Apabila James Brooke berjaya menubuhkan sebuah kerajaan di Sarawak, dari segi konteks dunia Melayu yang lebih besar, ia dilihat satu lagi kerajaan Melayu yang cuba menempa nama dalam sejarah. Bezanya dengan kerajaan-kerajaan lain ialah ketua kerajaannya seorang yang berketurunan Eropah dan beragama Kristian. Brooke amat bertuah kerana semasa hendak menubuhkan dinastinya di Sarawak, beliau mendapat sokongan penduduk tempatan iaitu penduduk Dayak dan Melayu yang bukan berasal dari Brunei. Jika tidak kerana sokongan mereka, maka Brooke akan berhadapan cabaran getir bukan saja dari kalangan penyokong Kesultanan Brunei tetapi juga ancaman Kesultanan Sambas.

Dan bagi memperlihatkan dirinya diterima oleh masyarakat ketika itu, Brooke tidak menggunakan gelaran sultan, sebaliknya menggunakan gelaran raja. Dan pada tahun-tahun awal pemerintahannya, beliau lebih suka digelar Tuan Besar (Great Lord) dan menggunakan gelaran-gelaran lain dalam Bahasa Melayu bagi ahli dinastinya termasuk Raja Muda (pewaris takhta), Tuan Muda (pewaris kedua takhta), Dayang Ranee (isteri Raja) dan Dayang Muda (isteri Tuan Muda). Apa yang dilakukan Brooke sebenarnya meniru dari sistem gelaran Brunei dan beliau juga tidak keberatan menggunakan elemen tradisi Melayu untuk menunjukkan kekuasaannya.

Kediaman Raja Putih dipanggil astana, penggunaan warna kuning sebagai warna diraja, Bahasa Melayu sebagai medium arahan dan menjadi bahasa kebangsaan semasa pemerintahan anak saudaranya, Charles Brooke. Semasa pemerintahan beliau, Brooke turut menggalakkan pegawai-pegawai Eropah lain mempelajari Bahasa Melayu dan tulisan jawi. Buktinya, dinasti Brooke boleh fasih bertutur dalam Bahasa Melayu dan menulis Jawi. Namun kepentingan Bahasa Melayu semakin terhakis apabila memasuki abad ke-20 dengan bahasa-bahasa Eropah pula yang mendominasi kerangka kerja polisi pentadbiran dinasti Brooke.

Jika ada yang menyangka taktik Brooke ini boleh meraih kepercayaan penduduk tempatan, jawapan anda salah. Hakikatnya, ramai merasa curiga dengan beliau termasuk pembesar-pembesar tempatan termasuk yang ada kaitan dengan Kesultanan Brunei dan Kesultanan Sambas. Salah seorang daripada mereka ialah wakil Sultan Brunei ke Sarawak, Pengiran Indera Mahkota Muhammad Saleh yang tidak menyukai kehadiran Brooke dan peneroka-peneroka Eropah lain. Dan semasa era pemerintahan beliau, kerajaan beberapa kali hampir tumbang disebabkan pemberontakan seperti pemberontakan Bau diketuai Liu Shan Bang pada tahun 1857. Sementara pemimpin tempatan Melayu dan Iban cuba berkonspirasi menggulingkannya.

Sebagai tindak balas untuk mengukuhkan kuasanya, Brooke menghalau keluar semua pemimpin yang ada kaitan dengan Kesultanan Brunei termasuk Pengiran Indera Mahkota Muhammad Salleh, Raja Tengah dan Pengiran Raja Muda Hashim dari Kuching antara tahun 1843-1844. Ini disusuli pula dengan menggerakkan aktiviti ketenteraan untuk menghapuskan aktiviti ‘lanun’ bukan saja sekitar kerajaan barunya tetapi juga sejauh Banjarmasin dan Teluk Marudu. Namun, aktiviti ketenteraan beliau yang disokong oleh Syarikat Hindia Timur Inggeris (SHTI) dan tentera laut Britain telah mengakibatkan kematian ramai orang dalam menghapuskan kegiatan ‘lanun’. Buktinya, pada 31 Julai 1849, 1500-2000 orang Iban dan Melayu mati dibunuh di Beting Maro oleh Tentera Laut Britain atas desakan Brooke tanpa mendapat izin kerajaan Britain di London. Berikutan itu, Brooke dipanggil ke Singapura untuk memberi keterangan atas tindakannya itu. Walaupun beliau berjaya membuktikan dirinya tidak bersalah tetapi itu saja sudah cukup merosakkan moralnya.

