Tatkala negara dan dunia terus dibadai wabak Covid-19, ada sesetengah kelompok T20 yang masih melalak dan menyalak; mempersoal mengapa pakej rangsangan ekonomi kerajaan yang diumumkan pada Jumaat lepas tidak diperuntukkan kepada mereka.
Kelompok ini bukan sekadar mempertikai pakej berkenaan tetapi memperlekeh golongan B40 dan M40 yang menerima sebahagian besar insentif yang ditawarkan dalam pakej rangsangan ekonomi berkenaan. Kritikan tidak henti kelompok kaya mengundang cemuhan yang luar biasa di laman media sosial termasuk di Facebook dan Twitter.
Kenyataan angkuh mereka ini mengingatkan penulis kepada beberapa tindakan yang dibuat Permaisuri Perancis, Marie Antoinette (1755-1792):
1. Marie Antoinette ni dia punya delusional terhadap kehidupan rakyat biasa sampaikan dia sanggup suruh suaminya sang raja membina satu taman tema khas untuk dia main olok-olok jadi orang miskin yang dipanggil Hameau de la Reine. Hameau de la Reine dibina hasil rekaan arkitek Richard Mique pada tahun 1783 dan merupakan tempat terbaik untuk baginda melepaskan diri dari pembesar atau individu berkepentingan dengan Dinasti Bourbon.
Hameau de la Reine boleh dianggap sebagai satu fantasi Antoinette yang ingin hidup sebagai pengembala kambing wanita atau lebih tepat, kehidupan sebagai orang biasa tetapi masih dikelilingi oleh kemewahan dan keselesaan istana.
Dekat taman tema khas itu, ada ladang, ada kebun ada kandang lembu ada reban ayam, ada pondok. Petang-petang dia akan menyamar kononnya dia jadi petani, pengembala kambing dan pelbagai watak rakyatnya. Dia kutip sayur dan telur yang dah diletak dan dibasuh oleh pekerja-pekerja istana kat dalam taman tu. Katanya, apalah yang susah sangat jadi rakyat biasa? Dia rasa senang setiap petang melakukan tugas mereka.
Walaupun ia bersifat fantasi, ia secara tidak langsung menghina golongan petani yang tertekan dengan situasi ekonomi ketika itu. Ini sekaligus menjadi benih kebencian rakyat Perancis terhadap monarki sehingga membawa kepada Revolusi Perancis.
2. Pada Oktober 1784, Raja Louis XVI membeli istana Chateau de Saint-Cloud dari Louis Phillippe d’Orleans sebagai hadiah kepada Antoinette yang berkeinginan mengembangkan keluarga mereka. Walaupun pembelian tersebut diatur oleh baginda, ia diletakkan di bawah nama isterinya yang tercinta.
Satu perkara yang mendorongnya berbuat demikian ialah Antoinette mahu mengelak dari undang-undang pewarisan Perancis yang rumit dan diberi kebebasan menghadiahkan istana itu kepada mana-mana cahaya mata mereka yang dipilihnya.
Bagi membiayai kos pembelian Chateau de Saint-Cloud, ia sepatutnya dibiayai dengan penjualan aset lain seperti istana Chateau Trompette di Bordeaux. Namun, tindakan tersebut dikecam ramai ditambah dengan kos pengubahsuaian yang tinggi (enam juta livre) menyebabkan tidak banyak duit dapat disalurkan untuk membayar hutang negara.
3. Penggemar sejarah Perancis tahu golongan aristokrat dan monarki negara itu banyak menaungi pelbagai projek seni terutama seni lukis, muzik dan kesusasteraan. Dalam kes Antoinette, baginda banyak menaungi pelbagai projek termasuk seni dan kebudayaan.
Namun, sesetengah majlis yang dianjurkan bersifat terlalu mewah dan membazir sehingga mengundang rasa kurang senang ramai pihak dari kelompok aristokrat yang memusuhi Dinasti Bourbon hinggalah golongan marhaen.
4. Kebencian ini dimarakkan lagi dengan tuduhan penglibatan Antoinette dalam skandal pembelian rantai berlian dengan tujuan menipu dua pembuat barang kemas Perancis, Charles Auguste Boehmer dan Paul Bassange antara tahun 1784 hingga 1785.
Rantai berlian ini pada asalnya dibuat untuk perempuan simpanan Raja Louis XV, Madame du Barry dan ia kemudiannya cuba dijadikan sebagai hadiah oleh Louis XVI kepada Antoinette tetapi ditolak baginda. Ada berpandangan penolakan itu dibuat selepas mengambil kira sejarah du Barry sebagai perempuan simpanan nenda saudara suaminya itu.
Bagaimanapun, rantai berlian ini kemudiannya menjadi sasaran penipuan seorang penipu bernama Jeanne de la Motte dengan tujuan mendapatkan harta dan kedudukan terutama dalam kalangan anggota Dinasti Bourbon. Rancangan de la Motte menyaksikan femme fatale ini mempergunakan ramai orang untuk mencapai agendanya itu.
Namun, apabila plot tersebut terbongkar, Louis XVI dan Antoinette mengarahkan semua yang terlibat ditahan dan dihukum. Walaupun ada yang kemudiannya dibebaskan selepas dibuktikan bahawa mereka merupakan alat kepada de la Motte, masih ramai warga Perancis ketika itu percaya Antoinette mempergunakan de la Motte untuk menghapuskan musuh-musuh suaminya.
5. Tetapi sudah tentu, kata-kata yang paling popular yang dikaitkan dengan baginda ialah kata-kata ini, “Suruh diaorang makan kek.” Ia dikatakan ditujukan kepada rakyat yang amat memerlukan gandum pada ketika itu apabila diadukan masalah rakyat dan mengurangkan krisis kekurangan makanan yang melanda Perancis ketika itu.
Hakikatnya, terdapat beberapa individu yang dikatakan menyebut ungkapan itu seperti Maria Therese (Permaisuri Raja Louis XIV) dan beberapa anggota kerabat diraja abad ke-18 termasuk dua bonda saudara Louis XVI.
Ungkapan ini muncul dalam buku Confessions yang dikarang Jean Jacques-Rousseau pada tahun 1767. Jika nak dikaitkan dengan Antoinette, ada satu masalah.
Ia dikarang tiga tahun sebelum baginda tiba di Perancis. Dan bila ia diterbitkan pada tahun-tahun terakhir pemerintahan Louis XVI, ungkapan ini terus melekat pada Antoinette berikutan reputasi baginda yang buruk padahal ia diperkatakan oleh orang lain. Sesiapa pun yang menuturkannya, ia masih dibahaskan oleh sejarawan.
Semua perkara ini sama ada betul atau palsu, akhirnya membawa kepada kejatuhan Dinasti Bourbon pada 10 Ogos 1792. Seterusnya, ia juga membawa kepada kemangkatan Louis XVI pada Januari 1793 dan Antoinette pada Oktober 1793.
Kedua-duanya dihukum bvnvh dengan menggunakan mesin gilotin sekaligus memenuhi aspirasi ramai orang yang membenci kelibat mereka. Namun, Louis XVI dan Antoinette bukan satu-satunya mangsa Revolusi Perancis. Lebih ramai m4ti di tangan mesin gilotin dan Perancis terus mengalami ketidakstabilan sebelum ia akhirnya stabil di bawah penguasaan Napoleon.
Mungkin golongan-golongan T20 yang memperlekehkan marhaen B40 ini memiliki sindrom yang dimiliki oleh Antoinette. Ada yang lahir terus di atas dulang emas. Ayahnya orang kaya berpangkat Dato’. Cakap Melayu pun sampai nak kena buat “speak Malay Challenge” menunjukkan betapa pekatnya dia dilahirkan dalam kelompok “Bangsar Bubble.” Tidak memahami realiti pada marhaen ini mungkin mewujudkan delusi yang sama seperti Antoinette.
Tapi yang lebih menyedihkan, kewujudan artis yang asalnya dulu pon golongan B40 pon terjangkit virus Marie Antoinette. Langsung tidak ada empati pada golongan B40, malah turut menuntut kelas istimewa untuk mereka pada waktu krisis sebegini kepada kerjaan.
Dan orang-orang kaya, bangsawan dan raja-raja yang lupa diri pada zaman Marie Antoinette ini dibadai oleh revolusi Perancis. Rakyat yang jadi gila dek kelaparan menghukum mereka pada setiap pisau Gulloteine tajam, membiarkan kepala mereka bergolek jatuh.
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih