Baru-baru ini, segmen budaya BBC mengadakan satu sesi undian bagi menentukan manakah filem bahasa asing yang layak disenaraikan dalam senarai 100 filem bahasa asing terbaik sepanjang zaman. Bagi memastikan keputusan benar-benar adil dan saksama, 209 pengkritik melibatkan diri dalam sesi undian dengan pembabitan lebih 40 bahasa. Pada akhir sesi undian, 100 filem terbaik dipilih membabitkan 67 pengarah berbeza dari 24 negara dan 19 bahasa. Berikut senarai 100 filem terbaik sepanjang zaman yang dipilih para pengkritik:
- Landscape in the Mist (Theo Angelopoulos, 1988)
- Ashes and Diamonds (Andrzej Wajda, 1958)
- In the Heat of the Sun (Jiang Wen, 1994)
- Taste of Cherry (Abbas Kiarostami, 1997)
- Shoah (Claude Lanzmann, 1985)
- Floating Clouds (Mikio Naruse, 1955)
- Where Is the Friend’s Home? (Abbas Kiarostami, 1987)
- Raise the Red Lantern (Zhang Yimou, 1991)
- Scenes from a Marriage (Ingmar Bergman, 1973)
- Rififi (Jules Dassin, 1955)
- Hiroshima Mon Amour (Alain Resnais, 1959)
- Wild Strawberries (Ingmar Bergman, 1957)
- The Story of the Last Chrysanthemum (Kenji Mizoguchi, 1939)
- The Nights of Cabiria (Federico Fellini, 1957)
- La Jetée (Chris Marker, 1962)
- Umberto D (Vittorio de Sica, 1952)
- The Discreet Charm of the Bourgeoisie (Luis Buñuel, 1972)
- La Strada (Federico Fellini, 1954)
- Amélie (Jean-Pierre Jeunet, 2001)
- Celine and Julie go Boating (Jacques Rivette, 1974)
- The Young and the Damned (Luis Buñuel, 1950)
- Ran (Akira Kurosawa, 1985)
- Crouching Tiger, Hidden Dragon (Ang Lee, 2000)
- The Conformist (Bernardo Bertolucci, 1970)
- Y Tu Mamá También (Alfonso Cuarón, 2001)
- Belle de Jour (Luis Buñuel, 1967)
- Pierrot Le Fou (Jean-Luc Godard, 1965)
- Man with a Movie Camera (Dziga Vertov, 1929)
- Ikiru (Akira Kurosawa, 1952)
- Happy Together (Wong Kar-wai, 1997)
- L’Eclisse (Michelangelo Antonioni, 1962)
- Amour (Michael Haneke, 2012)
- Ugetsu (Kenji Mizoguchi, 1953)
- The Exterminating Angel (Luis Buñuel, 1962)
- Ali: Fear Eats the Soul (Rainer Werner Fassbinder, 1973)
- Ordet (Carl Theodor Dreyer, 1955)
- Three Colours: Blue (Krzysztof Kieslowski, 1993)
- Spring in a Small Town (Fei Mu, 1948)
- Touki Bouki (Djibril Diop Mambéty, 1973)
- Sansho the Bailiff (Kenji Mizoguchi, 1954)
- Contempt (Jean-Luc Godard, 1963)
- Come and See (Elem Klimov, 1985)
- The Earrings of Madame de… (Max Ophüls, 1953)
- Solaris (Andrei Tarkovsky, 1972)
- Chungking Express (Wong Kar-wai, 1994)
- Jules and Jim (François Truffaut, 1962)
- Eat Drink Man Woman (Ang Lee, 1994)
- Late Spring (Yasujirô Ozu, 1949)
- Au Hasard Balthazar (Robert Bresson, 1966)
- The Umbrellas of Cherbourg (Jacques Demy, 1964)
- L’Atalante (Jean Vigo, 1934)
- Stalker (Andrei Tarkovsky, 1979)
- Viridiana (Luis Buñuel, 1961)
- 4 Months, 3 Weeks and 2 Days (Cristian Mungiu, 2007)
- Children of Paradise (Marcel Carné, 1945)
- L’Avventura (Michelangelo Antonioni, 1960)
- Cleo from 5 to 7 (Agnès Varda, 1962)
- Beau Travail (Claire Denis, 1999)
- City of God (Fernando Meirelles, Kátia Lund, 2002)
- To Live (Zhang Yimou, 1994)
- Andrei Rublev (Andrei Tarkovsky, 1966)
- Close-Up (Abbas Kiarostami, 1990)
- A Brighter Summer Day (Edward Yang, 1991)
- Spirited Away (Hayao Miyazaki, 2001)
- La Grande Illusion (Jean Renoir, 1937)
- The Leopard (Luchino Visconti, 1963)
- Wings of Desire (Wim Wenders, 1987)
- Playtime (Jacques Tati, 1967)
- All About My Mother (Pedro Almodóvar, 1999)
- The Lives of Others (Florian Henckel von Donnersmarck, 2006)
- The Seventh Seal (Ingmar Bergman, 1957)
- Oldboy (Park Chan-wook, 2003)
- Fanny and Alexander (Ingmar Bergman, 1982)
- The Spirit of the Beehive (Victor Erice, 1973)
- Cinema Paradiso (Giuseppe Tornatore, 1988)
- Yi Yi (Edward Yang, 2000)
- Battleship Potemkin (Sergei M Eisenstein, 1925)
- The Passion of Joan of Arc (Carl Theodor Dreyer, 1928)
- Pan’s Labyrinth (Guillermo del Toro, 2006)
- A Separation (Asghar Farhadi, 2011)
- The Mirror (Andrei Tarkovsky, 1974)
- The Battle of Algiers (Gillo Pontecorvo, 1966)
- A City of Sadness (Hou Hsiao-hsien, 1989)
- Aguirre, the Wrath of God (Werner Herzog, 1972)
- Metropolis (Fritz Lang, 1927)
- Pather Panchali (Satyajit Ray, 1955)
- Jeanne Dielman, 23 Commerce Quay, 1080 Brussels (Chantal Akerman, 1975)
- M (Fritz Lang, 1931)
- Farewell My Concubine (Chen Kaige, 1993)
- Breathless (Jean-Luc Godard, 1960)
- La Dolce Vita (Federico Fellini, 1960)
- In the Mood for Love (Wong Kar-wai, 2000)
- The 400 Blows (François Truffaut, 1959)
- 8 1/2 (Federico Fellini, 1963)
- Persona (Ingmar Bergman, 1966)
- The Rules of the Game (Jean Renoir, 1939)
- Rashomon (Akira Kurosawa, 1950)
- Tokyo Story (Yasujirô Ozu, 1953)
- Bicycle Thieves (Vittorio de Sica, 1948)
- Seven Samurai (Akira Kurosawa, 1954)
Dari senarai ini, filem berbahasa Perancis mendominasi senarai dengan 27 buah filem diikuti oleh filem bahasa Mandarin dan Kantonis (12) dan masing-masing 11 bagi filem berbahasa Itali dan Jepun. Sementara itu, ada beberapa bahasa yang diwakili oleh sebuah filem seperti Come and See (Belarus) dan Touki Bouki (Wolof). Dalam senarai ini juga, hanya empat buah filem saja yang menampilkan pengarah wanita. Tetapi yang pasti, ramai pengkritik filem kecuali dari Jepun memilih Seven Samurai arahan Akira Kurosawa sebagai filem bahasa asing terbaik sepanjang zaman.
Jadi mengapa Seven Samurai diangkat sehingga ke tahap sedemikian? Pertama sekali, kita perlu melihat latar belakang Kurosawa sebagai pengarah filem. Perlu diingat, beliau merupakan pengarah Jepun pertama yang memenangi anugerah Golden Lion semasa Festival Filem Venice pada tahun 1951 menerusi filem Rashomon. Dan pada zaman pra-video, Seven Samurai memperkenalkan satu budaya asing yang unik dan menarik kepada penonton yang sudah terbiasa dengan filem-filem koboi Hollywood. Selain dipengaruhi minatnya terhadap gaya pengarahan pengarah filem legenda Amerika John Ford (walaupun cuba dinafikan pada tahun-tahun terakhir kehidupannya), Kurosawa juga dianggap bijak dan radikal kerana menggabungkan dua jenis genre Jepun iaitu chambara (perlawanan pedang) dan jidaigeki (drama sejarah).
