Hufflepuff merujuk kepada salah satu rumah dalam Universiti Sihir Hogwarts siri Harry Potter karya J.K. Rowling. Setelah dipilih untuk menuntut di Hogwarts, pelajar akan dipilih dahulu rumah mana yang sesuai untuk beliau.
Pemilihan ini bukan rambang macam nak pliih rumah sukan kat sekolah rendah, tidak. Tapi pemilihan dibuat oleh Sorting Hat berdasarkan kepada perwatakan pelajar itu sendiri. Kalau yang masuk Hufflepuff ini, biasanya orang-orang yang penyabar, lembut, rajin dan kadang-kadang (bukan semua) baik yang amat.
Antara pelajar Hufflepuff dalam Siri J.K. Rowling ini ialah Cedric Diggory dan Newt Schamender. Cedric Diggory diceritakan dalam siri Goblet of Fire, seorang yang rajin, popular dan berjaya. Watak utama Harry Potter pun dengki dengan dia. Berbanding dengan Harry yang dapat pujian dan pengiktirafan kerana ibu dan ayahnya, Cedric berusaha untuk mendapat tempatnya.
Malah, orang-orang macam Hufflepuff ini kebanyakan orang tidak akan mempertikaikan kejayaan yang diperoleh mereka, kerana mereka memang rajin berusaha, dan mereka merendah diri. Kalau mereka gagal, tidak salahkan diri dan taktikal yang salah, tapi salahkan usaha mereka. Kalau kalah atau gagal, mereka akan lebih berlatih dan berusaha.
Newt Schamander juga dilihat terlalu baik untuk dunia yang kejam ini. Beliau sungguh empatetik terhadap binatang-binatang dikala manusia sekelilingnya mengejar kemewahan dan tidak mempedulikan alam sekitar. Kat Malaysia pun, kes kek3jaman terhadap haiwan ini semakin meningkat, dengan lebih 90% kes yang dilaporkan adalah melibatkan anjing dan kucing [1]. Bukan haiwan liar. Haiwan peliharaan tu.
Namun, Hufflepuff tidak begitu disukai oleh masyarakat kita khususnya Potterhead kerana bagi mereka dan bagi kebanyakan masyarakat sekalipun, perwatakan rumah Hufflepuff ini dianggap membosankan, tiada personaliti, mudah dipijak dan menjadi punca adanya kes-kes buli dalam organisasi [2].
Walaupun hanya fandom fiksi semata-mata, namun dari sini kita dapat lihat realiti masyarakat kita yang kebanyakannya berlagak Machiavellian dengan Hobbesian [3], anggap semua manusia tidak ada yang boleh dipercayai, hubungan manusia hanya untuk kepentingan dan orang baik sentiasa dipijak (nice guys finish last).
Penulis ingin menegaskan bukan sahaja tidak mengapa kamu seorang yang berhati baik, tapi semua orang perlu berazam untuk menjadi seorang ‘Hufflepuff’. Sebagai penduduk Bumi, adalah membimbangkan jika kita dapati kebanyakan manusia berfikiran serong terhadap orang yang baik, jadi berikut ialah hujah penulis kenapa perlunya orang-orang ‘Hufflepuff’ ini.
- Falsafah Hufflepuff
Falsafah dan motto bilik Hufflepuff ialah “Always Do the Right Thing, Just Because…” buat baik hanya kerana. Berbanding dengan perwatakan rumah yang lain, Hufflepuff menekankan falsafah buat baik sebagai asas kehidupan. Berbanding dengan Ravenclaw yang buat baik kerana itu tindakan yang bijak, Griffyndoor yang buat baik kerana keberanian dan Slytherin yang buat baik kerana menguntungkan diri, Hufflepuff lebih suka buat baik kerana tanpa sebab.
Kriteria sebegini banyak ditekankan oleh falsafah lama seperti Confucianism yang mengatakan bahawa ketamadunan adalah berpegang kepada nilai-nilai yang perlu dipupuk secara hierarki seperti nilai tradisi, kesetiaan dan hormat menghormati [4].
Selain itu, seorang lagi filsuf Mozi juga berpendapat semua orang patut dilayan secara sama rata [5], dan kita patut layan manusia lain dengan apa yang kita mahu manusia lain layan kita (treat others as we wish others would treat us). Falsafah-falsafah inilah yang membentuk perwatakan orang-orang macam Hufflepuff, bukan kepentingan yang dikejar tapi aturan dunia yang harmoni.
Jadi tidak tepat untuk mengatakan Hufflepuff ini naif dan tiada personaliti, kerana sama seperti rumah-rumah Hogwarts yang lain, Hufflepuff juga memiliki falsafah tersendiri.
- Kemuncak Tertinggi Masyarakat
Dalam buku The Republic tulisan Plato, Socrates ada berhujah dengan Adeimantus dan Glaucon, dua pemuda aristocrat Athens tentang makna ‘just city,’ iaitu bandaraya yang adil. Socrates yang bijaksana berpendapat bahawa bandar yang adil ini dinilai dari sudut kemuliaan hati penduduk/individu. Sama seperti Hogwarts, jiwa kita juga dipecahkan kepada beberapa bilik [6], mengikut Socrates.
Bilik yang pertama ialah jiwa (soul), yang pada pendapat penulis, memberi inspirasi kepada J.K.Rowling untuk membentuk Hufflepuff. Mengikut kata Socrates,“He who would be happy desires both for their own sake and for the sake of their results.” Mereka yang bahagia ialah atas mereka secara peribadi berasa bahagia dan pekerjaan mereka membahagiakan orang lain.
Socrates juga berkata ini adalah kelas tertinggi dalam masyarakat. Jadi untuk membentuk kemasyarakatan yang baik, adalah penting untuk penduduknya baik, bukan bijak seperti Ravenclaw, berani seperti Griffyndoor atau berketurunan mulia seperti Slytherin. Malahan, matlamat ketiga-tiga rumah di atas adalah untuk menjadi Hufflepuff, bukan sebaliknya.
- Hufflepuff Juga Boleh Kaya & Berjaya
Dalam dunia realiti, Hufflepuff dianggap ketinggalan dalam hidup. Dunia sekarang pakai hukum alam, yang kuat akan makan yang lemah. Mana boleh orang-orang Hufflepuff berjaya dalam hidup. Ini pandangan golongan singkat pemikiran. Tidak dinafikan dunia sekarang penuh dengan penipu dan penyangak, namun dunia ini bukan untuk mereka.
Antara contoh selebriti terkenal yang dikatakan Hufflepuff ialah Dwayne Johnson, Tom Holland (Spiderman) dan Michael Jackson. Karisma yang mereka bawa ialah karisma yang menyenangkan.
Kalau Hufflepuff ini watak yang gagal, masakan Dwayne Johnson boleh menjadi artis lelaki paling mahal bayarannya selama dua tahun berturut-turut [7]? Michael Jackson tak payah cerita lah, untuk tahun 1984 sahaja mamat tu menang 8 Grammy (rekod dunia), album Thriller sekarang masih pegang rekod dunia Jualan Album Terbaik [8].
Yang paling mengejutkan, perwatakan Hufflepuff beliau menjadikan beliau pegang rekod dunia artis paling banyak sokong badan kebajikan (39). Yang kutuk Hufflepuff tu pergi masjid pun sedekah seringgit je. Jadi kalau orang baik boleh berjaya, kenapa jadikan alasan terlalu baik sebagai kegagalan? Dan yang paling penting, kenapa tidak mahu jadi baik?
Kebaikan tidak menjanjikan kebahagiaan, tapi kebaikan itu membahagiakan.
RUJUKAN:
Bernama, “Animal cruelty on the rise in Malaysia,” www.nst.com.my, 6 October 2019. [Online]. Available: https://www.nst.com.my/news/nation/2019/10/527524/animal-cruelty-rise-malaysia.
R. Rusak, “Harry Potter: 10 Reasons Why Hufflepuff Is The Worst House,” screenrant.com, 8 June 2020. [Online]. Available: https://screenrant.com/harry-potter-hufflepuff-worst-hogwarts-house-cedric-diggory-jk-rowling/.
S. Jacobson, “What is Machiavellianism in Psychology?,” harleytheraphy.co.uk, 8 January 2015. [Online]. Available: https://www.harleytherapy.co.uk/counselling/machiavellianism-psychology.htm.
Song,J. & Jiao,X.,, ” “Confucius’ Junzi (君子): The conceptions of self in Confucian”,” Journal of Educational Philosophy & History, vol. 13, pp. 1171-1179, 2018.
factsanddetails.com, “MOZI AND MOHISM,” factsanddetails.com, [Online]. Available: http://factsanddetails.com/china/cat3/sub69/entry-5572.html. [Accessed September 2020].
T. Plato (edit oleh Bowdon, The Republic ; The Influential Classic, 2012.
BBCnews, “Dwayne ‘the Rock’ Johnson is highest-earning male actor,” www.bbc.com, 12 August 2020. [Online]. Available: https://www.bbc.com/news/world-us-canada-53746050#:~:text=Dwayne%20%22the%20Rock%22%20Johnson%20has,the%20Netflix%20thriller%20Red%20Notice..
Guinnessworldrecords.com, “Best-selling album,” guinnessworldrecords.com, [Online]. Available: https://www.guinnessworldrecords.com/world-records/70133-best-selling-album. [Accessed Spetember 2020].
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih