Selalunya bila kita hendak memohon cuti dari bekerja, alasan yang diberi juga banyak dan bersebab. Ada disebabkan isu kesihatan, ada juga disebabkan isu keluarga atau sekadar mahukan masa untuk memanjakan diri selepas penat bergelumang dengan kerja. Tetapi di Jepun, ada satu cuti yang dianggap menarik terutama bagi yang baru saja patah hati kerana putus cinta. Ya, cuti yang saya maksudkan ialah cuti kerana putus cinta.

Pukul sembilan pagi, pagi Isnin. Bagi ramai orang, ia merupakan permulaan hari tipikal untuk bekerja. Dan sudah menjadi kebiasaan jika ada yang menelefon untuk mengambil cuti kecemasan atau memberitahu tidak dapat hadir atas sebab-sebab tertentu. Di syarikat penyelidikan pasaran Hime & Company, bukanlah sesuatu yang asing bagi mereka bila mendengar dialog ini, “Bos, saya baru saja memutuskan hubungan dengan teman lelaki/teman wanita saya sehari sebelumnya. Saya nak ambil shitsuren kyuka.” Lantas, si bos akan menjawab, “Boleh, tiada masalah. Jaga diri awak.”

Jadi apa itu shitsuren kyuka sebenarnya? Ia sebenarnya merujuk kepada cuti kecemasan atas sebab putus cinta. Menurut pengasas dan presiden Hime, Miki Hiradate, melainkan anda benar-benar bernasib baik, pada satu ketika dalam kehidupan anda, anda akan mengalami pengalaman putus cinta yang menyakitkan bak dihiris sembilu. Idea ini diperkenalkan beliau semasa mengadakan sesi percambahan idea dengan staf-staf wanitanya berkenaan apa yang mereka mahu dari syarikat yang mesra wanita. Antara idea yang dicadangkan ialah idea ini, sesuatu yang dianggap baik bagi staf-staf wanita muda dan yang masih bujang.

Hiradate sedar idea lain seperti pusat jagaan kanak-kanak dan waktu kerja yang lebih fleksibel juga merupakan satu insentif kepada staf wanita. Tetapi menurutnya, shitsuren kyuka dianggap satu idea yang harus diperkenalkan secepat mungkin kerana ia ada kaitan dengan prestasi pekerja dan produktiviti syarikat amnya. Beliau menambah, “Anda tahu, bila anda patah hati, anda akan merasa teruk, mata merah dan tidak berada pada tahap terbaik untuk bekerja. Saya mencadangkan kepada mereka untuk kembali bekerja selepas mengambil cuti beberapa hari untuk memulihkan diri. Itu juga merupakan satu kebaikan kepada syarikat.”

Hiradate tahu kesan putus cinta mempunyai impak berbeza terhadap wanita dan kesannya jauh lebih buruk apabila wanita tersebut semakin berumur. Justeru, cuti sehari diberi kepada staf berumur awal 20-an, dua hari kepada staf berumur akhir 20-an dan tiga hari kepada staf yang berusia 30-an. Menurut beliau, setakat ini belum ada yang mengambil cuti tetapi beliau juga tidak menolak akan melakukan perkara sama bila ada keperluan sama.

Bila ditanya apa motif di sebalik cuti ini, beliau mahukan staf yang bebas dari stereotaip dan sentiasa ceria di tempat kerja. Perlu diingat, masyarakat Jepun menganggap cuti itu satu beban dan sesiapa yang mengambilnya akan dipandang serong masyarakat kerana terlalu mementingkan diri sendiri. Pendek kata, individu tersebut tidak mempunyai semangat gaman dalam dirinya. Justeru, apa yang dilakukan beliau dilihat sebagai satu usaha mencegah karoshi atau fenomena kematian di tempat kerja dan fenomena ini memberi kesan buruk kepada imej firma-firma besar Jepun.

Hiradate sedar sebarang usaha untuk menghentikan fenomena karoshi ialah menjadikan suasana tempat kerja sebagai satu tempat yang baik dan menggembirakan bagi para pekerja. Justeru selain shitsuren kyuka, beliau juga memperkenalkan satu lagi idea iaitu cuti separuh hari bagi pekerja keluar membeli-belah pada hari-hari jualan diskaun bermusim diadakan. Cuti ini diperkenalkan berdasarkan pengalamannya semasa bekerja dengan syarikat-syarikat besar dahulu.

Menurutnya, apabila jualan sebegini diadakan, pekerja-pekerja selalunya melakukan aktiviti pembelian secara rahsia sebelum menyembunyikan belian mereka dalam lokar pekerja. Hiradate menambah, “Aktiviti sebegini menarik kerana anda dapat menunjukkan barang belian dan berkongsi keseronokan dengan rakan-rakan sekerja. Justeru, perbuatan menyembunyikannya merupakan sesuatu yang mengarut.” Beliau menambah, aktiviti sebegini sedikit sebanyak membantu pekerja membeli barang pada kadar menjimatkan, sekaligus dapat menjimatkan kos gaji mereka.

Namun, Hime bukan satu-satunya syarikat yang memperkenalkan shitsuren kyuka. Chikara Corp, sebuah syarikat yang berpangkalan di Kobe memiliki enam salun kecantikan di situ menawarkan cuti sama kepada pekerjanya pada tahun 2011. Seperti Hime, cuti berbayar ini diberi bagi membolehkan mereka pulih dan kembali melayan pelanggan dengan senyuman. Berikutan pengenalan cuti tersebut, semakin ramai yang memohon bekerja dengan syarikat berkenaan yang menganggap ia sebahagian daripada polisi kebajikan syarikat yang bagus.

Ada juga perniagaan yang memberi peluang kepada individu yang patah hati peluang untuk pulih dan memulakan lembaran baru kehidupan mereka. Salah satunya ialah Shitsuren Taxi, sebuah syarikat pelancongan yang menawarkan pakej jelajah empat jam sekitar Kyoto bermula dari Stesen JR Kyoto. Pelanggan akan dibawa ke tempat-tempat menarik sekitar Kyoto di mana pelanggan akan meluahkan isi hati seperti pertunangan dibatalkan atau terlalu letih dengan cabaran cinta. Menurut syarikat berkenaan, perkhidmatan tersebut digunakan oleh 60 wanita dari 20-an hingga 50-an.

Sementara Defactostandard Ltd, sebuah syarikat yang berpangkalan di Ota Ward, Jepun memperkenalkan pakej kotak Shitsuren di mana mereka membeli barang-barang kenangan dari individu yang putus cinta. Projek yang dilaksanakan pada Mac 2014 ini menyaksikan mereka menerima 300 kotak dari seluruh negara setiap bulan yang mengandungi pelbagai jenis barang. Mana-mana barang berharga akan dinilai terlebih dahulu sebelum dibayar kepada pemilik sebelumnya. Sementara surat-surat dan gambar-gambar akan disimpan sekejap sebelum ianya dibuang. Projek ini pada awalnya bersifat sementara tetapi berikutan sambutan popular daripada pelanggan, ia kini menjadi sebahagian daripada model perniagaan mereka.

SUMBER

1. Yoshinaga, Akiko (Yomiuri Shimbun). (2014). Japanese companies offer services designed to heal broken hearts. Helsinki Times. http://www.helsinkitimes.fi/world-int/12355-japanese-companies-offer-services-designed-to-heal-broken-hearts.html

2. Hani, Yoko. (2006). Heartbreak heaven for staff. The Japan Times. https://www.japantimes.co.jp/life/2006/09/17/to-be-sorted/heartbreak-heaven-for-staff/#.XTl3ltxuZ1t


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Graduan Bachelor of Business Admin (Human Resource) dari UNITAR yang meminati sejarah sejak 11 tahun. Ketika ini merupakan saudagar simkad Tone Excel. Harapan terbesar ialah melihat saudara seagama dan sebangsa kembali bersatu di bawah satu panji dan terus maju bersama. Tanpa perpaduan, manusia tidak akan ke mana-mana, malah tidak akan dapat membina sebuah tamadun yang gemilang seperti mana yang dilakukan oleh nenek moyang kita yang lepas. Dan sejarah adalah saksi bahawasanya perpaduan kunci penting dalam membina sebuah tamadun yang gemilang.

Comments are closed.