Dan lihat pula naratif filem beliau dari awal. Permulaan naratif walaupun ringkas tetapi sudah cukup mengusik emosi penonton. Bagi yang sudah sedia maklum dengan plot filem ini, ia mengisahkan sekumpulan penduduk kampung yang terancam dengan kehadiran kumpulan penyamun yang sentiasa mengganggu kehidupan mereka. Dan siapa yang tidak terusik emosinya bila mendengar plot mereka menyerang kampung itu selepas selesai musim menuai untuk merompak bekalan makanan mereka. Bila plot tersebut diketahui penduduk kampung, mereka mula panik dan bimbang akan nasib mereka. Ini mendorong mereka untuk keluar mendapatkan bantuan atau kata mudah, mengupah samurai bagi melindungi kampung tersebut.
Disebabkan keadaan mereka yang miskin, mereka hanya boleh menawarkan nasi sebagai upah perkhidmatan. Ini menyebabkan sesetengah samurai yang cuba direkrut menolak kerana melihat upah sedemikian tidak masuk akal. Semua itu berubah selepas mereka melihat kelibat seorang samurai bernama Kambei (lakonan mantap Takashi Shimura). Kambei mengejutkan orang ramai dengan mencukur rambutnya sehingga botak bagi membolehkannya menyamar sebagai seorang sami. Ini bagi membolehkannya menyelamatkan seorang kanak-kanak yang dijadikan tebusan oleh seorang pencuri.
Selepas Kambei bersedia membantu mereka, ini membawa kepada babak-babak seterusnya membabitkan pengumpulan anggota kumpulan. Babak sebegini merupakan babak wajib bagi mana-mana filem aksi atau bergenre rompakan seperti Inception, Ronin, trilogi Ocean dan The Italian Job. Satu persatu, enam ronin (samurai yang tidak bertuan) dipujuk menyertai misi yang dianggap mustahil dan gila. Kesemua mereka mempunyai latar belakang berbeza-beza dan ada kisah tersendiri. Gorobei (Yoshio Inaba) merupakan orang nombor kedua Kambei dan diberi kepercayaan merancang pelan pertahanan kampung tersebut. Shichiroji (Daisuke Kato) pula merupakan kenalan lama Kambei sementara Kyuzo (Seiji Miyaguchi) pula mempunyai perwatakan serius dan mempunyai kemahiran pedang yang hebat. Heihachi (Minoru Chiaki) tidak mempunyai kemahiran seperti rakan-rakannya yang lain tetapi sentiasa mencuit hati rakan-rakannya dengan gelagatnya yang bersahaja. Katsuhiro (Isao Kimura) pula seorang samurai yang kurang berpengalaman manakala Kikuchiyo (Toshiro Mifune) mendakwa dirinya seorang samurai walaupun mempunyai latar belakang meragukan.
Sebaik tiba di kampung berkenaan, kedua-dua pihak merasa curiga antara satu sama lain tetapi lama-kelamaan dapat mengenepikan perasaan itu semasa membina pertahanan dan merancang strategi terbaik melawan kumpulan penyamun itu. Tetapi semua itu berubah selepas Kikuchiyo membawa pedang dan perisai yang disyaki diambil dari samurai yang cedera atau dibunuh penduduk kampung, sesuatu yang menimbulkan kemarahan mereka berenam. Tetapi di sinilah bintang Mifune bersinar apabila wataknya itu berjaya mengenepikan ketidakpercayaan penduduk kampung terhadap tetamu mereka. Walaupun apa yang dilakukan mereka itu salah tetapi pihak samurai juga harus bertanggungjawab dengan kekejaman lampau mereka seperti membakar rumah penduduk, menculik wanita untuk dijadikan gundik tuan mereka atau merampas makanan penduduk. Kikuchiyo sentiasa diperlekeh kerana perwatakannya tetapi pendedahan rahsia silamnya sebagai anak yatim dari keluarga petani membuatkan para samurai merasa malu dan melihat perjuangan ini satu cara untuk mengembalikan maruah mereka.
Selepas semua itu selesai, babak-babak akhir filem memperlihatkan koreografi pertarungan menarik yang digabungkan dengan elemen cuaca, satu perkara yang dianggap sukar direalisasikan tetapi berjaya dilakukan oleh Kurosawa. Beliau juga menggunakan teknik penggunaan kamera yang banyak dan lensa telefoto bagi membolehkan setiap aksi pertarungan dapat disaksikan dari pelbagai sudut dan memastikan ia berjalan sempurna seperti dirancang. Ini memudahkan penonton mengetahui apa yang berlaku termasuk bilangan penjahat yang terbunuh dan apa yang berlaku kepada samurai dari kumpulan Kambei. Selain itu, Kurosawa juga sanggup mengedit filem berkenaan pada lewat malam semasa penggambaran berlangsung. Menurutnya, apa yang dilakukan beliau satu keperluan yang praktikal dan ini juga memastikan kualiti filem yang dihasilkan benar-benar berkualiti tinggi.
Maka tidak hairanlah, dalam tempoh setahun selepas ia ditayangkan di Jepun, Seven Samurai mengutip kutipan pecah panggung 268 juta yen dan merupakan filem ketiga terlaris pada tahun 1954. Pada tahun 60-an, Kurosawa cuba mengulangi resepi Seven Samurai dengan menghasilkan Yojimbo (1961) dan Sanjuro (1962) tetapi gagal mendapat sambutan dalam kalangan penonton Jepun. Antara sebab yang membawa kepada masalah ini ialah popularitinya di negara-negara Barat menyebabkan beliau dibenci dan dicurigai ramai. Pada mereka, jika sesebuah filem itu digemari di Barat, maka filem yang dihasilkan itu bukanlah asli seperti ditawarkan pembikin filem lain seperti Yasujiro Ozu dan Kenji Mizoguchi.
Ini ditambah kedua-dua filem berkenaan gagal di panggung, satu kegagalan yang tidak boleh diterima syarikat sama yang menghasilkan Seven Samurai, Toho Company. Keengganan Kurosawa untuk berubah dari menghasilkan filem berskala epik kepada filem berskala kecil juga menyebabkan beliau tersisih dari industri seni Jepun. Keadaan ini menyebabkan beliau cuba membunuh diri pada tahun 1971. Keadaan ini juga menyebabkan beberapa filemnya seperti Kagemusha (1980) dan Ran (1985) dapat digerakkan menerusi penerbit luar. Kagemusha misalnya mendapat sokongan penerbit Amerika yang juga dalang di sebalik Star Wars, George Lucas dan pengarah trilogi The Godfather Francis Ford Coppola. Sementara Ran pula yang berdasarkan drama tragedi William Shakespeare King Lear mendapat sentuhan penerbit filem Perancis Serge Silberman.
Siapa sangka kebanyakan filem Kurosawa memberi kesan besar bukan saja kepada industri filem Barat tetapi juga kepada para pembikin filem generasi seterusnya. Plot Seven Samurai diadaptasi bukan sekali tetapi dua kali menerusi filem The Magnificent Seven yang diterbitkan pada tahun 1970 dan 2016. Sementara dalam genre sains fiksyen pula, filem Battle Beyond the Stars yang diterbitkan penerbit legenda Roger Corman diambil dari plot The Magnificent Seven dan Seven Samurai. Begitu juga dengan filem prekuel siri Star Wars iaitu Rogue One yang mengambil inspirasi dari filem The Hidden Fortress dan Seven Samurai termasuk dua watak lakonan Donnie Yen dan Jiang Wen, Chirrut Imwe dan Baze Malbus.
Pengaruh Kurosawa yang tidak mengenal sempadan bukan saja dari segi emosi dan mitologi yang diaplikasikan pada zaman feudal Jepun tetapi ia sebenarnya bersifat universal. Walaupun bakatnya tidak dihargai di negaranya sendiri, filem Seven Samurai terus menjadi penanda aras bagi filem aksi terbaik yang bukan saja menarik tetapi juga tersusun. Filem epik sebegini akan terus mengusik emosi para penonton tanpa mengira lokasi keberadaan mereka untuk generasi-generasi seterusnya.
SUMBER
1. Bilson, Anne. (2018). BBC. Why is Seven Samurai so good? http://www.bbc.com/culture/story/20181025-why-is-seven-samurai-so-good
2. BBC. (2018). The 100 greatest foreign-language films. http://www.bbc.com/culture/story/20181029-the-100-greatest-foreign-language-films
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih