Negara kita sememangnya kaya dengan seni
mempertahankan diri. Seni ini wujud sejak sekian lama dan merupakan warisan
nenek moyang kita sejak berzaman.
Leluhur seni silat telah mengalir sejak
berzaman, namun menjadikannya sebuah seni yang kekal releven sepanjang zaman
merupakan satu cabaran yang perlu ditempuh bagi semua pengamal seni berkenaan.
Masih banyak seni mempertahankan diri orang-orang
Melayu yang tidak didedahkan pada umum. Malah ada sesetengah darinya tidak
pernah diketahui akan kewujudannya.
Pada artikel yang lepas, penulis banyak
mendedahkan sejarah kegemilangan Silat Seni Gayong yang merupakan sebuah
Pertubuhan Silat yang sangat disegani di Negara kita malah di mata dunia.
Untuk artikel kali ini, penulis ingin
menceritakan serba sedikit mengenai satu seni mempertahankan diri orang Melayu
yang berasal dari Pulau Pinang.
Pernahkah anda mendengar satu seni tempur
yang berasal dari Pulau Pinang iaitu Siku 12? Bagi anak jati Pulau Pinang pasti
mengetahui tentang seni tempur ini. Namun secara umumnya tidak ramai yang
mengetahui sejarah tentang seni tempur ini dan siapa pengasasnya.
Untuk itu, penulis berjaya menemui sumber
yang boleh mengupas sedikit sejarah mengenai Seni Siku 12. Beliau merupakan
sahabat penulis dan beliau juga merupakan pengamal Seni Siku 12.
Syeikh Ghulam Meah bin Syeikh Ahmad
Meah
Seni ini diasaskan oleh Syeikh Ghulam Meah
bin Syeikh Ahmad Meah. Amat sedikit maklumat yang diketahui mengenai tokoh ini. Namun beliau
dikatakan hidup diawal abad ke 20 iaitu sekitar 1905 hingga 1947.
Beliau merupakan seorang juruukur yang
berkhidmat dengan Majlis Perbandaran (Council Municipal) ketika zaman
penjajahan British.
Syeikh Ghulam Meah seorang berdarah
campuran Melayu,Arab,dan Pashtun. Di Pulau Pinang beliau bolehlah dikategorikan
sebagai keturunan peranakan atau Jawi peranakan.
Beliau seorang yang amat meminati seni beladiri
dan banyak mempelajari pelbagai jenis disiplin beladiri.
Dikatakan beliau pernah mempelajari 17
jenis senibeladiri termasuklah beberapa jenis Silat Melayu. Dikalangan
masyarakat setempat ketika itu memanggilnya dengan panggilan “Mamu Dada” yang
membawa maksud “DATUK” atau “TOKWAN” dalam bahasa Urdu.
Mamu Dada dikatakan sering terlibat dalam
beberapa pertarungan dengan beberapa orang yang mahir dalam senibeladiri. Dan
dari situ beliau sering membuat kajian dan ujikaji mengenai teknik, serangbela
dan pukulan yang lebih efektif dan sesuai untuk beliau gunakan sebagai
‘pakaian’ diri.
Maka dari sini terciptalah satu sistem atau
kaedah beladiri yang berasaskan dari senaman yang pada ketika itu beliau
menamakannya dengan nama Senaman Siku.
Seni Siku 12
Seni ini tidaklah dikenali dengan nama
‘Siku 12’ ketika awal kemunculannya oleh Mamu Dada melainkan dengan nama Senaman
Siku, Silat Pelaga, Silat Halalintar/Petir, Siku Combat(Sistem ini yang banyak
diajarkan kepada orang luar Pulau Pinang hingga menjadi kekeliruan dan ada yang
memanggilnya Pukul Pelaga).
Nama Seni Siku 12 atau Silat Siku 12 muncul
selepas kematiannya. Manakala nama Silat Tok Kudung diberikan oleh orang awam
yang menjadi saksi perkelahian beliau dengan beberapa orang samseng yang mana kelihatan
beliau menggunakan kepantasan pusingan dan pergerakan teknik siku hingga
dilihat seolah-olah seorang yang kudung.
Seni Siku 12 menggunakan besi padu yang
panjangnya sekitar 2-2 1/2 meter panjang dengan berat sekitar 20-25kg sebagai
alat bantu latihan utama.Terdapat juga besi pendek sekitar 15 inci dan juga 4
inci.
Antara senjata yang digunakan dalam seni
ini pula ialah kayu panjang, pisau kembar bermata lebar dan juga tekpi dan ia
bergantung pada jurusan pewaris Senaman Siku itu sendiri.
Pada asasnya, Seni Siku 12 merangkumi
seluruh tubuh sebagai senjata serangan. Sama seperti seni beladiri yang lain.
Hanya senaman dan senjata anggota tubuhnya lebih kepada penekanan penggunaan
siku sebagai senjata utama.
Seni ini mengutamakan tempur jarak dekat.
Apabila bertembung atau berlaga secara berhadapan bagi mengalahkan musuh, ia
memfokuskan kepada tiga sasaran. Sama ada mencederakan lawan, mematahkan tulang
anggota lawan atau memukul dengan pukulan maut.
Falsafahnya mudah. Siapa yang cepat dia
ynag dapat.
(Mamu Dada kanan ketika di gelanggang latihan. Kredit foto: www.maajoomedia.com)
Untuk memahirkan diri dengan seni ini,
seseorang itu memerlukan latihan sekurang-kurangnya dua tahun hanya untuk
kefahaman dan kemahiran dalam peringkat ‘Senaman 12’ sahaja.
Bagaimanapun, hanya dengan menamatkan
Senaman 12 saja sudah cukup memadai untuk digunakan sebagai ilmu seni
mempertahankan diri.
Dari sinilah pecahan tiap anggota tubuh
diajar sebagai senjata dan juga kaedah pecahan tapak. Mengikut cerita dari
orang-orang lama termasuk dari guru-guru Siku 12 tidak ramai yang meneruskan
kesinambungan Senaman Siku 12 ke peringkat seterusnya. Kebanyakannya akan
berhenti setakat Senaman 12 sahaja.
Murid-murid Mamu Dada.
Mamu Dada diketahui mempunyai ramai anak
murid baik sebelum dan selepas Perang Dunia Kedua. Bagaimanapun, diceritakan
terdapat 6 orang murid yang mana 5 darinya yang paling terkenal. Antaranya:
1.Pak Mat Hamden atau lebih terkenal dengan
nama Pak Mat Hamdan
2.Pak Sahak atau dikenali dengan nama Pak
Sahak Kastam.
3.Pak Bidin.
4.Pak Ibrahim atau dikenali dengan
panggilan Ibrahim Body
5.Haji Yahya atau dikenali dengan panggilan
Pak Ya Botak
6 Lukman Hakim
Apa yang menaruknya, kesemua mereka diberi
pelajaran yang berbeza antara satu sama lain tetapi masih berasaskan kepada
pelajaran asalnya iaitu Senaman Siku. Selepas kematian Mamu Dada,lima muridnya telah
membentuk jurusan masing-masing berdasarkan pelajaran yang diterima dari Mamu Dada.
Allahyarham Mamu Dada meninggal dunia
ketika berusia 42 tahun pada tanggal 6 Jun 1947 Ketika hayatnya Allahyarham
telah mencipta sejenis senaman yang akhirnya mampu diaplikasikan sebagai
sejenis seni mempertahankan diri yang diiktiraf oleh masyarakat ketika itu
sebagai Silat Kelahiran Pulau Pinang.
Silat ini juga pernah didaftarkan atas nama
‘Seni Silat Petir Negeri Pulau Pinang’ pada tahun 1976 di Tanjong Tokong, Pulau
Pinang.
Siku 12 sejak awal kemunculannya dan
selepas kematian Allahyarham Mamu Dada hanya berpusat di bahagian pulau sahaja iaitu
di kawasan Bayan Lepas hingga ke Teluk Bahang. Kini penyebaran Siku 12 ke tanah
besar Seberang Perai hingga sejauh Pulau Langkawi, Negeri Sembilan dan Johor .
‘Siku 12’ menjadi kebanggaan generasi lama
Pulau Pinang. Bak kata orang lama “Cek, jangan berani mengaku anak Pulau Pinang
kalau tak belajaq Siku 12”. Ini membuktikan bahawa Siku 12 pernah menjadi kebanggaan
masyarakat Pulau Pinang satu ketika dulu hingga kini tanpa menidakkan kehebatan
seni beladiri yang lain.
RUJUKAN:
(Selain rujukan di internet, artikel ini telah mendapat nasihat dari Encik Mohamad Rosidi selaku sumber rujukan penulis)
Shaik Dada Pendekar Pulau Pinang. http://dadameahpendekarpp.blogspot.com/
Seni Petir Siku 12 Langkawi. http://senipetirlangkawi.blogspot.com/




No comments yet