Dalam ayat 10 dan 11, Surah Al-Mukminun, Allah s.w.t menjanjikan syurga Firdaus kepada orang-orang yang layak. Orang-orang ini bukan saja mewarisi syurga Firdaus tetapi juga akan kekal di dalamnya untuk selama-lamanya. Persoalannya, siapakah mereka ini? Cirinya boleh dilihat pada ayat 2-9, surah yang sama.

1) Orang yang khusyuk dalam solatnya.

Kekhusyukan dalam solat merupakan kunci penting kepada solat kerana bila itu berlaku, ia memberi kesan luar biasa kepada sesiapa yang mendirikannya. Ini berdasarkan firman Allah s.w.t dalam ayat 1-2, Surah Al-Mukminun, “Sesungguhnya berjayalah orang yang beriman, iaitu mereka yang khusyuk dalam solatnya.”

Khusyuk dari segi bahasa menurut Ibnu Faris rahimahullah ialah satu sumber yang merujuk tunduk atau merendah. Dari segi istilah, para sahabat dan salafus soleh memberi beberapa penafsiran berbeza tentang ini namun ianya saling melengkapi antara satu sama lain kerana sesetengah daripada mereka memberi tafsiran dari segi lahiriyah. Sementara sebahagian lagi memberi tafsir dari segi batin. Ibnu Abbas r.a berpandangan khusyuk ialah tenang dan merendahkan diri. Saidina Ali r.a berpandangan tidak menoleh kiri dan kanan manakala Hasan al-Basri dan Qatadah menafsirkan ia sebagai orang-orang yang takut.

Definisi khusyuk dalam solat menurut para ulama ialah perasaan tawaduk dalam hati ke hadapan Tuhan Yang Maha Mengetahui perkara ghaib mengikut tafsir Imam Junaid al-Baghdadi rahimahullah. Sementara Ibnu Rajab al-Hanbali rahimahullah berpandangan perasaan lembut jantung hati, tenang, tunduk dan tetapnya ia.

Untuk mendapat kekhusyukan dalam solat, ada beberapa cara:

a) Mengingati mati. Ini berdasarkan satu hadis Nabi s.a.w, “Ingatlah kematian dalam solatmu kerana jika seseorang mengingat mati dalam solatnya, maka ia akan mempeelokkan solatnya. Solatlah seperti solat orang yang tidak menyangka bahawa dia masih berkesempatan untuk melakukan solat yang lain. Hati-hatilah dengan perkara yang kelak kamu terpaksa meminta uzur (meralatnya) (kerana tidak mampu memenuhinya).” (Riwayat Baihaqi)

b) Jangan tergesa-gesa semasa bersolat. Ini kerana bila mana kita tergesa-gesa melakukannya sehingga tidak ada thoma’ninah (ketenangan) semasa rukuk dan sujud, ia satu perbuatan yang ditegah Nabi s.a.w. Ini disokong oleh satu hadis, “Sesungguhnya Nabi S.A.W masuk ke dalam sebuah masjid lalu seorang lelaki juga turut masuk ke dalam masjid tersebut dan dia melakukan solat dua rakaat kemudian dia datang ke arah Nabi dan memberi salam kepada baginda. Maka Rasulullah S.A.W menjawab salam tersebut lalu berkata: Pergilah kamu dan solatlah kembali kerana sesungguhnya kamu masih belum solat.” (Riwayat Bukhari)

c) Hayati makna bacaan dalam solat. Telitilah setiap bacaan solat kerana pada ketika itu, itulah saat berdirinya seorang hamba di hadapan Tuhannya dan Al-Quran itu sendiri merupakan Kalamullah.

d) Elakkan solat bila makanan sudah tersedia. Bila mana makanan sudah tersedia, makanlah terlebih dahulu untuk menghilangkan rasa lapar. Dan ini dinyatakan sendiri baginda dalam satu hadis, “Jangan solat ketika makanan (yang hendak dimakannya) sedang tersedia, dan jangan solat dalam keadaan menahan buang air besar dan air kecil.” (Riwayat Muslim)

e) Elakkan solat dalam keadaan menahan hajat (membuang air kecil dan besar) atau kentut. Jika perlu, selesaikan dulu hajat sebelum mengambil wuduk dan menunaikan solat. Makruh bagi seseorang itu bersolat dalam keadaan menahan hajat kerana ini boleh menyebabkan seseorang itu tidak fokus menurut syarah Imam Nawawi rahimahullah.

Berusahalah untuk khusyuk dalam menunaikan solat kerana ia menambah lagi pahala solat dan kesempurnaan dalam solat. Dan kerana kekhusyukan kita, kita sebenarnya memenuhi ciri pertama pewaris syurga Firdaus.

2. Mengelakkan perkataan buruk dan sia-sia.

Antara perkara yang menyebabkan kita mudah melakukan dosa ialah menyebut perkataan-perkataan kasar dan kotor, lebih-lebih lagi jika kita dalam keadaan tertekan atau marah. Begitu juga sekiranya kita suka benar menghina dan mengumpat orang lain tanpa mempedulikan sensitiviti orang sekeliling. Usahlah buat perkara sedemikian kerana terlalu banyak firman Allah s.w.t dan hadis Nabi s.a.w yang mengingatkan kita akan bahaya lidah dan mengapa kita perlu menjaganya sebaik mungkin.

Allah s.w.t berfirman dalam ayat 70-71, Surah Al-Ahzab, “Wahai orang-orang yang beriman, bertaqwalah kepada Allah, dan katakanlah perkataan yang tepat – benar (dalam segala perkara), Supaya Ia memberi taufiq dengan menjayakan amal-amal kamu, dan mengampunkan dosa-dosa kamu. Dan (ingatlah) sesiapa yang taat kepada Allah dan RasulNya, maka sesungguhnya ia telah berjaya mencapai sebesar-besar kejayaan.” Dalam ayat 16-18, Surah Qaf, Allah s.w.t berfirman, “Dan demi sesungguhnya, Kami telah mencipta manusia dan Kami sedia mengetahui apa yang dibisikkan oleh hatinya, sedang (pengetahuan) Kami lebih dekat kepadanya daripada urat lehernya, Semasa dua malaikat (yang mengawal dan menjaganya) menerima dan menulis segala perkataan dan perbuatannya; yang satu duduk di sebelah kanannya, dan yang satu lagi di sebelah kirinya. Tidak ada sebarang perkataan yang dilafazkannya (atau perbuatan yang dilakukannya) melainkan ada di sisinya malaikat pengawas yang sentiasa sedia (menerima dan menulisnya).”

Dari Abu Hurairah r.a, Nabi s.a.w bersabda, “Sesungguhnya Allah meredhai kamu pada tiga perkara dan membenci kamu pada tiga perkara. Allah meredhai kamu bila kamu menyembah-Nya dan tidak mempersekutukan-Nya, berpegang teguh kepada tali (agama) Allah dan janganlah kamu berpecah-belah. Dan Allah membenci kamu bila berkata tanpa asas, banyak bertanya perkara yang tidak berfaedah dan mensia-siakan harta.” (Riwayat Muslim) Dalam satu hadis lain, seorang lelaki bertanya kepada baginda, “Siapa Muslim yang paling baik?” Rasulullah s.a.w menjawab, “Orang di mana orang lain merasa selamat daripada gangguan lisan dan tangannya.” (Riwayat Muslim)

Gunakan lidah dengan menyebut perkataan-perkataan yang baik atau memuji kebesaran-Nya. Jangan kerana lidah, kita jadi orang muflis di sisi-Nya pada hari akhirat kelak.

3. Orang yang menyucikan harta dengan berzakat.

Sesetengah daripada kita masih enggan berzakat kerana bimbang sekiranya mereka berzakat, ia akan mengurangkan harta mereka. Ada juga yang beralasan kesibukan menghalang mereka untuk menunaikan tanggungjawab ini. Alasan-alasan sebegini sebenarnya membuatkan kelompok ini bukan saja terlepas ganjaran berzakat tetapi juga berdepan bahaya kerana enggan membayar zakat.

Antara kelebihan orang berzakat termasuklah:

a) Allah gandakan lagi pahala orang tersebut. Ini berdasarkan firman-Nya dalam ayat 261, Surah Al-Baqarah, “Bandingan (derma) orang-orang yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah, ialah sama seperti sebiji benih yang tumbuh menerbitkan tujuh tangkai; tiap-tiap tangkai itu pula mengandungi seratus biji. Dan (ingatlah), Allah akan melipatgandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendakiNya, dan Allah Maha Luas (rahmat) kurniaNya, lagi Meliputi ilmu pengetahuanNya.”

b) Salah satu tanda orang beriman. Ini berdasarkan firman Allah s.w.t dalam ayat 1-3, Surah An-Naml, “Taa, siin. Ini ialah ayat-ayat Al-Quran, juga Kitab yang jelas nyata (kandungannya dan kebenarannya), Menjadi hidayah petunjuk dan berita gembira bagi orang-orang yang beriman, Iaitu mereka yang tetap mendirikan sembahyang dan memberi zakat, sedang mereka pula percaya dengan yakin akan hari akhirat.”

c) Harta orang berzakat makin bertambah. Ini berdasarkan sabda Nabi s.a.w, “Zakat itu tidak akan mengurangi harta.” (Riwayat Muslim) Para ulama mensyarahkan hadis tersebut berpandangan dengan zakat, Allah memelihara harta tersebut daripada kemudaratan dan gangguan manusia. Bahkan dengan zakat, Allah memberi ilham bagaimana harta tersebut dapat dimanfaatkan dan dikembangkan lagi kepada pemiliknya.

d) Zakat membersihkan hati daripada penyakit hati seperti hasad dan dendam. Sukar melahirkan masyarakat yang saling berkasih sayang dan tolong menolong antara satu sama lain sekiranya penyakit hati ini dibiarkan saja menjadi kanser dalam masyarakat. Dan ini telah dibuktikan menerusi perlaksanaan zakat dan membuktikan masyarakat penyayang bukanlah fantasi semata-mata. Ini diperkukuhkan lagi dengan firman Allah s.w.t dalam ayat 103, Surah At-Taubah, “Ambilah (sebahagian) dari harta mereka menjadi sedekah (zakat), supaya dengannya engkau membersihkan mereka (dari dosa) dan mensucikan mereka (dari akhlak yang buruk); dan doakanlah untuk mereka, kerana sesungguhnya doamu itu menjadi ketenteraman bagi mereka. Dan (ingatlah) Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.” Ibnu Abbas r.a menjelaskan bahawasanya setiap kalimah sedekah dalam Al-Quran lebih difahami dengan makna zakat yang wajib.

e) Zakat mewujudkan keamanan dalam negara. Sheikh Ali al-Jarjawi rahimahullah berpandangan kebanyakan bala atau musibah yang menimpa masyarakat dan negara kerana berlakunya pengabaian perlaksanaan zakat. Dan bila ini berlaku, ia turut mewujudkan natijah lebih parah seperti peningkatan kadar jenayah dan pertambahan bilangan penjenayah dalam penjara kerana harta dan kewangan.

Usahlah berkira dalam soal zakat ini. Ini kerana Allah mengancam golongan ini berdasarkan firman-Nya dalam ayat 180, Surah Ali Imran, “Dan jangan sekali-kali orang-orang yang bakhil dengan harta benda yang telah dikurniakan Allah kepada mereka dari kemurahanNya – menyangka bahawa keadaan bakhilnya itu baik bagi mereka. Bahkan ia adalah buruk bagi mereka. Mereka akan dikalongkan (diseksa) dengan apa yang mereka bakhilkan itu pada hari kiamat kelak. Dan bagi Allah jualah hak milik segala warisan (isi) langit dan bumi. Dan (ingatlah), Allah Maha Mengetahui dengan mendalam akan segala yang kamu kerjakan.”

Nabi s.a.w turut mengingatkan golongan sebegini dengan satu hadis riwayat Muslim, “Setiap pemilik emas dan perak yang tidak menunaikan haknya (zakatnya) maka dia akan dijadikan kepingan logam lalu dibakar dengan api neraka, kemudian diselarnya ke rusuk, dahi serta belakang mereka pada hari yang kadarnya ialah lima puluh ribu tahun sehingga diputuskan keadaannya di hadapan orang ramai, kemudian diperlihatkan jalannya sama ada ke syurga atau ke neraka. Begitu juga kepada pemilik lembu dan kambing yang tidak menunaikan haknya (zakatnya) maka pada hari kiamat binatang tersebut akan datang memijak-mijak dengan kaki dan juga menanduk-nanduk dengan tanduknya. Selepas dihukum, dikembalikan semula seperti mana mulanya sehinggalah Allah s.w.t menetapkan hukuman hamba-Nya pada hari yang kadarnya lima puluh ribu tahun dari tahun yang kamu kirakan, kemudian diperlihatkan jalannya sama ada ke syurga atau ke neraka.”

