Sebut sahaja filem Parasite, pasti sesiapa pun boleh bayangkan gambaran filemnya. Malah, filem ini jugalah yang telah mempopularkan nama pengarahnya, iaitu Bong Joon Ho dalam arena antarabangsa. Di sebalik namanya, Bong telah melalui satu perjalanan yang panjang dalam industri filem di Korea.
Dia dilahirkan dalam sebuah keluarga berdarah seni, yang mana bapanya seorang pereka grafik serta guru seni, manakala datuknya pula ialah novelis yang akhirnya berpindah ke Korea Utara akibat perang. Dia sudah menunjukkan minat dalam bidang perfileman sejak di sekolah menengah lagi.
Filem pertama arahannya adalah pada 2000, dan lakon layarnya turut ditulis olehnya. Filem ini kurang popular, namun pada tahun 2003, dia kembali dengan filem Memories of Murder, sebuah thriller tentang pembunuh bersiri pada era 80-an yang telah menjadi filem hit di Korea dan memenangi anugerah dalam beberapa acara Korea. Tahun 2004, dia beralih dengan mengarahkan sebuah mockumentary.
Selepas itu, Bong terus menghasilkan banyak filem menarik dan hit di Korea, termasuklah The Host, Mother dan Okja. Filem Parasite yang ditayangkan pada 2019, adalah pembuka ruang ke Bong untuk dikenali sehingga ke persada filem antarabangsa. Parasite asalnya adalah pementasan bertahun-tahun sebelum ia menjadi filem, namun disebabkan kekurangan bajet, Bong telah menulis sebuah kisah yang hanya memerlukan latar dua buah rumah, iaitu rumah kaya dan rumah miskin. Skripnya pula ditulis berdasarkan pengalaman hidupnya sendiri yang pernah bekerja sebagai tutor Matematik. Hanya beberapa tahun selepas itu, Bong sedar bahawa skrip pementasannya ini sebenarnya layak untuk dijadikan sebuah filem, yang akhirnya terciptalah filem Parasite.
Komedi gelap yang ditonjolkan dalam filem ini menjadi tarikan utama para peminat antarabangsa, dan berjaya memenangi anugerah utama Oscar, termasuklah Pengarah Terbaik, Lakon Layar Terbaik dan Filem Terbaik.
Bong Joon Ho adalah contoh pengarah genius, yang bukan sekadar berjaya di dalam negaranya sendiri, malah membuktikan bahawa hasil karyanya mampu dibawa ke peringkat antarabangsa. Keyakinan untuk membawa karyanya itu bermula dengan usaha kreatifnya dalam menggunakan sumber yang ada, memanfaatkannya untuk diubah menjadi sebuah karya terbaik.
Oleh: Farahi Kamaruddin




No comments yet