“اللهم صل على محمد وعلى آله وأصحابه أجمعين”
“Ya Allah, limpahkanlah kesejahteraan ke atas Muhammad (Rasulullah) beserta ahli keluarga baginda dan para sahabat baginda sekaliannya.”
Selawat adalah satu ibadah tuntutan ke atas setiap umat Islam, bahkan kita diwajibkan berselawat sekurang-kurangnya sebanyak sembilan kali dalam ibadah solat yang wajib kita lakukan lima kali sehari. Solawat atau selawat ialah bacaan doa kepada Allah SWT ke atas junjungan Nabi Muhammad SAW dan ahli keluarga baginda. Terdapat juga selawat yang turut mendoakan kesejahteraan para sahabat baginda radhiyallahu ‘anhum (RA). Persoalannya siapakah yang disebutkan “Ahlul Bayt” atau ahli keluarga Rasulullah SAW dan para sahabat baginda? Selain dua golongan tersebut, golongan tabi’in dan tabi’ut tabi’in juga adalah kelompok manusia yang wajar dimuliakan oleh umat Islam kerana mereka adalah para ulama generasi pertama yang mendapat didikan langsung daripada para sahabat dan anak murid mereka. Siapakah keempat-empat golongan manusia tersebut?
- Ahlul Bayt
Menurut sebuah buku tulisan Tun Suzana Tun Hj. Othman dan Hj. Muzaffar Mohammad yang bertajuk “Ahlul-Bait (Keluarga) Rasulullah SAW dan Kesultanan Melayu,” golongan Ahlul Bayt (Anggota Rumah / Keluarga Rasulullah SAW) merangkumi enam golongan iaitu:
- Lima orang Ahlul Bayt (أهل البيت) yang utama iaitu Rasulullah SAW, puteri baginda Fatimah az-Zahrah RA, suaminya yang juga merupakan sepupu sebelah ayahnya iaitu ‘Ali bin Abi Talib RA, beserta dua orang anak mereka yang juga merupakan cucu lelaki Rasulullah SAW iaitu Hassan dan Hussein RA. Mereka juga digelar Ahlul Kisa’ (Golongan yang mendapat ‘selimut kenabian’). Selain itu keturunan Hassan dan Hussein daripada garis lelaki juga termasuk dalam golongan Ahlul Bayt.
- Aalul Bayt (آل البيت). Mereka ialah orang-orang muslim dalam kalangan kaum kerabat besar Rasulullah SAW iaitu keturunan garis lelaki Bani Hasyim (jurai baginda) dan Bani Mutalib (jurai moyang saudara baginda). Jurai keturunan Bani Naufal dan Bani ‘Abdu Syams tidak termasuk dalam golongan tersebut kerana mereka tidak turut bersama Rasulullah SAW ketika peristiwa pemboikotan dan pemulauan ke atas Bani Hashim sebelum peristiwa Hijrah. Termasuk dalam golongan Aalul Bayt ini ialah beberapa orang bapa saudara dan ibu saudara baginda yang muslim seperti Hamzah, ‘Abbas, Safiyyah, Ummu Hakim, Barrah dan Amimah RA. Abu Talib tidak tergolong dalam golongan ini kerana beliau mati dalam keadaan kafir tetapi semua anaknya yang juga sepupu-sepupu Rasulullah SAW memeluk Islam seperti ‘Ali, ‘Aqil, Ja’afar, Ummu Hani’ dan Jamanah RA. Selain itu, beberapa orang sepupu Rasulullah SAW yang muslim turut termasuk dalam golongan ini seperti ‘Abdullah bin ‘Abbas, ‘Utbah bin Abu Lahab, Mu’tab bin Abu Lahab, Durrah bin Abu Lahab, Naufal bin Harith dan Zubair bin al-‘Awwam RA. Mereka ini semua diharamkan menerima zakat dan sedekah tetapi boleh menerima ghanimah (harta rampasan perang).
- Usratun Nabiy (أسرة النبي). Mereka ialah isteri-isteri Rasulullah SAW (Ummahatul Mukminin) dan puteri-puteri baginda iaitu Zainab, Ummu Kalthum dan Ruqayyah.
- Zuriyyatun Nabiy (ذرية النبي). Mereka adalah sekalian keturunan Rasulullah SAW yang muslim tidak kira daripada garis lelaki mahupun perempuan.
- ‘Itratun Nabiy (عترة النبي). Keturunan Rasulullah SAW dari garis lelaki.
- Maula an-Nabiy (مولى النبي). Pembantu, anak angkat dan bekas hamba Rasulullah SAW seperti Zaid bin Harithah, Anas bin Malik, ‘Abdullah bin Mas’ud. Bilal bin Rabah dan ‘Uqbah bin ‘Amir al-Juhni RA.
- Sahabat Rasulullah SAW
Secara umumnya terdapat dua kriteria utama untuk menentukan seseorang itu termasuk dalam golongan sahabat Rasulullah SAW menurut Imam al-Hafiz Ibnu Hajar al-‘Asqalani:
- Hidup, bersemuka secara langsung dan beriman kepada Rasulullah SAW sewaktu hayat baginda. Mereka yang hidup, beriman dan meninggal dunia sebelum pengutusan Rasulullah SAW sebagai rasul dengan mengikuti ajaran sebenar para nabi dan rasul terdahulu bukan golongan sahabat walaupun mereka pernah bersemuka dengan baginda secara langsung. Mereka digelar golongan Hunafa’ iaitu golongan yang mengikuti ajaran sebenar Nabi Ibrahim AS seperti Zaid bin ‘Amru bin Nufayl iaitu ayah kepada seorang sahabat Rasulullah SAW, Sa’id bin Zaid RA. Terdapat juga golongan yang mengikuti ajaran sebenar Nabi Isa seperti Waraqah bin Naufal. Mereka meninggal dunia sebelum pengutusan Rasulullah SAW dan sebelum baginda menyebarkan dakwah. Bersemuka secara langsung dengan Rasulullah SAW bermaksud melihat baginda dalam keadaan sedar dengan mata kepala sendiri dan beriman dengan baginda sama ada di hadapan baginda mahupun daripada dakwah para sahabat yang lain. Walau bagaimanapun, syarat ini dikecualikan kepada seorang sahabat Rasulullah SAW yang buta iaitu ‘Abdullah bin Ummu Maktum RA. Terdapat juga mereka yang hidup ketika zaman pengutusan Rasulullah SAW dan beriman kepada baginda melalui dakwah para sahabat yang lain tetapi tidak pernah bertemu dengan baginda ketika hayatnya atau hayat baginda. Mereka digelar golongan Mukhadramun, seramai kira-kira 20 orang tergolong dalam golongan ini termasuklah Uwais al-Qarni RA dan Raja Habsyah, an-Najasyi (As-hamah bin Abjar RA.). Kedua-duanya diketahui keislaman mereka oleh Rasulullah SAW sendiri melalui wahyu dan dimuliakan oleh baginda.
- Meninggal dunia dalam keadaan muslim. Terdapat juga orang-orang yang pernah beriman kepada Rasulullah SAW semasa hayat baginda tetapi murtad seperti bekas suami Ummu Habibah binti Abu Sufyan RA iaitu ‘Ubaidillah bin Jahasy. Semasa penghijrahan para sahabat ke Habsyah, Ubaidillah bersama isterinya turut sama dalam penghijrahan tersebut. Walau bagaimanapun, beliau murtad dengan memeluk agama Kristian di Habsyah. Terdapat juga orang-orang yang beriman dengan Rasulullah SAW tetapi murtad dan kemudiannya kembali memeluk Islam semula ketika hayat baginda atau selepas kewafatan baginda seperti kes ‘Abdullah bin Sa’ad bin Abi Sarah dan al-Asy’ats bin Qays RA. Akhirnya mereka meninggal dunia dalam keadaan muslim. Mereka masih tergolong dalam kalangan para sahabat dan perkara tersebut tidak diperselisihkan oleh para ulama muhaddithin. Ada juga kes seorang sahabat yang dipaksa murtad oleh musyrikin Makkah yang tidak berhenti menyeksanya. Akibat tidak tahan diseksa mental dan fizikal, sahabat tersebut mengucapkan murtad kepada musyrikin Makkah tersebut bertujuan hanya untuk melepaskan diri daripada seksaan berat tersebut, tetapi hatinya tetap beriman. Dalam kes ini, sahabat tersebut masih lagi muslim. Beliau ialah ‘Ammar bin Yasir RA, satu-satunya keluarga Yasir bin ‘Ammar RA yang hidup. Terdapat juga orang-orang yang secara lisannya menyatakan keislaman mereka di hadapan Rasulullah SAW tetapi tujuannya ialah untuk menghancurkan Islam dari dalam, mereka sesekali tidak tergolong dalam golongan sahabat tetapi dicela dalam al-Qur’an sebagai golongan Munafiqun sepertimana ‘Abdullah bin Ubay bin Salul.
Kategori para sahabat
Mengikut keutamaan:
- Khulafa’ ar-Rasyidin yang empat: Abu Bakar as-Siddiq, ‘Umar bin al-Khattab, ‘Uthman bin ‘Affan dan ‘Ali bin Abi Talib R.A.
- Al-Mubasysyirun bil Jannah (10 orang sahabat yang dijanjikan syurga).
- Ahlul Badr al-Kubra (313 orang yang terlibat dalam Peperangan Badar pada 17 Ramadan tahun kedua Hijrah, 624 M).
- Ahlul Uhud (700 orang yang menyertai Peperangan Uhud pada 6 Syawal tahun ketiga Hijrah, 625 M).
- Muhajirun (Para sahabat yang berhijrah dari Makkah ke Madinah) dan Ansar (Para sahabat penduduk asal Madinah, daripada kabilah Aus dan Khazraj (Surah al-Anfal, ayat 74; Surah at-Taubah, ayat 100).
- Ahlul Bai’atur Ridwan di Hudaibiyyah (Para sahabat yang terlibat dalam Perjanjian Ridwan yang berlaku sebelum perbukaan Kota Makkah) (Surah al-Fath, ayat 18).
- As-Sabiqunal Awwalun (40 orang sahabat terawal yang memeluk Islam) (Surah at-Taubah, ayat 100).
Mengikut jumlah periwayatan hadith:
1.Abu Hurairah RA – 5,374 hadith
2.‘Abdullah bin Umar RA – 2,630 hadith
3. Anas bin Malik RA – 2,286 hadith
4. ‘Aisyah binti Abu Bakar as-Siddiq RA – 2,210 hadith
5. Jabir bin ‘Abdullah RA – 1,540 hadith
6. ‘Abdullah bin ‘Abbas RA – 1,660 hadith
7. Abu Sa’id al-Khudri RA – 1,170 hadith
Mengikut kelompok keutamaan dan senioriti:
1.Kibar as-Sohabah (Sahabat besar) – Golongan al-Mubasysyirun bil Jannah, as-Sabiqunal Awwalun.
2. Awsot as-Sohabah (Sahabat biasa)
3. Sighor as-Sohabah (Sahabat kecil) – Para sahabat yang lewat memeluk Islam iaitu dalam tempoh cuma beberapa tahun atau bulan sahaja lagi sebelum kewafatan Rasulullah SAW atau golongan sahabat yang masih kanak-kanak atau remaja ketika kewafatan baginda.
Bilangan para sahabat
Para ulama tidak dapat menentukan secara pasti bilangan sebenar para sahabat kerana bilangan mereka sangat ramai, mencecah ratusan ribu orang menurut para ulama muhaddithin. Kemungkinan bilangan para sahabat paling ramai berkumpul dalam satu-satu masa ketika zaman Rasulullah SAW ialah ketika ekspedisi ketenteraan ke Tabuk dan peristiwa Fathul Makkah yang mencecah puluhan ribu orang para sahabat.
Zaman para sahabat
Zaman para sahabat ialah selepas zaman pengutusan Rasulullah SAW sebagai rasul iaitu pada tahun 610 Masihi sehingga tahun ke-110 Hijrah (sekitar tahun 720-an Masihi). Ini kerana sahabat yang paling akhir meninggal dunia ialah Abu Tufayl ‘Amir bin Wa’ilah al-Laithiy RA yang meninggal dunia di Makkah pada tahun ke-110 Hijrah dalam usia lebih 100 tahun. Walau bagaimanapun, selepas kewafatan Rasulullah SAW, para sahabat bertebaran ke seluruh pelusuk Asia Barat, Asia Tengah dan Afrika Utara menyebarkan dakwah Islam dan membuka wilayah Islam. Oleh itu, berikut merupakan senarai para sahabat terakhir yang meninggal dunia di negeri yang diduduki mereka:
- Di Madinah – Mahmud bin ar-Rabi’ al-Khazraji RA (m. 99 H).
- Di Ta’if – ‘Abdullah bin ‘Abbas RA (m. 68 H).
- Di Basrah (Syria) – Anas bin Malik RA (m. 93 H)
- Di Kufah (Iraq) – ‘Abdullah bin Abi Aufa RA (m. 87 H)
- Di Mesir – ‘Abdullah bin Harith az-Zubaidi RA (M. 86 H)
- Di Khurasan (Iran) – Buraidah bin al-Hasyib al-Aslami RA (m. 63 H)
- Di Isfahan (Iran) – Qays bin ‘Abdillah al-‘Amiri RA (m. 50 H).
- Tabi’in
Tabi’in dari segi bahasa bermaksud “orang yang mengikuti (jejak para sahabat).” Tabi’in ialah golongan ulama yang pernah bertemu dan belajar dengan para sahabat Rasulullah SAW serta meninggal dunia dalam keadaan muslim. Mereka tidak pernah melihat Rasulullah SAW sewaktu hayat baginda kerana mereka dilahirkan selepas kewafatan baginda.
Dalam kalangan ulama tabi’in, terdapat tujuh orang yang dianggap sebagai tokoh tabi’in besar atau Fuqoha’ as-Sab’ah (Tujuh Tokoh Ulama Feqah). Mereka ialah Sa’id bin Musayyib (13-94 H), al-Qasim bin Muhammad (36/38-106/108 H), ‘Urwah bin az-Zubair (m. 97), Kharijah bin Zaid (m. 99 H), Abu Salamah bin Abdul Rahman, ‘Ubaidullah bin ‘Abdullah bin ‘Utbah (m. 98 H) dan Sulaiman bin Yasar (34-107 H). Mereka semua penduduk Madinah dan merupakan keturunan para sahabat Rasulullah SAW. Misalnya, ‘Urwah dan al-Qasim adalah cucu kepada Abu Bakar as-Siddiq RA, Sa’id adalah anak kepada seorang sahabat Rasulullah SAW yang bernama al-Musayyib bin Hazn RA, Kharijah merupakan anak kepada penulis wahyu Rasulullah SAW iaitu Zaid bin Tsabit RA, Abu Salamah merupakan anak kepada seorang sahabat baginda yang kaya bernama ‘Abdul Rahman bin ‘Auf RA dan ‘Ubaidullah pula merupakan cucu saudara kepada ‘Abdullah bin Mas’ud RA. Sulaiman bin Yasar merupakan pembantu kepada salah seorang Ummul Mukminin iaitu Maimunah binti al-Harith RA.
Di Makkah juga terdapat para ulama tabi’in yang lain seperti Mujahid bin Jabr (21-104 H), ‘Ikrimah bin ‘Abdullah (25-105 H) dan ‘Ato’ bin Abi Rabah (27-114 H). Ketiga-tiga mereka merupakan pembantu dan anak murid kepada sahabat Rasulullah SAW iaitu ‘Abdullah bin ‘Abbas RA.
Ramai lagi para tabi’in yang terkenal seperti Hassan al-Basri (21-110 H), Muhammad bin Sirin (33-110 H), Wahab bin Munabbih (34-114 H), Sa’id bin Jubayr (46-95 H) dan Ibnu Syihab az-Zuhri (58-124 H).
Ada dalam kalangan para tabi’in merupakan anak dan cucu kepada para sahabat Rasulullah SAW, ada juga berkhidmat sebagai pembantu para sahabat, tetapi mereka semua merupakan anak didik yang selalu mendampingi para sahabat.
Dalam kalangan empat orang imam mujaddid tokoh feqah Ahlus Sunnah wal Jama’ah, cuma Imam Abu Hanifah (80-150 H) sahaja berstatus tabi’in kerana beliau pernah berguru dengan seorang sahabat Rasulullah SAW iaitu Anas bin Malik RA.
Golongan tabi’in boleh dibahagikan kepada tiga kelompok mengikut zaman mereka:
- Kibar at-Tabi’in (Tabi’in besar) – Mereka mewarisi ilmu hadith daripada didikan secara langsung dengan para sahabat besar (Kibar as-Sohabah)
- Awsot at-Tabi’in (Tabi’in biasa) – Mereka yang sempat meriwayatkan hadith daripada para sahabat dan Kibar at-Tabi’in.
- Sighar at-Tabi’in (Tabi’in kecil) – Mereka yang sempat bertemu dan berguru dengan Sighar as-Sohabah yang telah lanjut usia.
Oleh itu, zaman para tabi’in adalah mereka yang lahir selepas kewafatan Rasulullah SAW (11 H / 632 M) sehingga penghujung abad pertama Hijrah kerana antara syarat utama seseorang ulama itu berstatus tabi’in ialah dia sempat berguru dengan para sahabat Rasulullah SAW.
- Tabi’ut Tabi’in
Dari segi bahasa Tabi’ut Tabi’in bermaksud “mereka yang mengikuti (jejak langkah para tabi’in).” Golongan tabi’ut tabi’in merupakan anak didik para tabi’in yang meninggal dunia dalam keadaan muslim. Mereka tidak pernah bertemu para sahabat Rasulullah SAW kerana mereka dilahirkan selepas zaman para sahabat (selepas abad pertama Hijrah).
Antara tokoh ulama tabi’ut tabi’in ialah Imam Malik bin Anas (93-179 H), Sufyan ath-Thauri (97-161 H), Sufyan bin ‘Uyaynah (107-198 H) dan Imam al-Auza’ie (88-157 H).
Apa keistimewaan dan kelebihan Ahlul Bayt, para sahabat, tabi’in dan tabi’ut tabi’in?
- Mereka adalah generasi umat Rasulullah SAW yang terbaik. Al-Qur’an sendiri mengesahkannya (Surah at-Taubah, ayat 100; Surah al-Fath, ayat 29). Rasulullah SAW pernah bersabda melalui ‘Imran bin Husain RA dan ‘Abdullah bin Mas’ud RA: “Sebaik-baik umatku adalah mereka (para sahabat yang hidup) pada zamanku, kemudian umat yang selepas mereka (para tabi’in), kemudian umat yang berikutnya (para tabi’ut tabi’in.” – Riwayat al-Bukhari dan Muslim.
- Mereka adalah generasi terawal umat Islam yang bersusah-payah menyebarkan dakwah Islam ke seluruh pelusuk dunia.
- Mereka digelar Salafussoleh (generasi umat terdahulu yang soleh) yang wajib kita ikuti selepas al-Qur’an dan hadith.
- Dalam ilmu hadith, mereka semua adalah generasi umat yang paling penting dalam rantaian sanad sesuatu hadith.
- Tiada keraguan terhadap sifat ketakwaan dan keadilan mereka terutamanya para sahabat.
- Akidah seseorang muslim boleh terjejas sekiranya mereka mencela apatahlagi mengkafirkan mana-mana sahabat Rasulullah SAW.
- Dalam sejarah kesultanan di Kepulauan Alam Melayu, banyak kerajaan Melayu diislamkan oleh pendakwah yang berketurunan Ahlul Bayt serta banyak kesultanan Melayu diasaskan oleh keturunan Ahlul Bayt.
- Imam al-Mahdi al-Muntazar yang dinyatakan dalam hadith-hadith sahih yang akan muncul sebelum hari kiamat untuk memimpin umat Islam akhir zaman berketurunan Ahlul Bayt.
Untuk huraian lebih lanjut berkenaan definisi, kisah, biografi, bilangan, keutamaan dan kelebihan golongan Ahlul Bayt, para sahabat, tabi’in dan tabi’ut tabi’in, rujuk rujukan-rujukan utama yang tersenarai di bawah.
Senarai rujukan:
Ibnu Hibban, Abu Hatim Muhammad, Tarikh as-Sohabah ruwiya ‘anhum al-Akhbar, Beirut: Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah, 1988.
Tun Suzana Tun Othman & Hj. Muzaffar Mohammad, Ahlul Bait (Keluarga) Rasulullah SAW dan Kesultanan Melayu, Batu Caves: Crescent News (KL), 2006.
Mohammad Ali Sya’aban (terj. Mohd. Baqir Mohd. Ali), Kemuliaan Keluarga Nabi S.A.W, Johor Bahru: Perniagaan Jahabersa, 1997.
Mohd. Fikri Che Hussain, Keadilan Para Sahabat di Sisi Ahl as-Sunnah wa al-Jama’ah, Johor Bahru: Perniagaan Jahabersa, 2005.
Syaraf Mahmud al-Qudah, al-Manhaj al-Hadith fi ‘Ulum al-Hadith, Kuala Lumpur: al-Bayan Corporation Sdn, Bhd., APIUM, 2007.
Nuh ‘Ali Salman, al-Mukhtasar al-Mufid fi Syarh Jauharah at-Tauhid, Kuala Lumpur: al-Bayan Corporation Sdn, Bhd., APIUM, 2003.
“Tabi’in: Generasi Hadis yang Kedua,” dalam laman web Darulkautsar, pautan: http://www.darulkautsar.net/darulkautsar-net/hadis-online/lanjutan/rijalul-hadits/tabiin-generasi-hadis-yang-kedua-2.html, diakses pada 29 September 2017.
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih
1 Comment
kesian kebanyakkan beri comment jahil2, keturunan Jalur ini semua berdasar kitab2 ulama tuan2, yg sesat tetap sesat jangan Di campuri yang haq pasti berbeza seperti Islam extreme Dan Islam yang addin, adilkah Di tuduh sama bersongkol? tutup kebodohan Anda tambahkan ilmu lagi