Walaupun Kobe hanyalah sebuah bandar pelabuhan kecil yang terletak di Kansai, banyak tempat dan aktiviti pelancongan menarik yang ditawarkan oleh bandar ini. Tambahan lagi, lokasinya hanya bersebelahan sahaja dengan bandar-bandar terkenal lain seperti Osaka, Nara dan Kyoto.

Di sebalik aroma menyelerakan daging wagyu halal tempatan, suasana santai kolam air panas Arima Onsen, dan pemandangan indah di beberapa lokasi pelancongan utama seperti Gunung Rokko dan Taman Sorakuen, bandar Kobe pada hakikatnya menyimpan sejarah perkembangan Islam di Jepun yang amat penting.

Bandar Kobe yang namanya boleh dimengertikan sebagai ‘Gerbang Tuhan’ ini merupakan bandar pertama di Jepun yang meluluskan projek pembinaan masjid bagi kegunaan umat Islam di sana. Benar, di bandar inilah terletaknya masjid yang dianggap sebagai masjid pertama di Jepun walaupun terdapat sebuah masjid lain yang direkodkan dibina empat tahun lebih awal, iaitu Masjid Nagoya.

Masjid Islam Kobe atau Kobe Musurimu Mosuku berlokasi di Nakayamate Dori, Chuo-Ku, Kobe dan ia siap dibina pada tahun 1935, walaupun rancangan pembinaan dan pengumpulan dananya sudah pun dimulakan kira-kira 5 atau 6 tahun lebih awal.

Pengetahuan tentang sejarah pembinaan Masjid Islam Kobe secara khusus dan perkembangan umat Islam di Kobe secara umum banyak diperoleh menerusi perkongsian pengalaman daripada Farid Kirky yang pernah berkhidmat dalam Jawatankuasa Islam Kobe selama 45 tahun, di mana beliau sendiri merupakan anak kepada imam masjid tersebut. Farid Kirky dilahirkan pada tahun 1926 di Nagoya, tempat di mana keluarganya mula menetap sebaik sahaja tiba di Jepun pada tahun 1922.

Gambar semasa majlis pembukaan Masjid Islam Kobe

Seperti keluarga Muslim beretnik Tartar yang lain, mereka melarikan diri dari Russia menuju ke Turki dan China semasa berlakunya Revolusi Bolshevik (1917) yang berlangsung semasa meletusnya Perang Dunia Pertama (1914-1918). Daripada China, sebahagian daripada mereka membawa diri ke Jepun yang diketahui lebih maju kehidupan masyarakatnya, yang dalam erti kata lain, lebih cerah peluang untuk pendatang membina semula kehidupan baru.

Selepas menjalani hidup selama beberapa tempoh di Nagoya, Hussein Kirky membawa keluarganya berpindah ke Kobe dan menyertai komuniti Muslim-Tartar di sana yang kemudiannya mereka ini membentuk Pertubuhan Tartar-Turki Kobe. Kebanyakan Muslim awal di bandar Kobe merupakan pedagang, termasuklah Hussein Kirky sendiri.

Semasa bilangan mereka masih relatif kecil, solat berjemaah hanya dilakukan di rumah salah seorang daripada mereka. Memasuki 1920an, tempoh di mana ramai Muslim-India yang kaya mula sampai di Kobe, komuniti Muslim mula berkembang dengan pesat. Komuniti Muslim di sini turut terdiri daripada Muslim dari tanah Arab dan Mesir.

Pada lewat 1920an, jumlah mereka semakin ramai sehingga wujud keperluan untuk membina masjid. Lantaran itu pada tahun 1928, sebuah jawatankuasa ditubuhkan dan dana pembinaan masjid mula dikutip. Hanya 5 atau 6 tahun kemudian, barulah dana tersebut mencukupi terutama apabila presiden jawatankuasa itu sendiri, iaitu Ferozuddin yang merupakan seorang Muslim-India yang kaya menyumbangkan dana sebanyak 66 000 yen, jumlah yang besar pada waktu itu. Lantas, sebidang tanah pun dibeli dan tepat pada hari Jumaat, 30 November 1934, batu asas bagi masjid yang bakal dibina ini diletakkan oleh Muhammad Bochia, individu yang bertanggungjawab memulakan dan menyelia projek pembinaan Masjid Islam Kobe.

