Pemerintah Zulu yang bernama Shaka hidup sezaman dengan maharaja Perancis yang masyhur, iaitu Napoleon. Beliau bahkan digelar sebagai ‘Napoleon Afrika’ oleh sesetengah sejarahwan. Walau bagaimanapun, selain daripada reputasi mereka berdua sebagai ketua tentera yang hebat, sejarah memperingati keduanya dengan sangat berbeza.
Walaupun diselubungi peperangan demi peperangan di seluruh Eropah, Napoleon dianggap sebagai seorang pemerintah kuku besi yang dipandang dengan penuh hormat. Manakala Shaka pula diingati dengan sentimen yang lebih negatif, iaitu sebagai seorang pemerintah kejam yang dahagakan darah.
PERMULAAN HIDUP SHAKA
Bagi yang ingin mengetahui tentang keganasan Shaka, mungkin anda boleh mulakan dengan zaman kanak-kanaknya. Menurut kepercayaan popular, Shaka merupakan anak tidak sah taraf hasil perhubungan antara Senzangakhona kaJama, seorang pengemuka Zulu dan juga Nandi. Dikatakan bahawa Shaka dikandungkan ketika keduanya melakukan uku-hlobanga, satu bentuk perhubungan intim tanpa melakukan penetrasi yang dibenarkan oleh kaum tersebut kepada pasangan yang belum berkahwin
Amalan ini bertujuan untuk melepaskan tekanan seksual dalam kalangan orang-orang muda di samping menghindari kaum wanita daripada mengandung. Namun bagi kes yang melibatkan Senzangakhona dan juga Nandi, peraturan tersebut dilanggar. Sebaik sahaja status kehamilan Nandi diketahui umum, satu dakwaan rasmi dihantar kepada Senzangakhona.
Namun, beliau tidak mengendahkan berita tersebut dan memberikan alasan bahawa kitaran haid Nandi yang tidak tetap menjadi punca kepada kehamilan tersebut, yang kononnya berakibat daripada parasit usus yang dikenali sebagai iShaka. Apapun, Nandi bersalin beberapa bulan kemudian dan Senzangakhona diperintahkan agar mengutip Nandi dan anak lelakinya itu. Anak tersebut dinamakan sebagai Shaka, merujuk kepada nama parasit usus berkenaan.
Ketika masih kanak-kanak, Shaka membantu bapanya menggembala kambing. Ketika beliau membiarkan seekor anjing membunuh seekor kambing yang digembalanya, Shaka dimarahi teruk oleh bapanya. Namun, Nandi mempertahankan anaknya. Akibat daripada kejadian tersebut, ibu dan anak itu diusir dari kraal (sebuah perkampungan pondok tradisional Afrika).
Selama beberapa tahun, Shaka dan ibunya berpindah dari satu kraal ke satu kraal yang lain. Mereka berdua seringkali ditindas dan dilayan dengan buruk. Sekitar tahun 1803, Shaka dan Nandi pada akhirnya menemukan tempat perlindungan yang terletak di wilayah hegemoni Mthethwa, sebuah kraal milik sekumpulan kaum yang dominan di daerah berkenaan.
Tampuk pemerintahan Mthethwa dipegang oleh Raja Dingiswayo yang menubuhkan sebuah federasi melibatkan 50 kaum menerusi kaedah diplomasi dan juga peperangan. Di bawah pengaruh raja inilah kehidupan Shaka menjadi semakin baik.
BERUBAHNYA TAKDIR – SHAKA MENJADI SEORANG PAHLAWAN
Pada usia 16 tahun, Shaka menjadi penggembala senior ternakan-ternakan Dingiswayo rentetan kebijaksanaan, keberanian dan juga semangat yang dimilikinya. Menurut satu kisah, Shaka pernah berhadapan dengan seekor harimau bintang yang menyerang gembalaannya. Dengan hanya tangan kosong, Shaka berjaya membunuh pemangsa buas tersebut, sekaligus meraih pujian dan anugerah daripada Dingiswayo.
Persaingan antara para penggembala di daerah tersebut untuk mendapatkan kawasan berumput (tempat gembalaan mereka makan) mengakibatkan konflik tidak dapat dihindarkan dari terus berlaku. Dingiswayo bersiap-sedia bagi menghadapi keadaan ini dengan mengarahkan para pemuda kaumnya untuk membentuk rejimen-rejimen tentera berdasarkan usia masing-masing. Lantas, Shaka pun dengan segera direkrut sebagai salah seorang perajurit yang terlibat, dan rejimen yang disertainya itu dikenali sebagai Izi-cwe (Tentera Belukar).
Shaka dilengkapkan dengan senjata lazim yang digunakan oleh daerah tersebut – iaitu perisai bujur dan tiga batang assegai (lembing ringan untuk dilontar). Beliau juga dipakaikan kain pinggang yang diperbuat daripada bulu, mantel kulit burung dan sandal kulit lembu. Pergelangan tangan dan kakinya pula dililit dengan ekor kerbau putih.
Pertempuran antara kaum-kaum di daerah tersebut pada masa itu lazimnya dimulakan dengan ketumbukan perajurit masing-masing saling berhadap-hadapan pada jarak sekitar 35 hingga 45 meter (115-148 kaki). Masing-masing kemudiannya akan melontar lembing ringan ke arah musuh dan mengambil semula lembing yang telah dilempar. Pertarungan hanya akan berakhir apabila salah satu pihak mengalah dan melarikan diri.
Jika pihak pemenang melakukan pengejaran, perajurit musuh yang tertawan boleh menyelamatkan diri dengan mencampakkan senjata bagi mengisyaratkan penyerahan-diri. Bentuk pertarungan sebegini dilihat tidak munasabah bagi Shaka. Menurut pandangannya, lembing ringan yang dilempar ke arah musuh yang jauh sama sekali tidak memberikan kecederaan yang serius kepada mereka.
KAEDAH PERTEMPURAN BARU DENGAN SENJATA BARU
Maka, Shaka pun mengambil keputusan untuk mengubah kaedah peperangan. Beliau yang tidak bersetuju dengan kaedah melempar lembing dari jarak jauh mula memperkenalkan kaedah pertarungan yang menuntutnya menghampiri musuh dan melangsungkan pertarungan melee. Sebaik sahaja musuh melemparkan lembingnya, beliau akan menangkis lembing tersebut dengan menggunakan perisainya.
Kemudian, beliau akan mara ke hadapan dan menjatuhkan perisai musuh dengan menghentakkan perisainya, lalu menikam musuh sehingga mati dengan menggunakan lembing yang dibawa. Untuk menambahkan lagi kadar keefisienannya, Shaka membuang sandal kulit lembu yang dipakainya kerana ia memperlambatkan pergerakan beliau.
Selain itu, Shaka juga mereka-cipta sejenis lembing baru untuk digunakan dalam pertempuran. Hal ini kerana lembing ringan yang digunakannya sebelum ini terlalu rapuh untuk digunakan bagi menetak dan menikam musuh. Maka, beliau pun menghasilkan lembing yang terdiri daripada bilah besar yang dilekatkan pada sebatang kayu dan berpemegang pendek.
Senjata ini dipanggil sebagai iklwa, merujuk kepada bunyi yang terhasil ketika senjata tersebut menusuk dan ditarik dari tubuh mangsa.
Antara sumbangan Shaka yang lain adalah penambahbaikan terhadap formasi ketenteraan sedia ada, di mana beliau memperkenalkan formasi ketenteraan baharu yang dikenali sebagai ‘tanduk kerbau’. Formasi ini terdiri daripada ‘kepala’ (unit utama), ‘tanduk’ (unit sayap) dan juga ‘pinggang’ (unit simpanan).
SHAKA MENJADI LEBIH KEJAM SEIRING MENINGKATNYA KUASA BELIAU
Dalam tempoh beberapa tahun, Shaka menundukkan pengemuka-pengemuka lain dan meluaskan wilayah yang dikuasai oleh kaum Zulu. Shaka juga menjadi semakin ganas dan gila. Antara kegilaan yang dicatatkan adalah perajurit-perajurit yang berkhidmat untuknya akan dicemeti sehingga mati sekiranya mempamerkan sifat yang lemah.
Malahan, mereka-mereka yang sebelum ini melayan Shaka dan ibunya dengan buruk turut dijatuhi hukuman yang tragis. Selain itu, Shaka juga tidak pernah memperisterikan mana-mana wanita secara sah ataupun menjadi bapa kepada seorang anak. Hal ini kerana sifat paranoidnya yang khuatir pewarisnya kelak akan menggulingkannya. Seandainya salah seorang gundiknya didapati mengandung, gundik tersebut akan dijatuhi hukuman mati.
Malah, ketika ibunya meninggal dunia, Shaka membunuh ribuan rakyatnya semata-mata supaya keluarga mangsa akan meratap bersamanya pada hari itu. Kegilaan Shaka ini membuatkan ramai daripada mereka yang sebelumnya akrab dengan beliau bertindak menjauhkan diri dari Shaka demi menyelamatkan nyawa masing-masing.
SEBERAPA BANYAK KISAHNYA YANG BENAR?
Pada tahun 1828, saudara tirinya yang bernama Dingawe membunuh Shaka lalu menyemadikan jasadnya di sebuah perkuburan tidak bertanda. Pucuk kepimpinan kaum Zulu juga diambil-alih oleh Dingawe.
Walaupun sifat ganas Shaka masyhur sehingga ke hari ini, pada hakikatnya banyak riwayat hidupnya tidak diketahui dengan jelas. Misalnya, kisah berkenaan kelahiran dan zaman kanak-kanaknya tidak memiliki banyak bukti untuk menyokong kebenarannya.
Selain itu, oleh kerana sumber-sumber berkenaan kisah hidup Shaka ini datang daripada kaum Zulu atau pencerita-pencerita berkulit putih (pendatang Eropah) yang sedia maklum bersifat pilih bulu, maka terdapat kemungkinan bahawa sifat ganas yang diletakkan pada Shaka dilebih-lebihkan. Sebahagian sejarahwan turut berpendapat bahawa mungkin terdapat sebab-sebab yang rasional di sebalik keganasannya itu – walaupun ianya mungkin telah hilang dari catatan sejarah.
Apapun, rasa tertarik terhadap sosok figura yang bernama Shaka ini berhasil membuatkan kaum Zulu meraih perhatian daripada pelbagai media massa yang menampilkan mereka di dalam beberapa buah buku dan siri televisyen. Baru-baru ini, syarikat The Bomb Productions dari Afrika Selatan telah mengumumkan rancangan mereka untuk menghasilkan sebuah siri yang membincangkan tentang Shaka – seputar pengaruh, sekutu dan juga musuh-musuhnya.
Menerusi judul yang berbunyi, ‘Shaka-llembe’, rancangan yang dijangka berlangsung selama tiga musim itu disasarkan untuk meraih audiens dari peringkat global. Lebih daripada itu, pihak produksi secara jelas menyatakan hasrat mnereka untuk menjadikan siri tersebut sebagai ‘Game of Thrones’ versi Afrika.
Bagi merealisasikan impian tersebut, mereka turut membentuk pasukan penasihat yang terdiri daripada sejarawan, ketua-ketua kebudayaan, pemelihara sejarah lisan dan juga penasihat diraja, yang mana kesemuanya ini bertujuan untuk menyampaikan kisah Shaka seupaya mungkin tepat.
DIOLAH DAN DITERJEMAH DARI:
Wu Mingren. (7 September 2018). Shaka Zulu: The Story of a Ruthless Ruler. Ancient Origins. https://www.ancient-origins.net/history-famous-people/shaka-zulu-story-ruthless-ruler-004191
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih