Ia adalah salah satu syarikat multinasional China terbesar yang terkenal dengan kecerdasan buatan, hiburan serta perniagaan induk lain. Tencent Holdings Limited kini mempunyai lebih 100 ribu pekerja dan beribu pejabat di Shenzhen, China.
Ia adalah salah satu syarikat multimedia terbesar di dunia dengan pendapatan tertinggi. Anak syarikat Tencent Holdings yang paling popular termasuklah Tencent Games yang merupakan sebahagian daripada Tencent Interactive Entertainment Group yang turut terdiri daripada PUBG di dalamnya.
Tencent telah diasaskan pada 1998 oleh lima sahabat, iaitu Pony Ma, Zeng Liqing, Charles Chen, Xu Chenye, dan Zhang Zhidong di Kepulauan Cayman. Pada tahun 1999, Tencent melancarkan produk pertamanya iaitu perkhidmatan pemesejan yang dipanggil OICQ, yang namanya kemudian ditukar kepada Tencent QQ.
Namun, dalam masa dua tahun, tiada keuntungan besar yang diperoleh oleh syarikat ini. Sebuah syarikat Afrika Selatan bernama Naspers membeli kepentingan besar dalam Tencent pada tahun 2001. Kemudian, Tencent memfailkan IPOnya di bursa saham Hong Kong pada tahun 2004.
Ketika itu, sumber pendapatan utama di Tencent hanya diperoleh daripada iklan dan langganan premium kepada perkhidmatan pemesejan Tencent QQ. Kemudian, pada tahun 2005, Tencent mula memperkenalkan perkhidmatan telekomunikasi selular tempatan serta melesenkan logo penguinnya untuk digunakan pada barangan makanan dan pakaian sebagai watak maya.
Permainan video dalam talian pertama yang dihasilkan oleh Tencent termasuklah CrossFire dan Dungeon Fighter Online, yang menghasilkan sebahagian besar hasil untuk Tencent menggunakan pelesenan.
Tencent juga melancarkan perkhidmatan pemesejan popularnya di China yang dipanggil Weixin atau WeChat pada 2011, yang menjadi sangat popular dan kini ia mempunyai lebih 1 bilion pengguna aktif bulanan.
Sejak 2011, Tencent mula mempelbagaikan pendapatannya ke arah permainan video seperti Riot Games yang merupakan pembangun League of Legends, Epic Games yang memiliki Fortnite, Infinity Blade, dan Unreal, Kingsoft Corporation, dan Activision Blizzard yang memiliki Call of Duty.
Pada 2015, Tencent melancarkan perkhidmatan perbankan dalam talian yang dipanggil WeBank di China. Tencent juga bekerjasama dengan Liga NBA yang popular untuk menyiarkan permainannya sebagai ketua penaja di China.
Di sebalik semua ini, pengasas serta CEO Tencent, Ma Huateng atau Pony Ma adalah tulang belakang yang telah berusaha keras dalam membangunkan Tencent. Pony Ma percaya bahawa semua syarikat, dan terutamanya syarikat teknologi, perlu terus membangunkan kemajuan teknologi atau berisiko menjadi ketinggalan zaman.
Meskipun dianggap sebagai antara orang terkaya di China, namun Pony Ma sering berkata, “Kekayaan tidak akan memberi anda kepuasan; mencipta produk yang baik yang diterima baik oleh pengguna adalah perkara yang paling penting.”




No comments yet