Namanya membawa maksud pengawal berpakaian broked, namun, mereka bukanlah calang-calang pengawal. Jinyiwei adalah pasukan yang bertindak sebagai polis rahsia dalam sejarah Dinasti Ming.
Mereka adalah pasukan pengawal atau tentera yang berkhidmat sepenuhnya kepada maharaja. Dan mereka bertanggungjawab terhadap keselamatan peribadi maharaja serta berperanan menjadi polis rahsia bagi pihak maharaja.
Pada awalnya, Jinyiwei ialah sebuah institusi yang ditubuhkan oleh maharaja pertama Dinasti Ming, Zhu Yuanzhang pada tahun 1368 untuk berkhidmat sebagai pengawal peribadinya. Pada tahun 1369, ia menjadi badan tentera dinasti.
Mereka diberi kuasa untuk menolak prosiding kehakiman dalam pendakwaan dengan autonomi penuh dalam menangkap, menyoal siasat dan menghukum sesiapa sahaja, termasuk golongan bangsawan dan kerabat maharaja.
Niat Zhu Yuanzhang dalam mewujudkan institusi berkuasa ini adalah untuk menghapuskan semua orang yang pada awal membantunya menaiki takhta maharaja kerana takut mereka akhirnya cuba menggulingkan dirinya.
Namun, selepas sedekad Jinyiwei ditubuhkan, ia telah dibubarkan. Organisasi ini kembali ‘bernyawa’ dan disusun semula ke tahap yang lebih tinggi apabila putera keempat Zhu Yuanzhang, iaitu Zhu Di merampas pemerintahan daripada Zhu Yunwen, lalu menaiki takhta pada tahun 1402.
Disebabkan Zhu Di seorang yang paranoid dan kejam, baginda bimbang dan terdesak untuk melindungi takhtanya dalam apa jua keadaan daripada mereka yang menganggap pemerintahannya tidak sah. Ketua Jinyiwei terus diberi kuasa untuk menjadi salah satu organisasi Ming yang paling berkuasa.
Jinyiwei sangat dikenali kerana penampilan fizikal mereka yang mengagumkan, kerana mereka juga adalah pejuang. Pakaian seragam mereka diperbuat daripada kain broked yang mewah.
Untuk menunjukkan status tinggi mereka, ahli Jinyiwei dengan pangkat tertinggi memakai jubah bercorak boa constrictor, sejenis ular yang serupa dengan naga – simbolik raja.
Sepanjang kewujudan mereka selama hampir tiga abad, Jinyiwei menyelia dokumentasi semua kes mereka dan menjalankan peninjauan rahsia, penyiasatan, perbicaraan, hukuman, dan risikan.
Mereka juga membangunkan strategi ketenteraan dan persenjataan, semuanya dilakukan secara bebas daripada jabatan kerajaan yang berkaitan.
Dalam kes pencerobohan Jepun ke atas Korea antara 1592 dan 1598, di mana tentera Ming berjaya mempertahankan Korea daripada pencerobohan Jepun, Jinyiwei juga berkhidmat sebagai ejen rahsia mengumpulkan banyak maklumat risikan tentang Jepun.
Pasukan Jinyiwei sentiasa dibayangi imej negatif kerana mereka mempunyai reputasi yang terkenal dengan menyeksa suspek melalui cara yang menyalahi undang-undang. Oleh kerana mereka mempunyai akses terus kepada maharaja, mereka menimbulkan ketakutan dalam kalangan ramai pegawai.
Walau bagaimanapun, dalam kebanyakan kes, mereka hanya menyasarkan orang yang berkhidmat dalam kerajaan atau istana. Rakyat biasa kebanyakannya tidak terlibat dalam penyiasatan mereka. Meskipun demikian, Jinyiwei ini juga dikatakan menjadi salah satu faktor kejatuhan Dinasti Ming.
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih