Selatanisasi merupakan suatu proses yang panjang yang berlaku dalam sejarah dunia ini. Selatanisasi merupakan hasil daripada kemakmuran dan kekayaan di Hemisfera Selatan ini dan revolusi Selatanisasi ini bermula di India. Seperti yang kita sedia maklum, sebelum kedatangan islam, Tanah Melayu ini menerima gelombang ajaran agama Hindu-Buddha dan selama lebih seribu tahun, ramai orang melayu yang menganut ajaran Hindu-Buddha ini, terutama yang melibatkan pentadbiran dan keluarga bangsawan.  Namun begitu, tidak semua orang melayu menerima ajaran ini. Masih ramai yang selesa dengan anutan lama mereka iaitu Agama Nenek Moyang melayu yang percaya kepada Kayangan dan semangat-semangat yang digelarkan sebagai Animisme.

Menurut Dr Lynda Norene Shaffer, pensyarah di University of Hawaii di dalam penulisannya yang bertajuk “Southernization”, di dalam Journal of World History 5, Spring (1994), pelayar-pelayar melayu telahpun belayar merentasi lautan ke India dan China seawal tahun 300 SM dan telah membuat hubungan dengan pedagang-pedagang dari India dan China seawal kurun itu. Ini menjelaskan bahawa pelayar melayu yang pernah berhubung dengan ketamadunan India ketika itu iaitu Dinasti Maurya yang memerintah hampir keseluruhan India.

Semasa pemerintahan dinasti Maurya di India, emas merupakan komoditi yang sangat penting sebagai matawang dan barang perhiasan yang sangat menarik. Emas dalam tamadun DInasti Maurya dibeli dari Siberia. Namun begitu, orang-orang gasar di pedalaman Asia selalu mengganggu dan merugikan tamadun Maurya menyebabkan mereka mencari emas dari alternatif yang berbeza. Akhirnya, dinasti Maurya membeli emas dari Asia Tenggara dan Afrika menggunakan khidmat pelayar-pelayar melayu yang kerap belayar merentasi lautan Hindi menggunakan angin monsun dan petunjuk-petunjuk semulajadi yang biasanya pelayar melayu sahaja yang mahir seperti perihal bintang, awan-awan, beburung, suhu air laut, warna air dan sebagainya yang menjadi panduan kepada pelayar-pelayar melayu sebelum kompas diciptakan oleh tamadun China kemudiannya.

Melalui pelayar-pelayar Melayu ini, mubaligh-mubaligh Sivaism dapat menyebarkan ajaran Hindu ke Asia Tenggara, sama ada mereka ikut belayar bersama pelayar Melayu ataupun melalui pelayar Melayu itu sendiri yang menyebarkan ajaran tersebut kepada ahli keluarga mereka. Sebelum kurun ke-5M, Agama Hindu Buddha tidak begitu berkembang ke Asia Tenggara. Ketamadunan Sungai Batu yang berusia sehingga kurun ke-6 SM juga tidak menemui bukti-bukti kewujudan agama Hindu Buddha secara meluas dan tiada binaan-binaan Hindu-Buddha sebelum kurun ke-5M. Bukti-bukti arkeologi seperti binaan rumah ibadat yang dibina seawal tahun 110M dan barisan jeti kuno tidak menggambarkan terdapat pengaruh Hindu-Buddha, malahan unsur-unsur animisme iaitu penyembahan terhadap Gunung Jerai dan kedudukan candi-candi yang menggambarkan orbit planet mengeliling Gunung Jerai jelas menunjukkan Gunung Jerai merupakan pusat keagamaan orang Melayu di tamadun Kedah Tua, dan tidak berkiblatkan Sungai Ganges ataupun Banjaran Himalaya.

Oleh yang demikian, dakwaan Melayu Pendatang dan Orang India telahpun membuka tamadun di sini 2500 tahun dahulu tidak tepat dan mengelirukan. Sekitar tahun 500 SM, orang Melayu telahpun membuka tamadunnya di sini, berpusat di Tamadun Sungai Batu sebagai pusat kegiatan ekonomi Zaman Logam di Tanah Melayu. Pusat peleburan besi kuno antara terbesar di dunia ini, ditambah pula dengan kemahiran orang Melayu mengenderai kapal layar menyelusuri angin monsun, tidak mustahil koloni-koloni Melayu dapat dikesan sejauh muara Sungai Zambezi di Timur Afrika dan penempatan bangsa Merina, iaitu saudara orang-orang Melayu sebagai majoriti di Pulau Madagaskar.

Dengan pengetahuan yang hebat ini, orang Melayu telahpun menguasai laluan perdagangan rempah di Lautan Hindi serta membuka pelabuhan dan pasar untuk pertukaran barangan dari India ke China melalui laluan Trans-Semenanjung, antara Kedah dan Singgora ataupun melalui Hujung Salang ke Cahaya (Chaiya), seterusnya menjadikan kawasan tersebut sebagai kawasan yang sangat kaya-raya.

Selatanisasi Kebudayaan India Sebagai Trend Sedunia

Kebudayaan tinggi tamadun India bermula dengan tamadun Lembah Indus, dengan penanaman kapas dan penciptaan pakaian, lebih kurang 2000 tahun SM. Selepas tamadun Indus melenyap dengan misterinya, wujud kerajaan-kerajaan kecil seawal 500 SM  iaitu Janapada dan kerajaan yang lebih besar atau dikenali sebagai Mahajanapada. 16 buah Mahajanapada disatukan membentuk Kerajaan Magadha dan seterusnya, Magadha memperluaskan empayarnya ke pedalaman India. Kegemilangan Magadha dengan ibukotanya di Pataliputra berterusan dari Tahun 600 SM hingga 345 SM dan diteruskan pula oleh Dinasti Nanda dan Maurya.

Selepas Asoka menewaskan Kerajaan Kalinga dalam perang yang sangat dahsyat dan membawa angka korban hingga ratusan ribu pejuang, Raja Asoka bertaubat dan menganut ajaran kebaikan agama Buddha serta tidak lagi meneruskan kemaraan ketenteraannya ke arah Selatan. Baginda menghantar mubaligh-mubaligh Buddha ke seluruh pelosok dunia dan baginda juga menghantar Sana dan Utara, dua orang mubaligh ke Asia Tenggara untuk menyebarkan ajaran Buddha.

Namun begitu, kedua-duanya hanya sampai di Pedalaman Asia Tenggara sahaja, tetapi bukan di Tanah Melayu. Tiada bukti fizikal mahupun catatan bertulis yang menunjukkan ajaran Hindu atau Buddha telah disebarkan pada zaman Maurya iaitu lebih kurang tahun 250 SM. Penyebaran ajaran Veda mungkin berlaku secara kecil-kecilan bersama dengan pedagang-pedagang yang berjalan kaki dari Teluk Benggala, turun ke Mrauk-U, terus ke Sriksetra, sehinggalah ke Kedah Tua.

Selatanisasi merupakan kesan kebudayaan tinggi tamadun India di zaman Empayar Gupta memerintah sebagai penerus kerajaan Maurya. Selepas Maurya melemah sekitar tahun 184 SM, berlaku perang saudara yang membawa kepada wujudnya Kerajaan Shunga. Sebelum itu lagi, kerajaan Kalinga kembali merdeka selepas kemangkatan Raja Asoka dan mewujudkan Kerajaan Maha Megavahana dengan Raja Kharavela yang menganuti Fahaman Jainism, pecahan kepercayaan Veda yang ekstrim dengan kebaikan seperti puasa yang ketat dan pemakanan hanya daripada tumbuh-tumbuhan sahaja.

Selain itu, wujud kerajaan Satavahana yang menjadi kerajaan besar selepas kejatuhan Maurya. Kerajaan Satavahana dan Maha Megavahana merupakan kerajaan yang sangat kaya-raya sebagai penerus kepada Empayar Maurya yang muflis akibat peperangan di Zaman Asoka dan Brihadnatha. Dengan kebijaksanaan mengawal perdagangan di Teluk Benggala, sama ada perdagangan darat dengan Kerajaan-kerajaan di Arakan dan Negarakota Pyu, mahupun kejayaan perdagangan maritim dengan negara-negara yang lebih timur iaitu Negarakota-negarakota Melayu.

Dengan perhubungan yang erat ini, kerajaan-kerajaan Melayu yang selalu berhubung dengan kerajaan Satavahana dan Mahamegavahana menerima kesan awal pengaruh kebudayaan dan keagamaan dari dua kerajaan kaya ini. Kerajaan Melayu Funan merupakan empayar pertama orang Melayu yang membuat hubungan diplomatik secara langsung dengan kerajaan Maha Megavahana, Kerajaan Bangsa Kalinga yang terletak di Orissa hari ini.

Selepas kejatuhan Maurya, wujud kembali kerajaan-kerajaan kecil yang merdeka daripada Maurya. Raja Kharavela, Raja Agung Kalinga dari Dinasti Maha Megavahana ini meluaskan pengaruhnya ke barat, selatan dan utara Kalinga dan menakluki kawasan yang sangat luas, hampir menyamai keluasan kerajaan Maurya. Ketika inilah, Fan Chan membuat hubungan diplomatik dengan Kalinga. Oleh sebab Raja Kharavela ini digelar The Lord of Aryan ataupun Raja segala Aryan, maka bangsa Melayu memanggil sesiapa sahaja yang berasal dari Anak Benua India sebagai Kalinga atau dengan pelat Melayunya sebagai Keling.

Panggilan ini menyebabkan bangsa India yang datang terkemudiannya marah kerana bangsa Kalinga ini bukan bangsa mereka, malahan saling bermusuhan antara satu sama lain sejak mula awal kejatuhan Maurya ini. Menurut prasasti Hathigumpha, Kharavela telah menakluk seluruh kawasan bangsa Tamil di Selatan, termasuklah Chola, Pandya, Satyaputra dan Keralaputra. Panggilan Keling ini menyebabkan orang-orang India yang datang terkemudian berasa inferior kerana bangsa Kalinga ini cenderung kepada orang Aryan, manakala mereka kebanyakannya adalah bangsa Dravidian. Ini membuktikan, hubungan beribu-ribu tahun antara Melayu dengan India tidak melibatkan bangsa Dravidian sama ada Chola, Pandya mahupun Chera sebelum kurun ke-10M.

Hubungan yang erat dan kehebatan kerajaan Kalinga (Maha Megavahana) ini menyebabkan kerajaan Melayu Funan dan kerajaan-kerajaan vassalnya meniru pentadbiran dan keagamaan Kalinga. Agama Hindu, Buddha dan Jain dapat hidup dengan harmoni di Kalinga, begitu juga di Tanah Melayu ini. Namun begitu, proses pengembangan agama Hindu Buddha hanya berlegar-legar dalam kalangan bangsawan sahaja. Orang Melayu kebanyakannya masih menganut ajaran lama nenek moyang mereka. Golongan bangsawan juga menggunakan bahasa Sanskrit dalam penulisan mereka dan menyebabkan agama Hindu-Buddha kurang tersebar kepada rakyat Melayu. Tiada bukti nyata agama Hindu Buddha berkembang pesat di zaman tersebut (Sebelum masihi).

Namun, selepas Kharavela mangkat, pengaruh Kalinga semakin merosot dan pengaruh kerajaan Satavahana yang berpusat di Selatan Kalinga (Andra Pradesh) semakin berkembang. Semasa kewujudan kerajaan Satavahana, pengaruh kebudayaan dan keagamaan Hindu-Buddha semakin meluas di Asia Tenggara dengan penemuan arca-arca Amravati yang ada pengaruh Satavahana ini.

Namun begitu, ia masih tidak begitu banyak, hanya kira-kira lapan arca yang ditemukan serata Kepulauan Melayu ini. Pengembangan kebudayaan India dan Selatanisasi telah mula merebak di zaman Maha Megavahana dan Satavahana ini ke Asia Tenggara, hasil daripada pelayar-pelayar Melayu berdagang di India, Afrika dan China. Seawal kurun pertama masihi, pelayar-pelayar Melayu ini telah mengajarkan ilmu pelayaran kepada bangsa India dan China, namun mereka tetap tidak dapat menyaingi kebijaksanaan bangsa Melayu dalam bidang pelayaran. Pelayar-pelayar Melayu inilah yang memungkinkan Era Selatanisasi dapat berkembang melalui perdagangan dan penghijrahan sami-sami Hindu Buddha ke seluruh pelabuhan di Timur dan Barat Lautan Hindi.

Sekitar tahun 400M, semasa kegemilangan ketamadunan tinggi India iaitu semasa Zaman Dinasti Gupta memerintah, ⅔ lautan di sepanjang khatulistiwa dikuasai oleh pelayar-pelayar Melayu (L.N. Shaffer dalam makalah Southernization) dan pemindahan kebudayaan India berlaku melalui jalan laut dan jalan darat.

Kebudayaan ini merangkumi pemakaian dan jenis kain kapas, keagamaan, falsafah, ilmu matematik dan kesusasteraan. Tamadun Melayu juga mendapat tempias daripada perkembangan pengaruh kebudayaan Gupta ini dengan menjadi pengantara jenis pemakaian kain dari India ini dan orang Melayu kebanyakannya mengenakan kain kapas India berbanding kain hengfu yang digunakan di zaman Funan dahulu. Istilah Sarung dan baju kurung yang wujud sejak zaman Funan telahpun berevolusi dengan kain kapas dari India ini. Namun begitu, istilah Kain Pelikat menjadi popular hanya selepas keagungan kerajaan Kesultanan Melayu Melaka. Pemakaian ini menjadi trend di zaman itu sehingga kurun ke-17M, sebelum Kebudayaan Moden Baratisasi yang tersebar melalui kolonialisme pula menjadi trend dan ikutan dalam berpakaian.

Selain itu, perkembangan dalam bidang falsafah, matematik, astronomi dan perubatan juga menjadikan tamadun India semakin maju dan mempengaruhi tamadun di sekitarnya. Kesan daripada percambahan keilmuan dalam tamadun India, Tamadun Islam pada zaman Abbasiyah dan tamadun China juga terkesan dengan pelbagai disiplin ilmu ini. Tidak kurang juga bidang ilmu ini berasimilasi dengan pengetahuan ilmu orang Melayu yang membentuk pantang-larang dan perkembangan herba dalam perubatan orang Melayu di zaman dahulu.

Pengaruh Selatanisasi ini menjadikan budaya Gupta dan India secara amnya menjadi ikutan dan trend seluruh dunia, sehingga ke Rom Timur dan China. Tidak pula mereka semua berasal daripada India, malahan secara lokalnya semua bangsa-bangsa ini sememangnya berasal dari tempat mereka. Melayu juga secara lokalnya berada di Kepulauan Melayu ini. Manakan mungkin, Kaum India yang ada hari ini telah wujud sejak 2500 tahun dahulu di Tanah Melayu secara besar-besaran seperti hari ini. Tidak perlulah kita mengetuk kepala guru-guru sejarah, cukuplah dengan menepuk dahi dan berfikir sejenak, jika bangsa India yang ada hari ini telah datang 2500 tahun dahulu, mengapa tiada keturunan mereka di sekitar Lembah Bujang contohnya, yang wujud ribuan tahun? Adakah mereka semua diangkut oleh UFO dan dicampakkan kembali ke India?

Walaubagaimanapun, Kaum India seharusnya berbangga kerana lebih kurang dua ribu tahun dahulu, kebudayaan dan keilmuan dari India mempengaruhi hampir 70% tamadun-tamadun sedunia dengan trend pakaian dan budaya keilmuan mereka.

Rujukan:

  • 1994, Lynda Shaffer, “Southernization” Journal of World History 5, Spring Journal
  • Hinduism in Southeast Asia, http://www.encyclopedia.com
  • 2001, Susan E. Alcock, Empires: Perspectives from Archaelogy and History, Cambridge University Press
  • De Casparis, Expansion Of Buddhism Into Southeast Asia, University of Leiden

Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Nornizam Jamal merupakan seorang guru di sebuah sekolah menengah yang mempunyai minat dalam menulis. Penulisan beliau lebih cenderung kepada Sejarah Melayu, Marcapada Dunia, Isu-isu pendidikan dan Sains

Comments are closed.