Kita dikejutkan dengan berita pulangnya Sasterawan Negara, Prof. Emeritus Dato’ Dr. Hj. Shahnon Ahmad ke Rahmatullah di Hospital KPJ Kajang. Semoga Gemulah ditempatkan dikalangan orang beriman.

Dalam banyak-banyak buku Gemulah, saya tertarik dengan buku yang ini.

Pada mulanya, apabila saya memegang dan membelek buku Cikgu Shahnon Di Mata Kami ini, saya dalam dilema sama ada untuk membelinya atau meletakkan ia kembali ke tempat asalnya kerana saya fikir ia adalah sebuah buku esei yang penuh dengan fakta dan data ilmiah berkaitan Dr Shahnon Ahmad yang bukanlah asing dalam dunia kesusasteraan di Malaysia.

Beliau merupakan salah seorang daripada Sasterawan Negara, yang dianugerahkan kepada beliau pada tahun 1982.

Namun, apabila saya membuka sahaja muka pertamanya, saya terus meletakkannya dalam senarai untuk dibeli.

Mengapa saya bertindak sedemikian?

Pertamanya buku ini menghimpunkan tulisan penulis-penulis yang saya minati khususnya SM Zakir dan Faisal Tehrani serta coretan nama-nama besar yang saya kenal melalui penulisan mereka seperti Fatimah Busu, Osman Ayub, Rahimidin Zahari, Rebecca Ilham, Shamsudin Othman, Sutung Umar Rs, Zurimah Hassan dan lain-lain.

Buku Cikgu Shahnon di Mata Kami ini mengumpulkan 26 tulisan daripada 26 orang penulis yang menulis tentang Cikgu Shahnon atau dikenali sebagai Sasterawan Negara Profesor Emeritus Datuk Dr. Shahnon Ahmad, daripada kacamata mereka.

Buku ini menghimpunkan pelbagai tulisan yang dihasilkan oleh para penulis yang mempunyai pelbagai latar belakang, sasterawan, ahli akademik, editor, penulis sepenuh masa, jurutera, guru sekolah dan lain-lain bidang.

Hampir kesemua mereka yang terdiri daripada anak-anak murid Cikgu Shahnon yang berjaya mengadun dan mengaul elemen manis, pahit, suka, duka sepanjang perkenalan mereka dengan Cikgu Shahnon.

Hampir semua yang mengenali Cikgu Shanon ini menyimpulkan bahawa beliau seorang yang ramah, mesra pada alam realiti tetapi beliau mempunyai nada yang berbeza dan ‘garang’ apabila menterjemahkan ideanya ke penulisan kreatif.

Apa yang menariknya ialah bagaimana penulis-penulis ini menzahirkankan idea mereka. Boleh dikatakan hampir semua daripada mereka menggunakan lenggok bahasa yang santai dan seolahnya saya sedang membaca fiksyen berkaitan Cikgu Shahnon.

Dr Faisal Tehrani misalnya mencoret kisah yang agak santai(walau judulnya agak berat), Shahnon Ahmad Sesuatu Yang Hesteroglossia.

Begitu juga SM Zakir, dengan esei bertajuk Shahnon Ahmad Dan Seorang Lahuma(yang juga menghurai pandangannya berkaitan novel Ranjau Sepanjang Jalan).

Buku ini juga bercerita tentang sejarah bagaimana Cikgu Shahnon mula berkarya sehinggalah pasca rilisnya karya kontroversi Shit.

Tempoh masa ini mengajar kepada Cikgu Shahnon berkaitan siapa kawan dan siapa lawan dan boleh dikatakan episod kemuncaknya diakhiri dengan penerimaan tawaran beliau untuk bertanding Pilihan Raya Umum 1999 sebagai calon PAS.

Beliau juga pernah mengikuti jemaah Al-Arqam yang telah diharamkan di Malaysia.

Dan, buku ini juga bercerita tentang kontroversi.

Buku ini cuba(atau mencuba) mengubah persepsi negatif yang terbina di kalangan kita yang melempar Cikgu Shahnon dengan pelbagai konotasi negatif berkaitan karyanya, Shit yang sangat kontroversi itu.

Buku ini menghurai, menginterpretasi dan bercerita mengapa dan kenapa karya Shit itu diterbitkan oleh Cikgu Shahnon. Mungkin ada di kalangan kita yang tidak pernah membaca buku kontroversi tersebut tetapi sudah menjatuhkan hukuman mandatori sebelum sempat Cikgu Shahnon menerangkan hujahnya, jadi buku ini mungkin alternatif terbaik sebagai pencerahan dan menjawab kepada polemik tersebut.

Buku ini juga sebenarnyakan menjadi sumber rujukan saya untuk mencari karya-karya Cikgu Shahnon.

Sebenarnya banyak karya Cikgu Shahnon yang perlu saya cari dan baca kerana pada saya ianya merupakan sesuatu yang langka dan berguna untuk ditadabbur akan apa yang cuba disampaikan oleh Cikgu Shahnon.

Karya-karya beliau sememangnya amat dekat dengan masyarakat marhaen dan proletaritarian, ini sesuatu yang elemen yang saya gemari dalam pembacaan saya.

Buku ini juga memandu kita berkaitan ke arah manakah label gelaran Sasterawan Negara itu sendiri.

Berapa ramai daripada masyarakat mengenali Sasterawan Negara?

Sejauh manakah ke-eksklusifan gelaran ini kepada kita?

Buku ini sebenarnya bercerita bagaimana alternatif Cikgu Shahnon mensasterakan masyarakat dengan karyanya.

Bagaimana proses ini berlaku? Anda perlu membaca buku ini sendiri.

Saya juga tertarik dengan Catatan Hujung yang agak kelakar dicoret oleh Azalan Hussain dan pertanyaan Cikgu Shahnon berkaitan SM Zakir yang mahu diangkatnya menjadi Sasterawan Negara, adakah ianya akan menjadi realiti?

Diakhirnya, pada saya, Gemulah bukan sekadar kita kenali sebagai Sasterawan Negara sebaliknya beliau juga adalah ‘Sasterawan Rakyat’ kerana karya beliau sangat dekat dengan kita.

Al-Fatihah.


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Muhammad Yusof adalah seorang pembaca seni, falsafah dan budaya.

Comments are closed.