Kita semua maklum yang ada ramai samurai pada era Sengoku ini. Tapi, pernah tak kalian terfikir, ada lagi ke keturunan samurai atau daimyo yang masih wujud pada hari ini?
Jawapannya, tentulah ada. Namun, pada hari ini, pada era moden ini, tiada keturunannya yang mendabik dada menyatakan bahawa ‘akulah keturunan samurai.’ Hampir kesemua keturunan mereka bekerja dan hidup seperti orang biasa. Tetapi, yang menariknya, ada seorang keturunan daimyo yang terkenal ketika zaman Sengoku, yang turut terkenal seperti datuknya.
Ini cerita tentang Oda Nobunari, yang dilahirkan Mac 1987, seorang bekas pemain luncur ais yang telah bersara pada 2017. Dia secara langsung pernah memperkenalkan dirinya sebagai keturunan kepada Oda Nobunaga, seorang daimyo terkenal yang pernah menguasai hampir keseluruhan Jepun ketika era Sengoku.
Nobunari adalah keturunan ke-17 Nobunaga, yang dikenali ramai sebagai seorang bijak dalam strategi serta gagah berani. Dia digelar sebagai samurai kejam, namun dia jugalah yang bertanggungjawab dalam penyatuan wilayah Jepun ketika era gemilangnya.
Antara pertempuran yang terkenal adalah Pertempuran Okehazama yang berlaku pada tahun 1560. Nobunaga yang hanya berusia 27 tahun ketika itu, telah mengalahkan tentera besar Yoshimoto Imagawa di Okehazama. Yoshimoto mempunyai 45,000 tentera, manakala Nobunaga hanya membawa kira-kira satu per sepuluh daripada saiz tentera Yoshimoto. Keputusan berani Nobunaga, walaupun pasukannya mempunyai kelemahan dari segi jumlah, membawa kepada kemenangan dramatik pasukannya.
Itu cerita kegemilangan Nobunaga, jadi, bagaimana pula dengan keturunannya, yang bernama Nobunari ini?
Nobunari sebenarnya sangat dikenali sebagai seorang pemain luncur ais yang kuat bersaing. Dia telah menjalani latihan luncur ais di Osaka serta Kanada sebelum bergelar seorang jaguh dalam luncur ais.
Tahun 2009, dia telah mengagumkan semua penonton dengan persembahan luncur ais yang sempurna tekniknya ketika acara Saturday’s Grand Prix di Paris. Dia menang tempat pertama dengan membuat aksi luncur ais dengan iringan medley Charlie Chaplin.
Walau bagaimanapun, Nobunari telah mengumumkan persaraannya pada 2017 selepas acara terakhirnya. Selepas itu, dia beralih kepada bidang baharu, iaitu sebagai personaliti TV dan pernah membuat kemunculan cameo istimewa dalam animasi Yuri On Ice pada 2016.
Mungkin, benarlah, darah samurai Nobunaga masih hangat mengalir dalam jiwa keturunannya pada hari ini.




No comments yet