Pada bulan Mac yang lalu, pihak Marvel Studio melalui platform penstriman Disney+ telah menayangkan sebuah siri televisyen bertemakan adiwira yang bertajuk Moon Knight. Secara ringkasnya, siri TV Moon Knight merupakan sebuah siri yang diadaptasi dari sebuah siri komik Moon Knight yang juga merupakan sebahagian daripada keluaran pihak Marvel.

Siri TV ini memaparkan kisah berkenaan seorang lelaki lakonan Oscar Isaac yang memainkan watak Marc Spector dan Steven Grant yang mempunyai masalah kesihatan mental yang dikenali sebagai ‘dissociative identity disorder’ (DID). Ringkasnya, watak Marc Spector inilah yang menjadi satria purnama atau Moon Knight.

Penulis berpendapat, selain watak Moon Knight itu sendiri, watak lain yang wajar diberi tumpuan di dalam siri TV ini ialah watak Khonshu. Menurut penceritaan siri TV ini, Marc Spector ada membuat suatu perjanjian dengan dewa Khonshu untuk menjadi avatarnya. Sebelum itu, siapa itu Khonshu dan apa itu avatar? Ringkasnya begini, menurut narasi mitologi Mesir yang diceritakan di dalam siri TV ini, setelah umat manusia mengambil alih tugas sebagai pemerintah Mesir daripada para dewa.

Para dewa termasuklah Khonshu telah membuat keputusan untuk tidak lagi mencampuri urusan hal ehwal manusia dan menyerahkan tugas-tugas pemerintahan Mesir kepada manusia. Walaupun tidak mahu lagi mencampuri urusan manusia, namun para dewa telah bersepakat untuk mempertahan dan melindungi manusia daripada sebarang kuasa jahat dan kezaliman.

Jangan lupa dapatkan buku terbaru terbitan The Patriots, KITAB TAMADUN CINA di webstore kami: https://bit.ly/KTCAyman

Oleh itu, para dewa telah memilih dan melantik beberapa orang dari kalangan manusia untuk berkhidmat kepada mereka. Manusia-manusia yang terpilih inilah yang dipanggil sebagai avatar. Avatar-avatar ini akan bertindak sebagai mata-mata para dewa di muka bumi. Kembali semula kepada Marc, disebabkan perjanjian yang telah dibuat antara dia dengan Khonshu, Marc telah memperoleh sebahagian daripada kuasa Khonshu lantas membolehkan dia menjadi Moon Knight.

Namun siapakah Khonshu di dalam dunia sebenar? Apakah Khonshu benar-benar wujud di dalam mitologi masyarakat Mesir Purba? Jawapan ringkasnya, ya. Jikalau para pembaca ingin mengenali entiti misteri ini dengan lebih dekat, penulis menjemput para pembaca sekalian untuk sama-sama membaca artikel ini dan menelusuri kisah dan sejarah yang tersirat tentang dewa Bulan ini.

Dewa Khonshu seperti yang digambarkan di dalam siri televisyen Moon Knight (Kredit gambar: Marvel Studios)

Khonshu sebagai pengembara malam sembahan masyarakat Mesir Purba

Menurut kepercayaan masyarakat Mesir purba, dewa Khonshu yang turut dikenali dengan beberapa ejaan lain seperti Chonsu, Khensu, dan Khons merupakan dewa yang mempunyai kaitan dengan bulan. Nama Khonshu dipercayai membawa maksud ‘Pengembara’. Gelaran ‘pengembara’ ini diberikan oleh kerana mitologi masyarakat Mesir purba yang mempercayai bahawa Dewa Khonshu sering mengembara bebas di langit malam di bawah sinar purnama.

Dewa Khonshu lazimnya akan digambarkan sebagai mumia seorang lelaki yang memegang tongkat kebesaran selain juga memaparkan simbol-simbol kebesaran yang lain. Selain itu, Khonshu juga digambarkan dalam bentuk babun. Walau apapun, antara perkara yang membuatkan dewa Khonshu unik daripada dewa-dewa yang lain adalah dia sering digambarkan dengan memakai mahkota yang terletak padanya sebilah bulan sabit berada di atas bulan penuh. Mahkota ini merupakan simbolik kepada dirinya sebagai dewa bulan.

Jika diperhatikan, di tengah-tengah dada watak Moon Knight, terdapat juga hiasan bulan sabit. Selain dijadikan sebagai hiasan, Moon Knight juga dilihat beraksi melawan musuh dengan melontarkan bilah-bilah bulan sabit ibarat shuriken (Kredit gambar: Marvel Studios)

Secara umumnya, menurut mitologi masyarkat Mesir Purba, Dewa Khonshu merupakan pembantu kepada dewa Thoth ketika menjalankan tugas-tugas berkaitan dengan masa. Disamping itu, masyarakat Mesir purba juga mempercayai bahawa dewa Khonshu merupakan anak kepada pasangan dewan Amun dan dewa Mut.

Lantas, dewa Khonshu bersama dengan ibu bapanya menjadi keluarga dewa yang seterusnya menjadi sembahan masyarakat Thebes di bahagian Selatan Mesir. Namun, terdapat perbezaan mengenai asal usul Khonshu di kawasan yang lain, contohnya di Kom Ombo, masyarakat disana mempercayai bahawa dewa Khonshu merupakan anak kepada dewa Sobek dan dewa Mut.

Ketika era terakhir kerajaan baru sekitar 1110 SM, iaitu ketika zaman pemerintahan para firaun Ramesses (Ramesside Period), sebuah kuil yang ditujukan khas buat dewa Khonshu telah dibangunkan di kompleks kuil di Karnak. Kuil dewa Khonshu ini dibina berdekatan dengan kuil dewa Amun.

Dewa Khonshu di dalam teks-teks Mesir purba

Antara varian rupa dewa Khonshu menurut masyarakat Mesir Purba (Kredit gambar: Musée du Louvre/Christian Décamps)

Jika diperhatikan teks-teks keagaaman Mesir purba pada peringkat yang terawal, kita akan mendapati bahawa, dewa Khonshu digambarkan sebagai seorang dewa yang dahagakan darah. Perkara ini dapat dibuktikan melalui penemuan sebuah rangkap daripada teks pemujaan yang dapat ditemui tertulis pada teks piramid. Teks Piramid atau secara masyhurnya dikenali sebagai ‘Pyramid Texts’ merupakan kumpulan teks pengebumian Mesir Purba yang tertua pernah dijumpai setakat ini, teks ini dipercayai berasal dari zaman Kerajaan Lama. Menurut Faulkner, teks piramid mengandungi sebahagian besar maklumat berkenaan kepercayaan serta mitologi masyarakat Mesir Purba pada peringkat awal.

Di dalam teks piramid ini, antara bahagian yang menarik untuk dikaji adalah  bahagian ‘cannibal hymm’. Hal ini demikian kerana, di dalam bahagian ini, terdapat sebuah rangkap yang menyebutkan tentang dewa Khonshu yang berbunyi:

“Khonshu yang membunuh para dewa, mencekik mereka untuk raja (firaun), dan mengeluarkan segala yang terkandung dari tubuh para dewa untuk raja”

Firaun yang dimaksudkan di dalam rangkap ini dipercayai merujuk kepada Firaun Unas. Menerusi rangkap ini, Khonshu digambarkan sebagai dewa yang sedang membantu seorang firaun yang telahpun mati. Khonshu membantu firaun itu dengan membunuh dan memakan dewa-dewa yang lemah. Hal ini kononnya supaya firaun yang telah mati itu dapat menyerap kuasa para dewa yang telah ditewaskan oleh Khonshu itu. Walaupun dewa Khonshu sering disebut-sebut pada teks-teks terawal seperti di dalam teks piramid tadi. Namun, dewa Khonshu tidaklah menjadi dewa yang terkenal sehinggalah era kerajaan baru.

Antara gambar yang diambil di piramid Firaun Unas yang terletak di Saqqara. Gambar ini memaparkan rupa teks-teks purba yang terdapat di piramid tersebut. (Kredit gambar: http://www.ancient-egypt.org)

Satu lagi perkara yang menarik mengenai dewa Khonshu adalah dia juga dianggap sebagai dewa yang dipercayai mempunyai kebolehan untuk menyembuhkan penyakit. Jika diperhatikan, sifat penyembuh ini sama sekali amat bertentangan dengan gambaran terawal yang dinukilkan di dalam rangkap ‘Cannibal hymm’, yang lebih cenderung menggambarkan Khonshu sebagai dewa yang ganas serta dahagakan darah.

Berkenaan sifat dewa Khonshu yang dianggap sebagai dewa penyembuh, hal ini telah dibuktikan dengan sebuah penemuan sebuah artifak yang ditemui di kuil Konshu. Artifak ini dikenali dengan nama Stela Bentresh. Stela ini diberikan nama ‘Stela Bentresh” oleh kerana stela ini mengandungi sebuah kisah berkenaan seorang puteri yang bernama Bentresh.

Kisahnya bermula apabila seorang penguasa dari wilayah Bekhten mengutuskan sebuah rombongan ke Mesir bagi meminta bantuan daripada Firaun Ramesses II supaya dihantarkan beberapa pakar perubatan dari Mesir untuk mengubati penyakit yang sedang melanda puterinya, Bentresh. Firaun Ramesses II lalu bersetuju untuk menghantar beberapa orang cerdik pandai dari istananya untuk berangkat ke Bekhten bagi merawat penyakit Puteri Bentresh itu.

Malangnya, ketika utusan pakar-pakar perubatan Firaun Ramesses II tiba di Bekhten untuk mengubati puteri Bentresh, mereka mendapati bahawa penyakit yang dialami oleh puteri itu terlalu sukar untuk mereka pulihkan. Melihatkan keadaan yang agak tidak bernasib baik ini, penguasa Bekhten pun masih tidak berputus asa dalam usaha mencari penawar bagi mengubati puterinya itu. Perlu diketahui bahawa populariti dewa Khonshu sebagai dewa yang mampu menyembuhkan penyakit begitu meluas ketika zaman ini sehinggakan kisahnya juga tersebar ke Bekhten.

Disebabkan kegagalan pakar perubatan Firaun untuk merawat puteri Bentresh, penguasa Bekhten bertindak menghantar pula rombongan kedua ke Mesir bagi menghadap Firaun Ramesses II untuk meminta bantuan yang agak berlainan dan unik dari sebelum ini. Hal ini demikian kerana, daripada meminta dihantarkan pakar perubatan untuk merawat penyakit puterinya, penguasa Bekhten telah meminta agar dihantarkan dewa Khonshu untuk datang ke Bekhten bagi merawat penyakit puterinya. Firaun Ramesses II bersetuju untuk menghantarkan dewa Khonshu ke Bekhten.

Jangan lupa dapatkan buku terbaru terbitan The Patriots, GENESIS II di webstore kami: bit.ly/GenesisIIZamir

Selepas perjalanan yang mengambil masa kira-kira 17 bulan antara Mesir ke Bekhten, maka tibalah dewa Khonshu ke Bekhten. Ketibaan dewa Khonshu ke Bekhten disambut oleh penguasa serta para pembesar Bekhten. Sejurus selepas itu, dewa Khonshu lantas bertemu puteri Bentresh bagi merawat penyakit yang dialaminya itu. Semasa bertemu dengan puteri Bentresh, dewa Khonshu mendapati bahawa puteri itu sedang dirasuk oleh roh jahat.

Namun dengan kekuasaan yang ada pada dirinya, Khonshu dengan mudahnya berjaya menghalau roh jahat itu keluar daripada tubuh puteri Bentresh lantas menyembuhkan penyakitnya. Melihatkan kekuasaan yang ada pada diri dewa Khonshu yang telah berjaya mengubati puterinya itu, penguasa Bekhten bercadang untuk meminta agar dewa Khonshu menetap di Bekhten. Namun cadangan tersebut tidak kesampaian. Dewa Khonshu kemudiannya kembali semula ke kuilnya di Thebes. Disebabkan kisah mitos ini, populariti dewa Khonshu sebagai dewa penyembuh semakin masyhur di kalangan masyarakat Mesir Purba.

Kepercayaan berkenaan kuasa kesembuhan yang ada pada dewa Khonshu ini juga dikatakan masih lagi bertahan sehingga era-era terakhir tamadun Mesir Purba. Hal ini dikatakan demikian kerana, sebaik sahaja Firaun Ptolemy VI sembu daripada sebuah penyakit misteri, baginda terus mendakwa bahawa penyakit misteri yang membelenggu dirinya sebelum ini telah disembuhkan oleh tidak lain tidak bukan oleh dewa Khonshu. Disebabkan dakwaan yang dibuat oleh Firaun Ptolemy VI ini, baginda terus memberikan gelaran kepada dirinya yang berbunyi:

“Kekasih Khonshu, yang melindungi baginda (Ptolemy VI) dan penghalau roh jahat”

Selain dikaitkan dengan kuasa penyembuhan, dewa Khonshu juga dikaitkan dengan kebolehan yang lain seperti mempunyai kuasa untuk mengurniakan kesuburan. Demikianlah sedikit sebanyak kisah mengenai dewa Khonshu menurut mitologi Mesir Purba.

RUJUKAN:

Malek, Jaromir (2003). “The Old Kingdom (c.2160-2055 BC)”. In Shaw, Ian (ed.). The Oxford History of Ancient Egypt. Oxford University Press

Faulkner, R. O. (1924). The “Cannibal Hymn” from the Pyramid Texts. The Journal of Egyptian Archaeology, 10(2), 97–103. https://doi.org/10.2307/3854235

Morschauser, S. N. (1988). USING HISTORY: REFLECTIONS ON THE BENTRESH STELA. Studien Zur Altägyptischen Kultur, 15, 203–223. http://www.jstor.org/stable/44324587

Wallis, B. E. A. (1904). The gods of the Egyptians. Methuen & Co.


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Historofil yang punyai minat untuk berkongsi hasil dapatannya melalui wadah penulisan. Harapannya cuma satu, menjadi sebahagian daripada penyumbang kepada pembangunan tamadun anak bangsa menuju sebuah keagungan.

Leave A Reply