Bila sebut nama Shivaji, pasti frasa pertama yang diungkapkan ialah Shivaji the Boss, sebuah filem Tamil tahun 2007 yang menampilkan Rajinikanth sebagai watak utama. Tetapi bagi warga India, mereka lebih mengenali seorang lagi Shivaji iaitu Shivaji Bhonsale. Baginda bukan saja bertanggungjawab membentuk Empayar Maratha tetapi juga dianggap seorang yang bijak tatkala berhadapan dengan pelbagai kuasa pada eranya dari Empayar Mogul hinggalah kuasa kolonial Eropah.
Shivaji dilahirkan di Kota Shivneri berhampiran bandar Junnar dalam daerah Pune. Bagaimanapun, sejarawan berselisih pendapat tentang tarikh kelahiran baginda sama ada April 1627 atau 19 Februari 1630. Ini mendorong kerajaan negeri Maharashtra menjadikan 19 Februari setiap tahun sebagai cuti umum bagi meraikan kelahiran baginda. Ada menganggap nama Shivaji ini diambil dari nama Dewa Shiva tetapi sebenarnya ia diambil dari Dewi Shivai. Ini berdasarkan kisah sebelum kelahiran baginda, bondanya Jijabai berdoa agar dikurniakan seorang anak lelaki.
Ayahandanya Shahaji Bhonsale merupakan seorang jeneral Maratha yang berkhidmat dengan Kesultanan Deccan. Pada ketika itu, kekuasaan kesultanan berkenaan dikongsi tiga kesultanan: Bijapur, Ahmednagar dan Golkonda. Dan kesetiaan boleh saja bertukar seperti menyalin baju ketika itu dan ia dilakukan ramai orang termasuk Shahaji. Kesetiaan ini boleh saja pada Nizamshahi dari Ahmednagar, Adilshah dari Bijapur atau Empayar Mogul. Tetapi di sebalik kesetiaan sebegini, beliau masih mengekalkan kekuasaannya di Pune dan kekuatan askar yang kecil.
Sejak kecil, Shivaji sudah didedahkan dengan ajaran agama Hindu oleh bondanya Jijabai termasuk pembelajaran epik-epik Hindu seperti Ramayana dan Mahabharata. Selain itu, baginda juga suka berdamping dengan pendeta-pendeta Hindu dan wali-wali Sufi. Selepas ayahandanya berdamai dengan Empayar Mogul, baginda dan bondanya diletakkan di Pune di mana latihan dan pendidikannya diuruskan oleh wakil Shahaji di Pune, Dadoji Konddeo. Semasa kecil, Shivaji banyak bergaul dengan orang-orang dari wilayah Maval dan mengembara ke kawasan hutan dan bukit di kawasan Pergunungan Sahyadari, satu perkara yang akan membantunya di kemudian hari. Namun, ragam sebegini tidak disenangi oleh Dadoji dan pernah diadukan kepada Shahaji tetapi tidak dilayan.
Pada tahun 1639, Shivaji dipindahkan ke Bangalore selepas Shahaji diarah oleh bangsawan-bangsawan Vijayanagara yang merebut kawasan itu mahukannya mengawal dan membentuk petempatan di situ. Di sinilah, Shivaji bersama abang sulungnya Sambhaji dan saudara tirinya, Ekoji I (pengasas kerajaan Maratha di Thanjavur) mendapat latihan formal dalam pelbagai aspek termasuk ketenteraan. Setahun selepas itu, baginda berkahwin dengan seorang wanita bangsawan bernama Saibai dari keluarga bangsawan Nimbalkar.
Kelicikannya sebagai jeneral tentera mula terserlah apabila baginda berjaya merasuah atau memujuk komander Bijapur yang mengawal Kubu Toma, Inayat Khan untuk menyerahkan penguasaan kubu kepadanya. Tindakan tersebut menyebabkan ramai mengisytiharkan taat setia kepada baginda dan ini disusuli pula dengan penguasaan Kubu Kondana selepas Gabenor Bijapur yang dilantik dirasuah. Bagaimanapun, ini menimbulkan kemurkaan kerajaan Adilshah di Bijapur dan akibatnya, Shahaji dipenjarakan pada tahun 1648 untuk mengekang kemaraan Shivaji. Selepas Kubu Jinji jatuh ke tangan kerajaan Adilshah, barulah Shahaji dilepaskan dari penjara dan beliau memutuskan untuk memilih hidup secara sederhana. Tetapi itu juga membenarkan Shivaji meneruskan aktiviti serangannya termasuk merampas Lembah Javali dan membunuh bangsawan Maratha yang dilantik Bijapur, Chandrarao More pada tahun 1656.
Tetapi semua ini tidak mengatasi apa yang berlaku seterusnya membabitkan baginda dan jeneral Bijapur, Afzal Khan. Adilshah yang murka dengan tindakan Shivaji mengerahkan kekuatan tenteranya untuk menghapuskan ketumbukan baginda tanpa perlu bimbang dengan gangguan yang dicetuskan Empayar Mogul. Sebagai tindak balas, tentera pimpinan Afzal merosakkan Kuil Tuljabhavani dan Kuil Vithoba di Pandharpur sebelum meneruskan serangan ke atas pasukan Shivaji. Ini memaksa baginda berkubu di Kubu Pratapgad di mana tentera Bijapur mengepung kota berkenaan selama dua bulan. Dalam tempoh tersebut, kedua-duanya gagal mencari sebarang peluang untuk memecah kebuntuan. Akhirnya, Afzal menghantar seorang wakil kepada Shivaji di mana beliau mencadangkan mereka bertemu secara berseorangan di luar kubu untuk berunding.
Pada 10 November 1659, kedua-duanya bertemu di sebuah pondok di kaki bukit Kubu Pratapgad. Sebagai syarat pertemuan, kedua-duanya boleh membawa sebilah pedang dan hanya diiringi seorang pengikut. Tetapi Shivaji yang tidak mahu mengambil risiko memakai baju besi dalam bajunya dan menyembunyikan pisau serta bagh nakh pada kedua-dua tangannya. Tidak diketahui siapa yang mula bermain senjata dengan sumber Maratha menuduh Afzal sementara kisah-kisah dari Parsi menonjolkan Shivaji sebagai pengkhianat. Yang pasti, pisau Afzal gagal menembusi baju besi Shivaji dan baginda berjaya membunuh jeneral Bijapur itu. Ini membolehkan baginda berjaya menghapuskan saki-baki kekuatan tentera Bijapur dalam Perang Pratapgarh. Di sebalik kelicikannya itu, Shivaji juga turut menunjukkan sikap belas kasihan terhadap musuhnya. Tentera Bijapur yang ditawan sama ada askar biasa atau pegawai dibebaskan dan dibenarkan pulang sambil diberi bantuan berbentuk makanan dan wang.
Kelicikan Shivaji bukan saja merungsingkan Adilshah tetapi juga Empayar Mogul di Delhi. Dan seperti mana yang dilakukan ayahandanya dahulu, perkara sama turut dilakukan baginda. Pada satu ketika, Shivaji mempunyai hubungan baik dengan Empayar Mogul dan bersedia membantu bakal maharaja Aurangzeb menguasai Deccan sebagai pertukaran kepada pengiktirafan baginda sebagai penguasa kota-kota dan kampung-kampung di wilayah dikuasainya. Namun entah di mana silapnya, ia tidak bertahan lama dan ditambah dengan tawaran lebih baik ditawarkan oleh Bijapur, baginda menyerang Deccan yang dikuasai Empayar Mogul. Sebagai tindak balas, Aurangzeb menghantar Nasiri Khan dan berjaya menewaskan ketumbukan Shivaji di Ahmednagar. Bagaimanapun, kempen mereka terganggu akibat musim hujan dan konflik perebutan takhta membabitkan baginda dengan saudara-saudaranya selepas Maharaja Shah Jahan jatuh gering.
Walaupun sudah bergelar Maharaja, Aurangzeb masih tidak senang duduk dengan kerenah Shivaji. Pada tahun 1660, baginda menghantar bapa saudaranya Shaista Khan dengan kekuatan 150,000 tentera dan sekutunya Siddi Jauhar untuk menguasai Pune. Pada mulanya, kempen mereka berjalan lancar dan ini membolehkan Shaista tinggal di istana Shivaji, Lal Mahal. Tetapi kekuatan dari segi bilangan diatasi menerusi taktik gerila baginda. Pada April 1663, Shivaji bersama 200 tentera menyusup masuk ke Pune dengan menggunakan majlis perkahwinan yang berlangsung ketika itu sebagai samaran mereka. Mereka menyerang istana dengan mengalahkan pengawal-pengawal istana, memecah dinding kota dan menyerbu kediaman Shaista. Baginda berjaya melarikan diri tetapi salah seorang dari anak lelakinya dan beberapa isteri Shaista terbunuh dalam serangan mengejut Shivaji itu. Murka dan malu dengan kegagalan bapa saudaranya itu, Aurangzeb memindahkan Shaista ke Bengal. Sementara Shivaji pula bertindak balas dengan menyerang bandar pelabuhan Surat pada tahun 1664.
Tidak mahu berputus asa mengalahkan Shivaji, Aurangzeb menghantar Mirza Raja Jai Singh I dan 44,000 tentera untuk menggempur kedudukan Maratha. Dan seperti dijangka, angkatan Mogul ini menjadi duri dalam daging buat Shivaji dengan wilayah dikuasainya diserang dan kubu-kubu pertahanannya dikepung. Keadaan ini membolehkan beliau memujuk baginda memeterai Perjanjian Purandar yang dimeterai pada tahun 1665. Menerusi perjanjian ini, pihak Mogul mendapat pampasan 400,000 hun dan 23 kubu sementara Shivaji dibenarkan menyimpan 12 kubu. Selain itu, baginda juga dilantik sebagai wakil Mogul dengan putera sulungnya, Sambhaji mengetuai 5,000 tentera untuk kempen mereka di Deccan.
Tetapi perjanjian tersebut tidak bertahan lama gara-gara sikap Shivaji sendiri. Setahun selepas ia dimeterai, baginda dijemput ke Agra untuk bertemu dengan Aurangzeb. Maharaja Mogul berhasrat menghantar bangsawan Maratha itu ke Kandahar untuk mengukuhkan kedudukan empayar di sana. Tetapi satu kesilapan yang dibuat baginda ialah meletakkan Shivaji berdiri di belakang komander-komander tentera dalam istana baginda. Murka dengan tindakan Aurangzeb, baginda segera keluar dari istana tetapi ditangkap dan diletakkan dalam tahanan rumah di bawah pemantauan Faulad Khan. Kedudukannya boleh diibaratkan seperti telur di hujung tanduk kerana mereka sentiasa berdebat sama ada hendak membunuh atau meneruskan khidmatnya. Shivaji yang terdesak menggunakan saki-baki dana yang ada untuk merasuah kakitangan istana menyokong kesnya.
Sebagai jalan kompromi, Aurangzeb mahukan Shivaji ditempatkan di Kabul tetapi ditolak. Sebaliknya, Shivaji mahukan kubu-kubunya dikembalikan dan baginda bersedia berkhidmat sebagai komander Mogul di Deccan. Namun, tawaran tersebut ditolak Aurangzeb dengan baginda mahukan semua kota di bawah kawalan Shivaji diserahkan kepada kerajaan Mogul sebelum boleh menawarkan khidmat. Akhirnya, Shivaji berjaya melarikan diri dari Agra dengan bantuan pengawal istana yang dirasuah.
Selepas pulang ke Deccan, rundingan demi rundingan diteruskan bagi membolehkan keamanan wujud antara kedua-dua kerajaan. Antara tahun 1666 hingga 1668, Aurangzeb mengurniakan gelaran raja kepada Shivaji dengan Sambhaji dilantik semula sebagai komander Mogul dengan kekuatan 5,000 tentera berkuda. Sambhaji dan Jeneral Prataprao Gujar turut dihantar berkhidmat dengan wakil Mogul dan bakal maharaja Bahadur Shah di Aurangabad. Selain dilantik sebagai panglima tentera, baginda turut diberi wilayah di Berar untuk kutipan cukai. Shivaji juga diberi kebenaran menyerang Adilshah di Bijapur dan hasilnya, hak percukaian diberi kepada baginda sebagai pertukaran kepada keamanan di wilayah tersebut.
Bagaimanapun, keamanan yang dicapai hanya bertahan selama empat tahun. Ketegangan kembali meletus apabila Aurangzeb merasa curiga hubungan rapat Bahadur Shah dengan Shivaji. Ini ditambah dengan kesibukannya di Afghanistan menyebabkan bilangan tenteranya berkurangan di Deccan dengan ramai memilih berkhidmat di bawah panji Shivaji. Berang dengan tindakan mereka, Empayar Mogul merampas semula wilayah Berar sebagai pampasan kepada wang yang dipinjamkan beberapa tahun sebelumnya. Shivaji bertindak balas dengan merampas semula semua wilayah yang diserahkan kepada Mogul dalam tempoh empat bulan. Baginda turut menyerang Surat buat kali kedua pada tahun 1670 dengan bandar tersebut dijarah dengan pengecualian kilang-kilang milik Britain dan Belanda. Murka dengan tindakan Shivaji, Aurangzeb menghantar Daud Khan untuk memerangi mereka. Tetapi pasukan tersebut tewas dalam Perang Vani-Dindori berhampiran sebuah bandar bernama Nashik.
Jika Bijapur dan Mogul merasa kurang senang dengan kerenah Shivaji, tanya juga dua kuasa koloni yang datang ke India sebagai pedagang: Britain dan Belanda. Pada Oktober 1670, Shivaji menghantar orang-orangnya mengganggu pergerakan pedagang British di Mumbai kerana berang Britain enggan menjual bekalan perang diperlukan angkatannya. Setahun selepas itu, baginda menghantar duta ke Mumbai untuk berunding perkara sama bagi melawan angkatan Danda-Rajpuri. Bagi Britain, apa yang diminta adalah mustahil tetapi pada masa sama mereka tidak mahu kehilangan peluang mendapat pampasan dari penjarahan kilang mereka di Rajapur. Britain menghantar Leftenan Stephen Ustick untuk berunding tetapi berakhir dengan kegagalan kerana isu pampasan Rajapur. Walaupun rundingan terus berlangsung untuk tahun-tahun berikutnya, Shivaji langsung tidak membayar satu sen pun pampasan yang dimahukan mereka sehinggalah hari kemangkatannya. Kilang Britain di Rajapur kemudiannya dihentikan pada tahun 1682.
Walaupun sudah bergelar penguasa empayar yang besar dan kaya, hakikatnya Shivaji masih lagi bertaraf bangsawan dan bukan berdarah raja. Untuk menjustifikasikan kedudukannya sebagai raja, satu upacara pertabalan diadakan bagi mengelak cabaran dari pemimpin-pemimpin Maratha lain. Tetapi golongan Brahmin menolak sama sekali Shivaji atas alasan baginda datang dari keluarga kasta shudra varna dan bukannya kshatriya yang sememangnya untuk raja-raja. Untuk mengelak isu ini berlarutan, baginda memanggil Goga Bhatt, seorang pendeta Brahmin dari Varanasi. Bhatt mendakwa selepas melihat susur-galur Shivaji mendapati baginda mempunyai darah Sisodia Rajput di mana satu cara diperlukan untuk mengesahkannya: upacara pertabalan raja. Tetapi untuk tahun-tahun selepasnya, ramai menganggap dakwaan Bhatt itu lemah atau lebih radikal, dipalsukan untuk menyokong tuntutan Shivaji.
Tetapi bagi baginda, semua itu sudah cukup bagi membolehkan upacara pertabalan diteruskan. Pada 6 Jun 1674 di Raigad, Shivaji ditabalkan sebagai Raja bagi Empayar Maratha dengan mendapat gelaran Shakakarta (pengasas era) dan Chhatrapati (daulat yang luas). Baginda juga turut mengambil gelaran Haindava Dharmodhhaarak (pelindung agama Hindu). Selepas bondanya mangkat 12 hari selepas itu, satu lagi majlis pertabalan diadakan atas sebab pertama, majlis pertama dibuat pada masa yang kurang elok. Dan kedua, ia bagi menyakinkan golongan skeptik terutama golongan Brahmin yang merasakan Shivaji tidak layak. Selepas ditabalkan sebagai raja, baginda meneruskan kempen menguasai Selatan India dan memastikan Deccan bebas dari campur tangan luar. Matlamat itu dicapai menerusi serangan ke atas beberapa wilayah seperti Khandesh dan Ponda, membentuk pakatan dengan Kesultanan Golkonda dan berbaik semula dengan saudara tirinya Ekoji I.
Shivaji mangkat pada usia 52 tahun selepas menderita demam dan disenteri pada tahun 1680. Ada sesetengah mendakwa baginda sebenarnya diracun isteri keduanya Soyarabai bagi membolehkan puteranya yang berumur 10 tahun Rajaram menaiki takhta. Ada juga berpandangan kemangkatan baginda disebabkan doa seorang wali Allah bernama Sayyid Muhammad Jan di Jalna. Beberapa bulan sebelum Shivaji mangkat, angkatan Maratha berjaya menawan dan menjarah bandar Jalna. Ramai yang ketakutan berlindung di kediaman beliau termasuk golongan hartawan dan bangsawan dengan harta-harta mereka. Tentera Maratha yang mengetahui berita tersebut segera menyerang kediaman Sayyid Muhammad Jan dan merompak golongan berkenaan. Walaupun cuba dihalang, tentera Maratha tidak melayan desakan beliau untuk berhenti dan mengancam membunuh wali berkenaan. Wali Allah itu menyumpah Shivaji atas apa yang dilakukan tenteranya dan lima bulan selepas itu, baginda mangkat.
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih