“Jagalah mulutmu, hai manusia! Jangan sampai ia menyengatmu. Ia benar-benar ibarat ular berbisa. Betapa banyak orang mati di kuburan lantaran mulutnya. Padahal dahulu para pahlawan takut menghadapinya.” (Imam as-Syafi’i)

Pepatah Melayu ada menyebutkan terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata buruk padahnya. Sungguh lidah itu tiada bertulang dan kerasnya tetapi apabila disalahgunakan maka gempak gempitalah hati. Bercerailah air mata dari mata bercucuran ke bumi. Ramai dalam kalangan kita yang terlalu hanyut dalam kata caci dan cerca. Perhubungan yang pada awalnya baik dan mesra menjadi porak-poranda dek untaian caci dan maki mulut sendiri.

Justeru, sebagai umat Nabi Muhammad SAW yang dimuliakan oleh Allah SWT dengan nikmat iman dan Islam, adalah menjadi satu kewajipan untuk mencontohi dan mengambil tauladan daripada sikap junjungan besar kita dalam kehidupan seharian. Kita sesungguhnya tidak pernah lekang dengan masyarakat dan muamalat. Di pasar, sekolah, pejabat hatta di rumah sekalipun akan ada saja perbualan yang terjadi antara dua belah pihak.

Kata-kata yang manis dan baik menggambarkan hati dan peribadi seseorang. Jangan cemarkan keperibadian dan hati dengan kata-kata yang kesat dan menyengat. Justeru, dalam mempelajari dan membentuk seni interaksi yang mampu menjaga hati daripada terguris oleh goresan kata-kata cerca.

Nabi Muhammad SAW merupakan utusan terakhir yang membawa risalah mulia kepada makhluk ciptaan Allah SWT. Hal ini sememangnya telah dikhabarkan di dalam kitab mulia al-Quran yang maksudnya,

“Dan Kami tidak mengutus engkau (Muhammad) melainkan untuk menjadi rahmat bagi seluruh alam.” [al-A’raf, 21 : 107]

Melalui tauladan dan pelaran daripada Nabi Muhammad SAW, sebenarnya baginda mengajarkan kepada umatnya sebuah tatacara kehidupan yang baik dan syumul bersandarkan hukum-hakam dan garis panduan Allah SWT. Tutur kata yang lemah lembut sememangnya dapat meluluhkan mana-mana hati yang keras. Justeru, dek lembutnya Nabi Muhammad SAW dalam setiap tutur bicara dan muamalatnya maka banyaklah hati yang tertarik kepada risalah yang dibawa oleh baginda ; Islam.

Allah SWT berfirman mafhumnya,

“Sesungguhnya telah ada pada (diri) Rasulullah SAW itu suri tauladan yang baik bagimu (iaitu) bagi orang yang menhgarap (rahmat) Allah SWT dan (kedatangan) hari kiamat dan dia banyak menyebut Allah SWT.” [al-Ahzab, 33 : 21]

Ibnu Katsir RA berkata dalam tafsirnya, “Ayat suci ini mempunyai isi tentang prinsip utama dalam mematuhi perkataan, perbuatan dan perintah Rasulullah SAW.” Kita ini ialah muslim sejati. Jadi, sudah menjadi tuntutan kepada kita untuk sentiasa berusaha sehabis baik untuk meneladani contoh-contoh daripada Rasulullah SAW terutamanya pada zaman ini ketika fitnah dan ideologi sesat bermaharajalela dan tersebar dengan sangat meluas.

MENGAPA HARUS KITA TELADANI?

1) Allah SWT menjadikan Nabi Muhammad SAW terhindar daripada segala macam bentuk dosa dan perbuatan jahat (Maksum).

Umpama sehelai pakaian yang menutupi tubuh badan dan segala bentuk kemaluan. Bagi mereka yang mempunyai akal jernih dan waras pasti pakaian yang bersih dan tiada kecacatan menjadi pilihan. Ini baru sahaja dibahas soal pakaian yang digunakan untuk menutupi kudis dan kecacatan zahir, apatah lagi dalam memilih soal pegangan dalam hidup agar di akhirnya kelak tidak terjerumus ke lembah kehinaan. Sudah tentu Nabi Muhammad SAW ialah figura yang sangat ideal untuk dijadikan contoh dalam segala aspek kehidupan.

2) Nabi Muhammad SAW teladan dalam akhlak yang baik.

