Manchu adalah sebuah etnik minoriti yang pernah menguasai seluruh China dan menubuhkan Dinasti Qing (1644–1912). Mereka berasal dari kawasan timur laut China, dikenali sebagai Manchuria, dan merupakan keturunan puak Jurchen yang pernah menubuhkan Dinasti Jin pada abad ke-12.
Walaupun jumlah mereka kecil berbanding penduduk China yang majoriti Han, Manchu berjaya menakluk dan memerintah empayar yang luas selama lebih dua abad!
Pada awal abad ke-17, seorang pemimpin Manchu bernama Nurhaci menyatukan puak-puak Jurchen dan membentuk satu sistem ketenteraan yang dikenali sebagai Eight Banners. Sistem ini adalah struktur sosial yang mengatur masyarakat Manchu berdasarkan unit-unit ketenteraan.
Setelah kematian Nurhaci, anaknya Hong Taiji, menamakan semula bangsanya sebagai Manchu dan mendirikan Dinasti Qing pada tahun 1636. Lalu Dorgon (adik Hong Taiji) berjaya menawan Beijing pada 1644 dan menggantikan Dinasti Ming yang telah lemah akibat pemberontakan dalaman dan serangan luar.
Pemerintahan Qing menyaksikan kemakmuran dan perkembangan besar dalam sejarah China. Maharaja-maharaja seperti Kangxi, Yongzheng, dan Qianlong memperluaskan wilayah China ke Mongolia, Tibet, Taiwan, dan Asia Tengah. Kejayaan ini lantas menjadikan Qing sebagai empayar terbesar dalam sejarah negara itu.
Walaupun Manchu adalah golongan pemerintah, mereka mengadaptasi budaya Cina, mengguna pakai sistem pentadbiran Confucian, dan mengekalkan birokrasi tradisional bagi memastikan kestabilan pemerintahan mereka. Namun, sebagai pemerintah minoriti, Manchu sentiasa berusaha mengekalkan identiti mereka.
Mereka mewajibkan lelaki Han mencukur bahagian depan kepala dan memakai tocang sebagai tanda kesetiaan kepada Qing. Polisi ini menimbulkan rasa tidak puas hati di kalangan rakyat Han, tetapi ia juga melambangkan dominasi Manchu ke atas China.
Menjelang abad ke-19, Dinasti Qing semakin lemah akibat peperangan dengan kuasa Barat, pemberontakan dalaman seperti Pemberontakan Taiping, dan kelemahan pentadbiran. Gerakan anti-Manchu semakin meningkat, terutama dalam kalangan intelektual dan nasionalis Han yang melihat mereka sebagai penjajah asing. Akhirnya, Revolusi Xinhai pada tahun 1911 menggulingkan Qing dan membawa kepada penubuhan Republik China pada tahun 1912.
Selepas kejatuhan Qing, identiti Manchu semakin pudar. Banyak daripada mereka menyesuaikan diri dengan budaya Han dan kehilangan bahasa serta tradisi asal mereka. Namun, sumbangan mereka dalam sejarah China tidak boleh dinafikan, mereka bukan sahaja memerintah China dalam tempoh yang panjang, tetapi juga membentuk sempadan moden negara itu.
Hari ini, etnik Manchu masih wujud di China, walaupun jumlah mereka kecil berbanding zaman kegemilangan Qing. Warisan mereka boleh dilihat dalam seni bina, budaya, dan sejarah China, sebagai peringatan bahawa mereka pernah menjadi kuasa yang menentukan arah tamadun ini.




No comments yet