LATAR BELAKANG SYARIF MASAHOR & HAJI ABDUL GAPUR

Jika Brooke menyangka penentangan terhadapnya berakhir selepas kematian Liu Shan Bang, sangkaannya meleset. Penentangan itu diteruskan pula oleh beberapa pemimpin tempatan diketuai Sharif Masahor dan Datu Patinggi Haji Abdul Gapur. Ironinya, kedua-dua pemimpin ini merupakan pembesar yang dilantik oleh Brooke sebagai sebahagian usaha untuk meraih sokongan penduduk tempatan. Datu Patinggi Haji Abdul Gapur bukan orang lain bagi Brooke.

Beliau antara pemimpin yang memberontak ke atas rejim Pengiran Indera Mahkota Muhammad Salleh sebelum diselamatkan dan dilantik semula selepas Brooke memerintah Sarawak. Beliau juga merupakan menantu Datu Patinggi Ali, ketua pemberontak ke atas rejim Pengiran Indera Mahkota. Selepas Datu Patinggi Ali meninggal dunia dalam kempen anti-lanun Brooke di Patusan, beliau dipilih sebagai Datu Patinggi, posisi yang dipegang sehingga 1854. Selain itu, Datu Patinggi Haji Abdul Gapur merupakan imam pertama Masjid Besar Kuching dari 1851 hingga 1854.

Sementara Sharif Masahor pula merupakan saudara dan teman rapat Datu Patinggi Haji Abdul Gapur. Lahir di Igan, beliau kemudian dilantik sebagai Gabenor Sarikei menggantikan Datu Patinggi Abdul Rahman oleh Sultan Brunei. Pada tahun 1851, hubungan kekeluargaan Syarif Masahor-Datu Patinggi Haji Abdul Gapur terjalin apabila adik beliau, Syarif Bujang berkahwin dengan anak perempuannya, Fatimah, satu perkara yang membuat Dinasti Brooke gelisah.

Syarif Masahor dikenali sebagai pemimpin yang berkarisma dan dihormati masyarakat Melayu dan Iban serta komuniti Eropah. Setiausaha peribadi Brooke, Spencer St. John dalam catatannya menyifatkan beliau sebagai seorang lelaki yang baik dan berkarisma. Dalam satu catatan lain, St. John turut menyatakan minat Syarif Masahor terhadap komuniti Eropah termasuk mendengar isteri Bishop Sarawak bermain piano dan kerap menghadiri kelab catur mereka. Justeru, tiada siapapun sedar akan rancangan beliau menggulingkan Dinasti Brooke.

PEMBERONTAKAN BERMULA

Pada tahun 1853, cubaan pertama Datu Patinggi Haji Abdul Gapur untuk menggulingkan Dinasti Brooke bermula. Rancangan beliau ialah mengumpulkan orang Eropah bersama penduduk tempatan untuk menggulingkan Brooke dalam satu masa dan mengambil alih Sarawak. Pada tahun berikutnya, Datu Patinggi Haji Abdul Gapur mula mengumpul kekuatan tentera diperlukan untuk merealisasikan rancangan tersebut. Beberapa bulan selepas itu, peluang Datu Patinggi Haji Abdul Gapur terbuka luas apabila beliau diminta mengiringi Brooke dan anak saudaranya, Kapten Brooke Brooke untuk lawatan ke Sungai Lupar. Beliau merancang membunuh kedua-duanya di satu kawasan sunyi.

Namun, rancangan tersebut dihidu oleh anak sulung Datu Temenggung Abang Patah dan segera diberitahu kepada St. John yang melawat Sarawak ketika itu. Berikutan itu, St. John segera menghantar surat kepada Brooke untuk memberitahu rancangan Datu Patinggi Haji Abdul Gapur terhadap beliau. Berang dengan tindakan beliau, Brooke menyingkirkan gelaran Datu Patinggi yang dimiliki Haji Abdul Gapur, merampas harta dan senjata serta membuang beliau ke Makkah.

Tidak diketahui sama ada Syarif Masahor turut terlibat dalam rancangan tersebut atau tidak tetapi beliau dilarang masuk ke Sarawak. Pada tahun 1857, atas jasa mereka membantu Brooke menamatkan pemberontakan Liu Shan Bang, kedua-duanya mendapat pengampunan Raja Putih Sarawak. Walau bagaimanapun, gelaran Datu Patinggi tidak dikembalikan kepada Haji Abdul Gapur.

Bagi kedua-dua tokoh ini, mereka tidak pernah lupa dan tidak akan memaafkan Brooke. Dua tahun selepas Pemberontakan Bau, Haji Abdul Gapur dan Syarif Masahor merancang satu lagi pemberontakan iaitu menimbulkan pemberontakan di empat bandar iaitu Kuching, Sarikei, Lundu dan Kanowit serta membunuh semua orang Eropah. Walaupun sudah diberi amaran berkenaan rancangan mereka, Brooke mengambil mudah amaran tersebut.

Akibatnya, semasa Brooke dan anak saudaranya, Kapten Brooke Brooke bercuti ke England dan meninggalkan pemerintahan kepada seorang lagi anak saudara beliau, Charles Brooke, pengikut Sharif Masahor menyerang kubu Kanowit dan membunuh dua pegawai Eropah bernama Henry Steele dan Charles Fox. Serangan ini seharusnya mencetuskan pemberontakan di tiga bandar lain tetapi gagal. Berang dengan serangan mereka, Charles Brooke menghukum mati 10 orang individu yang terlibat tanpa bicara dan membakar rumah panjang pengikut Syarif Masahor di Kanowit.

Berikutan itu, Haji Abdul Gapur dibuang negeri ke Singapura sementara Syarif Masahor dibuang negeri ke Kota Batu. Namun, berita serangan kubu Kanowit mencetuskan ketakutan dalam kalangan orang Eropah dan ramai menyifatkan ia satu pemberontakan orang Islam tempatan ke atas orang Eropah. Bishop Sarawak dalam suratnya kepada orang atasannya mencadangkan semua aktiviti mubaligh di Sarawak dihentikan dan semua mubaligh diarah kembali semula ke England.

Walaupun gagal sebanyak dua kali, itu tidak menghalang Haji Abdul Gapur dan Syarif Masahor untuk merancang satu lagi pemberontakan. Setahun selepas itu, entah bagaimana, Haji Abdul Gapur berjaya kembali ke Pontianak, Kalimantan dan berhubung dengan Syarif Masahor yang telah kembali ke Sarikei. Syarif Masahor memanggil beberapa pemimpin tempatan untuk satu mesyuarat berkenaan penghapusan Dinasti Brooke. Semua pemimpin yang hadir bersetuju dengan cadangan tersebut.

Untuk mencetuskan situasi panik, beliau menghantar orang suruhannya bernama Hasyim Jalil menyamar sebagai Datu Temenggung dari Brunei untuk menimbulkan situasi huru-hara dalam kalangan orang Melayu dan Iban terutama di Kuching. Dalam catatannya, Charles Brooke menyifatkan strategi berita palsu yang digunakan individu ini menyebabkan ramai menyokong ‘si penipu’ (Hasyim Jalil) itu dan ramai bersedia mahu memenggal kepala semua orang putih.

Mengikut rancangan, orang suruhan Syarif Masahor ini akan bergabung dengan Haji Abdul Gapur di Pontianak dan disertai kumpulan besar Melayu dan Iban, mereka akan menyerang Kuching dari darat sementara Syarif Masahor pula akan menyerang dari laut. Kerajaan Sarawak dan orang Kuching sedar akan rancangan tersebut namun bagi Charles Brooke dan orang-orangnya, mereka cuba untuk tidak mempercayai laporan tersebut. Walau bagaimanapun, sebagai langkah berjaga-jaga, darurat diisytiharkan dan perintah berkurung dilaksanakan apabila berita ini tersebar luas. Brooke turut mengarahkan orang Eropah dan orang Melayu bersiap sedia mempertahankan Kuching.

Namun perlu diingat, orang Melayu di Kuching tidak semestinya menyokong sesiapapun antara kedua-dua belah pihak. Walaupun mereka merasa terhutang budi dengan tindakan Brooke membebaskan mereka dari penguasaan Kesultanan Brunei, itu bukan bermakna mereka turut menyokongnya sepenuh hati. Begitu juga dengan Syarif Masahor di mana sokongan mereka terhadap beliau tidaklah sekuat seperti di luar Kuching. Tetapi itu tidak bermakna pula mereka menentang beliau. Ini kerana mereka menghormati status beliau bukan saja sebagai pembesar tetapi juga keturunan beliau sebagai Saiyid/Syed/Syarif. Bagi masyarakat Melayu, gelaran Saiyid/Syed ini menandakan seseorang itu datang dari keturunan Nabi Muhammad s.a.w.

Namun rancangan mereka rosak apabila berita keberangkatan Syarif Masahor dari Sarikei diketahui oleh seorang pembesar pro-Brooke, Pengiran Matusin dari Mukah. Pada Februari 1860, Charles Brooke mengetuai sepasukan tentera dan memintas konvoi Masahor di muara Sungai Sarawak dan mengejar mereka sehingga ke Sungai Sadong sebelum melepaskan tembakan. Syarif Masahor berjaya melarikan diri tetapi ramai pengikutnya mati. Bagi Haji Abdul Gapur dan Hasyim Jalil pula, sebelum mereka mula bergerak ke Kuching, mereka ditahan oleh Belanda di Pontianak di mana Haji Abdul Gapur dipenjarakan di Betawi sementara Hasyim pula dipenjarakan di Kuching. Tidak lama selepas itu, kedua-dua tokoh ini sekali lagi dibuang negeri dengan Haji Abdul Gapur dibuang ke Melaka sementara Syarif Masahor sekali lagi dibuang ke Singapura.

Hukuman ini tidak mematahkan semangat mereka menentang Brooke. Buktinya, walaupun dalam buangan di Singapura, Syarif Masahor masih lagi melancarkan mesej penentangan terhadap Dinasti Brooke dan pernah berlayar ke Pontianak. Namun, cubaan beliau gagal mendapat sokongan pembesar tempatan. Ini ditambah pula dengan pertemuan James Brooke dengan Sultan Brunei pada tahun 1861. Dalam pertemuan tersebut, Brooke berjaya mengambil alih Mukah yang menjadi tempat perlindungan Syarif Masahor, sekaligus menyebabkan beliau dipenjarakan dan kemudian, dibuang negeri ke Selangor oleh Sultan Abdul Momin. Selepas itu, beliau berlayar ke Klang dan menjadi penasihat Sultan Abdul Samad.

PERANG KLANG

Apabila Perang Klang tercetus antara Raja Abdullah/Tengku Dhiauddin (Tengku Kudin) dengan Raja Mahadi, pada mulanya Syarif Masahor menyebelahi pakatan mereka. Namun selepas mendapat tahu adiknya dibunuh oleh Tengku Kudin, beliau memihak pula kepada Raja Mahadi dan kembali meneruskan penentangan terhadap Britain buat kali kedua. Dalam satu entri The Patriots berkenaan beliau dan turut dicatatkan oleh Allahyarham Buyong Adli dalam bukunya, Sejarah Selangor, Syarif Masahor dan pengikut-pengikutnya memenggal beberapa pegawai tentera British dan meninggalkan kepala mereka di Kuala Lumpur sebagai amaran kepada Britain.

Walau bagaimanapun, selepas pakatan Tengku Kudin menang dalam peperangan tersebut, Sultan Abdul Samad memberi pengampunan kepada Raja Mahadi dan Syarif Masahor. Pada tahun 1890-an, Syarif Masahor meninggal dunia dan dikebumikan di Kerling, Hulu Selangor. Kisah beliau di Selangor dirahsiakan oleh Britain dan Dinasti Brooke kerana bimbang cerita perjuangan beliau akan memberi inspirasi kepada anak-anak Sarawak untuk meneruskan penentangan terhadap mereka. Ini termasuklah mengubah nama beliau kepada Saiyid Mashor bagi memastikan tidak ada kaitan langsung antara tokoh ini dengan perjuangan menentang penjajah.

SUMBER

  1. Said, Sanib. (2009). Universiti Malaysia Sarawak. Malay Politics in Sarawak 1946-1966: The Search for Unity and Political Ascendancy.
  2. Siti Fatimah. (2009). Universitas Indonesia. KONFLIK DI SELANGOR: PEREBUTAN TAMBANG TIMAH ANTARA. BANGSAWAN MELAYU, CINA DAN INGGRIS 1866 – 1873.

Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Graduan Bachelor of Business Admin (Human Resource) dari UNITAR yang meminati sejarah sejak 11 tahun. Ketika ini merupakan saudagar simkad Tone Excel. Harapan terbesar ialah melihat saudara seagama dan sebangsa kembali bersatu di bawah satu panji dan terus maju bersama. Tanpa perpaduan, manusia tidak akan ke mana-mana, malah tidak akan dapat membina sebuah tamadun yang gemilang seperti mana yang dilakukan oleh nenek moyang kita yang lepas. Dan sejarah adalah saksi bahawasanya perpaduan kunci penting dalam membina sebuah tamadun yang gemilang.

Comments are closed.