Kejam, tamak dan ganas. Itulah antara sifat-sifat yang dimiliki oleh seekor makhluk mitologi bernama Ammit seperti yang dipersembahkan di dalam siri Moon Knight. Namun apakah dewi Ammit ini benar-benar memiliki sifat-sifat seperti yang kita saksikan di dalam siri itu? Bagi mengetahui kisah dan perihal makhluk mitos ini dengan lebih dekat, penulis berbesar hari untuk menjemput para pembaca sekalian untuk menekuni artikel ini.

Kedudukan serta peranan dewi Ammit di dalam mitologi masyarakat Mesir purba sebenarnya lebih tertumpu kepada penceritaan berkenaan alam kematian. Hal ini dilihat bertentangan sama sekali dengan paparan yang ditonjolkan di dalam siri Moon Knight. Ini kerana, di dalam siri Moon Knight, dewi Ammit dipersembahkan sebagai seorang dewi yang disembah dan dipuja serta mempunyai pengikut yang ramai. Namun realitinya menurut mitologi Mesir purba, bukan itu menjadi keutamaan masyarakt Mesir pada ketika itu.

Jangan lupa dapatkan buku terbaru terbitan The Patriots, KITAB TAMADUN CINA di webstore kami: https://bit.ly/KTCAyman

Hal ini dapat dibuktikan melalui lakaran serta seni ukiran yang dihasilkan oleh masyarakat Mesir purba, dewi Ammit lazimnya akan ditampilkan berada berdekatan dengan dacing keadilan (Scale of justice) di samping dewa Thoth dan dewa Anubis. Hal ini kerana, dewi Ammit bertindak sebagai pembantu serta peneman kepada dua dewa ini sewaktu menjalankan proses pengadilan bagi menentukan nasib para manusia di alam kematian.

Kelihatan dewi Ammit sedang berdiri di belakang dewa Thoth, menurut kepercayaan, dewa Ammit akan melahap jantung sesiapa sahaja yang gagal dalam proses pengadilan bagi memasuki Duat (Kredit foto: British Museum)

Menurut kepercayaan masyarakat Mesir purba, sekiranya pada dacing tersebut (Scale of justice) terlihat bahawa timbangan jantung seseorang itu berada pada kedudukan yang setaraf dan stabil dengan timbangan bulu pelepah Ma’at1, maka bergembiralah seseorang itu kerana dia telah berjaya melengkapkan kehidupannya untuk berlayar ke Duat bagi bertemu dengan dewa segala alam kematian, dewa Osiris.

Namun, sekiranya pada dacing itu terlihatnya timbangan jantung lebih berat berbanding timbangan bulu pelepah Ma’at, maka bersiap-sedialah seseorang itu kerana jantungnya akan dilempar oleh dewa Anubis sebagai hidangan kepada dewi Ammit yang bersedia dengan kerakusannya untuk melahap jantung itu. Menariknya, terdapat sedikit persamaan antara mitologi ini dengan apa yang dipertontonkan di dalam siri Moon Knight.

Hal ini kerana, di dalam siri Moon Knight, kita juga dapat menyaksikan dewi Ammit menyedut dan menyerap roh-roh manusia yang tidak memiliki hati yang baik dan murni. Oleh itu jelaslah bahawa apa yang digambarkan oleh siri ini agak selari dengan apa yang tercatat di atas lembaran mitologi masyarakat Mesir purba. Adapun sebaik sahaja jantung seseorang manusia itu dilahap kenyang oleh Ammit, maka lenyaplah manusia itu buat selama-lamanya.

 

Gabungan fizikal buaya, singa serta badak air merupakan manifestasi bahawa mampu Ammit dapat hidup di atas daratan mahupun di dalam air. Gabungan fizikal ini lantas menegaskan bahawa, tiada sesiapa yang mampu lari dan terlepas daripada amukan dewi Ammit. (kredit gambar: Jeff Dahl)

Berdasarkan gambar di atas, kita dapat melihat bahawa fizikal dewi Ammit digambarkan sebagai seorang dewa yang agak mengerikan serta berlainan dengan dewa-dewi kebanyakan. Hal ini kerana, bentuk fizikalnya merupakan gabungan daripada tubuh badan haiwan-haiwan yang ganas. Kepala buaya yang terkenal dengan kebengisan dan gigi tajamnya menjadi kepala Ammit, separuh daripada badannya pula datang daripada badan singa yang gagah perkasa, manakala kaki badak air pula menjadi kakinya.

Jika diperhatikan, kombinasi fizikal haiwan-haiwan ini merupakan sebuah kombinasi yang mantap yang cukup padu untuk menakut-nakutkan masyarakat Mesir purba. Mana tidak tidaknya, kesemua haiwan ini; singa, buaya dan badak air adalah haiwan yang amat digeruni oleh masyarakat di lembah Nil pada ketika itu.

Jangan lupa dapatkan buku terbaru terbitan The Patriots, GENESIS II di webstore kami: bit.ly/GenesisIIZamir

Menariknya lagi, memandangkan Ammit mempunyai anggota haiwan yang datang daripada dua habitat; air dan darat. Oleh itu, gabungan fizikal ini lantas seolah-olah bertindak sebagai amaran dan peringatan bahawa tiada tempat di atas dunia ini bagi sekalian manusia untuk melarikan diri dan menyorok daripada amukan Ammit. Demikianlah sedikit sebanyak kisah dan perihal mengenai dewi Ammit, selamanya akan dikenang sebagai pelahap jiwa para pendosa.

Nota:

1. Ma’at merujuk kepada sebuah konsep yang menjadi pegangan masyarakat Mesir purba. Konsep Ma’at merangkumi nilai-nilai murni, antaranya; kebenaran, penegakan undang-undang, keseimbangan, ketertiban, keharmonian, keadilan, dan moral.

RUJUKAN:

H., W. T. A. (2008). The Thames & Hudson Dictionary of Ancient egypt. Thames & Hudson.

Pinch, G. (2004). Egyptian mythology a guide to the gods, goddesses, and traditions of Ancient Egypt. Oxford University Press.


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Historofil yang punyai minat untuk berkongsi hasil dapatannya melalui wadah penulisan. Harapannya cuma satu, menjadi sebahagian daripada penyumbang kepada pembangunan tamadun anak bangsa menuju sebuah keagungan.

Leave A Reply