4. Menjaga kehormatan dirinya.

Pada hari ini, cabaran untuk menjaga kehormatan diri begitu sukar terutama dengan kewujudan laman media sosial. Ada saja perkara yang bisa membuatkan nafsu bergelora. Salah percaturan, ia boleh mengheret kita ke kancah perzinaan. Ini berdasarkan hadis Nabi s.a.w ini, “Allah menetapkan atas anak Adam bahagiannya daripada zina, dia pasti melakukan hal itu dengan tidak dimungkiri lagi. Zina mata adalah memandang, zina lisan adalah bicara, jiwa mengkhayal dan (akhirnya) kemaluan yang akan membenarkan semua itu atau mendustakannya.” (Riwayat Bukhari) Dalam satu hadis lain, baginda turut menambah perkara yang membawa kepada perzinaan, “Sesungguhnya manusia itu telah ditentukan nasib perzinaannya yang tidak mustahil dan pasti akan dijalaninya. Zina kedua mata adalah melihat, zina kedua telinga adalah mendengar, zina lidah adalah berbicara, zina kedua tangan adalah menyentuh, zina kedua kaki adalah melangkah, dan zina hati adalah berkeinginan dan berangan-angan, sedangkan semua itu akan dilanjuti atau ditolak oleh kemaluan.” (Riwayat Muslim)

Perzinaan ialah satu perbuatan terkeji di sisi agama. Ini ditegaskan Allah s.wt dalam ayat 32, Surah Al-Isra’, “Dan janganlah kamu mendekati zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang sangat buruk.” Maka atas sebab itu, Islam mensyariatkan perkahwinan untuk menyelamatkan manusia daripada terjerumus ke kancah perzinaan. Ini dinyatakan Rasulullah s.a.w dalam satu hadis, “Wahai pemuda-pemuda! Barangsiapa yang mampu, maka berkahwinlah kerana ia menutup pandangan dan menjaga kemaluan.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Berusahalah menjaga kehormatan diri kerana ganjarannya sangat besar di sisi Allah s.w.t. Bagi kaum Hawa, Nabi s.a.w menceritakan ganjarannya dalam hadis riwayat Imam Ahmad bin Hanbal rahimahullah ini, “Jika seorang wanita menjaga solat lima waktu, berpuasa sebulan pada bulan Ramadan, menjaga kehormatan diri dan taat kepada suaminya, maka dikatakan pada wanita tersebut, “Masuklah ke dalam syurga mengikut mana-mana pintu yang kamu suka.”

Manusia yang suka melakukan perzinaan akan binasa bukan saja di dunia, bahkan di akhirat. Ini ditegaskan Rasulullah s.a.w dalam satu hadis, “Jauhilah oleh kamu akan zina kerana akan ditimpa dengan empat kecelakaan, iaitu hilang seri pada mukanya, disempitkan rezekinya, mendapat kemurkaan Allah, dan lamanya berada dalam neraka.” (Riwayat Tabrani) Dan ini disokong oleh kenyataan rektor Universiti Al-Azhar, Sheikh Mustafa al-Maraghi, “Wahai umat manusia, takutlah terhadap perbuatan zina, kerana perbuatan ini akan mengakibatkan enam perkara, yang tiga di dunia dan yang tiga lagi di akhirat. Adapun yang akan menimpa di dunia ialah menghilangkan wibawa, mengakibatkan kefakiran, mengurangi umur. Dan tiga lagi yang akan dijatuhkan di akhirat: mendapat marah daripada Allah, hisab yang jelek (banyak dosa) dan seksaan neraka.”

Dan bidang perubatan turut mengesahkan perbuatan begini turut mengancam kesihatan manusia secara jangka panjang melalui penyakit kelamin. Antara penyakit kelamin yang boleh mengancam kesihatan ialah sifilis, sejenis penyakit berjangkit yang dibawa oleh kuman Treponema pallidium yang menyebabkan luka kecil seperti luka cucuhan rokok. Dari situ, ia tersebar ke seluruh badan manusia dan menjadi kudis, di mana pesakit mengalami tanda-tanda seperti mual, muntah-muntah, sakit sendi dan bengkak seluruh badan. Sementara penyakit AIDS pula boleh menyerang sistem imun manusia, menyebabkan ia tidak dapat melawan penyakit seperti biasa.

5. Menjaga amanah dan janji.

Hari ini, terlalu banyak perlanggaran amanah dan janji terpampang dalam paparan media atau dalam kehidupan seharian kita. Cakaplah apa saja berkenaan ini dan saya yakin ada di antara kita pernah melakukannya. Gagal menepati masa temujanji atau mesyuarat, mengambil masa lama di luar sehingga lewat masuk pejabat, sekolah atau universiti atau mungkir janji pada anak-anak tentang hadiah jika mereka berjaya melakukan sesuatu. Hentikanlah perbuatan sebegini kerana perbuatan mengkhianati amanah dan memungkiri janji ini merupakan antara sifat orang munafik. Dan ini dinyatakan Nabi s.a.w dalam satu hadis yang diriwayatkan Abu Hurairah r.a, “Tanda orang munafik ada tiga: bila bercakap, mereka berbohong, bila berjanji, mereka memungkirinya dan bila diberi amanah, mereka mengkhianatinya.” (Riwayat Bukhari)

Dalam satu hadis lain, seorang lelaki bertanya kepada baginda bila berlakunya hari kiamat. Rasulullah menjawab, “Bila amanah itu disia-siakan, maka tunggulah hari kiamat.” Lelaki tersebut bertanya lagi, “Bagaimana amanah itu disia-siakan?” Baginda menjawab, “Apabila sesuatu perkara diserahkan kepada orang yang bukan ahlinya, maka tunggulah hari kiamat itu tiba.” (Riwayat Tirmidzi) Anas r.a meriwayatkan baginda bersabda, “Tidak ada iman bagi orang yang tidak amanah dan tidak ada agama bagi orang yang memungkiri janjinya.” (Riwayat Ahmad)

Sifat amanah merupakan antara kualiti mulia yang dimiliki para anbiya terdahulu. Dan ini dinyatakan secara jelas oleh Allah s.w.t dalam ayat 107, 125, 143, 162 dan 178, Surah As-Syu’araa’, “Sesungguhnya aku ini ialah Rasul yang amanah, (yang diutus oleh Allah) kepada kamu.” Para rasul yang menyebut sifat ini kepada umat mereka ialah Nabi Nuh a.s, Nabi Hud a.s, Nabi Saleh a.s, Nabi Lut a.s dan Nabi Syuaib a.s. Bahkan, nabi kita, Muhammad s.a.w turut digelar Al-Amin kerana baginda seorang amanah dalam menjalankan semua urusan. Sehinggakan walaupun ramai musyrikin Quraisy memusuhi baginda, masih ramai yang meminta baginda menyimpan barang bagi pihak mereka kerana mengagumi sikap amanah yang dimilikinya.

Berusahalah menjaga amanah dan tidak mengkhianati janji kerana ini salah satu tanda orang beriman. Allah s.w.t berfirman dalam ayat 27, Surah Al-Anfal, “Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mengkhianati (amanah) Allah dan RasulNya, dan (janganlah) kamu mengkhianati amanah-amanah kamu, sedang kamu mengetahui (salahnya).” Ibnu Abbas r.a menafsirkan ayat ini bahawasanya amanah-amanah yang disebut dalam ayat ini ialah kewajipan-kewajipan yang telah diberi Allah s.w.t kepada hamba-hamba-Nya untuk menunaikannya.

