MEKAH:
Suatu ketika, seorang panglima tentera dari Kerajaan Nasrani Aksum, Habsyah datang menyerang kerajaan Yahudi Himyar, Yaman. Setelah berjaya menguasai wilayah Yaman, panglima yang bernama Abrahah itu menabalkan dirinya sebagai raja Himyar yang baharu dan merdeka dari kekuasaan kerajaan Aksum. Dia mengubah kerajaan Himyar dari beragama Yahudi menjadi Nasrani.
Dia membina rumah ibadat yang agung di Yaman iaitu Gereja Qullays. Dia menghantar utusannya ke seluruh wilayah Arab bagi memberitahu tentang keagungan gerejanya ini yang mengatasi kehebatan rumah-rumah ibadat yang lain di jazirah Arab. Dia menjemput agar semua orang Arab berziarah ke gerejanya.
Namun, orang Arab pada ketika itu lebih gemar bertumpu ke rumah ibadat yang terletak di Mekah iaitu Kaabah. Ini kerana Kaabah merupakan rumah ibadat yang terawal dan kaya dengan nilai sejarah. Maka Raja Abrahah menjadi sangat benci terhadap Kaabah. Dia mula menyusun tentera bagi menyerang Kaabah.
Angkatan tenteranya yang dahulu digunakan bagi menguasai Yaman akan digerakkan ke Mekah, Hijaz. Tenteranya dilengkapi senjata dan tunggangan gajah. Masyarakat Arab belum pernah melihat angakatan tentera sedahsyat ini. Angkatan tentera bergajah Abrahah ini sangat digeruni.
Tiada siapa yang berani menghalang kemaraan mereka untuk menuju ke Mekah. Penguasa wilayah antara Yaman dan Hijaz kesemuanya memberi laluan kepada Abrahah, bahkan ada yang menjadi penunjuk arah. Apabila sampai ke Mekah, seluruh warga Quraisy telahpun lari menyelamatkan diri.
Orang terakhir yang berada di Kaabah adalah Abdul Mutalib iaitu pemimpin Quraisy yang menyerahkan urusan ini kepada Tuhan dengan penuh pengharapan. Baginya, Tuhan pasti melindungi Kaabah.
Tatkala Abrahah mengarahkan serangan, tiba-tiba gajah mereka tidak bergerak bahkan berundur ke belakang. Mereka memaksa gajah-gajah itu untuk mara ke hadapan namun gajah mereka enggan lalu mengamuk. Barisan ketenteraan Abrahah menjadi kacau bilau. Tatkala itu, datang bayang gelap ke atas pasukan mereka.
Rupanya bayang itu datang burung Ababil yang terbang mengelilingi Kaabah di langit. Burung Ababil ini membawa batu Sijjil dengan paruh dan kedua kakinya lalu melepaskan kepada tentera bergajah Abrahah. Maka kesemua tentera itu mati bergelimpangan umpama daun-daun kayu yang dimakan ulat. Tahun peristiwa dahsyat ini berlaku ditanda dalam ingatan kaum Arab sebagai Tahun Gajah serta ianya terakam dalam al-Quran, Surah al-Fil (Gajah).
KEDAH:
Pembelajaran sejarah di Malaysia terlampau Malacca-centric. Sedangkan jauh di utara, masih banyak lagi rahsia keagungan tamadun Melayu yang lebih tua. Kedah memiliki 1001 rahsia keagungan tamadun Melayu. Antaranya adalah tamadun Sungai Batu yang wujud sejak tahun 788 sebelum Masihi dimana ianya lebih tua dari Mesir Purba Dinasti ke-24, lebih tua dari sukan Olimpik Yunani Kuno, lebih tua dari penubuhan Rom dan ianya sezaman dengan Empayar Neo-Assyrian.
Dari Tamadun Sungai Batu, seterusnya Kedah terkenal dengan Tamadun Lembah Bujang. Kesultanan Kedah diasaskan pada tahun 1136 Masihi apabila Raja Phra Ong Mahawangsa keturunan Maharaja Merong Mahawangsa memeluk Islam di tangan Syeikh Abdullah al-Qumairi.
Mempelajari sejarah Kedah adalah penting bagi memahami bagaimana celakanya orang British melalui SHTI bermuslihat bagi menguasai Tanah Melayu. Kedah merupakan negeri terawal di Semenanjung Tanah Melayu yang didatangi SHTI untuk merampas Pulau Pinang. Sepanjang kesultanan Kedah berlangsung, tiada yang lebih dahsyat berlaku dalam kerajaan ini melainkan Perang Musuh Bisik melawan Siam perut hijau yang dibantu oleh British.
Perang Musuh Bisik ini penting untuk kita pelajari kerana ia sangat berkait rapat dengan kerajaan-kerajaan utara Semenanjung Tanah Melayu dan utara Sumatera. Dalam siri Perang Musuh Bisik ini juga terdapat kisah tentera bergajah. Ianya bermula pada tahun 1821 apabila tentera pimpinan Phya Buri Sakmuton yang menyerang Kedah secara bacul lalu berjaya menguasai kota Kuala Kedah. Kerajaan Kedah berundur ke Pulau Pinang bagi bertahan serta menyusun serang balas.
Pada tahun 1831, Tengku Kudin atau nama sebenarnya Syed Zainal Abidin iaitu anak saudara Sultan Kedah yang berketurunan Palembang telah menyerang serta mengusir Siam di Kedah dengan kekuatan 3000 tentera. Tidak lama kemudian, Siam membuat serangan balas dengan kekuatan 7500 tentera serta 3000 gajah. Siam berjaya menguasai semula Kota Kuala Kedah manakala Tengku Kudin bersama 1255 orang tentera syahid dan kepala Tengku Kudin dipancung.
Pada tahun 1838, Kedah pula melakukan serangan balas dengan dipimpin oleh Tunku Muhammad Saad iaitu salah seorang anak saudara Sultan juga. Tunku Muhammad Saad dibantu oleh orang Melayu dari Acheh, Serdang, Deli, Siak, Pahang, Terengganu dan Kelantan sehingga mencecah berkekuatan 10,000 tentera. Angkatan tentera yang lengkap bersenjata meriam kecil ini telah berjaya mengusir Siam dan membebaskan Fathani.
Dengan bantuan British, Siam sekali lagi menyerang Kedah sehingga berlakunya Perang Hatyai yang memperlihatkan syahidnya seorang ulama besar sufi bertarekat Sammaniyyah iaitu Syeikh Samad Al-Falimbani. Beliau ialah anak kepada Mufti Kedah dan pengarang kitab Hidayatus Salikin dan Siyarus Salikin.
Kedah terpaksa berundur dan kemudian menghadapi angkatan tentera Siam yang berkekuatan 15,000 tentera lengkap bersenjata moden, meriam dan gajah. British membantu Siam dengan mengepung Kedah dari arah laut dengan kapal-kapal mereka yang lengkap bermeriam. Manakala Siam pula menyerang di darat hingga membuatkan Kedah terkepung.
Setelah kekalahan ini, Sultan Kedah terpaksa berjuang secara diplomasi. Ini membuatkan Kesultanan Kedah terpaksa melepaskan wilayah Setul (Satun) dan kehilangan wilayah Perlis. Peristiwa Perang Musuh Bisik ini amat dahsyat apabila melihat amukan tentera bergajah Siam sehingga ada yang mati dipijak gajah. Jika tidak menekankan sejarah Kedah, pembelajaran sejarah tanah air seperti tidak lengkap sebanyak 50%.
* Jemput follow : https://instagram.com/khairiasyraf_17
RUJUKAN:
– Tafsir Surah al-Fil
– Kenal Untuk Cinta : Biografi Lengkap Rasulullah, Dr Sayyid Muhammad Alawi al-Maliki (terjemahan Ustaz Muhadir Joll)
– Biografi Muhammad bin Abdullah, Zulkifli Mohd. Yusoff & Noor Naemah Binti Abdul Rahman
– Keratan Video Prof Dr Abdul Muati Ahmad
– Artikel Sinar Harian, 31 Aug 2019, Erti kemerdekaan : Hayatilah Perang Musuh Bisik 1821
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih