Peletakan jawatan Shinzo Abe telah membuka jendela baru dalam politik Jepun yang sudah biasa bertukar-tukar kerajaan. Dalam sejarah Jepun, hanya Abe saja bertahan paling lama sebagai Perdana Menteri.
Itu pun lapan tahun sahaja, sebelum terpaksa berundur akibat radang dalam perut. Jadi parti pemerintah Jepun perlu memilih pemimpin baru.
Walaupun kelihatan bersatu padu, politik Jepun sebenarnya berkabilah terutamanya dalam kalangan pemerintah. Ini mungkin kerana Liberal Democratic adalah sebuah parti yang dibentuk daripada beberapa parti haluan kanan dulu. Jadi masing-masing ada puaknya.
Sepanjang pemerintahan, Abe banyak bergantung pada Fumio Kishida yang menjadi Menteri Luar Negeri (2012-2017).
Pada tahun 2018, Kishida ingin bertanding untuk menjadi presiden parti. Hasrat ini terbantut kerana pujukan Abe yang mahu diganti Kishida kelak.
Masa berundur pun tiba. Namun Abe diganti Yoshihide Suga dalam sebuah situasi yang mana Taro Aso berkata “Kishida tidak sesuai untuk urus masalah COVID-19”. Namun Suga hilang populariti dalam masa beberapa bulan kerana COVID-19.
Penganjuran Olimpik 2020 turut membawa kritikan pedas terhadap Suga (Asahi Shimbun, 2021).
Suga menerima hakikat selepas pilihan raya datuk bandar di Yokohama. Calon yang disokong Suga kalah begitu teruk, sampai semua orang tahu: Suga takkan menang pilihan raya umum nanti.
Pada hari pertama, Suga disokong bancian sebanyak 74 peratus yang menjunam ke paras 28 peratus. Maka Suga pun meletakkan jawatan, selepas hilang sokongan Shinzo Abe dan Taro Aso.
Kebangkitan Pengganti Sebenar Shinzo Abe
Fumio Kishida sudah masuk dalam gelanggang politik bermula 18 Julai 1993, mewakili sebuah daerah dalam bandar Hiroshima.
Asal-usul ini membawa nilai yang sangat penting untuk Kishida. Walaupun menyokong teknologi jana kuasa nuklear, beliau amat tegas dalam menggalakkan pelaksanaan Perjanjian Pengawalan Senjata Nuklear (NPT) secara berterusan.
Pada tahun 2017, beliau membawa suara kerajaan Shinzo Abe ke Beijing. China digesa memberi tekanan supaya Korea Utara berhenti menghasilkan senjata nuklear (Yamaguchi, 2017).
Kapasiti Kishida sebagai Menteri Luar Negeri memberi peluang sangat luas untuk menimba pengalaman. Imej Jepun di mata dunia sudah dikimpal Kishida. Jadi sepatutnya, beliau mudah jalan terus sebagai pemimpin.
Walau bagaimanapun, rakyat Jepun lebih mengutamakan isu-isu semasa dalam negara. Sekarang ini Jepun berdepan dengan masalah ekonomi yang berterusan.
Dari segi sosial pula, populasi Jepun semakin tua dengan kadar kesuburan rakyat tidak memberangsangkan. Kishida berpendapat bahawa Jepun perlu sebuah sistem ekonomi kapitalisme yang bersesuaian untuk menyelesaikan masalah-masalah ini.
Pendekatan neoliberalisme telah melebarkan jurang ekonomi dalam masyarakat. Perkara ini berlaku kerana jurang pendapatan antara rakyat pun semakin jauh antara satu sama lain.
Jika berterusan, orang kaya akan menjadi terlalu kaya; orang miskin pula kekal miskin. Imbangan kekayaan adalah penting untuk menjaminkan kesejahteraan sosial. Memandangkan Liberal Democratic lama memegang tampuk kerajaan, Kishida berdepan dengan realiti pahit: kalau tersilap langkah, boleh kalah balik.
Sejujurnya, jurang ekonomi merupakan masalah utama dalam setiap ekonomi kapitalis yang menggunakan kaedah neoliberal. Malaysia terdahulu menswastakan banyak syarikat dan mengurangkan kebergantungan ekonomi pada kerajaan.
Dr Mahathir Mohamad cuba menggunakan kaedah sama selepas mengambil alih daripada Najib Razak. Rakyat nampak fenonema jual, jual dan jual… yang sebenarnya adalah unsur nyata pada ideologi neoliberalisme dipegang beliau.
Dasar Pandang Ke Jepun nampaknya berkesan secara tidak langsung. Seperti Jepun, Malaysia sedang menghadapi masalah jurang sosioekonomi.
RUJUKAN:
Asahi Shimbun. (2021, Ogos 9). Survey: Olympic support up, but Cabinet approval rate drops to 28%.
Yamaguchi, M. (2017, Mei 30). Japan urges China to do more to pressure North Korea. AP News.
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih