“Orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak akan redha kepadamu hingga kamu mengikuti agama mereka.” (Surah Al-Baqarah, ayat ke-120)
Demikianlah ayat yang sering dipetik oleh pendukung Teori Konspirasi untuk menyokong hujah kewujudan konspirasi Freemason-Illuminati-Rothschild. Namun, ada perbezaan antara waspada terhadap Yahudi dan Nasrani dengan percaya terhadap teori Freemason dan Illuminati.
Seperti yang telah dikupas dalam artikel-artikel yang lepas, dakwaan tentang konspirasi Freemason dan Illuminati tidak terbina atas realiti, malah dakwaan-dakwaan tersebut adalah dicipta oleh, secara ironik, golongan Nasrani (Kristian):
- ‘Freemason sebuah pertubuhan yang diwujudkan untuk memporak-perandakan dunia’ – dikemukakan oleh Abbé Augustin Barruel, seorang mubaligh Jesuit berbangsa Perancis pada tahun 1798;
- ‘Illuminati penyembah setan’ – dikemukakan oleh John Robison, seorang Freemason dari Scotland pada tahun 1797;
- ‘Freemason dianggotai oleh Yahudi’ – dikemukakan oleh Abbel Augustin Barruel pada tahun 1807;
- ‘Rothschild dan Rockefeller berasal dari susur galur Illuminati’ – dikemukakan oleh Fritz Springmeier pada tahun 1995;
- ‘Illuminati merupakan keturunan Namrud (Nimrod)’ – dikemukakan oleh David Icke pada tahun 1999; dan
- ‘New World Order merupakan rancangan jahat Iblis dan Dajjal (Antichrist)’ – dikemukakan oleh Pat Robertson, seorang mubaligh evangelis Nasrani yang ekstrem pada tahun 1991.
Adakah kita benar-benar mengkaji dengan sendiri siapakah Freemason, Illuminati, Rothschild dan seumpamanya, atau sekadar memetik khabar angin yang terlalu mudah didapati di Internet? Dan patutkah kita menerima cerita daripada mereka yang bukan sahaja beragama Nasrani, malah jelas mempunyai agenda dalam penyebaran dakyah?
Benar, dunia ini ada ‘sistem’-nya. Ia umpama permainan yang mempunyai peraturan dan syarat tersendiri, yang boleh menentukan pemenang dan pengalah. Namun sistem ini tidak dimonopoli oleh Namrud/Firaun/Rothschild. Malah tahyul tentang Freemason, Illuminati dan sebagainya menghindari kita dari memahami realiti dunia.
Dahulu, umat Islam lah yang menentukan agenda permainan. Hari ini, sistem ini telah dikuasai oleh orang lain, umat kita mempunyai pilihan sama ada untuk menolak sistem tersebut dan membina sistem sendiri, atau cuba untuk menguasai semula sistem ini.
Sejak abad ke-19, kita seolah-olah menyaksikan bahawa kuasa-kuasa besar ‘berkonspirasi’ terhadap umat Islam. Namun, umat Islam dimusuhi sejak sebelum itu lagi, mengapa dahulu umat Islam masih mampu ‘mengetuk pintu Vienna’ dan menakluk separuh dari Eropah? Mengapa Salahuddin Al-Ayyubi mampu merampas kembali Baitulmuqaddis dengan menewaskan gabungan Tentera Salib dan Kesatria Templars (yang dikatakan sebagai moyang Freemason) yang tidak kurang jahat dari Zionis?
Yang membuat umat Islam sengsara hari ini bukan sahaja serangan dari musuh. Serangan sehebat mana pun boleh dipatahkan. Yang menyebabkan umat Islam merosot ialah kegagalan dalam bertindak balas. Kegagalan mengadaptasi dan menyesuaikan diri dalam dunia yang makin berubah, dan kegagalan demi kegagalan dalam percaturan politik dunia. Musuh kini bukan datang membawa pedang atas kuda seperti zaman Saladdin melawan Richard the Lionheart. Musuh kini datang dengan teknologi, seni berpakatan dan juga senjata ekonomi.
Selalu kita dengar kemerosotan Khilafah Turki Uthmaniyyah adalah disebabkan oleh konspirasi ini dan konspirasi itu. Namun jarang kita melihat kesilapan para pemimpin Uthmaniyyah dalam menghancurkan Khilafah. Atas faktor kesilapan strategi, sebuah empayar yang merentas tiga benua merosot menjadi sebuah kerajaan di pinggir Asia Barat.
Penyertaan Turki Uthmaniyyah dalam Perang Dunia Pertama (WW1) membawa kepada kejatuhannya. Pada awalnya Britain tidak ingin berperang dengan Uthmaniyyah dan Sultan Mehmed V cuba kekal berkecuali. Britain khuatiri penglibatan Uthmaniyyah dalam perang akan memberi peluang kepada Jerman atau Rusia menguasai kawasan yang menjadi perantaraan bagi Britain dan jajahannya di India. Namun Menteri Perang Uthmaniyyah, Ismail Enver Pasha telah berkomplot dengan Jerman untuk melibatkan Uthmaniyyah dalam pakatan Jerman-Austria. Kalau bukan kerana kesilapan tersebut, maka tiada peluang bagi Zionis bertapak di Palestin (kejatuhan Uthmaniyyah membolehkan Zionis melobi Britain untuk membina sebuah ‘Jewish national homeland’ di Palestin). [1]
Kesilapan kedua berlaku semasa Perang Dunia Kedua (WW2). Sebelum WW2 meletus pada September 1939, Britain ingin mendapatkan sokongan dunia Arab untuk menentang Jerman Nazi, maka Britain pun mengeluarkan Kertas Putih pada Mei 1939 untuk mengehadkan kemasukan pendatang Yahudi dan menangguhkan pembinaan negara Israel (dasar British hanyalah menyokong sebuah ‘Jewish national home within a Palestinian state’, bukan ‘Jewish state’). Tindakan tersebut dibantah keras oleh Zionis dan juga Rothschild, namun adalah hak Britain untuk bertindak mengikut kepentingan geopolitik. [2]
Namun Haji Amin Al-Husaini, Mufti Besar Baitul Maqdis, tersilap ramal Hitler akan memenangi WW2. Haji Amin condong kepada Hitler dan terlibat dalam komplot untuk menggulingkan kerajaan pro-Britain di Iraq. Peranan Haji Amin telah membuat Britain mengubah pendiriannya. Pada tahun 1947, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu membahagikan Palestine kepada ‘Arab State’ dan ‘Jewish State’, membolehkan pembinaan negara Israel laknatullah. Sekali lagi umat Islam tersilap langkah, malah hubungan Haji Amin dan Hitler masih dijadikan sebagai modal Zionis seperti Netanyahu untuk memburukkan imej Islam dan Palestin.
Bermula dengan Haji Amin, teori konspirasi mula meresap ke dunia Islam (kerana propaganda Nazi adalah berasaskan teori konspirasi Freemason-Yahudi). Selepas tragedi seperti Perang Enam Hari, umat Islam yang bertambah rasa lemah (powerless) dan orang mula percaya dengan teori konspirasi selepas menyaksikan kemenangan demi kemenangan Zionis (yang sebenarnya dicapai melalui strategi demi strategi). Bagi mereka, penjelasan yang lebih logik adalah Zionis mempunyai kawalan mutlak ke atas sistem dunia, sebab itulah umat Islam tidak mampu mengatasi mereka. [3]
Adakah umat Islam perlu menanggung seksa dan hina sehingga akhir zaman? Atau umat Islam akan berbangkit semula?
Ilmuwan Islam seperti Ibn Khaldun (1332-1406) dan Malik Bennabi (1905-1973) melihat tamadun sebagai kitaran yang akan mengalami fasa pembangunan, kemerosotan dan kejatuhan. Walaupun tamadun Islam kini berada di fasa kemerosotan, namun tidak mustahil bagi tamadun Islam untuk bangkit semula. Antara syarat untuk sebuah tamadun kembali berkembang adalah perkembangan ilmu. Dan untuk tujuan tersebut kita memerlukan ilmu atas landasan disiplin yang hakiki untuk berhadapan dengan cabaran semasa, bukan ilmu palsu yang tidak membawa manfaat malah menyebarkan fitnah.
Pada abad ke-19, China juga ditimpa nasib seperti Uthmaniyyah, tanahnya diratah, digelar ‘Sick Man of Asia’ sementara Uthmaniyyah digelar Sick Man of Europe. Namun, dengan strategi dan konspirasi yang tersendiri, China telah berjaya membangkit semula menjadi kuasa besar, mencipta ‘sistem’ sendiri untuk mencabar hegemoni Amerika. Para pendukung Teori Konspirasi masih terus mencipta teori untuk mengaitkan kebangkitan China dengan konspirasi Freemason-Illuminati. Teori Konspirasi umpama candu.
Tidak kira Zionis atau Illuminati, mereka semua hanyalah manusia biasa. Mereka mampu dikalahkan. Jangan kita percaya dengan Teori Konspirasi yang memberikan mereka status demi-god yang memiliki kuasa supernatural.
Dalam Al-Quran telah diterangkan hakikat tentang konspirasi (makr, مكر). Dalam Surah Ali Imran ayat 54 Allah SWT berfirman bahawa ‘wa makaru wa makarallah, wallahu khairul makirin’ (mereka merancang dan Allah juga merancang, dan Allah sebaik-baik perancang) yang merujuk kepada rancangan (konspirasi) Quraisy untuk membunuh Rasulullah s.a.w. yang telah berjaya dipatahkan.
Bahkan Rasulullah s.a.w pernah bersabda, ‘al-harbu khud’ah’. Kalamullah dan hadis bukan sahaja mengajar umat Islam untuk mengenali muslihat musuh, malah umat Islam sendiri perlu memiliki keupayaan untuk membalas muslihat, kerana peperangan hanya akan dimenangi oleh mereka yang lebih pandai merancang dan berkonspirasi.
Umat Islam perlu menjadi mandiri dan berkeyakinan untuk mengubah nasibnya. Sudah sampai masa bagi kita meninggalkan tahyul Freemason dan Illuminati setaraf demi-god ini.
Wallahua’lam.
Dan dengan itu, tamatlah Siri Bedah Konspirasi. Semoga bermanfaat.
Rujukan:
[1] William M. Hale, Turkish Foreign Policy Since 1774 (Routledge, 2013).
[2] Paul Hilberg (1961), The Destruction of the European Jews (Yale University Press, 1961).
[3] Michael Butter & Maurus Reinkowski (eds), Conspiracy Theories in the United States and the Middle East: A Comparative Approach (FRIAS, 2014
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih
1 Comment
masalah dengan teori konspirasi ini adalah ‘melihat mereka seperti demi-god/supernatural’ seperti yg admin nyatakan?
soalan saya, adakah kalau tidak melihat mereka sebagai ‘demi-god’ etc, kita tidak boleh langsung ‘mempercayai’ (dan mengkaji) mengenai teori konspirasi ini? saya layan je teori konspirasi, dan tak pernah (dan tak kan pernah) melihat mereka sebagai ‘demi-god/supernatural’ yg x terkalahkan. apa yang saya nampak dan saya belajar adalah.. mereka sangat2 lah licik.