Ucapan baginda didasarkan kepada al-Quran. Akhlak baginda juga didasarkan kepada al-Quran. Apa-apa perkara yang baik dan tidak bercanggah dengan al-Quran maka baginda akan berasa senang terhadapnya. Sebaliknya jika perkara itu merupakan tegahan dan larangan Allah SWT di dalam al-Quran makan baginda dengan keras dan lantangnya menolaknya. Baginda tidak bersuara keras dan kasar bahkan sangat mudah memberi kemaafan serta tidak membalas keburakan dengan perkara yang sama.
Shafiyyah RA (salah seorang isteri baginda) berkata, “Aku tidak pernah melihat seorang dengan akhlak yang lebih baik daripada Rasulullah SAW.” (HR. At-Tabrani dalm al-Awsat, 6578)

3) Nabi Muhammad SAW sangat rendah hati.

Nabi Muhammad SAW merupakan seorang yang mempunyai kerendahan hati dan budi pekerti yang paling tinggi. Baginda begitu rendah hati sehingga menjadi kebiasaannya menyapa anak-anak kecil apabila saling berselisihan. Kerendahan hati baginda membuatkan Nabi Muhammad SAW tidak keberatan untuk melayani kerenah seorang kanak-kanak perempuan yang sering mencuit tangan baginda lantas mengikuti kanak-kanak itu ke mana-mana sahaja dia pergi.

Bahkan, Nabi Muhammad SAW akan memperbaiki sandal dengan kedua-dua tangannya sendiri, menjahit bajunya, memerah susu kambing-kambing kepunyaannya, berkumpul dengan orang-orang miskin, anak yatim dan janda serta menerima jemputan daripada sesiapa sahaja yang mengundangnya.

4) Nabi Muhammad SAW seorang yang berani.

Ali bin Abi Thalib RA berkata, “Selama Perang Badar, kami mencari pertolongan kepada Rasulullah SAW. Baginda merupakan seorang yang gagah perkasa dalam kalangan kami. Baginda menyerang musuh dengan sangat berani dan merupakan orang yang paling dekat jaraknya dengan musuh dalam kalangan kami.” (HR. Ahmad, 1045)
Al-Bara’ bin ‘Azib RA berakata, “Demi Allah! Saat keadaan semakin genting ketika dalam peperangan, kami mencari pertolongan kepada Rasulullah SAW. Mereka yang biasa mengikuti baginda ialah yang paling berani dalam kalangan kami.” (HR. Muslim, 1776)

5) Nabi Muhammad SAW seorang yang dermawan.

Anas bin Malik RA berkata, “Pernah datang seseorang kepada Rasulullah SAW dan meminta sesuatu kepada baginda. Maka, baginda memberikan orang itu kambing yang berada di antara dua bukit. Setelah orang itu kembali kepada kaumnya, dia berkata kepada kaumnya, ‘Wahai kaumku, masuklah dan percayalah kalian kepada Islam. Sesungguhnya Muhammad memberi seperti orang yang tidak takut langsung kepada kemiskinan’.” (HR. Muslim, 3312)

KESIMPULAN.

Untuk mencontohi seseorang, sewajarnya orang itu ialah seorang yang baik keperibadian dan elok akhlaknya. Tidak mungkin kita menjadikan orang yang selalu bergumul dengan perbuatan buruk dan jauh daripada Allah sebagai pegangan atau contoh kepada kehidupan kita. Nabi Muhammad SAW merupakan contoh teladan terbaik kepada semua. Segala perkataan, perbuatan, suruhan dan larangan baginda mengandungi hikmah dan kemaslahatan yang terkadang kita sendiri lambat dan tidak ‘sampai’ untuk melihatnya. Akhir kalam, sama-sama kita pelihara pertuturan seharian terhadap orang-orang sekeliling. Moga-moga niat baik ini akan sentiasa mendapat kemudahan dan keredaan daripada Allah SWT.

Sumber rujukan :
1) Al-Quran terjemahan al-Haramain, Karya Bestari.
2) Syeikh Shalih al-Munajid, Interactions of The Greatest Leader (Seni Interaksi Rasulullah SAW, Bagaimana Nabi SAW Menjalin Hubungan dengan Keluarga & Lingkungannya), Cetakan I 2018, Aqwam.
3) Muhammad al-Faiz & Juman Rofarif (penyusun), al-Hikam Imam Syafi’I, Cetakan I 2016, Penerbit Zaman.


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Mahasiswa Jurusan Pergigian, Universiti al-Azhar. Anak jati Kota Tinggi, Johor. Keturunan Jawa mengalir dalam pembuluh darahnya. Puisi Buya Hamka dan Pak Natsir menjadi bacaan saban hari. Suka berkawan dengan sesiapa sahaja. Kalau bosan, gitar dan irama puisi menjadi peneman.

Comments are closed.