Menjunjung kasih, merafak sembah, sekalung takziah.
Negara kita khususnya rakyat negeri Pahang dikejutkan dengan kemangkatan Sultan Ahmad Shah Al Musta’in Billah Ibni Almarhum Sultan Abu Bakar pada kira-kira pukul 8.50 pagi tanggal 22 Mei 2019 bersamaan 17 Ramadan di Institut Jantung Negara(IJN) pada usia 88 tahun.
Sekilas
mengenai baginda. Baginda diputerakan pada 24 Oktober 1930 dan merupakan putera
kepada almarhum Sultan Abu Bakar Ri’ayatuddin Al Mu’azzam Shah dan almarhumah
Tengku Ampuan Fatimah. Baginda merupakan putera tunggal setelah kekanda baginda
meninggal ketika masih kecil.
Baginda
telah dilantik menjadi Tengku Mahkota Pahang pada 1944 ketika baginda berusia
14 tahun dan ditabalkan sebagai Sultan Pahang pada tanggal 8 Mei 1974 selepas
kemangkatan ayahandanya almarhum Sultan Abu Bakar. Baginda pernah menyandang
jawatan sebagai Yang di-Pertuan Agong pada 26 April 1979 sehingga 25 April
1984.
Pada 6
Januari 2019, Sultan Muhammad V dari Kelantan meletakkan jawatan baginda
sebagai Yang di-Pertuan Agong berkuat kuasa serta merta. Baginda Sultan
Muhammad V merupakan Agong pertama dalam sejarah yang meletakkan jawatan selaku
YDPA. Perletakan jawatan baginda selaku Agong selaras dengan Perkara 32(2)
Perlembagaan Persekutuan.
Kekosongan
penyandang Agong dipangku oleh Sultan Nazrin Shah dari Perak sehingga Agong
yang baharu dilantik. Mengikut sistem penggiliran, giliran selepas Agong dari
Kelantan adalah Pahang. Jikalau Sultan Ahmad Shah dilantik menjadi Agong,
baginda merupakan sultan kedua yang menyandang jawatan Agong sebanyak dua kali
mengikut sistem penggiliran. Sultan pertama yang menyandang jawatan Agong
sebanyak dua kali adalah almarhum Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah iaitu Sultan
Kedah yang menjadi Agong kelima bagi penggal 1970-1975 dan Agong keempat belas
bagi penggal 2011-2016.
Namun,
ekoran keadaan Sultan Ahmad Shah yang berada dalam keadaan gering, cadangan
untuk melantik Tengku Abdullah sebagai Sultan Pahang yang baharu telah dibuat.
Pada 11
Januari 2019, Mesyuarat Khas Jumaah Pangkuan Diraja Pahang yang dipengerusikan
Tengku Abdullah sendiri telah diadakan di sebuah hotel di Kuala Lumpur.
Mesyuarat
tersebut melibatkan kerabat diraja Pahang dan Orang-Orang Besar Berempat,
Berlapan serta 16 negeri. Turut hadir adalah bekas Perdana Menteri, Dato’ Seri
Mohd Najib Tun Abdul Razak yang merupakan antara Orang-Orang Besar Berempat
Pahang.
Berdasarkan
Perkara 9 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Pahang, Sultan Ahmad Shah dibolehkan
untuk turun takhta dan menyerahkannya jika baginda rela hati tanpa paksaan dan
perlu menandatangani Surat Perintah.
Surat
Perintah berkenaan itu pula hendaklah disaksikan Menteri Besar dan Setiausaha
Kerajaan Pahang yang kedua-duanya hendaklah hadir bersama-sama pada masa Raja
Pemerintah menurunkan tandatangan pada Surat Perintah itu.
Perkara
Sembilan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Pahang turut menerangkan sekiranya Raja
Pemerintah tidak bersemayam dalam negeri ketika turun takhta, perintah
mengesahkan turun takhta itu hendaklah dibuat dengan Surat Perintah dan diletak
cap Mohor Negeri yang ditandatangani Menteri Besar dan Setiausaha Kerajaan
Pahang.
Mesyuarat
pada malam itu bersetuju dan meluluskan pindaan Bahagian 1 Perkara 9A
Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Pahang untuk memberi kuasa kepada ahli
majlis jumaah untuk menurunkan takhta raja disebabkan kegeringan yang besar dan
berat.
Maka, Sultan
Ahmad Shah telah turun dari takhta dan menyerahkannya kepada puteranya Tengku
Abdullah. Tengku Abdullah telah dimahsyurkan sebagai Sultan Pahang yang baharu
pada 15 Januari 2019 bertempat di Istana Abu Bakar, Pekan, Pahang.
Pemahsyuran
Sultan Pahang yang baharu memberi gambaran jelas bahawa baginda Sultan Abdullah
akan menyandang jawatan Agong dan perkara ini menjadi kenyataan apabila baginda
dipilih sebagai YDPA ke-16 pada 31 Januari 2019.
Sejak
jawatan Agong diperkenalkan, setiap negeri dan setiap sultan menaiki takhta
setelah sultan yang terdahulu mangkat mengikut sistem monarki namun Pahang
adalah negeri pertama berlakunya penyerahan takhta ketika pemerintah negeri sebagai
sultan yang sah masih hidup.
Jika sejarah
diteliti, peralihan takhta ketika penyandang masih hidup yang paling hampir
adalah di Selangor.
Pada 1933,
Tengku Musa Eddin putera sulung kepada Sultan Alauddin Sulaiman Shah iaitu
Sultan Selangor ketika itu telah disingkirkan sebagai Raja Muda Selangor oleh
British atas alasan perlanggaran moral dan salahlaku peribadi. Residen British
pada waktu itu T.S. Adams yang mencadangkan penyingkiran Raja Muda Musa Eddin
kerana resah dengan sikap pemikiran terbukanya.
British
telah melantik saudara tirinya Tengku Alam Shah sebagai Raja Muda. Perlantikan
ini juga turut melangkah bendul apabila Tengku Badar kekanda kepada Tengku Alam
Shah juga diketepikan British.
Tengku Musa
Eddin telah diberi gelaran Tengku Kelana Jaya Putera. Tengku Alam Shah memegang
jawatan sebagai Raja Muda sehingga ditabalkan menjadi sultan pada 1938 dengan
memakai nama Sultan Hisamuddin Alam Shah setelah kemangkatan ayahanda baginda
dan pertabalan dipengerusikan sendiri oleh Tengku Musa Eddin.
Semasa Jepun
menyerang dan menguasai Tanah Melayu, pada 1942 Sultan Hisamuddin disingkirkan
dari takhta oleh pengurus tentera Jepun dan menabalkan Tengku Musa Eddin selaku
pewaris yang sah sebagai sultan dengan memakai nama Sultan Musa Ghiatuddin Riayat
Shah.
Pada 1945, sekembalinya penguasaan kolonial British ke atas tanah melayu, baginda Sultan Musa telah diturunkan dari takhta oleh pengurus tentera British di bawah Lord Louis Mountbatten. Baginda kemudiannya telah dibuang negeri ke Kepulauan Cocos Keeling. Baginda dibawa pulang ke Selangor setelah jatuh gering dan telah mangkat pada tahun 1955.
Sultan Hisamuddin Riayat Shah terus menduduki takhta sehingga mangkat pada tahun 1960 dan digantikan dengan putera baginda Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah. Sultan Salahuddin mangkat pada 2001 dan takhta Sultan Selangor diduduki oleh putera baginda Sultan Sharafuddin Idris Shah sehingga kini.
Walaupun
begitu, perbezaan pertukaran takhta di antara Sultan Musa Ghiatuddin Riayat
Shah dan Sultan Hisamuddin Alam Shah adalah bukan disebabkan kerelaan hati
tetapi disebabkan percaturan permainan kuasa kolonial British.
Penyerahan
takhta oleh Sultan Ahmad Shah kepada Sultan Abdullah masa kini adalah
disebabkan kemaslahatan baginda dan dibuat tanpa paksaan oleh kuasa luar.
Penyerahan
takhta ini merupakan suatu tindakan dan langkah yang bijak dan patut dilakukan.
Hikmahnya dapat difahami kini setelah Sultan Ahmad Shah mangkat pada hari ini
tanpa baginda perlu bersesak kudrat di hujung usia baginda jika dilantik sebagai
Agong dan negara juga tidak perlu mengalami pertukaran Agong sebanyak dua kali
dalam setahun.
Pahang
kehilangan seorang sultan yang penyayang dan berjiwa rakyat serta diumum
berkabung selama 40 hari.
Sembah
takziah
KDYMM
ALMARHUM SULTAN AHMAD SHAH AL MUSTA’IN BILLAH IBNI ALMARHUM SULTAN ABU BAKAR
(24 Oktober
1930 – 22 Mei 2019)
RUJUKAN:
1. Sejarah
Kesultanan Melayu Pahang. Berita Harian 12 Januari 2019. Dicapai pada 22 Mei
2019
2. Malaysia
Crowns Sultan Abdullah as 16th King. The New Straits Times. 1 Februari 2019.
Dicapai pada 22 Mei 2019.
3.
www.dirajapahang.my




No comments yet