Taj Mahal, salah satu binaan paling masyhur di India yang terletak di Agra, merupakan binaan yang ditaja oleh Maharaja Mughal, Shahabuddin Muhammad Shah Jahan atau lebih dikenali sebagai Shah Jahan. Binaan yang menempatkan makam permaisuri kesayangan beliau, Mumtaz Mahal, memiliki kemasyhuran yang sangat tinggi sehingga ia lazim lebih menonjol berbanding nama pembinanya.
Walaupun Shah Jahan sering dikaitkan dengan Taj Mahal, pada hakikatnya beliau juga meraih pencapaian lain yang layak untuk dicatatkan oleh tinta sejarah. Apapun, beliaulah lelaki yang dianggap oleh sebahagian sejarahwan sebagai salah seorang maharaja Mughal yang paling berkuasa.
JAMUAN MAHARAJA
Baru-baru ini, kita meraih gambaran tentang hidangan-hidangan mewah yang terdapat di dalam mahligai Shah Jahan. Sebagaimana yang anda bakal telusuri dalam artikel ini, empayar Mughal secara relatifnya bersifat stabil jika ditidak disertakan dengan pertelingkahan dalam-istana, dan Shah Jahan sendiri merupakan seorang maharaja yang terkenal kerana gemar menghiburkan pembesar-pembesar yang datang berziarah pada zaman pemerintahannya.
Manuskrip Parsi yang berilustrasi lagi penuh berhias yang berjudul Nuskha-e-Shahjahani telah lama tersimpan dalam koleksi Perpustakaan British. Kemudian, muncul seorang sejarahwan pemakanan yang bernama Salma Yusuf Husain menterjemahkan manuskrip yang merincikan jenis-jenis hidangan yang disajikan daripada dapur diraja maharaja Mughal ini.
Hasilnya, lahirnya buku ‘Jamuan Mughal’ yang mengetengahkan sudut pandang dan gambaran yang mendalam tidak hanya kepada pemakanan diraja Mughal, malah juga gaya hidup dan perwatakan Shah Jahan.
Salma Yusuf Husain berkata, “Shah Jahan bukanlah seorang pahlawan. Beliau tidak pernah (masyhur) sebagai seorang tentera. Beliau gemar makan.” Minatnya terhadap makanan dan barangan indah tergambar jelas pada resepi hidangan diraja seperti naan berisi-kurma, sup manga dan asam jawa serta daging-daging dan bahkan beras bersalut perak! Salma Yusuf menerangkan faktor di sebalik pemilihan yang agak aneh ini:
“Hakim (tabib diraja) adalah individu yang mengaturkan menu pemakanan, cuba memastikan untuk menghidangkan juadah yang memiliki khasiat untuk kesihatan. Misalnya, setiap butir beras untuk pulao diselaputi dengan warq perak, yang membantu penghadaman dan bertindak sebagai afrodisiak.”
Kelihatan seperti Shah Jahan memang benar-benar memanfaatkan harta kekayaan dan kedudukannya. Namun begitu, bagaimana pula dengan sejarah asal-usul beliau?
KELUARGA SHAH JAHAN
Shah Jahan dilahirkan sebagai Putera Khurram pada tanggal 5 Januari 1592 di kota Lahore (Pakistan moden). Ayahandanya bernama Jahangir, maharaja Mughal yang ke-4 sementara ibundanya pula adalah puteri dari kerajaan Hindu-Rajput yang bernama Taj Bibi Bilqis Makani.
Semasa kecil, Shah Jahan dianggap sebagai cucu kesayangan datuknya, Maharaja Akbar yang secara peribadi bertanggungjawba memberikan pendidikan kepada putera muda itu. Menjelang kemangkatan Akbar, berlaku pertelagahan yang dahsyat rentetan berebutkan hak pewarisan takhta dalam kalangan puteranya di mana Jahangir tampil menonjol dan memenangi pertelagahan itu. Tidak lama selepas menaiki takhta, Jahangir berhadapan dengan pemberontakan putera sulungnya, Putera Khusrau. Setelah pemberontakan tersebut ditundukkan, Putera Khusrau dibutakan dan dipenjarakan di kubu Agra.
Walaupun Shah Jahan sendiri merupakan salah seorang putera kesayangan ayahandanya, hubungan rapat di antara anak-beranak itu mula terjejas semasa tahun-tahun terakhir Jahangir. Hal ini berlaku kerana sekali lagi wujud pertelingkahan dalaman yang dicetuskan oleh Nur Jahan, isteri Jahangir yang berasal dari Afghan. Nur Jahan menyimpan hasrat mahu menabalkan menantunya, Putera Shahryar (putera bongsu Jahangir) sebagai pewaris takhta Mughal.
Disebabkan berasa khuatir dirinya akan dikesampingkan, maka Shah Jahan pun mencabar perebutan kuasa pada tahun 1622 dengan melancarkan pemberontakan terhadap ayahandanya. Jahangir terpaksa mengambil masa selama 4 tahun untuk menundukkan anaknya itu sehingga Shah Jahan pada akhirnya menyerah tanpa syarat pada tahun 1626M. Mujur buat Shah Jahan, beliau tidak dihukum buta dan penjara seperti yang pernah dikenakan ke atas abangnya, putera Khusrau. Tambahan lagi, Jahangir pula mangkat setahun kemudian sekaligus membenarkan Shah Jahan mewarisi kedudukan takhta ayahandanya itu secara absah.
PERSETERUAN BEREBUTKAN TAKHTA MUGHAL
Sama seperti apa yang pernah dilalui oleh ayahandanya, Shah Jahan turut berhadapan dengan penuntut-penuntut takhta dari kalangan adik-beradiknya. Salah seorang mangsa terawal Shah Jahan dalam rangka mempertahankan haknya itu adalah saudara tirinya, Putera Khusrau yang dihukum mati pada tahun 1622, jauh sebelum pergelutan merebut pewarisan takhta ini bermula.
Putera Shahryar yang menerima sokongan daripada Nur Jahan sempat merampas takhta Mughal. Namun, Asaf yang merupakan bapa kepada Mumtaz Mahal dan saudara kepada Nur Jahan menginginkan hal yang sebaliknya – beliau mahu supaya Shah Jahan yang menjadi maharaja.
Oleh kerana itu, beliau pun memberkas Putera Shahryar dan menaikkan anak sulung Putera Khusrau, iaitu Dawar sebagai maharaja boneka untuk menjamin keselamatan takhta Mughal agar kelak dapat diserahkan kepada Shah Jahan ketika tiba waktunya. Susulan daripada kejadian ini, hampir kesemua seteru politiknya, termasuklah Dawar dan Putera Shahryar dihukum mati setelah Shah Jahan ditabalkan sebagai Maharaja Mughal pada tahun 1628M.
KEMPEN KETENTERAAN
Shah Jahan merupakan seorang pemimpin tentera yang sangat berkebolehan. Selepas menaiki takhta Mughal, beliau memulakan kempen perluasan kuasa ke segenap penjuru. Dalam dekad pertama pemerintahannya sahaja, Shah Jahan berjaya menakluk kerajaan-kerajaan Rajput di Baglana dan Bundelkhand di barat, kerajaan-kerajaan Bijapur dan Golconda di selatan (Tanah Tinggi Deccan), serta kerajaan-kerajaan kecil di Kashmir dan Himalaya.
Berikutan kejayaan-kejayaan yang dicapainya ini, Shah Jahan mengambil keputusan untuk melancarkan kempen ketenteraan memerangi Uzbek di Balkh, Asia Tengah serta Safavid dari Parsi. Walau bagaimanapun, kempen-kempen ini berakhir dengan kegagalan.
PENCAPAIAN SENI BINA DAN PENGAKHIRAN PEMERINTAHAN SHAH JAHAN
Mungkin, pencapaian yang jauh lebih penting dan signifikan berbanding penaklukan-ketenteraan yang dilakukan oleh Shah Jahan adalah legasi seni bina yang beliau tinggalkan. Seperti datuknya Akbar, Shah Jahan turut memiliki minat yang mendalam terhadap seni bina.
Pencapaian seni bina Shah Jahan yang paling ulung tidak lain dan tidak bukan adalah Taj Mahal – yang dibina di antara tahun 1632 hingga 1653M.Selain itu, Shah Jahan juga bertanggungjawab memperindahkan lagi Kubu Merah Agra dan sejumlah binaan masjid termasuklah Masjid Jama, Masjid Wazir Khan dan Masjid Moti.
Menjelang tahun 1658, Shah Jahan jatuh gering yang bukan calang-calang tenatnya. Menyedari ajal yang bakal mengunjungi ayahanda mereka, keempat-empat putera Shah Jahan pun mula bertelagah berebutkan takhta Mughal. Walaupun Shah Jahan sendiri lebih cenderung untuk memilih Dara Shikoh, namun puteranya yang bernama Aurangzeb ternyata mengungguli perebutan tersebut.
Walaupun Shah Jahan berupaya sembuh daripada kegeringan itu, beliau ditangkap oleh Aurangzeb dan si putera itu mengisytiharkan bahawa ayahandanya telah terlalu uzur untuk memerintah empayar lantas Shah Jahan dikurung di Kubu Merah Agra. Shah Jahan mangkat pada tahun 1666M.
DIOLAH DAN DITERJEMAHKAN DARI:
Wu Mingren. (8 Ogos 2019). Shah Jahan: Mughal Emperor, Creator of the Taj Mahal, Champion of Fine Cuisine. Ancient Origins.
https://www.ancient-origins.net/history-famous-people/shah-jahan-creator-taj-mahal-and-one-most-powerful-mughal-emperors-006285
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih