Sepanjang lipatan sejarah, wanita banyak memberi sumbangan besar baik dari segi politik, ekonomi dan sosial. Tahukah anda dalam Tamadun Assyria, wanita bukan sekadar menguruskan hal ehwal rumahtangga malah boleh dianggap sebagai usahawan
Malah ramai pakar arkeologi menggelar wanita Assyria sebagai pelabur, peniaga serta jurubank wanita pertama dalam sejarah manusiawi.
Dakwaan sebegini mungkin dipandang sepi golongan berpandangan sempit. Walau bagaimanapun, ia disokong dengan penemuan artifak 23,000 buah tablet tanah liat di tapak runtuhan rumah-rumah pedagang di Kanesh.
Tablet-tablet ini kepunyaan ekspatriat Assyria yang menetap di situ dan ia menjadi alat perhubungan mereka dengan keluarga di Assur. Tablet yang dihantar menggunakan kafilah-kafilah dagang selalunya mengambil masa enam minggu untuk sampai di Assur.
Kebanyakan tablet yang ditemui bertarikh sekitar 1900 hingga 1850 SM.
Tempoh tersebut merupakan era kegemilangan Tamadun Assyria di mana rangkaian perdagangannya berkembang pesat sekaligus membawa kemakmuran kepada kerajaan itu dan menginspirasikan pelbagai bentuk ciptaan.
Orang Assyria turut bertanggungjawab mencipta beberapa bentuk pelaburan dan antara yang pertama menulis tablet mereka sendiri.
Menerusi tablet-tablet ini, ia jelas membuktikan dunia perniagaan tidak sekadar didominasi oleh orang lelaki.
Malah, golongan wanita Assyria turut bergiat aktif dalam dunia tersebut. Menerusi dunia perniagaan juga, mereka dapat mengumpul kekayaan dan menguruskannya sekaligus menambah lagi kuasa dalam aspek kehidupan peribadi mereka.
Penyelidik kanan Pusat Penyelidikan Saintifik Kebangsaan Perancis (CNRS), Cecile Michel menyifatkan tablet-tablet ini sebagai manifestasi sikap wanita-wanita Assyria sebagai berdikari dan kuat.
Walaupun tablet-tablet ini mengandungi pelbagai kisah yang tersendiri, ia bersaiz kecil sebesar tapak tangan.
Kejayaan yang ditempa usahawan-usahawan wanita Assyria ini mewakili kejayaan komuniti perdagangan tamadun itu secara keseluruhannya.
Semasa kegemilangannya, kafilah-kafilah dagang ini dikuasakan oleh 300 ekor keldai dan merentas setiap lembah dan gunung sambil membawa komoditi perdagangan seperti bahan mentah, barangan mewah dan tablet tanah liat.
Mungkin ada menyangka terma syarikat pemilikan saham ini merupakan terma perniagaan moden.
Hakikatnya, sudah wujud versi terawal syarikat ini dalam Tamadun Assyria yang dikenali sebagai naruqqum. Naruqqum ialah syarikat di mana para pedagang menggabungkan dana duit perak mereka bagi membiayai operasi kafilah-kafilah dagang.
Mereka juga turut memperkenalkan jargon-jargon tertentu bagi melicinkan lagi urusan perniagaan mereka.
Misalnya, perkataan ‘tablet sudah mati’ merujuk kepada kontrak hutang yang dicatatkan dalam tablet sebelumnya sudah terbatal kerana hutang tersebut sudah dilunaskan.
Manakala ‘perak lapar’ pula bermaksud duit perak yang tidak dilaburkan dan terus berada dalam simpanan si pedagang.
Wanita-wanita Assyria turut memainkan peranan dalam rangkaian perdagangan antarabangsa Assyria.
Selain menghasilkan tekstil untuk kegunaan eksport, mereka turut menyediakan pinjaman kepada pedagang, membeli dan menjual rumah serta melabur dalam skim-skim naruqqum.
Tambah Michel, wang daripada semua urusan ini bukan sekadar membiayai rumahtangga mereka malah digunakan sebagai modal pelaburan seterusnya.
Lantaran kesibukan mereka menguruskan semua ini, tidak hairanlah mengapa ramai pedagang Assyria mempercayai isteri mereka sebagai rakan kongsi mereka.
Hal ini demikian kerana mereka boleh diharap bukan saja dalam urusan perniagaan seharian tetapi juga dalam soal kecemasan.
Misalnya dalam satu tablet, seorang pedagang meminta isterinya mengeluarkan beberapa tablet daripada simpanan mereka untuk digunakan sebagai cara menyelesaikan perniagaan mereka.
Tambah Michel lagi, ini menjadikan usahawan wanita ini sebagai penjaga arkib perniagaan. Ianya kerana semua tablet ini mengandungi banyak maklumat kewangan yang lumayan termasuk kontrak pinjaman atau naruqqum.
Wanita ini tidak teragak-agak menegur atau dalam kes tertentu, memarahi suami, ahli keluarga mereka atau klien agar memenuhi apa yang dinyatakan dalam tablet.
Sikap berdikari wanita Assyria sama sekali berbeza dengan wanita-wanita yang menetap di luar kerajaan tersebut seperti Babylon di selatan Iraq.
Contohnya dari segi perceraian, wanita Assyria boleh menuntut perceraian daripada suami mereka dan mendapat layanan saksama dalam perbicaraan di Kanesh.
Namun bagi wanita yang menetap di utara dan selatan Babylon, perceraian seolah-olah tiket pantas kembali ke negeri cacing.
Dengan kedudukan ekonomi yang kuat, tidak hairanlah sesetengah wanita Assyria meletakkan klausa-klausa tertentu dalam kontrak perkahwinan mereka.
Antara klausa yang banyak ditemui dalam tablet ialah larangan berkahwin dua atau mengembara secara bersendirian. Jika klausa sebegini dilanggar, ia boleh menggugat status perkahwinan mereka.
Artikel ini turut boleh dibaca di portal kewangan dan ekonomi kami, The Outlook.
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih