Kita semua tahu dah kan sebenarnya orang Melayu memang suka filem sejarah, epik ni semua kan? Kalau tak, takdenya Bahubali dulu jadi filem yang orang Melayu perkatakan. Kalau tidak, Mat Kilau tidak akan gapai angka setinggi 11 Juta dalam 4 hari ini.
Mat Kilau bukannya satu-satunya sejarah perjuangan orang Melayu untuk kita ambil inspirasi daripadanya. Jangan jadikan filem Mat Kilau sebagai titik pertama dan terakhir kita cuba kisahkan filem wira-wira kita.
Selepas ini, dengan skrip yang lagi power, takde dialog yang terlalu tell daripada show, dengan bajet yang lebih besar, dengan prop yang lebih teliti, dengan setting filem yang lebih besar, aku mengharapkan lagi banyak peristiwa di bawah yang aku cadangkan agar kita cari jalan untuk terbitkan, bagi merakamkan sejarah Melayu.
Jangan risau bab ketepatan sangat. Ada lesen kreatif bila dah namanya filem.
1. Kisah Srikandi Melayu Adhruja Wijayamala Singha Mememanggal Kepala Raja Thai
Kisah mengenai srikandi Melayu mengetuai para janda dan anak dara menentang penjajah Sukhothai yang cuba menjajah kerajaan Melayu Ligor di Selatan Thailand hari ini. Keberanian srikandi Melayu harus difilemkan.
Boleh kita membayangkan bagaimana srikandi ini mempin askar elit yang terdiri dari anak dara dan janda ke medan perang, bertempur dengan gajah-gajah Thai lalu mencari kepala Raja Ramkhaeng lalu memenggal raja penakluk agung itu.
2. Kejatuhan Empayar Melayu Melaka
Menceritakan mengenai saat-saat terakhir kejatuhan empayar ini. Menggambarkan sebenar-benarnya situasi yang terjadi pada saat Melaka. Menggambarkan bagaimana askar Melayu ketika itu melawan armada Portugis dengan senjata api dan meriam di samping senjata tradisional seperti keris, lembing, sumpit dan tombak.
Menggambarkan pada rakyat Malaysia bagaimana gambaran Kota Melayu Melaka yang sebenarnya, bukannya perkampungan kecil yang rajanya bertakhta di hujung kampung, sebaliknya istana kayu yang setinggi 7 tingkat!
3. Ratu Unggu Mempertahankan Pattani
Pattani ialah sebuah kerajaan Melayu agung yang bertapak di utara semenanjung pada hari ini. Dalam sejarahnya, zaman keemasan Pattani ialah ketika era pemerintahan ratu-ratu perempuannya termasuk Ratu Unggu. Ada dalam sejarah, dicatatkan bahawa Ratu Unggu berjaya mempertahankan Pattani daripada angkatan 60 ribu orang tentera Thai.
Selain itu, yang paling mengagumkan tentang kota Pattani ketika itu adalah diceritakan bahawa kubu pertahan Pattani dibina sepuluh lapis dan di mana pada setiap satunya diletakkan sebuah Meriam dan antaranya ialah Meriam Seri Patani, Meriam Seri Negara dan juga Meriam Mahalela.
Dicatatkan bahawa angkatan paling besar Siam dalam sejarahnya iaitu bala 60 000 orasng askar itu tumpas pada pakatan Pattani-Johor-Portugis.
4. Kisah Hidup Laksamana Hang Nadim
Selepas kejatuhan Melaka, ada satu figura yang tidak pernah menyerah kalah demi menuntut bela ke atas Melaka. Figura itu ialah Laksamana Hang Nadim yang memimpin saki-baki tentera Melaka menggempur Portugis dan dicatatkan Laksamana Hang Nadim wira menentang Portugis untuk sekurang-kurangnya 32 buah pertempuran! Bayangkan kalau kita filemkan kisah Laksamana Hang Nadim ini. Pasti jati diri anak bangsa kita marak menontonnya.
5. Kisah Lima Orang Daeng Bersaudara
Kisah keberanian dan semangat kekeluargaan kelima lima orang anak raja Bugis dari Luwuk ini harus difilemkan ala ala Final Fantasy, bagi saya. Sangat mengagumkan membaca kisah perjuangan mereka berkhidmat dengan raja-raja Melayu di Semenanjung Tanah Melayu, Sumatera dan Kalimantan seterusnya mengukir nama yang cukup hebat dalam sejarah Nusantara.
6. Kisah Hidup Nakhoda Ragam
Sesungguhnya, kegemilangan Brunei di puncak keemasannya adalah di bawah pemerintahan baginda. Untuk pengetahuan semua, baginda Nakhoda Ragam atau nama lainnya Sultan Bolkiah merupakan salah satu daripada “conqueror” dalam sejarah Melayu yang harus kita banggakan.
