Siapa menyangka bahawa aplikasi yang kini memudahkan ramai pengguna sebenarnya diambil ideanya daripada sebuah permainan tradisional!
Ini cerita pada tahun 1994. Masahiro Hara yang bekerja di Denso Wave, sebuah anak syarikat pembuat alat ganti kereta Toyota, sebagai jurutera kanan. Ketika itu, Masahiro mengetuai pasukannya untuk mencari satu peranti khas yang boleh menjejak komponen dalam pembuatan kereta.
Ia bertujuan untuk menambah baik sistem logistik syarikat mereka. Lama Masahiro memikirkan apakah alat atau aplikasi yang sesuai untuk digunakan dalam projeknya ini. Sehinggalah suatu hari, dia mengambil keputusan untuk bermain permainan tradisional Go di tempat kerjanya.
Bagi yang tak tahu, permainan Go ialah permainan papan strategi tradisional yang berasal dari China dan turut popular di Jepun dan Korea. Dalam bahasa Jepun, ia dikenali sebagai “igo”, “weiqi” di China dan “baduk” di Korea.
Permainan ini dimainkan oleh dua orang pemain menggunakan batu hitam dan putih yang diletakkan secara bergilir di atas papan berpetak. Tujuannya ialah untuk menguasai ruang atau wilayah paling besar di atas papan dengan mengepung kawasan dan “menangkap” batu lawan.
Permainan ini sering dianggap mencabar kerana ia bergantung kepada strategi pemain untuk mengalahkan lawannya. Peraturannya mudah, namun kedalaman taktikal serta strategi yang tepat diperlukan untuk menguasai permainan.
Di saat bermain inilah, Masahiro tiba-tiba terfikirkan suatu idea yang hebat. Beliau meneliti susunan batu hitam dan putih di atas papan permainan tersebut. Konsep meletakkan titik-titik hitam dan putih pada grid telah mencetuskan idea di sebalik penciptaan Kod QR, yang merupakan singkatan kepada “Quick Response Code”.
Ia dinamakan QR code kerana ia dibangunkan untuk menjadikan proses imbasan kod lebih pantas dan efisien. Sebelum QR code dicipta, kilang-kilang seperti DENSO menggunakan kod bar untuk melabel dan mengenal pasti produk.
Walaupun kod bar dapat meningkatkan kecekapan dalam proses pengenalan dan penyusunan berbanding kaedah analog yang lebih tradisional, ia masih dianggap agak perlahan.
Konsep utama di sebalik kod QR ialah untuk mencipta satu kod yang berbentuk dua dimensi, dan bukannya linear seperti kod bar. Dengan cara ini, kod QR dapat menyimpan maklumat yang jauh lebih banyak kerana ia dikodkan pada bentuk segi empat (petak) dan bukan hanya pada satu garisan.
Hari ini, hasil idea inovatif Masahiro, Denso Wave memiliki hak paten terhadap kod QR, namun mereka telah menjadikan teknologi tersebut tersedia secara percuma kepada umum. Ini telah membuka penggunaannya secara meluas di seluruh dunia seperti yang kita lakukan pada hari ini.
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih