Dalam era teknologi yang berdaya maju, kita menjangkakan akhlak atau tingkah laku manusia juga seharusnya berubah ke arah lebih baik. Tetapi tidak kerana manusia masih bersikap buruk kepada orang lain walaupun mempunyai akses kepada teknologi di hujung jari. Dan disebabkan tingkah laku sebegini, ia sedikit sebanyak memberi imej buruk kepada sesebuah komuniti dan agama walaupun pelakunya boleh diletakkan dalam kategori minoriti. Makanya, atas sebab itu, saya ingin menerangkan keutamaan akhlak, dalil kenapa kita kena berakhlak baik, pecahan akhlak dalam kehidupan kita dan poin utama yang memantapkan akhlak dalam kehidupan.
Akhlak baik ialah satu perkara yang penting dalam kehidupan. Ini kerana akhlak seseorang itu sebenarnya menonjolkan sisi dalaman kita yang sebenar. Dan dari akhlak yang baik juga, ia boleh saja menjadi cara bagi Allah s.w.t mencampakkan hidayah pada seseorang bukan saja memeluk Islam tetapi juga mengubah tingkah lakunya ke arah lebih baik. Dan dari akhlak yang baik juga, ia sebenarnya menonjolkan keindahan agama secara umum kepada orang lain, sekaligus mengubah perspektif orang ramai terhadap agama terutama pada zaman fitnah ini.
Terlalu banyak dalil di mana kita diperintahkan berakhlak baik. Antaranya:
a) Firman Allah s.w.t dalam ayat 43-44, Surah Taha, “Pergilah kamu berdua (Nabi Musa dan Nabi Harun a.s) kepada Firaun, sesungguhnya dia telah melampaui batas. Maka kamu berdua berbicaralah kepadanya dengan kata-kata yang lemah-lembut, mudah-mudahan dia ingat atau takut kepada Allah.”
b) Firman-Nya dalam ayat 33-34, Surah Fussilat, “Dan tidak ada yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru kepada (mengesakan dan mematuhi perintah) Allah, serta ia sendiri mengerjakan amal yang soleh, sambil berkata: “Sesungguhnya aku adalah dari orang-orang Islam (yang berserah bulat-bulat kepada Allah)! Dan tidaklah sama (kesannya dan hukumnya) perbuatan yang baik dan perbuatan yang jahat. Tolaklah (kejahatan yang ditujukan kepadamu) dengan cara yang lebih baik; apabila engkau berlaku demikian maka orang yang menaruh rasa permusuhan terhadapmu, dengan serta merta akan menjadi seolah-olah seorang sahabat karib.”
c) Daripada Abu Hurairah r.a, Nabi s.a.w bersabda, “Sesungguhnya aku diutuskan untuk menyempurnakan kemuliaan akhlak.”
d) Nawwas bin Sam’an meriwayatkan, “Aku bertanya kepada Rasulullah s.a.w tentang iman dan dosa. Lalu baginda bersabda, ‘Asas kepada iman ialah akhlak yang baik sementara dosa pula ialah perkara yang membuatkan hatimu tidak selesa dan engkau tidak suka andai perbuatan tersebut diketahui orang lain.’” (Riwayat Muslim)
Pecahan akhlak dalam kehidupan yang kita seharusnya tahu:
i) Akhlak dengan diri sendiri: menjaga kesihatan diri, bersikap benar dan tidak berbohong.
ii) Akhlak dengan ahli keluarga: bersikap adil kepada isteri-isteri, menjaga soal nafkah dan memberi didikan dan kasih sayang kepada ahli keluarga terutama isteri dan anak-anak.
iii) Akhlak dengan orang lain: melakukan amar makruf nahi mungkar, menjaga hubungan jiran dan saling menolong.
iv) Akhlak dengan alam sekitar: menjaga kebersihan alam, memelihara dan memulihara ekosistem.
v) Akhlak dengan Allah: akhlak yang paling tinggi di mana manusia mematuhi segala perintah-Nya dan meninggalkan semua larangan-Nya.
Jika kita nakkan akhlak yang baik dalam kehidupan, makanya kita perlu ada dua elemen. Pertama, aspek iman kepada Allah s.w.t. Tanpa iman yang mantap, sukar untuk kita memanifestasikan akhlak yang baik bukan saja pada diri sendiri tetapi juga pada orang lain. Ini berdasarkan sabda Rasulullah s.a.w berdasarkan riwayat Abu Hurairah r.a, “Orang beriman yang paling bagus ialah orang yang bagus dari segi akhlaknya.”
Kedua, jika kita mahukan akhlak yang baik, kita juga perlu ada ilmu pengetahuan yang bagus. Iman yang mantap saja tidak mencukupi dalam mencapai aspek ini. Ilmu pengetahuan yang baik dan mantap membantu manusia mencapai aspek tersebut. Ini kerana bila seseorang itu ada ilmu, maka mudah baginya mengamalkan agama sepenuhnya dengan penuh keyakinan dan tanpa ragu-ragu. Dan bila ada ilmu, seseorang itu juga dapat membezakan mana yang baik dan mana yang buruk terutama perkara-perkara baru yang dibawa penunggang agama atas nama amalan agama. Rasulullah s.a.w menyifatkan orang yang faqih dari segi keilmuannya lebih handal melawan syaitan berbanding seribu orang beriman berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Ibnu Abbas r.a.
Sebagai penutup, saya akhiri artikel ini dengan mafhum firman Allah s.w.t dalam ayat 13, Surah Al-Hujurat, “Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih taqwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam PengetahuanNya (akan keadaan dan amalan kamu).” Jangan kerana ego, akhlak dan hubungan sesama kita terkorban. Manusia yang mengorbankan kedua-duanya ialah manusia paling rugi pada akhirnya.
Sumber:
1. Khutbah Jumaat, Masjid Bandar Baru Permas Jaya bertarikh 7 Julai 2017 dengan tajuk Kesempurnaan Akhlak.
2. Dakwatuna.com (2014). Husnul Khuluq (Akhlak yang baik). https://www.dakwatuna.com/2014/09/02/56532/husnul-khuluq-akhlak-yang-baik/
3. Sunnah.com. The Hadith of Prophet Muhammad s.a.w at your fingertips. sunnah.com
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih