Apabila kita menyebut nama P. Ramlee, hampir semua rakyat Malaysia pasti mengenali beliau sebagai seniman agung yang telah meninggalkan legasi besar dalam dunia perfileman dan muzik tanah air.
Namun, tidak ramai yang benar-benar tahu tentang siapa sebenarnya bapa kepada P. Ramlee.
[Asal Usul Teuku Nyak Puteh]
Teuku Nyak Puteh bin Teuku Karim dilahirkan pada tahun 1902 di Kampung Cunda, Lhokseumawe, Acheh, Indonesia.
Beliau berasal dari keturunan bangsawan Aceh dan gelaran “Teuku” yang digunakan oleh beliau merupakan gelaran yang diberikan kepada golongan bangsawan dari Olee Balang di Acheh.
Gelaran ini berbeza daripada “Tunku” dan “Tuanku” yang digunakan dalam kesultanan Acheh.
Dibesarkan dalam suasana yang penuh dengan nilai keagamaan, Teuku Nyak Puteh merupakan seorang yang memiliki ilmu agama yang tinggi.
Malah, beliau pernah berguru dengan beberapa ulama besar di Acheh dan turut mahir dalam seni muzik tradisional Acheh, khususnya alat muzik “poulet”.
[Pengembaraan ke Pulau Pinang]
Seperti kebanyakan pemuda Acheh pada zaman itu, Teuku Nyak Puteh turut merantau ke luar tanah kelahirannya untuk mencari rezeki.
Beliau akhirnya tiba di Pulau Pinang sekitar tahun 1920-an, ketika komuniti pedagang Acheh sedang berkembang pesat di situ.
Pada mulanya, beliau berniaga, namun kemudian bekerja sebagai kelasi kapal di sebuah syarikat perkapalan. Malah, ada sumber yang menyatakan bahawa beliau pernah belayar sehingga ke benua Eropah.
Namun, kehidupan di laut bukanlah sesuatu yang kekal buat Teuku Nyak Puteh. Beliau akhirnya mengambil keputusan untuk meninggalkan dunia perkapalan dan menetap di Pulau Pinang.
[Perkahwinan dan Kelahiran P. Ramlee]
Di Pulau Pinang, Teuku Nyak Puteh bertemu jodohnya dengan Che Mah binti Hussain, seorang janda berbangsa Melayu yang sudah mempunyai seorang anak lelaki bernama Sheikh Ali hasil perkahwinan terdahulu dengan seorang lelaki Arab.
Hasil perkahwinan Teuku Nyak Puteh dan Che Mah, lahirlah seorang anak lelaki yang kelak menjadi lagenda seni tanah air – Teuku Zakaria bin Teuku Nyak Puteh, atau lebih dikenali sebagai P. Ramlee.
Menariknya, walaupun P. Ramlee lahir pada 23 Mac 1928, tarikh kelahirannya didaftarkan dalam kad pengenalan pada 22 Mac 1929. Satu perkara biasa pada zaman itu, di mana pendaftaran kelahiran sering kali mengalami kelewatan.
[Akhir Hayat Teuku Nyak Puteh]
Selepas melalui kehidupan yang penuh warna-warni, Teuku Nyak Puteh menghembuskan nafas terakhir pada tahun 1955, ketika berusia 53 tahun.
Jenazah beliau telah disemadikan di Tanah Perkuburan Islam, Dato Keramat, Jalan Perak, Georgetown, Pulau Pinang.




No comments yet