Jika merasakan tidak berkemampuan untuk menerima amanah atau berjanji tentang sesuatu perkara, jangan lakukannya dan serahkan kepada orang yang lebih berkemampuan. Ini kerana orang yang lemah dan suka khianat diselar Allah s.w.t sebagai orang yang zalim dan bodoh kerana menerima amanah berdasarkan firman-Nya dalam ayat 72, Surah Al-Ahzab, “Sesungguhnya Kami telah kemukakan tanggungjawab amanah (Kami) kepada langit dan bumi serta gunung-ganang (untuk memikulnya), maka mereka enggan memikulnya dan bimbang tidak dapat menyempurnakannya (kerana tidak ada pada mereka persediaan untuk memikulnya); dan (pada ketika itu) manusia (dengan persediaan yang ada padanya) sanggup memikulnya. (Ingatlah) sesungguhnya tabiat kebanyakan manusia adalah suka melakukan kezaliman dan suka pula membuat perkara-perkara yang tidak patut dikerjakan.” Ibnu Kathir rahimahullah mensyarahkan orang yang mensia-siakan amanah dalam ayat ini akan diseksa kerana tidak dapat memenuhi beban dan syarat dalam menanggung amanah. Beliau turut menambah orang-orang yang diberi taufik dan hidayah-Nya sentiasa memohon pertolongan-Nya kerana hanya Dia saja yang dapat membantu mereka menunaikan amanah yang diberi.

6. Memelihara solat fardu.

Nampak remeh tetapi hakikatnya, ini satu perkara yang kita perlu jaga sehingga ke akhir hayat. Ini kerana solat perkara pertama yang akan ditanya Allah s.w.t pada hamba-Nya pada hari akhirat kelak. Ini berdasarkan satu hadis riwayat An-Nasa’i ini, “Sesungguhnya yang petama kali akan dihisab atas seorang hamba pada hari kiamat adalah perkara shalat. Jika Shalatnya baik, maka baik pula seluruh amalan ibadah lainnya, kemudian semua amalannya akan dihitung atas hal itu.” Kegagalan kita memeliharanya dengan baik boleh menyebabkan kita tercampak dalam neraka. Ini berdasarkan firman Allah s.w.t dalam ayat 42-43, Surah Al-Muddatthir, “(Setelah melihat orang-orang yang bersalah itu, mereka berkata): “Apakah yang menyebabkan kamu masuk ke dalam (neraka) Saqar?. Orang-orang yang bersalah itu menjawab: “Kami tidak termasuk dalam kumpulan orang-orang yang mengerjakan sembahyang.”

Dan solat merupakan salah satu daripada lima teras agama Islam. Ini ditegaskan Nabi s.a.w dalam satu hadis yang diriwayatkan oleh Abdullah bin Umar r.a, “Islam ditegakkan diatas lima perkara: iaitu bersyahadah bahawa tiada Tuhan yang disembah melainkan Allah dan bahawa Nabi Muhammad ini Rasulullah, mendirikan solat, mengeluarkan zakat, berpuasa dalam bulan Ramadhan dan mengerjakan haji bagi yang berkemampuan menunaikannya.” (Riwayat Bukhari dan Muslim) Malah seawal usia tujuh tahun, anak-anak telah diajar untuk mengenali solat dan mereka boleh dipukul jika meninggalkannya pada usia 10 tahun berdasarkan hadis riwayat Ahmad, Abu Daud dan Hakim.

Terlalu banyak kelebihan memelihara solat sama ada dalam Al-Quran atau hadis Nabi s.a.w. Antaranya, satu hadis yang diriwayatkan oleh Jabir r.a, “Anak kunci syurga itu ialah solat.” (Riwayat Ahmad) Orang yang solat pada awal waktu patut gembira kerana ini antara tiga amalan yang disukai Allah s.w.t selain berlaku baik kepada ibu bapa dan berjihad di jalan-Nya berdasarkan jawapan baginda kepada soalan Abdullah bin Mas’ud r.a. Dalam satu hadis lain, baginda bersabda, “Tiga perkara yang tidak harus dilambat-lambatkan iaitu solat bila sudah masuk waktu, mengebumikan jenazah setelah selesai urusan (mandi dan kafan) dan perkahwinan seorang gadis setelah ditemui pasangan yang sesuai untuknya.” (Riwayat Tirmidzi)

Kita benar-benar mahukan syurga terutama syurga Firdaus tetapi persoalannya, mampukah kita memenuhi parameter yang disediakan Tuhan berdasarkan ayat 2-9, Surah Al-Mukminun? Tepuk dada, tanya iman kita.

Sumber:

1. Pusat Kutipan Zakat Pahang. Galakan dan Kelebihan Membayar Zakat. http://www.zakatpahang.my/V2/ZakatPengertianGalakandanKelebihanMembayarZakat.aspx

2. Unit Khutbah, Bahagian Pengurusan Masjid, Jabatan Agama Islam Selangor. (2015). Solat Tiang Agama. http://e-masjid.jais.gov.my/uploads/uploads/02.10.2015%20(rumi)%20SOLAT%20TIANG%20AGAMA.doc.pdf

3. Basiron, Bushrah. (2015). Himpunan Hadis Mengenai Solat. http://islamic.utm.my/bushrah/2015/12/08/himpunan-hadis-mengenai-solat/

4. Usman Rozali, Abu Abdillah Arief B. (2010). AlManhaj. Siapakah Yang Layak Diberi Amanah. https://almanhaj.or.id/2711-siapakah-yang-layak-diberi-amanah.html

5. Jabatan Mufti Pahang. (2017). Khutbah Jangan Hampiri Zina. http://mufti.pahang.gov.my/images/khutbah/2017/aprilrumi/21.4.2017.pdf

6. Hasan, Wan Ramizah dan Mat Rashid, Azizah. (2016) Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS). Maksiat Zina Menurut Perspektif Al-Quran dan Hadis: Tinjauan Terhadap Faktor dan Kedudukannya Dalam Perundangan Syariah Malaysia. http://conference.kuis.edu.my/irsyad/eproceeding/2016/1084-irsyad-2016.pdf

7. Web Muslimah. (2014). 4 Kelebihan Wanita Masuk Surga dari Pintu Manapun. http://webmuslimah.com/4-kriteria-wanita-masuk-surga-dari-pintu-manapun/

8. Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan. (2015). Hikmah dan Kelebihan Zakat. http://www.muftiwp.gov.my/index.php/ms-my/perkhidmatan/irsyad-fatwa/edisi-ramadan/706-hikmah-dan-faedah-zakat

9. Hamd Al-Abbad Al-Badr, Abdul Muhsin. (2012). AlManhaj. Menjaga Lisan Agar Selalu Berbicara Baik. https://almanhaj.or.id/3197-menjaga-lisan-agar-selalu-berbicara-baik.html

10. Rusli, Muhammad Fahmi. (2016). Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan. Irsyad Al-Fatwa Ke-145: Hukum Solat Tidak Khusyuk. http://www.muftiwp.gov.my/index.php/ms-my/perkhidmatan/irsyad-fatwa/909-irsyad-al-fatwa-ke-145-hukum-solat-tidak-khusyuk

11. Mohamad Fuad, Mohamad Razif. (2017). Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan. Bayan Linnas Siri Ke-82: Khusyuk Solat: Hukum dan Cara Mendapatkannya. http://www.muftiwp.gov.my/index.php/ms-my/perkhidmatan/bayan-linnas/1366-bayan-linnas-siri-ke-82-khusyuk-solat-hukum-dan-cara-mendapatkannya

12. Daud At-Turabi, Shahrizan dan Mohd Kashif, Izhar Ariff. (2017). Astro Oasis. Tazkirah Malam Jumaat. Episod: Kalau Aku Kaya.

13. Alauddin, Badli Shah. (2014). TVAlhijrah. Cinta Ilmu: Akidah dan Falsafah. Episod: Pintu-Pintu Syurga.

 


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Graduan Bachelor of Business Admin (Human Resource) dari UNITAR yang meminati sejarah sejak 11 tahun. Ketika ini merupakan saudagar simkad Tone Excel. Harapan terbesar ialah melihat saudara seagama dan sebangsa kembali bersatu di bawah satu panji dan terus maju bersama. Tanpa perpaduan, manusia tidak akan ke mana-mana, malah tidak akan dapat membina sebuah tamadun yang gemilang seperti mana yang dilakukan oleh nenek moyang kita yang lepas. Dan sejarah adalah saksi bahawasanya perpaduan kunci penting dalam membina sebuah tamadun yang gemilang.

Leave A Reply