. Ini dapat dilihat semasa Stark melarikan diri di mana ketika sut Mark 1 belum mencapai tenaga yang dimahukan, rakan banduan beliau bernama Yinsen menimbulkan gangguan kepada Ten Rings sehingga ia boleh digerakkan. Walaupun tindakan tersebut mengorbankan nyawa beliau, Yinsen menganggap ianya berbaloi demi memastikan Stark dapat melepaskan diri dari cengkaman kumpulan tersebut.

Dalam mana-mana situasi buruk terutama situasi yang mendesak, Stark sedia mengetepikan egonya dengan bekerjasama dengan individu-individu yang berkemahiran hebat seperti dalam Avengers (2012). Dan ini mengingatkan kita untuk bekerjasama dan bersatu-padu bila diuji dengan ujian hebat. Tanpa perpaduan, kita tidak akan ke mana dan apa saja cubaan kita untuk meraih kemajuan akan terbantut begitu saja. Bila kita bersatu, kekuatan kita bukan saja akan bertambah malah ia akan menyebabkan musuh mengalami kesukaran untuk mengalahkan kita. Dan ini satu pengajaran yang diterima dan diaplikasikan Stark dan rakan seperjuangannya semasa berhadapan dengan Loki dan bala tentera Chitauri dalam Perang New York. Dan bila melihat kekuatan Avengers sebagai satu kumpulan dan bukan lagi individu-individu seperti yang disaksikan sebelum ini di Helicarrier, Loki terpaksa mengaku kalah dan diheret kembali ke Asgard untuk dibicarakan sebagai penjenayah perang.

Akhir sekali, Stark turut membuktikan umur itu hanyalah angka jika kita ingin melakukan sesuatu yang hebat. Walaupun mewarisi konglomerat Stark Industries pada usia muda, beliau tidak menjadikan usia beliau sebagai halangan malah ia mendorong beliau untuk mencipta sesuatu yang istimewa. Dan teladan ini seharusnya kita contohi. Antara kebiasaan kita ialah merasakan umur satu halangan untuk menjadi seorang yang hebat. Tanggapan ini seharusnya dibuang jauh-jauh kerana tanggapan ini bersifat antik dan langsung tidak sesuai dengan sifat manusiawi sendiri yang sentiasa menewaskan apa jua cabaran untuk berjaya dalam apa jua bidang yang mereka ceburi. Lihat sendiri tokoh-tokoh yang berjaya menempa nama mereka dalam sejarah. Muhammad Al-Fatih atau Mehmed II penakluk Costantinople (Istanbul) pada umur 31 tahun dan Alexander the Great menguasai separuh kawasan dunia dari Macedonia sehingga India sebelum mati pada usia 32 tahun. Umur itu bukan satu halangan tetapi satu motivasi yang mendorong kita mencipta sesuatu yang hebat sebagai legasi untuk generasi akan datang. Dan atas sebab inilah, kejayaan beliau sangat mengagumkan sehinggakan Majalah Forbes meletakkan beliau no.4 dalam Senarai 15 Individu Fiksyen Terkaya dan no.2 di hadapan Bruce Wayne dalam Senarai 5 Superhero Terkaya Majalah Times.

Tony Stark atau Iron Man, beliau seorang individu yang hebat dan berterusan menjadi inspirasi kepada orang ramai di luar sana. Walau apa pun kita lakukan, percayalah kita boleh lakukan seperti beliau. Kerana beliau percaya diri beliau ialah Iron Man tanpa sut perisai atau kekayaan yang membentuk kehidupannya. Kalau beliau boleh melakukannya, mengapa tidak orang biasa seperti kita? Kerana kita juga Iron Man dalam kehidupan sebenar kita.

Sumber:

  1. http://www.denofgeek.com/us/movies/iron-man/104217/iron-man-2008-lookbackappreciation
  2. https://www.forbes.com/special-report/2013/fictional-15/tony-stark.html
  3. http://time.com/money/3950362/richest-superheroes-comic-con/

Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Graduan Bachelor of Business Admin (Human Resource) dari UNITAR yang meminati sejarah sejak 11 tahun. Ketika ini merupakan saudagar simkad Tone Excel. Harapan terbesar ialah melihat saudara seagama dan sebangsa kembali bersatu di bawah satu panji dan terus maju bersama. Tanpa perpaduan, manusia tidak akan ke mana-mana, malah tidak akan dapat membina sebuah tamadun yang gemilang seperti mana yang dilakukan oleh nenek moyang kita yang lepas. Dan sejarah adalah saksi bahawasanya perpaduan kunci penting dalam membina sebuah tamadun yang gemilang.

Leave A Reply