Siapa yang tak kenal Michelle Yeoh? Beliaulah anak Malaysia pertama yang berjaya merangkul Anugerah Oscar dan menjadi ikon yang mengangkat martabat wanita Asia di persada antarabangsa.
 
Sempena Tahun Baru Cina, mari kita selami kisah hidup Tan Sri Michelle Yeoh!
 
[Awal Kehidupan: Anak Jati Ipoh]
 
Michelle Yeoh dilahirkan pada 6 Ogos 1962 di Ipoh, Perak. Beliau merupakan anak kepada pasangan Yeoh Kian Teik, seorang peguam dan aktivis politik, dan Janet Yeoh.
 
Sebagai pelajar di Main Convent Ipoh, Yeoh menunjukkan minat mendalam dalam seni dan sukan sejak kecil. Pada usia 15 tahun, keluarganya berpindah ke United Kingdom, di mana beliau melanjutkan pelajaran ke sebuah sekolah berasrama penuh perempuan. Di sinilah cintanya terhadap seni balet mula berkembang.
 
Impiannya yang Terhenti dan Permulaan Baru
 
Yeoh kemudiannya menuntut di Royal Ballet School di London, bercita-cita menjadi ballerina profesional. Namun, kecederaan tulang belakang menyebabkan beliau terpaksa meninggalkan impian itu. Tidak menyerah kalah, Yeoh mengalihkan minatnya kepada bidang koreografi dan seni persembahan lain, dan pada tahun 1982, beliau menamatkan ijazah dalam seni kreatif dengan minor dalam drama.
 
Namun, seperti pepatah, “bila satu pintu tertutup, pintu lain terbuka,” pada tahun 1983, Yeoh dinobatkan sebagai Miss Malaysia dan mewakili negara ke pentas Miss World pada usia 20 tahun.
 
Beliau juga memenangi pertandingan Miss International Tourism Quest pada tahun yang sama.
 
Namanya semakin dikenali apabila beliau membintangi iklan jam tangan Guy Laroche bersama Jackie Chan pada tahun 1984 membuka peluang keemasan untuk menceburi dunia perfileman.
 
[Ratu Filem Aksi Hong Kong]
 
Michelle Yeoh membuat debut filemnya pada tahun 1985 dengan Yes, Madam! yang mempopularkan genre aksi wanita.
 
Tanpa latar belakang seni bela diri, Yeoh memanfaatkan kemahirannya dalam balet untuk melaksanakan sendiri hampir semua aksi lasaknya.
 
Beliau menggagumkan dunia dengan adegan-adegan seperti melompat motosikal ke atas kereta api dalam Police Story 3: Supercop (1992) dan aksi-aksi bahaya lain yang membuktikan wanita juga mampu mendominasi genre aksi.
 
Namun, perjalanan itu penuh cabaran. Ketika penggambaran The Stunt Woman (1995), beliau mengalami kecederaan serius yang hampir meragut nyawa.
 
Walaupun begitu, Yeoh tidak pernah berundur, malah menggunakan pengalaman itu untuk menjadi lebih cekal dan kreatif dalam seni perfileman.
 
[Melangkah ke Hollywood]
 
Pada tahun 1997, Michelle Yeoh mencipta sejarah sebagai pelakon Asia pertama yang menjadi gadis Bond dalam Tomorrow Never Dies.
 
Wataknya sebagai Wai Lin, rakan sepasukan James Bond yang pintar dan berdikari memecahkan stereotaip watak wanita dalam francais filem tersebut.
 
Kejayaan ini melonjakkan namanya ke Hollywood membuka laluan untuk filem epik seperti Crouching Tiger, Hidden Dragon (2000). Filem ini bukan sahaja memenangi pelbagai anugerah, malah menobatkan Yeoh sebagai pelakon bertaraf antarabangsa.
 
[Kejayaan Filem dan Pencapaian Bersejarah]
 
Antara filem lain yang membuktikan kehebatan Michelle Yeoh termasuk Memoirs of a Geisha (2005), Crazy Rich Asians (2018), dan filem Marvel, Shang-Chi and the Legend of the Ten Rings (2021), Wicked (2024) dan The Lady (2011), di mana beliau memegang watak pemimpin Myanmar, Aung San Suu Kyi.
 
Selain itu, Michelle turut mencuri perhatian dalam Star Trek: Discovery apabila beliau menyebut Pulau Langkawi dalam siri tersebut, yang menjadi viral di media sosial.
 
Namun, pencapaian terbesar beliau datang pada tahun 2023 apabila beliau memenangi Anugerah Akademi (Oscar) untuk Pelakon Wanita Terbaik menerusi filem Everything Everywhere All at Once.
 
Dalam filem itu, Yeoh memaparkan lakonan pelbagai dimensi, dari seorang ibu biasa hingga pahlawan yang menyelamatkan multiverse. Kejayaan ini menjadikannya wanita Asia pertama yang meraih anugerah berprestij itu.
 
Di sebalik kejayaannya di layar perak, Michelle Yeoh juga seorang individu yang dihormati di Malaysia. Pada 22 Mei 2012, beliau dianugerahkan Darjah Seri Paduka Mahkota Perak yang membawa gelaran Datuk Seri.
 
Setahun kemudian, pada 1 Jun 2013, beliau menerima Panglima Setia Mahkota yang membawa gelaran Tan Sri. Pengiktirafan ini mencerminkan sumbangannya yang besar kepada seni dan budaya, bukan sahaja di Malaysia tetapi juga di peringkat global.
 
Pada usia 61 tahun, Michelle Yeoh sekali lagi mencipta sejarah apabila menjadi rakyat Malaysia pertama yang menerima Pingat Kebebasan Presiden, penghormatan tertinggi Amerika Syarikat (AS), daripada Presiden Joe Biden. Anugerah ini diberikan di Rumah Putih sebagai pengiktirafan kepada pencapaian luar biasanya yang melangkaui sempadan seni, budaya dan kemanusiaan.
 
[Inspirasi Buat Generasi Muda]
 
Michelle Yeoh bukan sekadar pelakon. Beliau adalah simbol ketabahan, kerja keras dan keberanian untuk mengejar impian. Walaupun kini menetap di luar negara, Yeoh tidak pernah melupakan akar umbinya di Malaysia.
 
Beliau terus mengangkat nama negara dengan setiap pencapaian yang diraih dan menjadi inspirasi kepada generasi muda untuk berani bermimpi dan berusaha mencapainya.

Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Penggemar sejarah dan budaya. Kini, mahasiswa Ijazah Sarjana Muda Pengajian Asia Tenggara Universiti Malaya dan graduan Diploma Sejarah dan Tamadun Islam UniSZA. Bercita-cita melanjutkan pelajaran dalam bidang Arkeologi kerana terpengaruh dengan filem Indiana Jones walaupun tahu arkeologi sebenar tak seperti itu.

Comments are closed.