Ruangan dalam masjid

Reka bentuk unik masjid ini disediakan oleh seorang arkitek warga Czech bernama Jan Josef Svagr (1855-1969), yang turut mereka-bentuk banyak bangunan keagamaan lain di Jepun. Sambil itu, kerja-kerja pembinaannya pula dilakukan oleh sebuah syarikat tempatan, iaitu Takenaka Corporation dengan diselia oleh Vallynoor Mohamed. Masjid ini dibuka pada hari Jumaat, 20 Ogos 1935 dan pada hari itu juga, Solat Jumaat pertama dilasakanakan dengan diimamkan oleh Imam Mohamed Shamguni.

Hanya pada dua bulan kemudian, iaitu pada 11 Oktober barulah Jawatankuasa Islam Kobe menjemput menteri-menteri Jepun dan pemimpin-pemimpin komuniti bukan-Islam tempatan untuk berkunjung ke Masjid Islam Kobe, melibatkan sekitar 600 orang hadirin. Dalam kunjungan tersebut, datuk bandar Kobe pada waktu itu, iaitu Encik Ginjiro Katsuda mengambil kesempatan untuk meluahkan rasa gembira terhadap pencapaian umat Islam di sana dan berharap agar pembinaan masjid tersebut dapat berperanan dalam menjalinkan hubungan yang erat antara komuniti pelbagai bangsa yang ada di Kobe.

Di kala Imam Mohamed Shamguni direkodkan sebagai imam pertama yang berkhidmat di Masjid Islam Kobe, muazzin pertamanya pula adalah Ahmedy Mohammady, seorang warga Turki yang datang ke Jepun sekitar 1920an. Tidak hanya bertugas sebagai muazzin, Ahmedy Mohammady juga berkhidmat menjaga dan membersihkan masjid dan kawasan sekitarnya. Dicatatkan bahawa beliau terus menjadi muazzin sehingga tahun 1990an dan meninggal dunia pada usia 102 tahun. Sambil itu, imam pertama masjid Kobe, iaitu Mohamed Shamuni pula meninggal dunia pada tahun 1938, tiga tahun sesudah masjid tersebut mula beroperasi. Tugasnya sebagai imam diambil-alih oleh Hussein Kirky yang berkhidmat selama 40 tahun.

Masjid Kobe selepas pengeb0man Perang Dunia Kedua

Pada tahun 1939, Perang Dunia Kedua meletus dan berikutan peristiwa Pearl Harbour pada 1941, wilayah-wilayah Jepun menjadi sasaran ser4ngan Amerika Syarikat. Selain Hiroshima dan Nagasaki yang menjadi mangsa pengeb0man atom, beberapa kawasan lain turut menerima ser4ngan udara. Antara lain yang menjadi m4ngsa adalah bandar Kobe yang sekaligus mengakibatkan banyak bangunannya ranap. Masjid Islam Kobe sendiri mengalami sedikit keretakan di tembok luarnya di samping jendela-jendelanya habis pecah, walaupun secara keseluruhan, strukturnya masih tetap berdiri kukuh. Peristiwa ini berlaku pada tahun 1945.

Kira-kira 50 tahun kemudian, masjid ini sekali lagi terselamat daripada mengalami keruntuhan apabila bumi Kobe dilanda bencana Gempa Bumi Hanshin yang diperkirakan sebagai antara gempa bumi paling dahsyat yang berlaku pada kurun itu.

Sehingga kini, Masjid Islam Kobe terus berdiri kukuh sebagai bukti keajaiban Tuhan dan bangunan yang melambangkan pertapakan Islam di Kobe secara khusus dan Jepun secara umum.

Masjid Kobe

RUJUKAN

Japan Reference. (29 Mac 2008). Kobe Mosque History.
https://jref.com/threads/kobe-mosque-history-first-mosque-in-japan.37067/

Komal Khiani. (19 Jun 2014). Kobe Muslim Mosque. Japan Travel.
https://en.japantravel.com/hyogo/kobe-muslim-mosque/13563

Japan Halal TV. (2019). Kobe Mosque: The First Mosque Built in Japan and Its “Miracles”.
http://jhtv.jp/2019/03/07/1604/

Ming Teoh. (18 Ogos 2019). You can find Japan’s oldest mosque in Kobe. The Star.
https://www.thestar.com.my/lifestyle/travel/2019/08/18/kobe-mosque

Yushi Utaka. (Julai 2016). The Kobe Muslim Mosque: Experience of “Miracles”.
http://www.mukogawa-u.ac.jp/~iasu2016/pdf/iaSU2016_proceedings_301.pdf

 

 


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Pencinta bahasa ibunda dan sejarah dunia. Amir Zayyanid merupakan seorang penulis dan penterjemah bebas yang menyimpan impian mahu menabur bakti kepada anak pertiwi menerusi pendokumentasian sebanyak mungkin bahan bacaan, sama ada fiksi mahupun bukan-fiksi.

Comments are closed.