Hari ini, ada satu hamba Allah menyatakan elemen korupsi yang membelenggu masyarakat Melayu sejak dahulu lagi terutama semasa pemerintahan Kesultanan Melayu Melaka. Tetapi dalam kesibukannya menghentam bangsanya sendiri, dia terlupa rasuah turut membelenggu banyak tamadun sepanjang lipatan sejarah manusia. Hakikatnya, rasuah merupakan satu isu yang tidak boleh lari walau di mana saja manusia itu ada.

Korupsi sentiasa wujud sepanjang lipatan sejarah manusia. Dinasti Pertama yang memerintah Tamadun Mesir Purba (3100-2700 SM) telah mencatat kesalahan itu dalam sistem kehakimannya. Dalam mitologi masyarakat Tionghua, setiap isi rumah mempunyai Dewa Dapur yang memerhatikan gerak-geri mereka. Seminggu sebelum sambutan Tahun Baru Cina, Dewa Dapur akan naik ke syurga untuk mempersembahkan laporan tahunannya kepada Pemerintah Syurga, Maharaja Jed.

Nasib isi rumah sama ada mendapat ganjaran atau dihukum mengikut laporan yang dibentangkannya. Justeru tidak hairanlah bagi memastikan sesebuah isi rumah itu mendapat laporan yang baik, sesebuah isi rumah mencalit gambar Dewa Dapur dengan sedikit kek dan madu sebelum membakar imej itu. Dalam mitologi masyarakat Cina, itulah cara Dewa Dapur naik ke syurga untuk bertemu dengan Maharaja Jed.

Dalam jalur kisah yang sama tetapi berlaku di tempat lain, sejarawan Yunani Herodotus menceritakan perilaku sebuah keluarga terkenal Yunani bernama Alcmaeonid merasuah wanita-wanita yang berkhidmat sebagai Peramal Delphi. Bermula sejak 1400 SM, bukan sedikit orang berkunjung ke situ dari Yunani dan wilayah sekitarnya untuk menanyakan pelbagai soalan kepada Pythia, ketua rahib wanita untuk Dewa Apollo.

Bila tiba giliran Alcmaeonid, keluarga itu menawarkan khidmat membina semula Kuil Apollo dengan batu-batu marmar dari Paros selepas ia musnah dalam kejadian gempa bumi. Sebagai tukaran, Pythia bersetuju meyakinkan Sparta membantu keluarga itu menawan Athens. Memandangkan perjanjian tersebut berhasil, Aristotle berpandangan dewa-dewi juga boleh dirasuah!

Rasuah tidak mengenal siapa pelakunya tanpa mengira bangsa, agama atau latar masa/tempatnya. Dan bila berbicara tentang soal keselamatan, perkara ini nyata menimbulkan kebimbangan sesiapa. Tak perlu lihat jauh, selusuri sahaja sejarah Tembok Besar China. Tembok Besar China yang kita lihat hari ini dibina semasa era Dinasti Ming sebagai cara mengekang asakan dari puak-puak nomad. Tetapi kehidupan sebagai tentera yang ditempatkan di situ amat sukar.

Walaupun diberi gaji bulanan oleh pihak kerajaan, kebanyakan wang dibelanjakan untuk senjata dan kuda. Justeru, ini mengakibatkan mereka merasa lapar dan kesejukan terutama menjelang musim sejuk. Ini ditambah dengan situasi berjauhan dengan keluarga selama berbulan-bulan lamanya. Keadaan ini menyumbang kepada situasi moral yang lemah dalam kalangan tentera Ming sehingga membenarkan elemen rasuah berleluasa dalam kalangan anggota garison tentera. Dengan situasi ketiadaan wang, cara mereka meraih wang ialah dengan berdagang dengan puak-puak nomad dan menjadi tentera upahan mereka.

Ini bukan cerita bohong, ini diceritakan dalam satu keterangan seorang pegawai pada tahun 1533. Menurut keterangan itu, tentera-tentera yang bertugas di menara peninjau berperanan sebagai pemandu kepada tentera musuh semasa mereka menceroboh wilayah-wilayah China. Pada tahun 1550 pula, seorang komander tentera di Datong melaporkan kemesraan yang terjalin antara sesetengah tentera Ming dengan puak-puak nomad sehingga membolehkan mereka meraih kelebihan strategik termasuk membina menara sama di kem mereka.

Laporan tersebut turut menambah ada ketikanya, sesetengah tentera Ming ini turut bertukar tempat dengan orang Mongol di mana orang Mongol menjadi pemerhati sementara tentera-tentera Ming yang korup ini menyamar sebagai pengembala Mongol. Ini sekaligus mengakibatkan apa saja kelebihan strategik yang diraih dari Tembok Besar China hilang sama sekali.

Isu ini turut membelenggu maharaja-maharaja Rom terutama membabitkan Pengawal Praetoria mereka. Untuk mengelak masalah ini, mereka memberi donativum atau sumbangan kewangan kepada tentera-tentera legion atau Pengawal Praetoria. Sesetengah melihat donativum ini sebagai sumbangan penghargaan tetapi pada abad-abad pemerintahan Rom seterusnya, ia merupakan satu bentuk rasuah untuk mengekalkan kuasa maharaja.

Pengawal Praetoria sememangnya dikenali sebagai pasukan pengawal peribadi maharaja tetapi mereka ini sukar dipujuk dan berpotensi menjadi pembunuh maharaja. Amalan ini timbul selepas Pengawal Praetoria melelong jawatan maharaja semasa Tempoh Lima Maharaja di mana jawatan itu jatuh ke tangan Didius Julianus. Untuk mengelak perkara sama berulang, donativum menjadi adat untuk mendapatkan kesetiaan dan sokongan Pengawal Praetoria.

Jika ada merasakan isu rasuah dalam dunia politik hanya berlaku pada era moden, jawapan anda salah sama sekali. Athens yang dikenali sebagai tempat permulaan demokrasi sudah berhadapan isu rasuah terutama membabitkan elemen pilih kasih membabitkan ahli-ahli politik.

Sejarawan Xenophon mencatatkan satu perbualan antara Socrates dengan Glaucon. Dalam perbualan itu, Socrates menyifatkan arena politik sebagai satu cita-cita yang mulia tetapi turut menceritakan kelebihan memegang jawatan dalam kerajaan ialah mendapatkan apa yang dimahukannya termasuk membantu rakan-rakannya.

Rasuah pilihan raya bukan saja membelenggu era moden tetapi juga era Tamadun Rom. Dikatakan diktator Rom, Julius Caesar memenangi jawatan Pontifex Maximus melalui rasuah sementara Cato pula membantu menantunya, Bibulus memenangi pilihan raya menerusi kaedah sama. Dalam suratnya kepada Lucilius, Seneca menggambarkan sikap calon-calon yang mengambil atau menawarkan rasuah di mana ia dibuat dalam bentuk persembahan kepada kuil-kuil Rom dalam bentuk duit atau peluang perniagaan.

Ianya menjadi satu sektor ekonomi yang teruk sehinggakan pemberi-pemberi rasuah diberi satu gelaran khas iaitu divisores. Rasuah pilihan raya atau ambitus ini sangat teruk sehinggakan apabila pemerintahan republik jatuh dan digantikan dengan pemerintahan diraja oleh Augustus, ramai menghela nafas lega kerana itu juga membawa kepada pengakhiran pilihan raya.

RUJUKAN:

1. K. Biswas, Asit dan Tortajada, Cecilia. (2018). From our ancestors to modern leaders, all do it: the story of corruption. The Conversation. https://theconversation.com/from-our-ancestors-to-modern-leaders-all-do-it-the-story-of-corruption-102164

2. Alcaide, Borja Pelegero. (2018). The Great Wall of China’s long legacy. National Geographic. https://www.nationalgeographic.com/history/magazine/2016/03-04/the-great-wall-of-china/

3. Hill, Laura. (2016). Conceptions of political corruption in ancient Athens and Rome. University of Adelaide. https://www.researchgate.net/publication/263155678_Conceptions_of_political_corruption_in_ancient_Athens_and_Rome


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Graduan Bachelor of Business Admin (Human Resource) dari UNITAR yang meminati sejarah sejak 11 tahun. Ketika ini merupakan saudagar simkad Tone Excel. Harapan terbesar ialah melihat saudara seagama dan sebangsa kembali bersatu di bawah satu panji dan terus maju bersama. Tanpa perpaduan, manusia tidak akan ke mana-mana, malah tidak akan dapat membina sebuah tamadun yang gemilang seperti mana yang dilakukan oleh nenek moyang kita yang lepas. Dan sejarah adalah saksi bahawasanya perpaduan kunci penting dalam membina sebuah tamadun yang gemilang.

Comments are closed.