Ramai orang menyangka penggunaan senjata kimia hanya berlaku semasa Perang Dunia Pertama (WWI). Konflik tersebut menyaksikan pelbagai senjata kimia diperkenalkan seperti gas pemedih mata, gas mustard dan gas fosgen. Tetapi hakikatnya, senjata kimia sudah lama diketahui oleh manusiawi sejak zaman antikuiti lagi.
Antara rujukan terawal penggunaan senjata kimia ialah mitos Heracles/Hercules. Mitos itu menyebut protagonis Heracles/Hercules merendam anak panah dalam darah Hydra bagi menjadikan ia beracun. Panah beracun turut disebut Homer dalam dua karya epiknya, Iliad dan Odyssey serta dua kisah epik India, Ramayana dan Mahabharata.
Di China pula, terdapat catatan bagaimana menghasilkan gas beracun bagi mempertahankan sesebuah kota semasa dikepung pihak musuh. Menerusi resepi yang dikatakan bertarikh sejauh 1000 SM itu, gas beracun dihasilkan dengan cara membakar bola mustard atau sayur-sayuran beracun sebelum dipam dalam terowong yang digali pihak musuh menggunakan belos.
Di Barat, idea gas beracun mula digunakan semasa Perang Peloponnesian yang berlaku sekitar abad kelima SM. Dalam satu pertempuran antara pihak Sparta dengan Athens, mereka menghasilkan campuran kayu, sulfur dan pic sebelum ia dibakar di bawah dinding kubu pihak musuh. Campuran yang dibakar menghasilkan gas toksik yang melemahkan pihak musuh dan membantu pihak Sparta menakluk sesebuah kubu tanpa sebarang tentangan.
Konflik Rom dan Parsi yang berpanjangan mengakibatkan banyak anekdot menarik tentang taktik peperangan kedua-dua pihak. Pada 189 SM, orang Yunani membakar bulu ayam pada pintu masuk terowong pengepungan yang dibuat pihak Rom. Dari situ, mereka menggunakan belos untuk mengepam gas beracun ke arah tempat persembunyian pihak musuh.
Salah satu tempat yang menjadi saksi penggunaan senjata kimia era antikuiti ialah Dura-Europos, Syria yang terletak di tebing Sungai Euphrates. Dura-Europos merupakan sebuah kota Rom lama yang ditakluk pihak Parsi pada abad ketiga Masihi. Ia kemudiannya diekskavasi sekitar 1920-an dan 1930-an oleh pakar-pakar arkeologi dari Perancis dan Amerika Syarikat.
Antara penemuan mereka ialah dua terowong bawah tanah yang diusahakan pihak Rom dan Parsi semasa pengepungan ke atas Dura-Europos. Selain itu, mereka turut menemui timbunan 19 mayat tentera Rom dan seorang tentera Parsi.
Pada awalnya, mereka menyangka pertempuran sengit berlaku dalam terowong dengan pihak Parsi berjaya mengalahkan mereka. Setelah itu, pihak Parsi membakar terowong pihak Rom berdasarkan penemuan bitumen dan kristal sulfur dalam terowong tersebut.
Tetapi anggapan ini ditolak hasil analisis baru pakar arkeologi Dr Simon James dari Universiti Leicester pada 2009. Beliau percaya penemuan kristal sulfur dan bitumen menunjukkan ia sebenarnya bentuk terawal senjata kimia yang digunakan pihak Parsi terhadap Rom. Apabila kedua-duanya dicampur ke dalam api, ia menjadi gas beracun dan bila dihela oleh tentera Rom, ia bertukar menjadi asid sulfurik.
Sebaik itu berlaku, tentera Rom yang terhidu akan mati dalam beberapa minit. Ini terjadi apabila pihak Rom menggali terowong dan masuk ke bahagian terowong yang digali pihak Parsi. Tentera Parsi yang mati itu berkemungkinan menjadi mangsa senjatanya sendiri. Selepas terowong dibersihkan dan disahkan selamat, mayat-mayat ditimbun sebagai dinding terowong mereka sebelum ia dimusnahkan.
Menjelang Zaman Pertengahan, lebih banyak catatan tentang senjata kimia ditemui. Semasa pemerintahan Raja Henry III (1216 – 1272) England, armada laut kerajaan itu berjaya menumpaskan serangan armada laut Perancis. Ini dicapai dengan menggunakan kapur tohor yang ditembak dari meriam pendek/mortar. Akibatnya, pihak musuh yang terkena kapur tohor menjadi buta dan tidak dapat mempertahankan diri mereka.
Pada abad ke-15, Leonardo da Vinci mencadangkan campuran serbuk sulfida, arsenik dan verdigris sebagai senjata kimia. Beliau melihat senjata ini berupaya membunuh pihak musuh kerana menjejaskan keupayaannya untuk bernafas. Walaupun resepi ini tidak diketahui digunakan di medan perang atau tidak, ini menunjukkan pemikiran da Vinci yang jauh ke hadapan – seolah-olah mengetahui senjata kimia bakal digunakan pada masa hadapan.
Hanya selepas Revolusi Perindustrian pada abad ke-19, barulah idea senjata kimia secara besar-besaran direalisasikan. Dengan kemajuan dalam bidang kimia, pelbagai senjata kimia dibangunkan untuk tujuan membunuh dan mencederakan ramai orang.
Namun begitu, imej tentera yang cedera atau mati akibat senjata kimia membuatkan ramai orang merasakan ia patut diharamkan. Lantas, pada tahun 1990-an, Konvensyen Senjata Kimia (CWC) diperkenalkan. Menerusi konvensyen ini, senjata kimia tidak boleh disimpan, dikilangkan, dibangunkan, dipindahkan atau digunakan secara besar-besaran kecuali untuk tujuan terhad seperti perubatan dan farmaseutikal.
Terdapat 193 negara yang telah menerima dan menguatkuasakan CWC. Hanya tiga negara iaitu Mesir, Korea Utara dan Sudan Selatan sahaja yang belum menyertai konvensyen berkenaan. Sementara Israel telah menerima CWC tetapi tiada cadangan untuk menguatkuasakan semua peraturan yang dinyatakan.
RUJUKAN
Mingren, W. (2022, 20 Mac). 1,700-Year-Old Evidence of Chemical Warfare. Ancient-Origins.
Sumber gambar: Yale University Art Gallery/Dura-Europos Collection
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih