Opium atau dikenali sebagai candu merupakan sejenis getah yang keluar daripada kelaran pada pokok popi (opium poppy) yang di gunakan dalam penghasilan dadah heroin dan juga dalam penghasilan morfin (ubat tahan sakit) bagi tujuan perubatan. Afghanistan merupakan negara pengeluar opium terbesar di dunia! Merangkumi lebih kurang 90% bekalan opium dunia untuk penghasilan heroin. Satu sisi gelap yang amat menyedihkan yang wujud di sebuah negara Islam.

Berdasarkan laporan yang telah dikeluarkan oleh United Nations Office on Drugs and Crime (UNODC) pada Disember 2016, jumlah pengeluaran opium di Afghanistan telah meningkat sebanyak 43% pada tahun 2016 iaitu sebanyak 4 800 metrik tan berbanding jumlah pengeluaran pada tahun 2015 iaitu sebanyak 3 300 metrik tan. Kawasan penanaman opium pula telah meningkat sebanyak 10% kepada 201 000 hektar berbanding tahun sebelumnya. Kawasan penanaman opium ini lebih tertumpu di wilayah selatan termasuk Helmand, Kandahar, Uruzgan, Zabul, dan Daykundi yang menyumbang 59% daripada jumlah penanaman opium di Afganistan. Wilayah Helmand kekal sebagai wilayah penanaman opium terbesar di negara itu.

Faktor apakah yang menyumbang kepada peningkatan mendadak jumlah pengeluaran opium sebanyak 43% ini? Faktor utama yang menyumbang kepada peningkatan angka ini adalah dengan wujudnya strain benih baru yang telah diubah secara genetik yang datang dari China pada tahun 2015. Di China penanaman opium di buat secara komersial untuk tujuan perubatan berbeza dengan penanaman opium di Afghanistan untuk tujuan penghasilan heroin. Dengan kewujudan benih baru itu, kadar penuaian opium telah meningkat dari satu musim kepada 4 musim setahun. Faktor ini juga menjawab kepada persoalan peningkatan hasil pengeluaran opium Afghanistan dari 18.3 kilogram per hektar pada 2015 kepada 23.8 kilogram per hektar pada 2016.

Statistik penanaman pokok popi (hektar) dari 1994 – 2016.
Sumber UNODC: Afghanistan Opium Survey 2016 – Cultivation and Production.

Melalui statistik penanaman opium di atas, dapat dilihat penurunan yang mendadak ke atas jumlah penanaman opium pada 2001. Ianya kerana Afghanistan di bawah pentadbiran Taliban telah pun mengeluarkan fatwa mengharamkan penanaman opium pada tahun 2000 dan pengharaman ini dilihat telah berjaya menurunkan angka penanaman opium sebanyak 99% dari 82 000 hektar pada tahun 2000 kepada hanya 8 000 hektar sahaja pada tahun 2001. Taliban yang di ketuai oleh Mullah Mohammad Omar telah melancarkan kempen ini dengan memusnahkan ladang penanaman opium yang beroperasi dan mengenakan hukuman berat kepada yang ingkar. Walau bagaimanapun penurunan jumlah penanaman opium ini tidak berkekalan lama dan telah kembali meningkat kepada 74 000 hektar pada tahun 2002 akibat daripada serangan US bersama Britain ke atas Afghanistan pada Oktober 2001 selepas peristiwa 9/11.

Dengan kadar penghasilan opium yang tinggi dan harganya yang sangat rendah, secara tidak langsung ia telah mengundang kepada masalah penagihan dadah heroin di kalangan rakyat Afghanistan di mana jumlah penagih dadah di Afghanistan adalah sebanyak 3 juta orang, 10% dari jumlah populasi 30 juta penduduk Afghanistan pada 2015. Antara kadar yang tertinggi di dunia.
(Gambar penagih heroin di wilayah Kabul, sumber dari Souvid Datta: Documenting Drug Addiction in Kabul, Time.com)

Apakah faktor yang membawa kepada peningkatan jumlah penanaman dan pengeluaran opium di Afghanistan? Faktor yang paling utama adalah faktor keselamatan kerana industri penanaman opium secara haram ini selalunya akan bercambah di kawasan yang mempunyai konflik keselamatan dan mendapat kurang seliaan kerajaan. Afghanistan adalah tempat yang dilanda konflik berdekad dekad lamanya dan sebab itulah ia menjadi tempat yang menarik untuk industri penanaman opium ini berkembang.

Permintaan yang tinggi terhadap opium serta dapat memberi peluang pekerjaan dan pendapatan yang stabil kepada rakyat Afghanistan juga menyumbang kepada peningkatan terhadap kegiatan penanaman opium ini. Penanaman opium di Afghanistan merupakan salah satu industri yang paling tinggi menyumbang kepada ekonomi negara iaitu sebanyak 7% yang bernilai USD1.5 bilion setahun. Satu pertiga daripada hasil ini akan pergi kepada petani itu sendiri dan selebihnya akan pergi kepada pengedar yang memproses opium kepada heroin dan seterusnya mengeksport ke seluruh dunia. Tindakan untuk menutup pengeluaran opium secara keseluruhan mungkin akan mengancam kestabilan ekonomi petani Afghanistan dan tindakan ini akan membuat mereka akan kembali menentang kerajaan seterusnya kembali menyokong Taliban. Semua ini telah membuat ia menjadi lebih sukar kepada kerajaan Afghanistan untuk melaksanakan larangan terhadap tanaman ini.

Poster kempen anti penanaman opium yang bertujuan untuk menggalakkan pemilik ladang popi untuk beralih kepada penanaman gandum. Ianya tertulis “Popi adalah tanaman kematian. Tanamlah gandum untuk penghasilan roti”. Sumber dari Todd Huffman: Flickr.com)

Siapa yang patut dipersalahkan? US, Taliban atau kerajaan Afghanistan itu sendiri? Jika kita meneliti sumber-sumber yang ada, terdapat pelbagai versi yang menunding jari ke sana ke sini tetapi mengikut pendapat penulis, yang patut dipersalahkan adalah kesemua pihak di atas; US untuk serangan yang membawa kepada pergolakan, yang secara tidak langsung menyuburkan lagi konflik di Afghanistan. Taliban pula dengan membenarkan kegiatan penanaman ini berleluasa dengan penanaman yang paling besar adalah di wilayah Helmand yang sebahagian besar dikuasai oleh Taliban itu sendiri dan terdapat sumber yang mengatakan Taliban mengutip cukai dari penanaman opium bagi membiayai kegiatan pembelian senjata. Terdapat satu lagi sisi gelap Afghanistan iaitu korupsi yang wujud dalam kerajaan Afghanistan itu sendiri sekaligus menyukarkan lagi hasrat untuk melihat industri penanaman opium ini terkubur. Ianya boleh dilihat dalam laporan UNODC bahawa kegiatan pemusnahan ladang opium oleh pihak kerajaan Afghanistan telah pun berkurang sebanyak 91% iaitu hanya sebanyak 355 hektar pada 2016 berbanding pada tahun 2015.

Walaupun kerajaan Afghanistan dapat menyelesaikan masalah penanaman opium ini secara menyeluruh, ianya tidak akan terhenti di Afghanistan begitu sahaja. Permasalahan ini tetap akan wujud kerana selagi permintaan yang tinggi terhadap dadah heroin ini wujud, di situ lah pembekalan opium akan kekal wujud kerana perdagangan haram ini membawa pulangan yang sangat tinggi dan bernilai berbilion yang semestinya akan menarik minat entiti atau negara lain.

Sumber:

  1. UNODC (Disember 2016). “Afghanistan Opium Survey 2016 – Cultivation and Production”
  2. Gul Ahmad Ehsan (Mac 2017). “Could New Poppy Strain be Boosting Afghanistan’s Opium Crop?” Institute for War & Peace Reporting.
  3. Barbara Crossette (Mei 2001). “Taliban’s Ban On Poppy A Success, U.S. Aides Say”. New York Times.
  4. Sune Engel Rasmussen (September 2016). “US funds fed corruption in Afghanistan, eroding security fighting Taliban” The Guardian.

 

 


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Aku masih lagi mencari identiti dalam disiplin penulisan ini dan berharap setiap penulisan aku ini dapat membuka benak pemikiran pembaca dan juga diri sendiri. InsyaAllah.

Leave A Reply