Seni bina dikatakan ibu segala seni. Ini disebabkan seni bina merupakan satu bidang disiplin ilmu yang kompleks dan juga kemuncak di dalam mengekspresikan sesebuah seni. Secara umumnya seni bina adalah satu ilmu yang menggabungkan ilmu seni dan sains di dalam menghasilkan sebuah struktur atau bangunan mengikut kepada keperluan dan kehendak sama ada bangunan untuk tujuan awam atau individu tertentu. Seni bina juga dikatakan hanya termaktub kepada bangunan-bangunan yang mempunyai nilai-nilai seni bina. Ahli falsafah seni bina atau arkitek-arkitek yang terkenal banyak memberi idea dan teori-teori tersendiri di dalam memahami seni bina sehingga tercetusnya falsafah-falsafah seni bina seperti ‘Constructivism’, ‘Gothic’, ‘Baroque’, ‘Modernism’, ‘Functionalism’, ‘Deconstructivism’, ‘Minimalism’ dan sebagainya. Hasil daripada tercetusnya falsafah ini, maka ianya telah diterjemahkan dalam bentuk binaan-binaan yang mengikut acuan falsafah tersebut.

Di dalam mendalami dan memahami ilmu seni bina, seseorang arkitek perlu menguasai atau paling tidak sedikit sebanyak mengetahui beberapa cabang ilmu lain sebelum beliau benar-benar mampu bergelar sebagai seorang arkitek yang hebat. Ilmu seperti politik, ekonomi, falsafah, seni muzik, matematik, geometri, fizik, kimia, biologi, sejarah dan sains sosial adalah antara ilmu yang terpenting di dalam memberikan idea seorang arkitek untuk menghasilkan sebuah ‘masterpiece’ yang akan dikenang oleh masyarakat. Seni bina sangat dipengaruhi oleh budaya setempat, keadaan geografi, iklim dan cuaca, keagamaan, politik atau pemerintah, sejarah dan hukum alam. Sebab itu, setiap tempat di dalam dunia ini mempunyai seni bina yang unik dan tersendiri serta mampu mencerminkan sesebuah tamadun tersebut. Seni bina di kawasan beriklim sejuk tidak akan sama dengan seni bina di kawasan panas. Seni bina di kawasan berbukit tidak sama dengan seni bina di kawasan landai dan begitulah seterusnya.

Mengimbau sejarah lampau, Tamadun Mesopotamia dan Tamadun Mesir Purba juga mencapai zaman kegemilangan di dalam ilmu seni bina. Sebagai contoh, Tamadun Mesopotamia dengan Taman Tergantung Babylon dan zigurat-ziguratnya yang sangat besar. Taman Tergantung Babylon kini telah lenyap ditenggelam zaman dan telah dinobatkan sebagai salah satu 7 Keajaiban Dunia. Keindahan dan kemegahan seni bina Taman Tergantung Babylon memukau bagi setiap manusia ketik di zamannya. Pembinaan Taman Tergantung Babylon ada ceritanya tersendiri dan bagaimana ia mampu dibina dengan jayanya. Begitu juga dengan Tamadun Mesir Purba dengan kemegahan binaan Piramid yang sehingga kini masih kekal. Piramid ini dikatakan binaan untuk kehidupan selepas kematian kerana ianya dibina untuk mayat firaun yang telah diawet dan dikebumikan sekali dengan segala harta yang dimiliki. Penggunaan blok-blok batu yang besar dan kaedah pembinaan yang canggih telah memberikan kejayaan buat arkitek pada ketika itu iaitu Imhotep. Imhotep adalah arkitek yang bertanggungjawab di dalam pembinaan piramid di zaman Tamadun Mesir Purba. Kedua-dua binaan zaman purba ini menunjukkan akan kegemilangan serta ketinggian keilmuan dan teknologi ketika itu di dalam membina struktur mega. Ia juga memberi indikasi kepada kemegahan dan kekuatan kedua-dua tamadun pada zamannya. Sejak daripada itu, seni bina terus berevolusi sehingga ke zaman Tamadun Greek, Tamadun Rom, Tamadun Indus dan seterusnya sehingga kini di zaman Revolusi Industri 4.0.

Marcus Vitruvius Pollio (80BC – 15BC), seorang arkitek, jurutera dan penulis telah menulis satu karya berkenaan ilmu seni bina sebagai satu pandangan beliau dan panduan buat pemerintah Rom, Augustus di dalam membina bangunan. Karya yang ditulis oleh beliau adalah satu-satunya karya yang masih kekal hingga ke hari ini berkaitan dengan ilmu seni bina dan telah diterjemahkan ke dalam pelbagai bahasa oleh para sarjana pada zaman Renaissance. Di dalam karyanya, Vitruvius telah menulis berkenaan prinsip-prinsip fundamental di dalam seni bina antaranya ialah ‘Order’, ‘Arrangement’, ‘Eurythmy’, ‘Symmetry’, ‘Propriety’ dan ‘Economy’. Namun begitu, secara ringkasnya, Vitruvius telah menggariskan 3 prinsip utama di dalam memastikan sesebuah seni bina itu berkualiti iaitu firmitas (ketahanan), utilitas (kegunaan) dan venustas (kecantikan). Tiga prinsip ini dikenali juga sebagai ‘Vitruvian Virtues’ atau ‘Vitruvian Triad’. Falsafah seni bina Vitruvius ini telah banyak mempengaruhi para arkitek dan ahli falsafah seni bina pada zaman Renaissance seperti Leon Battista Alberti, Leonardo Da Vinci dan juga Michaelangelo. Teori ‘Golden Ratio’ yang diaplikasikan dalam struktur ‘Pantheon’ telah mempengaruhi arkitek seperti Le Corbusier dan Mario Botta manakala Leonardo Da Vinci pula telah menghasilkan satu ilustrasi yang terkenal sehingga hari ini dikenali sebagai ‘Vitruvian Man’ di dalam karyanya.

‘De Divina Proportione (On the Divine Proportion)’.

Terdapat beberapa sarjana yang memberi definisi yang berbeza berkenaan seni bina sama ada dari sarjana Islam atau sarjana Barat. Ibnu Khaldun di dalam kitabnya, Muqaddimah mengatakan bahawa seni bina merupakan satu daripada ciri ketamadunan yang penting kerana ia adalah mercu kegemilangan sesuatu bangsa atau negara. Keagungan dan ketinggian sesuatu tamadun itu dapat diukur berdasarkan pencapaiannya dalam bidang seni bina. Sementara menurut Frank Lloyd Wright, seni bina itu merupakan binaan manusia dan alam semula jadi. Ini dapat dilihat dengan falsafahnya, ‘Organic Architecture’ yang berhasil menterjemahkan falsafahnya dengan binaan rumah yang dibina menggunakan bahan-bahan alam semula jadi yang terdapat di sekitarnya.

Secara kesimpulannya, artikel kali ini adalah ingin memberikan gambaran secara kasar kepada masyarakat mengenai ilmu seni bina yang kompleks. Kemunculan falsafah-falsafah seni bina telah menyebabkan ilmu seni bina ini berevolusi mengikut zaman. Perkembangan ilmu sains dan teknologi juga banyak memberikan impak yang positif kepada ilmu seni bina seterusnya mampu menghasilkan sebuah bangunan yang tidak pernah tercapai dek akal manusia.

Sumber Rujukan:

1. Jurnal Seni Bina Islam: Satu Pengamatan oleh Anisah Bahyah Ahmad dan Wan Kamal Mujani
2. Vitruvius, The Ten Books of Architecture, translated by Morris Hicky Morgan, Harvard University Press, 1914


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Merupakan graduan Sarjana Seni Bina daripada UiTM Puncak Alam (LAM and RIBA Part II). Mempunyai minat yang mendalam di dalam bidang agama, seni bina dan sains telah menjadikan bidang penulisan sebagai medium menyebarkan ilmu dan mendidik masyarakat.

Comments are closed.