Untuk rekod, empayar Brunei di bawah Nakhoda Ragam membentang ke keseluruhan Pulau Borneo seperti Sambas, Tanjungpura, Kota Waringin, Banjarmasin, Pasir, Kutai, Bulungan dan lain–lain lagi wilayah yang terkenal dalam Borneo, bahkan tidak cukup dengan itu, empayarnya sampai pula ke Kepulauan Sulu, Palawan, Mindoro, Keramian hingga Luzon dan Manila.
Baginda berjaya menewaskan Raja Sulu dan Luzon dalam melebarkan empayarnya.Kekuasaan Brunei dirasai dari seluruh Borneo hingga ke Kota Seludong di Luzon, Filipina (kini dikenali sebagai Manila).
Bayangkan kalau kita buat filem tentang penaklukan baginda?
7. Singapura Lama Menahan Gempuran 200 ribu tentera Majapahit
Apabila Parameswara, raja Melayu terakhir kerajaan Singapura menghukum seorang dayang tanpa selidik, maka ianya telah mengundang pengkhianatan seorang bangsawan bernama Sang Rajuna Tapa. Sang Rajuna Tapa telah mengirimkan surat kepada Raja Jawa menjemput raja Jawa itu untuk menakluk Singapura Lama.
Maka bala askar paling besar dalam sejarah nusantara digerakkan untuk menakluk kota Singapura Lama. Sejarah mencatatkan bahawa terdapat lebih 200 000 orang askar Jawa mara dari Pulau Jawa untuk menjatuhkan Singapura.
Hebatnya, Kota Melayu Singapura ini mampu bertahan lebih daripada sebulan gempuran daripada Majapahit. Bayangkan betapa kukuhnya pertahanan kota ini. Kita boleh buat sebuah filem yang menggambarkan bagaimana Raja Majapahit berusaha sehabis baik untuk pastikan segala-galanya mampu menjatuhkan Singapura.
Gelombang askar demi askar, cara pelbagai cara untuk menjatuhkan kota ini digunakan tetapi berhasil dengan kegagalan sehinggalah Sang Rajuna Tapa, menjadi pengkhianat apabila membuka pintu untuk askar Jawa masuk lalu membumihanguskan kota itu.
Parameswara sempat lari lalu menubuhkan Kesultanan Melayu Melaka…
8. Melaka Menewaskan 90 Ribu Tentera Dai-Viet
Dalam kroniel Dinasti Ming ada mencatatkan bagaimana Kesultanan Melayu Melaka pernah menghantar askar memerangi MaharajaVietnam. Dalam sejarah, Maharaja Vietnam yang dimaksudkan di atas adalah Le Than Tong.
Pada zaman beliau wilayah kekuasaan Vietnam mencapai sehingga sempadan Burma. Le juga dikatakan telah menyerang kerajaan Lanxang dengan 90 ribu askar namun dalam satu serangan mereka telah kalah dan terpaksa berundur kembali.
Walaupun dalam catatan sejaran Lanxang dan Vietnam tidak pernah menyebut keterlibatan Melaka dalam perang diantara Lanxang dan Vietnam ini, namun kronik China ada mencatatkannya.
Dikatakan bahawa 90 ribu bala tentera Vietnam telah melanggar Lanxang namun mereka berjaya diusir oleh angkatan perang Melaka dan mengakibatkan mereka kehilangan seramai 30 ribu nyawa.
Ini mungkin berpunca dari sikap biadap Vietnam pada utusan Melaka yang terkandas di persisiran Vietnam selepas balik dari China. Memandangkan tentera Melaka perlu merentas negara Kemboja atau Siam Ayuthia untuk ke Lanxang maka dapatlah disumpulkan bahawa salah satu atau kedua dua pihak ini telah membenarkan bala tentera Melaka melintasi negara mereka kerana berasa terancam dengan dasar perluasan kuasa Vietnam sepanjang pemerintahan Maharaja Le Than Tong 1460-97 serta juga kehebatan bala askar Melaka itu sendiri.
9. Perang Kastila: Brunei Vs Sepanyol
Dalam perang ini, ianya menceritakan tentang perang antara Brunei yang membawa 1000 orang askar dan juga 400 orang tentera Sepanyol, bersama dengan 1500 tentera Filipina dan juga 300 orang Borneo bersama dengan dua orang pengkhianat dari Brunei sendiri.
Pada Mac 1578, Dr. Francisco De Sande Kapten Sepanyol di Manila bertolak ke Brunei dengan 40 kapal perang. Ia sampai ke perairan Brunei dan mengutuskan surat kepada Sultan Saiful Rijal meminta baginda menerima pederi Kristian. Baginda tidak menerimanya dan tidak mahu mengalah kepada musuh Islam.
Pada 14 April 1578 de Sande melanggar Brunei. Dengan serta merta armada Sepanyol membedil kapal-kapal perang Brunei yang sebanyak 50 buah.
Askar-askar Brunei yang tidak bersedia tidak dapat berbuat apa-apa apabila armada mereka hangus dan tentera Sepanyol menyerang kampong air. Istana Sultan akhirnya dapat ditawan dan semua harta benda Sultan dan penduduk dijarah mereka.
Namun Sultan dan para pengikutnya berundur ke Jerudong. Setelah ke Jerudong Sultan kemudian berpindah pula ke Pulau Raja. Bendahara Sakam yang mengiringi Sultan kemudian kembali ke Brunei dan menghimpunkan pahlawan-pahlawan Islam.
Catatan barat ada menyebut bahawa mudahnya serangan terhadap Brunei oleh Sepanyol adalah disebabkan oleh pembelotan dua orang pembesar Brunei yang tidak berpuas hati dengan Sultan.
Pada 1578, Pengeran Bendaraha Sakam memimpin serangan ke Brunei dengan lebih daripada 1000 orang pahlawan. De Sande dapat dikalahkan dan lari meninggalkan Brunei. Pasukannya dikejar sehingga ke Nausung (Sabah).
10. Pakatan tentera Johor-Belanda Mengalahkan Portugis Dan Menawan Melaka
Ini penting kerana ini menggambarkan sifat diplomasi orang Melayu dalam mendapatkan bantuan musuh Portugis sendiri di Nusantara iaitu Belanda sehingga Belanda bersetuju untuk bersama Johor. Boleh digambarkan askar-askar Melayu bertungkus lumus menuntut bela di atas apa yang terjadi pada nenek moyang mereka, Melaka.
11. Serangan Rajendra Chola ke atas Empayar Srivijaya
Kisah ini perlu difilemkan bagaimana Chola sebuah Empayar di Selatan India menyerang sebuah kerajaan Melayu iaitu Srivijaya yang ketika itu dipercayai berpangkalan di Kedah Tua dan bagaimana pada awalnya kekalahan tentera Melayu sebelum serangan balas dilakukan menghalau saki baki Chola di bumi Melayu. Gambarkan perjuangan mereka menuntut kemerdekaan dan perjuangan mereka memastikan bahawa tanah air tidak dijajah oleh kuasa luar!
12. Che Bo Nga Menyatukan Seluruh Champa
Kisah bagaimana disaat kejatuhan Champa, muncul seorang tokoh bernama Che Bunga yang berjaya menyatukan seluruh Melayu Champa dan berjaya memberi harapan kepada Champa sebelum kematian baginda meranapkan terus sinar Champa.
Boleh filemkan bagaimana baginda berperang dengan Dai-Viet yang mempunyai ketumbukan askar yang jauh berkaliganda daripada ketumbukan askar yang dimilikinya. Gambarkan taktikal dan strategi perang baginda yang sangat ampuh itu.
13. Perang Musuh Bisik
Perang Musuh Bisik, di sini banyak kisah kepewiraan bangsa kita yang tak sanggup tunduk di bawah penjajahan Siam. Ini ialah bukti orang Melayu sanggup melawan ke titisan darah terakhir melawan penjajahan Siam.
Kalau tak kerana British masuk campur, nescaya orang Melayu dah ketuk pintu Grand Palace kat Bangkok tu, memenggal kepala raja mereka. Semangat bersatunya orang Melayu, dan kerasnya mereka melawan penjajah membuatkan British memberi tabik hormat kepada Melayu melihatkan kentalnya kita tidak tunduk dibawah penjajahan.
14. Buat filem biografi Tun Perak
Zaman kegemilangan Melaka ialah zaman Tun Perak menjadi bendahara. Strategi perangnya yang memukau sehingga menghalau Siam, berjaya menakluk Pahang, atau kepimpinannya sebagai Perdana Menteri kepada empayar Melaka wajar difilemkan supaya kita semua tanam tekad, perdana menteri yang akan kita pilih selepas ini memimpin kita, sehebat beliau.
Selamat maju jaya filem epik dan sejarah Melayu!
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
Merupakan penulis prolifik yang kini sudah memiliki 16 buah buku (setakat Mac 2021). Merupakan pengasas bersama The Patriots, dan memegang jawatan Chief Content Officer untuk Patriots Holding Sdn Bhd.
Impian terbesarnya ialah melihat sebuah Baitul Hikmah versi Tamadun Melayu, yang mengumpulkan para genius dari segala bidang, dibawah satu bumbung akademik dan mengabadikan seluruh kehidupan mereka hanya pada ilmu!